Truyen3h.Co

MR. ANONYMOUS

Bab 10

karyaseni2u

"Eh, sekejap!"

Nora menarik tanganku untuk duduk bersama-sama dengannya di atas sofa. Aku yang baru sahaja ingin melangkah keluar terdorong ke belakang dan terduduk di sisinya.

"Kau ni dah kenapa? Aku nak keluarlah." Aku cuba meleraikan genggaman tangannya di lenganku, tapi sayang tak berjaya. Kuat juga Nora ni walaupun badan kecik.

Dia menjenguk kepala ke luar rumah. Pintu yang sudah terbuka luas memudahkannya melihat ke luar rumah.

"Kau nak keluar dengan siapa?" soalnya.

"Aidil." Aku senyum simpul.

"Eleh, relakslah. Bukannya dia dah sampai pun. Takkan kau nak duduk melangut kat luar tu tunggu dia. Dari macam tu baik kau berborak dengan aku ni hah. Ada juga, fae..."

"Sudah sudah, tak payah nak membebel. Nak cakap pasal apa, cepat." Pantas aku memotong sebelum Nora membebel dengan lebih panjang lebar. Jenuh pula aku nak menadah telinga mendengarnya nanti.

"Betul ke kau nak pindah? Tak nak duduk sini lagi?"

Nora sudah pamerkan muka kesiannya. Sedih sangatlah tu kononnya.

"Ya, Hilman ajak duduk dengan dia."

"Habis, kau setujulah?"

"Eh, mestilah."

"Zaini pun pindah bulan depan lepas dia kahwin. Habis tu tinggal aku soranglah ni?" Laju betul soalan-soalan yang keluar dari bibirnya.

"Kau pun dah nak kahwin hujung tahun ni. Kalau aku tak pindah, aku pula yang duduk sorang nanti." Aku bagi alasan yang kukuh dan bernas kenapa aku perlu keluar dari rumah ini dan duduk bersama Hilman.

Dia melepaskan tanganku akhirnya.

"Hujung tahun lama lagi kut. Sebelas bulan tu." Nada merajuk sudah kedengaran. Aku gelengkan kepala sudahnya.

"Pejam celik pejam celik sekejap aje." Aku cuba pujuk. Walaupun belum tentu lagi berjaya.

Dia mengeluh perlahan, sebelum menyambung kata.

"Okey, aku setuju kau pindah tapi kau kena setuju join aku kerja kat Seri Damai." Dia buat tawaran untuk pertukaran. Tawaran yang sudah banyak kali kedengaran di telingaku.

"International school tu? Tak naklah, aku bukan cikgu, tak ada pengalaman pun. Syllabus dia orang pun aku tak tahu." Sudah banyak kali aku menolak dengan alasan yang sama tapi Nora seolah-olah tidak mahu menerima langsung alasan yang aku berikan.

"Ala, aku bukan nak kau join yang kurikulum antarabangsa tu, kau jadi tenaga pengajar kurikulum kebangsaan aje. Lagipun HR akan bagi inhouse training. Please, aku dah pening nak cari cikgu PJK ni. Kau kan atlet sekolah lepas tu atlet universiti lagi. Please..." Bersungguh-sungguh dia merayu.

Ni yang aku malas, banyak kali merayu kalau aku tak tolong, nampak macam aku ni jahat sangatlah pula.

"Kau tahu kan aku tengah buat master? Lepas tu aku kan tolong Kak Win dekat Al-Husna." Aku cuba ingatkan, mana tahu dia terlupa.

"Ala, master kau bukan full time, PJJ aje pun." Ada sahaja jawapan yang hendak dibidasnya.

"PJJ pun susah tau. Payah!" Aku tekankan. Walaupun kelasku hanya pada hujung minggu tapi aku masih perlu mengulang kaji, membuat kajian dan lain-lain perkara pada hari biasa.

"Ya, ya. Aku tahu susah. Tapi jomlah. Kau kerja sementara aje kat sana. Boleh buat tambah duit poket. Banyak tau gaji Damai Consulting bagi." Bukan main melangit Nora memuji syarikat bakal bapa mentuanya.

Bunyi hon di luar rumah sudah kedengaran. Aku menoleh keluar. Senyumanku sudah melebar, Aidil sudah sampai. Aku cuba untuk bangun tapi Nora menahanku semula. Kali ini memang dia takkan lepaskan aku selagi aku tidak mengatakan aku setuju dengan tawarannya itu.

"Okey, nanti aku pertimbangkan." Aku bagi jawapan selamat. Kalau aku biarkan sahaja mahunya berkulat Aidil tunggu aku di luar.

"Betul?" Dia ragu-ragu.

"Ya, betul. Biar aku fikir masak-masak dan timbangkan baik buruknya dulu, okey?" Aku cuba berdiplomasi. Kena pandai main psikologi dengan minah seorang ni.

"Janji tau tolong aku. Aku malaslah nak dengar executive director a.k.a principal tu tanya hari-hari, jenuh melayan." Sempat pula dia mengutuk.

"Aik, bukan kau suka ke pengetua tu. Kau kata boleh buat kawan, kan?" Selalu bukan main puji lagi Cr. Anita tu. Takkan bergaduh kut?

"Bukan Cr. tu lagi jadi principal Damai. Dah tukar dah bulan lepas." Muncung dia sudah berdepa-depa.

Bunyi hon kedengaran lagi. Aku sudah bangun dari kerusi, nanti-nantilah aku dengar kisah pengetua baru yang cengil tu. Baik aku terus keluar sebelum Aidil tunggu aku lebih lama.

"Aku keluar dululah. Nanti-nanti sambung story principal cengil kau tu. Tata." Aku lambaikan tangan sebelum keluar dari rumah.

"Tak habis-habis dating!" jerit Nora dari dalam rumah.

"Jelus la tu." Aku jeritkan dari luar rumah pula sambil menuju ke kereta Proton Sprima S Aidil.

"Assalamualaikum." Aidil terlebih dahulu memberikan salam sewaktu aku masuk ke dalam keretanya.

"Waalaikumussalam." Aku sambut dengan senyuman.

Sebaik sahaja aku mengenakan tali pinggang keselamatan, dia membawa keretanya menyusur laju di jalan raya.

"Nak ke mana kita?" Aku bertanya.

"Cik Isya nak ke mana?" Dia memberikan aku peluang merancang aktiviti kami hari ini.

"Saya tak kesah, mana-mana pun boleh. Tapi sebelum tu kita singgah kedai buku sekejap, boleh?" Aku perlu membeli beberapa buah buku untuk rujukan kertas kerjaku yang harus siap minggu hadapan.

"Tak boleh!" Dengan tegas dia membantah.

Berkerut keningku dengan ketegasannya itu. Pelik pun ada, apa salahnya pergi kedai buku? Kenapa perlu segarang itu?

"Kenapa pula tak boleh?" Aku perlu tahu. Jika alasan yang diberikan logik dan kukuh aku akan terima, jika tidak, mana boleh melarang orang ke kedai buku sesuka hati.

"Sebab Mr. Anonymous."

"Mr. Anonymous?" Aku benar-benar tak faham. Apa kena-mengena aku tidak boleh pergi ke kedai buku dengan penulis kegemaran aku tu?

"Awak tu kalau dah pergi kedai buku tak ada benda lain, mesti nak cari buku Mr. Anonymous, kan?"

Akhirnya, aku ketawa kuat. Faham mengapa tiba-tiba dia segarang ini.

"Dengan writer pun nak jelus ke?" Saja aku bagi soalan pedas padanya.

"Dengan writer lain tak. Dengan dia ya, saya cemburu. Tak ingat sebab dia awak tak datang masa majlis konvokesyen saya dulu?" Cepat sahaja dia mengimbau memori lama.

"Ala, bukan tak datang, terlambat datang aje pun."

Aku tarik muka, asyik mengungkit kisah beberapa tahun lepas. Bukan aku sengaja pun. Sebab ralit membaca buku Mr. Anonymous, aku terlepas stesen yang sepatutnya aku berhenti. Tahu-tahu sahaja aku sudah di penghujung stesen. Jadi, aku perlu berpatah balik semula. Dengan nak mencari arah dewan tu lagi. Itu yang membuatkan aku terlambat sampai.

"Saya tak sempat bergambar dengan awak tau," rajuknya lagi. Memang waktu aku sampai majlis sudah selesai dan dia pun sudah memulangkan jubahnya.

"Okey, saya tahu saya salah. Dah banyak kali saya minta maaf, kan?" Aku pula tunjuk rajuk. Kalau aku tidak buat begitu sampai sudah dia takkan berhenti mengungkit tentang hal yang sama.

"Okey, dimaafkan. So, lepas ni Cik Isya jangan buat saya cemburu lagi, ya?" Dia memberi peringatan.

Aku angguk kepala. Bersetuju dengan peringatannya. Sebenarnya tiada apa yang perlu dicemburukan, aku hanya meminati penulisan Mr. Anonymous, bukan orangnya. Siapa dia sebenarnya pun aku tidak tahu, tiada biodata disertakan di belakang buku seperti penulis lain. Dia sememangnya penulis tanpa identiti.

Tambahan pula sejak tujuh tahun lepas memang tiada buku baru yang dia keluarkan. Aku pun tidak tahu kenapa. Jadi, mudahlah bagiku untuk menunaikan janji pada Aidil.

"Oh, hah. Hujung bulan ni saya pindah rumah tau."

Nasib baik aku teringat ingin memberitahunya.

"Kenapa nak pindah? Tak nak duduk dengan Nora lagi?" Dia memandangku sekilas.

"Bukan tak nak duduk dengan Nora lagi. Tapi Hilman dah pindah KL. Dia ajak duduk sama-sama dengan dia."

Aidil tersenyum panjang mendengar peneranganku.

"Kenapa senyum?" Pelik dengan senyuman yang tiba-tiba sahaja terukir di bibirnya jadi aku bertanya.

"Taklah, bila sebut nama Hilman terus teringat kali pertama saya jumpa dia kat Al-Husna dulu." Dia masih lagi dengan senyuman panjangnya.

Aku mengetap bibir. Kenapalah hari ini suka sangat dia mengungkit kisah lama?

"Macam manalah awak boleh terfikir nak tipu saya yang Hilman tu bakal suami awak? Dah sah-sah muka seiras, sekali pandang pun tahu adik-beradik tau." Bersungguh-sungguh dia cerita.

"Hah, mulalah tu nak mengungkit lagi." Geram pula aku jadinya bila dia mengungkit benda yang sama banyak kali. Setiap kali aku sebut nama Hilman mesti perkara itu yang akan dibangkitkan. Aku bukan sengaja mahu menipunya dahulu. Geram punya pasal, aku bantai ajelah ikut suka hati aku.

Dia parkir keretanya di ruangan parkir Mid Valley.

"Awak tahu tak, awak comel sangat waktu tu." Dia mengusikku.

"Eleh, yalah tu."

Aku terus keluar dari kereta. Malas nak melayan usikannya.

"Saya cakap betullah. Eh, Isya tunggu."

Bunyi penggera kereta kedengaran. Aku tahu dia sedang mengejar langkahku. Aku biarkan sahaja. Sengaja membuat dia terkejar-kejarku, seperti kata Hilman dahulu. Bibirku mula bergayut senyuman.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co