Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 1

karyaseni2u

"Terangi malamku dengan syair indahmu

Menenun kasih dalam sepi yang terasing

Saat kau pergi

Lemas kubila tiadamu

Jauh...

Terbawa lukisan hatimu

Hilang mencari di mana kau pergi

Tinggal aku menahan luka ini

Sampai harus kupergi..."

JULIA berhenti melalak, lalu menarik nafas.

"Dah macam Akim versi perempuan kampung pulak aku ni." Julia ketawa.

Mak tak balik lagi ke ni? Aku ke kena masak? Parah ni!

Anak dara pingitan taman perumahan itu berjalan lenggang kangkung menuju dapur.

Tak boleh nyanyi dah. Mak kata kalau nyanyi di dapur, kahwin lelaki tua. Umur enam puluh tahun. Geli-geli. Nehi-nehi!

Tiba di dapur, Julia duduk di kerusi. Beg plastik di atas meja ditenung sejenak.

Malasnya aku!

Akhirnya beg plastik tipis berwarna merah cair itu diselongkar perlahan.

"Apa mak ni... Tak suka aku sayur lembik ni!" Sayur kangkung dikeluarkan. Kelapa parut dan ikan cencaru juga dikeluarkan dengan malas. Julia melepaskan keluhan.

Sememangnya gadis manis berusia dua puluh empat tahun itu tidak menggemari sayur kangkung yang baginya lembik. Emaknya, Jaliah telah maklum akan perkara itu, tetapi entah mengapa Jaliah membeli sayur kangkung untuk hidangan tengah hari mereka.

Lunyailah karang kangkung ni aku tumis. Mak pergi mana pulak ni? Takkan aku nak masak kut? Nanti masin ke... payau ke... bising pulak mak ni!

"Aku siang ajelah. Biar mak yang tumis. Ikan apa pulak ni?" Julia terus mengomel.

Julia bangun, berjalan ke arah kabinet dapur mengambil pisau. Raga plastik di rak pinggan turut dicapai. Julia mula menyiang sayur kangkung tersebut.

Selesai menyiang sayur kangkung, Julia membawa ikan ke singki dan cuba menyiang ikan yang berkulit tebal tersebut.

"Alah, apa ada hal sangat takat ikan kulit jaket ni. Aku boleh settle sebelum mak balik."

Sirip di tepi mulut ikan dipotong. Julia cuba mencungkil kulit ikan tersebut agar dapat ditarik kulit tersebut ke bahagian bawah hingga ke ekor.

"Opps!!! Aduh, darah. Matilah aku ni nanti!!!" Julia mula merengek melihat jarinya yang berdarah.

"Habis tu camno ni? Mak mesti balik kejap lagi. Takkan mak nak lunch kat rumah jiran kut!"

Di luar pagar rumah murah teres setingkat itu, Jaliah berjalan masuk dengan laju. Bahang matahari yang memancar, semakin mempercepatkan langkah wanita berumur hampir enam puluh tahun tersebut. Jaliah membuka pagar yang tidak bermangga itu.

"Bertuah punya budak! Tak ditutupnya pintu. Dibuatnya ada pencuri masuk... Bangla ke, kan ke naya. Memang nak kena ni..." Jaliah mula berleter.

"Ju! Ju! Ju!" Jaliah menjerit memanggil nama anak perempuan bongsunya.

Julia keluar dari biliknya dengan laju.

"Kenapa ni mak? Ada orang kejar mak ke?"

"Kamu jangan merepek ya! Ha, kenapa tak tutup pintu?"

"Aiiseh. Lupalah mak. Mak tengok ni, jari Ju dah putus dah. Mak, lah!" Julia mula bermanja dengan emaknya. Sememangnya anak bongsu perempuan kepada wanita yang telah bergelar hajah itu amat manja dengan emaknya. Julia menghampiri Jaliah yang berdiri di tengah ruang tamu.

"Mak tengok ni!" Julia menunjukkan jari telunjuk kanannya yang berbalut dengan plaster luka.

"Alah, sikit saja. Kamu ni Ju, memang manja sangat ya. Berplaster luka bagai. Ni dah masak belum? Mak dah lapar ni." Jaliah menarik rambut lurus Julia.

"Sakit la mak. Mak ni macam tak sayang Ju aje. Mak pergi mana tadi? Gebang dengan Mak Senah ya? Mesti ada gosip best! Siapa yang kahwin dengan orang kaya, mak?"

"Tak ada siapa yang kahwin dengan orang kaya. Kahwin dengan jaga adalah. Dah, jangan nak tukar cerita. Jom masak!" Jaliah menarik tangan Julia menuju dapur.

"Ya ampun!!! Lembik kamu kerjakan ikan mak ya!" Terjegil mata Jaliah melihat ikan cencarunya yang dikerjakan oleh Julia. Pisau di tepi singki dicapai. Jaliah mula menyiang ikan cencaru dengan muka yang berkerut. Geram hatinya terhadap anak bongsunya itu.

Mujur anak sendiri. Kalau tak, aku pang punya. Dera ke! Jaliah senyum.

"Eh, kenapa mak senyum-senyum ni?" Julia keliru dengan perubahan wajah emaknya itu.

"Mak fikir, kalau Ju tu anak tiri mak, dah kenalah Ju tu pelempang." Ketawa Jaliah meledak.

"Sampai hati mak, ya." Julia menarik kerusi, lalu duduk.

"Macam mana Ju nak kahwin ni nanti? Siapa yang nak masak? Takkan nak beli di kedai hari-hari. Jangan kamu kahwin, hari-hari makan di rumah mak sudahlah," Jaliah meneruskan tawa.

"Ju nak kahwin lelaki kayalah mak. Bibik masak. Ju lepak saja di sofa. Atau shopping. Aduhai, indahnya dunia!" Senyum meleret terbentuk di bibir mungil Julia.

"Kamu tu jangan berangan sangat boleh tak, Ju? Tu, lah... mak suruh kamu cari kerja, kamu duk melepak depan TV tengok drama. Cerita Melayu tu sama aje. Asyik-asyik jumpa orang kaya. Geram mak ni. Dalam hidup sebenar, ada ke macam tu? Jumpa lelaki hisap dadah tak ada kerja adalah."

"Relaks la mak. Nak hilangkan stres kenalah tengok drama simple camtu. Takkan cerita berat-berat. Nanti lagi pusing hidup."

"Pandailah kamu tu. Asyik menjawab aje," tukas Jaliah geram.

Kalaulah aku kahwin dengan lelaki kaya, taklah kena makan sayur lembik tu... ikan jaket yang keras tu. Memang tak ada ke lelaki kaya dalam dunia ni? Julia tersengih sendiri.

"Apa yang disengihkan tu? Belacan mana? Kan nak masak goreng belacan, kangkung tu..." Jaliah bertanya agak kuat, geram melihat Julia yang tersengih-sengih duduk tanpa membuat sebarang kerja.

"Ce mak nengok dalam mangkuk... memang Ju tak ada peluang ke kahwin lelaki kaya ni?"

"Isyyy, mak pang betul kamu nanti, Ju. Manalah mak tau! Ju ingat mak ni Mak Esah ke?" Jaliah mendengus marah.

"Gurau pun nak hangin, Hajah Jaliah ni. Kat mana belacan, mak?"

"Kat bilik tidur Ju, lah," jawab Jaliah selamba. Sengaja perli anaknya itu.

"Tak baik tau mak buli anak yang tengah luka ni. Kalau putus betul tadi ni, habis kurang duit hantaran. Mak jugak yang susah, kan?"

"Kenapa pulak mak yang susah? Kamu ni Ju, merepek!"

"Ye la. Nak buat kenduri camno mak? Kawan-kawan mak bukan takat rumah awam dua ni je. Rasanya, tiga rumah awam ni kawan mak. Nak buat kenduri kecik, malu mak karang dengan kawan-kawan mak."

Julia bangun membuka peti sejuk. Belacan, cili merah dan cili api dikeluarkan.

"Tak adanya mak nak malu. Kamulah yang malu. Kenduri pakai talam saja." Jaliah ketawa.

"Mak memang la, malaslah Ju macam ni."

"Dah, jangan melalut lagi. Dah siap bahan nak tumis kangkung?"

"Mak yang tumis tau. Ju siapkan rencah aje, ya mak?"

"Perah santan tu. Takkan nak goreng saja ikan ni. Kita karilah. Cuba tengok serbuk kari tu. Okey lagi ke tak?"

Julia kembali menyelongkar peti sejuk milik emaknya.

"Cukup ke ni, mak?"

"Cukuplah. Separuh kita kari, yang lebihnya kita goreng. Cepatlah perah santan tu, ayah kamu balik nanti."

"Ju perah santan aje ya?" Julia ketawa kecil.

"Ada lagi. Nanti duduk makan, kan?"

"Pandailah mak ni. Tu Ju sayang kat mak tu."

JALIAH mencedok kari ikan cencaru ke dalam mangkuk, lalu diletakkan perlahan di atas meja bersama ikan goreng dan sayur kangkung goreng belacan. Jaliah bergerak semula membuka peti sejuk.

"Mak nak buat apa lagi tu?"

"Sambal belacan la. Ju tolong potong timun ni."

Julia mengambil timun yang dihulurkan oleh Jaliah kepadanya. Timun tersebut dibasuh di singki, lalu dikupas kulitnya. Jaliah memasukkan cili padi dan cili merah berserta belacan yang digoreng ke dalam mesin pengisar.

"Okey, kita boleh makan dah. Ju tak cedok nasi?"

"Nasi? Alamak! Mak, ampunnn! Ju lupa masak nasi!"

Disebabkan kelalaian Julia memasak nasi tengah hari itu, kedua-dua beranak itu makan tengah hari agak lewat. Jam dua petang. Mujurlah Salman menelefon Jaliah memberitahu dia tidak pulang makan tengah hari, hari itu.

"Mujur ayah kamu tak balik ni. Kenapalah kamu macam ni, Ju? Kalau kamu kahwin nanti macam mana? Dengan perangai tak bertanggungjawab kamu, ni... Pening mak, Ju."

Julia tidak memberi sebarang respons terhadap kata-kata emaknya itu. Sedap sahaja Julia menikmati sambal belacan buatan Jaliah.

"Kamu dah tak ada mulut, ya Ju?"

"Mak ni. Nanti Ju cakap masa makan, mak marah pulak. Siapa pulak yang nak kahwin. Ju nak kerja. Nak kerja."

"Baru tadi kamu cakap nak kahwin dengan lelaki kaya. Lupa dah? Ooo... nak kerja. Tak ada pulak mak nampak kamu pergi interviu ke... pos surat mintak kerja ke... Udah berapa bulan kamu tu menganggur? Kamu tak bosan ke, Ju?" Jaliah kembali berleter, mengulangi ayat-ayat yang sama seperti hari-hari sebelumnya.

Mak dah start ni! Getus hati Julia.

"Baru lima bulan. Ayah tak kesah pun. Mak kasilah can Ju honeymoon puas-puas dulu. Mana ada orang mintak kerja pakai surat la ni, mak. Semua online. Guna Internet tu. Mak bila nak belikan Ju phone baru? Senanglah Ju nak berinternet di telefon. Ni asyik pakai laptop cabuk tu. Mak memang tak sayang Ju, lah!"

"Udah le menganggur. Telefon baru ya? Kamu nampak sudu ni?" Jaliah menunjukkan sudu kecil yang digunakan untuk mengambil sambal belacan kepada Julia.

"Susahlah. Camno Ju nak WhatsApp dengan kawan-kawan Ju? Kan nak cari kerja ni."

"Habis, kan laptop buruk kamu tu elok lagi. Kamu jangan mengada-ada ya! Boleh saja telefon kawan-kawan kamu guna telefon buruk kamu tu!" Jaliah tersenyum. Mengakui akan kebenaran kata-kata Julia tentang komputer riba dan telefon bimbitnya yang telah usang.

"Errm, majuklah. Tak nak makan. Mujur dah habis." Julia ketawa, mempamerkan giginya yang tersusun cantik. Lesung pipit di pipi kirinya juga terserlah apabila gadis itu tersenyum.

Jaliah yang amat memahami perangai manja dan kebudak-budakan Julia tidak lagi melayan anaknya itu. Makan tengah harinya diteruskan.

MACAM MANA nak buka ni? Mesti sakit. Aduyai betullah! Julia membuka perlahan-lahan plaster luka yang membalut jari telunjuknya. Paip air dipulas. Air sejuk yang mencurah terkena kedua-dua belah kaki Julia yang putih melepak. Wuduk diambil dengan tertib. Hampir pukul 3.00 petang, solat zohor telah berjaya dilaksanakan.

Nak buat apa ni? Bosanlah nak Facebook. Apa kata aku tidur aje! Julia senyum sambil menggantung telekung. Katil dijeling manja. Tilam di atas katil itu seperti melambai-lambai Julia untuk merehatkan badan di atasnya.

Harap-harap mak pun tidur. Kang dijeritnya aku!

"Arghhh, penatnya masak!"

Julia mendaratkan tubuhnya ke atas tilam yang sedia menanti. Matanya semakin mengecil dan dia benar-benar lena dengan nyenyak.

SUASANA tengah hari itu cukup indah. Julia berjalan keluar dari bilik diiringi oleh mak su.

Cantik ke aku ni? Hesyy, malu pulak aku!

Julia meneruskan langkah, dan akhirnya tiba di ruang tamu. Semua mata tertumpu kepada gadis yang akan bergelar tunangan Tengku itu.

"Duduklah!" Mak su berbisik.

Julia duduk dengan dada berombak kencang. Puan Sri Saloma memandang Julia sambil tersenyum. Sinis.

Dah anak kau yang gilakan aku. Bukan aku yang kejar anak kau!

Mata Julia meliar mencari buah hatinya, Tengku Hazrin. Pandangan kiri, hampa. Ya, pandangan ke kanan amat menguja. Bakal tunangnya, Tengku Hazrin tersenyum mesra. Senyuman yang membuat Julia begitu terpesona. Angau dua puluh empat jam.

Kenapalah baru bertunang. Nikah teruslah! Tak sabar aku nak peluk cium bakal hubby aku tu!

"Tangan tu... tunjuk jari." Suara mak su mengejutkan Julia daripada angannya.

Julia memandang ke hadapan. Wajah seperti singa betina itu senyum lagi walaupun tidak ikhlas. Puan Sri Saloma benar-benar berada di hadapannya. Tanpa diduga, Puan Sri Saloma mencapai tangan Julia. Sebentuk cincin yang bertatah sebiji permata tersarung di jari manis Julia.

"Salam!" Mak su menyiku Julia, kasar.

Julia dengan pantas mencapai tangan Puan Sri Saloma, lalu dicium perlahan.

Wahai ibu mertuaku, terimalah aku seadanya. Aku bukan teruk sangat pun!

Puan Sri Saloma mendekatkan pipinya mencium pipi Julia.

"Kau jangan harap nak hidup senang dengan jadi menantu aku ya!"

Julia kaku mendengar kata-kata Puan Sri Saloma.

Hampeh punya bakal mak mertua. Siap ugut lagi. Aku kena bersedia daripada dibuli ni. Demi Tengku Hazrin yang persis Hafreez Adam, tak apa. Aku akan berusaha. Caiyok Julia... Caiyok

Tiba pula giliran Tengku Hazrin mendekatinya. Hati Julia berbunga riang, serasa persis penuh dengan bunga-bunga ros seperti di Cameron Highlands.

"You look so pretty, baby," Tengku Hazrin bersuara perlahan.

"Thanks, sayang," Julia membalas malu.

"Rapatlah sikit. Nak ambik gambar ni!" lantang suara Jaliah.

Julia yang sememangnya gedik, mengengsot mendekati tunangnya. Pandangan kedua-duanya tertumpu ke hadapan, di mana jurugambar profesional yang diupah oleh Jaliah menjalankan tugas.

Tanpa sesiapa menduga, Puan Sri Saloma bangun daripada duduknya lantas meluru ke arah Tengku Hazrin. Tangan Tengku Hazrin ditarik ganas.

"Dah! Jom balik. Menyampah mama tengok tunang kau yang gedik tu!"

Tengku Hazrin dalam keadaan terpaksa mengikut langkah mamanya keluar dari ruang tamu menuju ke pintu.

"Sayanggg!" Julia menjerit memanggil Tengku Hazrin.

Tengku Hazrin tidak mampu menjawab, cuma tangan kanannya dibawa ke telinga. Isyarat berjanji untuk menghubungi Julia.

Julia tidak puas hati.

"Hazrin, tunggu I! Tengku, tunggu I! Tengku Hazrin sayanggg!"

Jaliah bercekak pinggang di tepi katil.

"Ooo, bukan main lagi mimpi kamu, ya Ju! Tengku Hazrin sayang, ya? Siang-siang ni boleh mimpi romantik dengan Tengku ya!" Tangan Jaliah singgah di bahu Julia. Bahu anak gadisnya itu digoncang kuat.

"Ermm, mak. Mana Hazrin, mak? Tengku Hazrin mana, mak?"

Senyuman Jaliah melebar di bibir.

"Kamu tak habis mimpi, ya Ju? Tengku Hazrin mana pulak ni?"

Dengan terpisat-pisat, Julia bangun daripada baringnya, lalu duduk.

"Ju mimpi eh?"

"Yalah, mimpi. Takkanlah ada Tengku yang nak datang rumah buruk kita ni. Kamu ni, udah-udahlah berangan tu. Tengok, sampai mimpi-mimpi. Siang hari pulak tu! Kamu belum solat asar, kan? Bangun! Doa selepas solat. Mana tau Allah tunaikan mimpi kamu tu nak kahwin dengan lelaki kaya."

Julia senyum simpul mendengar bebelan Jaliah yang kini bertukar menjadi harapan pula.

Tapi Tengku Hazrin tu memang handsomelah. Handsome siot!

"Boleh sengih-sengih lagi. Dah pukul enam ni!" jerkah Jaliah.

"Okey, okey. Ju nak solatlah ni."

Julia turun dari katil. Langkahnya diatur laju ke bilik air. Julia melihat ayahnya baru masuk ke ruang tamu. Langkahnya diteruskan ke bilik air.

Jaliah keluar dari bilik Julia. Senyum tipis diberikan kepada suaminya.

"Abang nak air?"

"Boleh jugak. Bagilah air sejuk. Panas lagi walaupun dah nak senja."

Jaliah berlalu ke dapur tanpa bersuara lagi. Peti sejuk dibukanya. Baki air sirap sewaktu makan tengah hari tadi diambil. Dua biji gelas dicapai dari rak pinggan.

"Minum, bang." Jaliah menghulurkan gelas berisi air sirap itu kepada suaminya. Air sirap diteguk laju oleh Salman.

"Apa yang bising-bising saya dengar di luar tadi?"

"Anak kesayangan abang tu, lah. Hangin saya ni dibuatnya."

"Ju?"

"Hah, siapa lagi?"

"Apa yang dibuatnya pulak? Saya tengok okey saja dia duduk di rumah. Bukan buat hal merayau macam budak perempuan yang lain." Wajah Jaliah ditenung oleh Salman.

"Memanglah dia duduk rumah ni. Tak keluar merayap. Tapi sampai bila dia nak menganggur tu? Ijazah dia tu nak buat apa? Asyik berangan saja di rumah. Abang tau, tengah hari tadi lunyai ikan cencaru saya dikerjakan. Dah siap saya masak, boleh dia lupa masak nasi. Mujur abang tak balik makan. Kalau tak, abang pun mesti hangin."

Salman hanya senyum mendengar cerita isterinya itu. Salman menanti cerita selanjutnya daripada Jaliah.

"Baru kejap ni dia buat hal lagi. Tu yang abang dengar saya membebel tu."

"Dia buat apa pulak, Hajah Jaliah oi?"

"Dia mimpi apa entah. Siap panggil Tengku lagi. Tengku mana entah yang dipanggilnya. Tak habis-habislah tu berangan nak kahwin lelaki kaya. Runsing saya, bang."

"Haha..."

"Apa yang lucunya, bang?" Jaliah merengus.

"Tak elok dalam usia senja kita ni, kita marah-marah. Normallah gadis berangan kahwin lelaki kaya. Kalau berangan kahwin lelaki pokai, itu baru tak normal. Bukan awak pun suka lelaki kaya dulu? Nasib tak baik dapat abang ni. Sojar saja. Dah pencen bawak teksi pulak." Salman terus ketawa.

"Hesy, abang ni. Itu dulu. Sekarang ni, yang penting lelaki tu baik. Solat cukup, hormat orang tua. Dapat bagi makan anak kita, cukup dah."

"Eh, sudah tukar ka? Bukan awak nak menantu kaya ke?"

"Abang janganlah perli saya. Saya dah berubah. Tengok Zul tu, kaya tak tara mananya, bongkak yang lebih. Tidur rumah kita pun, tak mau. Saya harap, biarlah Ju dapat orang biasa saja. Tak payahlah jurutera macam Zul tu. Berlagak betul saya tengok!" gumam Jaliah marah.

"Eloklah awak dah sedar, hajah oi. Sejuk dada saya dengar."

"Berlagak Si Zul tu tak tahan saya, bang. Boleh duduk lama-lama dalam kereta, sebab rumah kita tak ada air cond. Budak bijak macam tu ke? Tak hormat orang tua. Pelik saya, bang. Hani tu pun saya tengok dah terikut-ikut rentak suaminya. Dah mula berlagak. Susah benar nak tidur rumah kita ni."

"Kalau macam tu, kita kahwinkan Ju dengan bilal masjid kita sajalah," Salman masih di dalam mood mengusik isterinya.

"Bilal Murad tu buat apa, bang. Dahlah pokai, ada isteri. Tua pulak tu!" Jaliah menyinga.

"Dah awak nak menantu baik. Sopan santun, kan?" Ketawa Salman berterusan.

"Saya cakap betul-betul, abang main-main pulak ya? Malam ni abang tidur di ruang tamulah." Jaliah jengkel dengan perangai Salman yang suka bergurau petang itu.

Julia muncul di ruang tamu, lalu duduk di sebelah Salman. Selain manja dengan emaknya, Julia juga amat manja dengan ayahnya.

"Siapa Tengku tu?" Salman melirik anak perempuannya mesra.

"Err, mak cerita ya? Mak ni tak boleh berahsia langsunglah."

"La, apa nak dirahsiakan dengan ayah kamu pulak. Tu baik dengan ayah kamu tu, ada hajatlah tu." Jaliah mencebik.

"Ada hajat ya? Cerita dulu siapa Tengku tu? Sampai mimpi-mimpi lagi," pinta Salman lagi.

"Entah. Ju mimpi bertunang dengan dia. Tapi mak dia tak suka. Mak dia tarik tangan Tengku Hazrin tu masa tunang. Kurang asam punya mak mertua."

Salman ketawa kuat, terasa lucu mimpi anak gadisnya itu. Jaliah pula sebaliknya. Tetap mencebikkan wajah.

"Malam ni kita makan luar ya, ayah? Mak paksa Ju makan ikan jaket. Kangkung lembik. Bolehlah, ayah ya?" Julia merengek manja kepada Salman.

"Habis membazir baki lauk siang tadi tu," celah Jaliah.

"Alah, sekali-sekala nak makan luar, apa salahnya. Bukan Ju ajak kita pergi makan hotel. Di kedai biasa saja," Salman mencantas kata-kata Jaliah.

"Ha, manjakan sangatlah anak perempuan abang tu." Jaliah bangun, meninggalkan dua beranak tersebut di ruang tamu.

"Ju nak makan apa sebenarnya? Kesian lauk mak tengah hari tu tak habis."

"Sate. Bolehlah, ayah. Esok-esok Ju dah dapat kerja di KL... ha, dah kahwin dengan orang kaya ke... kan susah Ju nak bermanja dengan ayah."

"Bilanya nak kerja? Mak dah bising tu. Ju cari kerja ke tak ni?"

"Beribu dah Ju isi form online cari kerja. Yang kerajaan punya, tak adanya dipanggil interviu. Swasta pulak, Ju kena selalulah walk-in. Ju kena pergi KL. Tinggalkan mak dan ayah. Macam belum puas saja nak bermanja dengan ayah dan mak."

"Kalau macam tu, Ju cari kerja di sini sajalah. Yang hari tu Ju pergi PPD, takkan tak ada apa-apa?"

"Mereka suruh Ju tunggu. Kalau ada kosong, nanti dia orang call."

TELEKUNG digantung semula oleh Julia di luar almari. Hati Julia riang untuk keluar makan bersama emak dan ayahnya malam itu. Julia bernyanyi-nyanyi kecil. Wajahnya yang mulus ditatap lama di cermin. Tanpa menggunakan bedak asas, Julia menyapu 'bedak compact' di muka.

"Bilalah nak pakai bedak Mac ni? Lancome ke? Manalah orang kaya ni?" Sambil membebel seorang diri, Julia meletakkan bedak compact berjenama Avon itu, lalu mengambil gincu bibir pula. Gincu daripada jenama yang sama itu ditonyoh ke bibir.

"Kalaulah ni lipstik Christian Dior... Aduyai, betullah! Kalaulah Tengku Hazrin tu betul-betul wujud, kalaulah..."

Julia kembali mengingati mimpinya siang tadi. Sememangnya Tengku Hazrin begitu tampan. Berkulit putih, berhidung mancung, dan mempunyai ketinggian yang sempurna. Persis lelaki idaman Julia.

"Ju! Ju! Ayah dah hidupkan enjin tu!" Jaliah melaung di luar pintu bilik.

Julia gabra.

Alamak, ayah dah masuk kereta. Mana tudung ni? Julia dengan cepat mencapai tudung 'serlung', lantas diserlungkan ke kepala.

Okeylah. Kan makan kat kedai aje pun! Julia ketawa seorang diri.

Tika Julia tiba di ruang tamu, Jaliah sudah pun menunggunya dengan muncung sedepa.

"Mak ni, senyumlah sikit. Tak comellah muncung macam tu."

"Mak tak comel tak apa. Dah tua. Yang kamu tu, eloklah sikit tudung tu. Senget-benget mak tengok." Jaliah ketawa.

"Alah, makan kat kedai aje. Kalau kahwin lelaki kaya nanti, Ju pakailah tudung belit-belit tu. Ataupun tudung tiga atau empat layer mak mentua Fizo Omar punya tu. Tudung Fareeda."

Ponnn!

"Banyak kamu punya tudung Fareeda. Bergaya kena ikut kemampuan, Ju oi. Kamu tu mana ada duit nak beli tudung mahal-mahal. Tu ayah dah hon tu. Cepat!" Jaliah berjalan pantas menuju pintu.

Julia laju membuntuti emaknya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co