Truyen3h.Co

MISS CLEANER UNDERCOVER

Bab 4

karyaseni2u

LAPARNYA perut aku. Menggigil dah rasa lutut ni, bisik hati Khaira Wilda sambil berjalan laju menghala ke kafe. Kafe di bangunan itu terletak di aras empat. Sebaik keluar sahaja dari lif, sudah terhidu bau makanan. Makin cepat dia melangkah.

Ya Allah! Ramainya manusia kat sini, tingkah hatinya sambil memandang orang yang masih beratur untuk mendapatkan makanan.

Dipaksa langkah untuk beratur sambil berdoa urusan untuk mendapatkan makanan tercapai segera. Sepuluh minit kemudian dia sudah pun mendapatkan nasi campur dan segelas sirap limau. Dulang berisi makanan ditatang cermat sambil mata mencari-cari tempat kosong.

Dia nampak satu meja yang baru dikosongkan. Cepat dia melangkah ke situ. Baru hendak menyuap nasi, mata terpandang Hayden Daniel yang duduk betul-betul berhadapan dengannya. Dia masih bersama dengan Nelly. Mereka kelihatan sedang makan dengan ceria. Namun apabila terpandangkan Khaira Wilda, wajah lelaki itu berubah masam.

Agh! Macamlah aku nak sangat duduk menghadap kau! Dah tak ada tempat lainlah. Lagipun aku tak nampak pun kau duduk situ tadi, hati Khaira Wilda berdialog sendiri.

Dia makan dengan khusyuk tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Lapar betul setelah dari pagi tadi asyik bekerja. Ada-ada sahaja tugasan yang diberi Abang Buncit. Sebelum Khaira Wilda bangun meninggalkan meja, Abang Buncit datang membawa dulang makanannya dan duduk di hadapan gadis itu.

"Kau nak pergi mana?"

"Nak pergi solat."

"Okey, pukul dua nanti jumpa kat bilik aku."

Khaira Wilda mengangguk sahaja. Dia terus berjalan laju meninggalkan kafe. Di hadapan pintu lif terserempak sekali lagi dengan Hayden Daniel. Mana nak sorok wajah yang masih terasa malu dan cuak?

Lelaki itu bersendirian sahaja. Dia berdiri agak jauh dari Khaira Wilda, menanti lif terbuka. Bila lif terbuka, Khaira Wilda terus masuk. Tidak sangka pula dia juga ikut masuk. Khaira Wilda ingatkan dia tidak sudi berkongsi lif. Semasa hendak menekan butang lif, jari mereka bertembung kerana menekan tingkat yang sama. Surau.

Khaira Wilda serius sahaja, tiada senyuman ataupun tawa dari bibirnya. Begitu juga Hayden Daniel walaupun tangan mereka 'accident' tadi. Bila pintu lif terbuka, Khaira Wilda keluar terlebih dahulu, lalu terus menuju ke surau.

Selesai solat zohor, sekali lagi dia menghadap Abang Buncit.

"Petang ni kau pergi tingkat atas sekali. Bilik atas tu cuci sebelah petang. Situlah stesen kau belah petang sampai pukul lima. Lepas tu dah boleh balik. Tapi sebelum balik jangan lupa tandatangan kat buku daftar dalam bilik aku kat belakang. Kalau tak sign, nanti tak dapat gaji, faham?"

"Faham, bang," jawab Khaira Wilda.

Bukan susah sangat pun nak faham. Mudah saja arahan kau tu. Bukan macam arahan daripada bos aku, Tuan Rosdi.

"Pergi sekarang! Peralatan semua ada kat stor tingkat atas, sebelah tandas."

"Yalah."

Sebaik dia naik ke aras paling atas bangunan itu, buntang sekejap mata Khaira Wilda. Besar sungguh biliknya, semua dari kaca. Ruang itu nampak luas dan eksklusif. Bilik kerja Tan Sri Anwar Karim El-Zahri terletak di hujung bangunan. Di tengah-tengahnya bilik persidangan dengan meja panjang yang besar dan memuatkan 30 buah kerusi. Berhadapan dengan pintu, terdapat sebuah ruang rehat untuk tetamu. Ada sofa panjang chesterfield buatan USA yang mewah. Meja kopi daripada kayu tempatan, hasil produk Syarikat Bina Bumi Sarawak Berhad. Sederet almari buku juga diperbuat daripada kayu, tersergam indah. Terdapat pelbagai ensiklopedia daripada penerbitan seluruh dunia. Tersusun cantik. Menambah seri ruang itu, berdiri dengan genitnya serumpun bunga berdaun hijau rendang dalam sebuah pasu besar.

Selain buku ilmiah, terdapat juga majalah perniagaan di bawah meja kopi. Tanpa membuang masa, Khaira menuju ke stor mengeluarkan peralatan. Di aras itu, semua lantainya beralas karpet biru lembut. Mudah sedikit kerjanya. Dia menarik penyedut hampagas keluar dari stor dan mulai membersihkan seluruh ruang.

Bilik Tan Sri Anwar Karim El-Zahri kosong. Dia bebas masuk untuk membersihkan seluruh ruang. Sebenarnya ruang itu nampak bersih dan tidak perlu dibersihkan. Dia ambil bulu ayam, kemudian menyapu hapuk yang mungkin melekat di mana-mana. Di bilik itu juga terdapat set sofa chesterfield. Ada banyak majalah di bawah meja kopi.

Duduklah kejap. Letih betul rasanya, bisik hati Khaira Wilda sambil duduk di atas sofa chesterfield.

Lagipun tak ada sesiapa. Tan Sri mungkin tak balik ofis. Biasalah orang kaya-kaya ni mana pernah duduk lama di pejabat. Meeting sana, meeting sini.

Tangan Khaira Wilda sudah mencapai salah sebuah majalah perniagaan.

Matanya terus melekat kejap ke muka depan majalah. Wajah lelaki itu masih terpahat dalam ingatan. Bibir lelaki itu terpamer senyuman manis. Senyuman seperti yang dilihat Khaira Wilda pagi tadi.

Hah! Hayden Daniel? Tertulis huruf besar tajuk artikel tentang Hayden Daniel. Hayden Daniel, The Next Tycoon. Cepat-cepat dia menyelak helaian artikel yang mengisi perut majalah. Dibacanya dengan lancar setiap baris ayat yang tertulis dalam bahasa Inggeris itu.

Hayden Daniel si pewaris Tan Sri Anwar Karim El-Zahri. Mereka lima bersaudara tetapi dia ialah anak sulung dalam keluarga.

Huh, patutlah aku macam kenal dia. Kan gambar dia pernah aku lihat tersimpan dalam fail, semasa menerima tugasan awal ke sini, bisik hati Khaira Wilda.

Dia terus menyelak helaian demi helaian majalah perniagaan itu. Mulut mulai menguap. Badan dibaringkan di atas sofa chesterfield yang lembut bak paha si ibu.

Ahhh... Selesanya baring kat sini. Suasana nyaman dan sejuk. Majalah terus dibaca sambil berbaring pula. Matanya semakin berat. Tulisan di dalam majalah itu mulai berlapis-lapis dan bertindih. Pap! Majalah jatuh perlahan menutup dada. Khaira Wilda sudah terlelap.

"MANA dia?" tanya Tan Sri Anwar Karim El-Zahri sebaik sahaja dia masuk ke ruang lobi. Lantai ruang nampak berkilauan. Cuaca terang di luar dinding kaca membias cahaya.

"Agaknya kat atas. Abang Buncit hantar dia ke sana."

"Kita terus naik ke atas. Apa-apa hal nak kenal dan jumpa dulu dengan Cik Wilda kita ni. Saya yakin Tuan Rosdi hantar orangnya yang terbaik ke sini."

Lelaki di sisi Tan Sri Anwar Karim El-Zahri sekadar mengangguk. Dia mengiringi Tan Sri Anwar Karim El-Zahri naik ke tingkat paling atas bangunan.

Sebaik tiba di aras paling atas, tidak terlihat kelibat orang yang dicari. Langkah diatur pula ke bilik kerja Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.

Berkerut dahi masing-masing melihat betapa nyenyak puteri beradu di atas sofa chesterfield bernilai puluhan ribu ringgit itu.

"Eh... Dia tertidur kat sini?" Separuh merungut lelaki itu memandang tepat ke wajah Tan Sri Anwar Karim El-Zahri.

Mereka berdua saling berpandangan.

"Biarlah, Encik Hakimi. Biar dia tidur. Letih sangat nampaknya. Maklumlah, hari pertama jadi tukang sapu," kata Tan Sri Anwar Karim El-Zahri sambil tersenyum kecil.

Hakimi memerhati wajah Khaira Wilda yang tidur nyenyak. Wajah gadis itu menghadap siling. Majalah perniagaan yang tadi dibaca terdampar di atas dada. Bibirnya yang kecil terbuka sedikit. Ada air liur yang meleleh perlahan di sudut bibir kemudian spontan dia menyedut air liurnya itu masuk semula ke mulut. Shruppp!

Huh, macam menyedut air sirap! Terkejut Hakimi melihat insiden itu. Dia ingatkan Khaira Wilda terjaga. Tetapi mata Khaira Wilda terus memejam. Hakimi tersenyum kecil, terasa lucu. Ada idea untuk mengenakan gadis itu nanti, akal nakalnya berbisik.

Awal pagi tadi semasa dia datang ke hotel untuk 'berkenalan' dengan Khaira Wilda, sengaja dia buat-buat serius. Amboi, bukan main sentap lagi gadis itu membalas sindiran pedasnya.

"Saya kejutkan ya, Tan Sri?" tanya Hakimi.

"Shhh... Biar aje," kata Tan Sri Anwar Karim sambil beredar.

"Kita duduk kat ruang rehat depan sana tunggu Hayden," katanya sambil mengajak Hakimi beredar pergi.

Hakimi mengikut sahaja tetapi matanya masih memandang ke arah Khaira Wilda. Tak profesional langsung! Boleh pula dia tertidur kat bilik kerja Tan Sri, rungut Hakimi dalam hatinya sahaja.

Lebih kurang sepuluh minit berada di ruang rehat, Hayden Daniel masuk ke ruang itu.

"Papa! Sorry lambat sikit. Apa yang papa nak bincangkan dengan saya? Saya ada meeting lagi lebih kurang setengah jam."

"Sebenarnya kebelakangan ni papa agak risau dengan banyak perkara, Hayden," ujar Tan Sri Anwar Karim El-Zahri dengan lembut.

"Walaupun semuanya macam nampak okey, tapi papa nak kau lebih hati-hati, terutama dalam pergaulan dengan lelaki dan perempuan yang tak dikenali."

"Maksud papa apa, ya?" Tiba-tiba Hayden Daniel teringat pada tukang sapu berwajah comel itu.

Huh! Kenapa pula wajah dia harus muncul? Bukan ke dia antara wanita-wanita yang baru 'muncul' di syarikat itu seperti kata-kata papanya sekejap tadi? soal hati Hayden Daniel.

"Pasal ugutan tu..." Belum sempat Tan Sri Anwar Karim El-Zahri menghabiskan kata, anak sulungnya itu sudah menyampuk.

"Pasal ugutan tu papa jadi fobia ke? Papa percaya ada orang nak bunuh keluarga kita?"

Tan Sri Anwar Karim El-Zahri mengangguk.

"Dah seminggu berlalu. Tak ada apa-apa pun yang berlaku." Hayden Daniel tidak mudah percaya pada ugutan yang dilayangkan melalui surat tidak bernama dan beralamat.

Dia yakin itu semua adalah perbuatan budak-budak nakal.

"Papa dah minta tolong dengan pihak berkuasa dan beberapa orang perisik sudah pun berada dalam syarikat kita ni. Mereka akan jaga kepentingan kita, keluarga kita."

"Perisik?" Hayden Daniel kerut keningnya yang lebat dan hitam itu hingga bercantum. Kemudian dia ketawa.

"Papa! Jangan buat perkara yang mengarut ni boleh tak?"

"Papa serius, Hayden. Memang papa dah upah mereka untuk jaga keluarga kita."

"Takkanlah papa juga dah jadi macam mama dan Tia yang trauma sangat sampai nak keluar rumah pun takut?"

"Ni langkah berjaga-jaga, Hayden!" tingkah bapanya.

"Okey, siapa perisik-perisik tu? Saya nak kenal!"

"Lebih baik tak ada sesiapa pun yang tahu siapa mereka. Itu lebih selamat. Kita tak tahu siapa musuh kita, Hayden. Papa percaya mungkin salah seorang pekerja kita nak buat khianat. Setakat ni papa hanya boleh mengagak dan meneka sahaja. Biar perisik tu yang buat kerja dia."

"Oh! Papa bagi tahu saya ada perisik yang bertugas di syarikat ni? Tapi papa tak nak pula kenalkan pada saya. Hmmm... Saya tak faham!"

Hayden Daniel bangun dan berjalan mundar-mandir.

"Papa nak kau hati-hati. Kalau boleh jangan bersendirian."

"Dah nak kena upah bodyguard pula? Papa... Saya lelaki, pa! Saya tak takut kalau setakat hanya ancaman-ancaman palsu macam tu!"

Hakimi tiba-tiba menyampuk.

"Lebih baik Encik Hayden percaya pada kata-kata Tan Sri. Orang yang mengugut dan mengancam tu bukan seorang diri. Kami percaya mereka adalah kumpulan penjahat yang dikehendaki pihak berkuasa. Tapi ketuanya... Ketuanya adalah dalam golongan orang biasa, yang kita tak pasti siapa."

"Tapi untuk apa ancam papa? Papa hanya seorang ahli perniagaan biasa."

"Silap, Encik Hayden. Tan Sri akan bertanding dan akan menang besar dalam pilihan raya terdekat ni."

"So... Kenapa mereka tu nak hentam seorang lelaki macam papa yang pastinya akan jadi seorang YB yang jujur, berdedikasi dan bertanggungjawab? Bukan ke itu adalah ciri-ciri seorang pemimpin yang disukai semua orang?"

"Bukan semua orang suka, Encik Hayden. Bukan semua. Sebab bukan semua orang baik. Kalau semua orang baik pasti aman damai dunia ni."

Kata-kata Hakimi buat Hayden Daniel terdiam sejenak.

"Kalau gitu, papa tarik diri dari bertanding. Tak payah terlibat dalam politik. Papa pun tahu kalau dah terjun ke dalam kancah politik, kena tahan dengan sepak terajangnya."

"Dah terlewat. Papa dah dicalonkan, dua tiga hari lagi, kempen besar-besaran akan dimulakan. Election just around the corner, Hayden. Papa tak boleh hampakan parti dan rakyat."

Hakimi mengangguk.

Hayden Daniel termenung panjang. Tan Sri Anwar Karim El-Zahri bergerak ke tingkap cermin, memandang keluar. Bandar Kuching mulai teduh, matahari sudah semakin condong.

Hayden Daniel meminta diri setelah telefon bimbitnya berbunyi. Dia bergerak keluar. Tan Sri Anwar Karim El-Zahri mengajak Hakimi bergerak turun. Masa untuk pulang. Ketika itu Tan Sri Anwar Karim El-Zahri dan Hakimi seperti terlupa pada puteri comel yang masih beradu dengan nyenyaknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co