Bab 11
Hilman sudah berpeluk tubuh memandang ke luar pagar. Matanya tepat memandang Aidil yang sedang cuba memarkir kereta di luar rumah. Habislah aku, susah kalau macam ni. Aku yang tersepit.
"Kenapa? Dah tak percaya kat abang kandung sendiri ke nak menolong?" Hilman sudah tarik muka.
"Bukan macam tu. Aidil yang nak tolong. Jadi, orang biar ajelah. Dia nak cari pahala tu. Tolong orangkan dapat menambah pahala." Aku bagi jawapan selogik mungkin. Dengan Hilman jangan buat main, nak-nak bila dia sudah tarik muka.
Dia terus menoleh, memandangku.
"Orang pun nak tambah pahala juga." Ada sahaja jawapan balas daripadanya.
"Hilman tak apa, dah banyak pahala. Aidil tu macam... Kekurangan pahala." Sengaja aku melawak. Cuba menceriakan keadaan yang membuatkan aku seram sejuk sekarang.
Habis kepala aku kena lekuk dengan Hilman.
"Aduh, sakitlah!" Aku usap kepala yang tidak sesakit mana. Sengaja aku mengadu, nak mencambahkan rasa bersalah dalam hatinya.
"Isya guna apa ukur takat pahala orang lain? Suka-suka mulut aje bercakap, ya?" Rajin pula dia membela Aidil.
Aku tarik muncung.
"Orang gurau aje pun," kataku perlahan.
Mana boleh salahkan aku. Aidil yang bersungguh-sungguh nak menolong masa aku bagi tahu dia aku mahu pindah rumah hari ini. Takkan aku nak menolak pula? Nanti apa pula dia kata. Tup tup pagi tadi Hilman pula telefon kata mahu menolong aku mengangkut barang, dah tentulah aku terpaksa tolak.
Berapa banyak kereta nak angkat barang-barang aku? Bukannya banyak pun, barang peribadi sahaja. Perabot di rumah tu semua tuan rumah yang punya. Lagipun di rumah ini semua peralatan Hilman sudah sediakan. Aku cuma perlu cuci kaki sahaja.
Tiba-tiba sahaja Hilman berpusing menghadapku. Aidil yang sudah keluar dari kereta dan mengeluarkan barang-barangku sudah tidak dihiraukannya.
"Betul ke Isya dengan Aidil tu teman tapi mesra aje?"
Soalan sama yang sudah biasa aku dengar. Setiap kali soalan itu keluar, aku akan berikan jawapan yang sama. Takkan hari ini pun nak berikan jawapan yang sama juga? Biarlah, bukan Hilman ada skema permarkahan pun untuk soalan itu.
"Ya, teman tapi mesra. Titik, noktah!" Aku perdengarkan lagi jawapan yang sama seperti selalu.
"Apa benchmark teman tapi mesra?" Soalan tambahan kedengaran.
Aku sudah garu kepala. Ada pula soalan tambahan hari ini. Selalunya lepas aku bagi jawapan seperti tadi tiada lagi soalan susulan. Hari ni ada pula. Kalau soalan yang senang-senang tak apalah juga. Ini soalan yang boleh buat aku terdiam.
"Erk..." Otak masih lagi mencari idea. Rasa macam mahu suruh Aidil sahaja jawab soalan itu. Tapi aku yakin Hilman tidak mahu jawapan daripada Aidil, dia mahu jawapan daripadaku, adiknya.
"Erk? Apa erk erk?"
Aku menjeling. Tak sabar-sabar. SPM pun ada masa diperuntukkan untuk menjawab. Inikan pula soal hati dan perasaan. Kenalah ambil masa untuk berfikir jawapan yang sepatutnya.
"Hah, benchmark dia macam orang dengan Aidillah."
Berkerut dahi Hilman.
"Jawapan apa macam tu? Macam tak logik aje?"
Memanglah tak logik sebab aku main hentam sahaja.
Kenapa aku kata kami teman tapi mesra? Sebab kami tidak pernah meluahkan rasa cinta antara satu sama lain. Yang aku tahu, selepas berkenalan dengan Aidil, aku dan dia memang rapat. Yang aku pasti, dia suka aku dan aku pun sememangnya suka dia. Yang aku yakin, rasa cinta itu sudah lama bercambah dalam hati kami berdua.
Tak perlu meluahkan kata cinta, jika hati sudah sayang. Sendiri boleh rasa dan tahu kut.
"Memanglah tak logik. Sebab Hilman tak ada teman tapi mesra. Cuba cari seorang teman tapi mesra. Barulah faham." Sengaja aku memulangkan padanya. Selalu sangat bercerita kisah aku. Masa inilah mahu mengorek rahsianya pula.
"Tak nak! Dari orang cari teman tapi mesra lebih baik orang cari teman hingga ke syurga iaitu isteri. Lagi berkat hidup."
Nah, sebiji kena tepat pada mukaku. Aku ingat nak kenakan dia, tapi dia kenakan aku semula. Patutlah Aidil tidak berapa pandai mahu berbual dengannya. Sekali dia bagi memang pedas berapi, kalah peguam negara.
"Suruhlah Aidil tu masuk meminang cepat. Halalkan hubungan kau orang berdua. Tapi macam biasalah, kena lepas penilaian orang dulu. Faham?" Hilman beri peringatan sebelum terus berlalu mendapatkan Aidil di luar pagar.
Aku tidak faham dengan Hilman. Dia sebenarnya suka atau tidak aku berkawan dengan Aidil? Dulu, masa di Al-Husna dia yang beria-ia, sekarang macam dah lain pula. Pelik aku jadinya.
Tapi tak apa, walid kan ada. Nanti depan walid aku up Aidil habis-habisan, mesti Walid terima Aidil sepenuh hati. Aku tersenyum panjang.
"Letak aje kotak tu depan ni. Jangan masuk dalam."
Aidil yang baru sahaja mahu membuka selipar terus kaku tidak bergerak. Aku pun turut terdiam sama dengan arahan Hilman. Garangnya Hilman hari ini.
"Kalau nak masuk juga, bawa rombongan meminang. Baru boleh masuk sampai dalam," kata Hilman sebelum terus masuk ke dalam rumah dan menuju ke tangga.
Terkebil-kebil mataku mendengar kata-kata Hilman tadi. Suka-suka dia sahaja mahu berkata-kata. Terasa macam perigi cari timba pula. Memang aku tidak pandang Aidil sudahnya. Aku hanya pandang Hilman yang makin jauh mendaki tangga. Malu gila!
"Nak ke mana pula tu?" Aku alihkan juga pandangan pada Aidil bila mendengar derap kakinya ingin berlalu.
"Nak panggil nenek, pak long dengan mak uteh nak suruh masuk meminang. Baru boleh masuk sampai dalam."
"Isy, awak ni janganlah main-main." Aku pura-pura tarik muka, cuba untuk menutup malu yang Hilman cipta tadi.
Aidil tersenyum.
"Saya letak kotak ni kat sini ajelah." Aidil meletak kotak berwarna hijau itu di muka pintu. Mendengar kata Hilman sungguh.
"Ada apa dalam ni? Berat betul. Nak tengok." Aidil sudah membongkokkan badan, cuba untuk membukanya.
"Eh, mana ada apa-apa. Barang biasa-biasa aje." Bila teringat barang yang terdapat di dalam kotak ini, cepat-cepat aku menegah.
"Kalau barang biasa-biasa aje kenapa pula saya tak boleh tengok?" Aidil tidak puas hati.
"Sebab tak bolehlah."
"Nak tengok juga." Aidil berkeras.
Cepat-cepat aku mencangkung di sebelah kotak itu dan menghalang penutup kotak dengan kedua-dua belah tanganku.
Tiada apa pun di dalamnya. Hanya buku-bukuku. Tapi yang merisaukanku, kebanyakan buku di dalamnya adalah buku-buku nukilan Mr. Anonymous. Penulis yang sangat-sangat dia tidak suka.
"Kenapa kedekut sangat ni?" Aidil menarik kotak merapati dirinya.
Takkan nak main tarik-tarik kotak ini dengannya? Banyak manalah kudrat aku berbanding kudratnya. Sudah pasti dia yang akan menang.
"Boleh pula bergurau senda depan pintu."
Aku mendongak memandang Hilman yang sudah berdiri terpacak di sebelahku. Aidil juga turut mendongak memandang Hilman.
"Meh sini kotak tu."
Aku terus menarik tangan. Aidil serta-merta mengangkat tangan persis penjenayah yang sedang diajukan pistol di depan mata. Takut betul dia dengan Hilman. Aku tersenyum panjang, nasib baik ada Hilman. Tak perlu aku nak bersoal jawab dengan Aidil lagi. Hilman memang penyelamatku dulu, kini dan selamanya.
"Dah habis ke barang yang nak diangkat?"
Hilman menyoal Aidil apabila kotak yang berat itu sudah berjaya diangkatnya.
"Ada lagi, Abang Man. Sekejap saya angkat." Selepas membuat muka tidak puas hati padaku, Aidil terus berlari-lari anak ke luar rumah.
"Yang terpacak kat sini kenapa? Sudah, pergi kemas bilik tu. Dah macam kapal karam. Bilik anak dara ke macam tu?"
"Standardlah, baru pindah masuk."
"Melawan." Dia besarkan mata padaku.
"Eh... Tak, tak." Aku lemparkan senyuman dan terus bergegas naik ke atas. Dari aku dengar ayat pedas berapi darinya lagi hari ini lebih baik aku ikutkan sahaja kata-katanya. Jangan melawan abang sendiri. Tak baik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co