Truyen3h.Co

Mr. Dud Next Door

Bab 2

karyaseni2u

PINGGAN berisi sate diletakkan dengan kasar oleh pekerja kedai.

Sate ayam bercampur sate daging sedia menanti untuk dinikmati oleh Julia sekeluarga.

"Ha, apa lagi? Makanlah!" Jaliah bersuara agak kuat.

"Ju tunggu airlah, mak. Kang tercekik macam mana? Betulkan, ayah?"

"Teramatlah betulnya wahai anakandaku."

Salman mengangkat tangan kanannya tinggi. Pekerja kedai terkocoh-kocoh menghampiri.

"Mana airnya?"

"Owh, maaf bang!" Pekerja kedai berlalu pergi.

"Patutnya tadi, ayah ketuk meja. Bagi dia gabra sikit," cadang Julia nakal. Niatnya seperti selalu, sekadar berlawak.

"Kamu jangan bawak lawak sepuluh sen kamu tu di sini. Jaga sikit adab. Ju tu anak dara tau!" Jaliah ternyata tidak senang dengan perangai Julia yang sama seperti di rumah walaupun berada di luar rumah. Air yang dipesan tiga beranak itu tiba.

"Sedap pulak orange juice ni."

Kata-kata Julia tidak mendapat respons daripada Jaliah mahupun Salman. Salman mula mencapai secucuk sate. Begitu juga dengan Jaliah.

"Mak boleh makan sate ke?"

"Kenapa pulak mak tak boleh makan?" soal Jaliah cuak.

"Susuk mak melompat keluar karang," ujar Julia sambil senyum.

Salman yang baru belajar untuk tidak membuat lawak, ketawa terbahak-bahak.

"Kalau mak Ju pakai susuk, taklah kembang macam ni."

"Abang pun sama. Layan lawak bodoh anak abang tu. Eh, lambat pulak nasi goreng ayam saya ni."

"Cuba awak sabar sikit. Tu sampai tu," pujuk Salman perlahan.

"Nak sikit nasi goreng mak, boleh tak?" Julia kembali berbaik dengan Jaliah setelah penat membulinya.

"Jangan harap! Ju habiskan mi goreng tu. Sibuk pulak nak nasi mak." Jaliah merengus marah.

"Nak satu sudu pun tak boleh. Majuk la camni, mak. Nak nasi goreng kampung ayahlah."

Salman mendekatkan pinggan nasi gorengnya ke arah Julia. Sudu Julia singgah mencedok sedikit nasi goreng itu.

"Sedap, kan?" Salman angkat kening.

"Terbaik wahai Haji Salman yang handsome. Mak tu yang kede. Nanti tak habis, baru nak bagi Ju lah tu."

"Hah, jangan harap. Mak nak habiskan. Sedap pulak nasi goreng ayam ni." Wajah Jaliah kembali normal apabila rengusnya hilang.

"Ju tak naklah nasi mak tu. Nanti gomok macam mak. Kan ayah, kan?"

Salman diam, tidak memberi sebarang komen. Takut Jaliah kembali menyinga.

"Ju, tengok kat belakang Ju tu," Jaliah berkata perlahan.

"Kenapa mak? Ada lelaki kaya ke?"

"Syyy, perlahan sikit bila cakap. Ju toleh cepat, tengok apa perempuan tu buat."

Julia menoleh pantas. Dilihatnya seorang lelaki menerima huluran wang daripada pasangannya.

Perempuan tersebut menghulurkan wang melalui bawah meja. Bimbang orang lain melihatnya. Lelaki tersebut bergerak ke kaunter pembayaran.

"Apa hal perempuan tu bodoh sangat, mak? Boleh bagi lelaki comot tu duit?"

"Mungkin tu suami dia," Salman memberi respons positif.

"Ah, abang ni. Kalau laki dia pun, malulah perempuan yang bayar. Siap ambik duit nyorok-nyorok lagi. Ambik duit perempuan tak malu pulak?"

"Syyy, awak tu cuba bercakap perlahan sikit. Tu perempuan tu dah menoleh tu," tempelak Salman.

"Haahlah mak. Dia tengok kita."

"Biar dia dengar. Jangan jadi bodoh bagi duit pada lelaki walaupun laki sendiri. Naik lemaklah karang laki tu. Ju, pilihlah laki yang elok sikit dibuat suami. Janganlah Ju yang bayar makan nanti bila kahwin. Beli beras, Pampers. Mak pantang betul lelaki makan duit perempuan ni." Rungutan Jaliah berterusan.

"Bukan mak tak suka lelaki kaya? Yang sopan dan budi bahasa kalau gaji lapan ratus macam mana, mak?" Julia tersengih menunggu jawapan Jaliah.

"Itulah susahnya. Kalau miskin sangat pun susah. Kaya pun susah. Pening jugak kepala mak ni."

"Hmm, tak payah pening sangatlah Ja. Kita doa saja yang baik-baik untuk Ju ni. Insya-Allah dia dapat laki yang betul. Tak kaya sangat, taklah miskin sangat. Allahkan dengar rayuan kita," Salman berkata perlahan.

"Ayah dah macam peserta Pencetus Ummah Azman, Ju tengok," Julia ketawa kecil.

"Tengok tu, ayah cakap betul-betul... Ju asyik main-main saja," getus Jaliah.

Sepanjang perjalanan pulang, Jaliah hanya diam membisu di dalam teksi. Fikiran Jaliah melayang memikirkan nasib anak perempuan bongsunya, Julia.

Peristiwa di kedai makan tadi, benar-benar mengusik jiwa keibuannya.

Macam mana nanti kalau Ju dapat lelaki miskin yang jahat dan tak bertanggungjawab macam lelaki tadi? Aku dalam kubur pun tak tenang!

Jaliah teringatkan Hani, kakak Julia yang baginya agak bernasib baik. Hani yang mengambil kursus pendidikan di Universiti Perguruan Sultan Idris itu lancar sahaja perjalanan hidupnya.

Setelah tamat pengajian di UPSI selama empat tahun, terus mendapat penempatan mengajar di Kuala Lumpur.

Tiada waktu untuk Hani menganggur seperti Julia. Nasibnya makin gemilang apabila setelah mengajar selama setahun, Hani berjumpa dengan Zulkifli, seorang jurutera.

Namun perjalanan hidup Julia agak rumit. Setelah tidak memperoleh gred cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Julia menyambung pengajiannya di tingkatan enam.

Nasib Julia agak baik kerana keputusan STPM gadis itu melayakkan dirinya melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam jurusan Ekonomi.

Namun, itulah nasibnya kini. Menganggur hampir lima bulan setelah mendapat ijazah.

"Mak senyap saja. Mak marah Ju ke?"

Jaliah tidak menjawab pertanyaan Julia, malah memandang anaknya juga tidak.

"Ju minta maaflah. Lepas ni Ju akan kurangkan lawak-lawak bodoh Ju. Maharaja Lawak Mega pun, Ju tak nak tengok dah. Nak tumpu cari kerja saja. Mak senyumlah sikit. Susah hati Ju kalau mak monyok macam tu."

"Mak Ju tengah fikir mana nak cari lelaki yang baik untuk Ju. Yang sederhana, tapi tak makan duit perempuan. Susah jugak tu. Ramai sangat lelaki tak malu sekarang ni. Mujur ayah ni tak begitu. Kan hajah, kan?" Salman kembali menceriakan suasana di dalam kereta malam itu.

"Ju tak payah susah-susah cari. Biar mak saja yang carikan calon, tau!" Jaliah tiba-tiba bersuara, keras nadanya.

"Serius bunyinya. Takut pulak Ju dengar."

"Mak tak main-main!" Jaliah menegaskan pendiriannya.

Sampai di bilik, Julia mencapai laptop buruknya. Laman sosial Facebook dilayarinya.

Hai, nak pm siapa ni? Boringnya aku!

Julia melihat senarai rakan-rakan Facebooknya yang sedang online.

"Dahlia Perasan online. Dia dah dapat kerja ke?"

Dengan pantas Julia menghantar pesanan kepada Dahlia.

Wei gojes, sihat?

Hey sexy, what's up there?

Bila masa pulak aku seksi ni? Budak ni silap makan ubat ke?

Aku joblesslah. Kau mesti dah dapat kerja, kan?

Dah. Sale kat Ambank. Kau nak join?

Macam best aje. Sale apa? Salary tetap ke?

Taklah best sgt. Sale insurance. Pergi office jual insurance. Muka toya and tired beb! Salary based on sale kita. Tapi ada basic salary. Ciputlah! Minat?

Kau duk mana la ni?

PJ. Rumah kongsi lima orang. Kalau kau nak join, ok aje!

Nantilah aku fikir. Macam tak puas lepak je dengan mak dan ayah aku.

Okey. No hal.

Apa-apa aku roger nanti!

Okey, bye!

Bye beb!

Malaslah nak duduk KL lagi. Kalau ada duit seronoklah duduk KL. Kalau pokai? Aduyailah jawabnya. Intan ni tengah buat apa pulak!

Julia menghantar pesanan kepada Intan pula.

Salam beb. Buat apa tu?

Salam. Busylah.

Busy? Kau dah kerja ye?

Haa. Manager kat kedai jubah dan tudung mak aku. Kau camner?

Sonoknya jadi manager. Mesti mak kau bagi gaji okey, kan?

Tak ada maknanya gaji ok. Mak aku bagi ikut dia nak bagilah! Kau dah keje?

Aku? Tu lah pasal. Tanam anggurlah.

Alah, kerja je apa-apa. Susah sangat, kau kahwinlah.

Kahwin? Tu lagi problem!

Laki kaya, less problem beb! Hahaha...

Mana mau cari laki kaya beb? Dalam drama TV adalah!

Hahaha.

Okey lah. Esok jugak aku pulun cari kerja. Bye beb!

Okey. Good luck babe!

Julia menongkat dagu.

Semua dah kerja. Aku ni sampai bila nak petik anggur. Nak beli seluar dan baju dalam pun minta mak.

Tak boleh jadi ni. Aku mesti kerja! Aku mesti kerja!

Laptop ditolak ke tepi oleh Julia. Mood Julia untuk bermain Facebook lenyap.

Julia baring dengan meletakkan tangan kanannya di dahi. Malulah aku kalau Kak Hani balik, aku masih tak kerja ni! Dia tu kenapa kerek sangat dengan aku ya?

Ingatan Julia berlayar kepada peristiwa tiga bulan lepas di rumah ibu bapanya itu.

"Kak sihat?" Julia menghulur tangan kepada Hani. Hani menyambut huluran tangan adik bongsunya itu.

"Sihatlah. Ju mesti makin sihat, kan? Dah hari-hari melepak saja. Dah berapa bulan melepak ni?" Soalan sinis terhambur dari mulut Hani.

Julia yang tidak mengesyaki apa-apa ketidakpuasan di hati Hani, hanya tersenyum.

"Baru je konvo last week. Relakslah."

"Banyaklah kau punya relaks. Berapa lama mak dan ayah nak tanggung kau? Nanti duit aku bagi, habis bagi makan kat kau saja!"

"Nanti Ju carilah kerja."

"Eh, laki kamu tak nak masuk ke?" Jaliah muncul di ruang tamu mendukung Qila yang berumur lapan bulan.

"Mak su dukung nak?"

Julia menghulurkan tangan, lalu mencapai Qila daripada dukungan Jaliah.

"Biarlah dia, mak. Nak sejuk dulu dalam air cond katanya." Hani menjelaskan perihal suaminya.

"Amboi, kemain lagi. Dah tahu rumah mak ni tak ada air cond, janganlah berlagak sangat. Dulu masa nak meminang kamu, elok pulak perangainya," tukas Jaliah kasar.

"Mak ni. Kejap lagi abang masuklah tu. Ha Ju, buatlah air! Bak Qila tu!"

"Suruhlah suami akak tu masuk. Hormat mak ni sikit." Tiba-tiba Julia terpanggil untuk menasihati kakaknya itu.

"Eh, kau siapa nak nasihatkan aku?"

"Aku siapa? Aku adik kau! Adik yang meluat tengok kakaknya berlagak tak tentu pasal. Kalau nak berlagak dengan Ju, Ju tak kesah. Ini dengan emak. Hormatlah sikit. Duduk dalam kereta bagai. Anak Datuk ke?"

"Eh, berani kau ya! Dah menganggur tak sedar..."

"Sudah! Sudah! Ju, masuk bilik!" jerit Jaliah kasar.

Hani bangun dari sofa mencapai Qila daripada dukungan Julia. Julia bergegas masuk ke biliknya.

Jaliah berlalu ke dapur dengan membendung perasaan marah yang meluap.

Marah dengan menantunya, Zul dan marah dengan dua orang anak perempuannya yang tidak sehaluan.

Dah tiga bulan. Mesti Kak Hani balik lagi ni. Macam mana ni? Aku mesti kerja jugak!

"Kerja! Kerja! Kerja!"

Tiba-tiba bibir Julia menguntum senyum.

"Esok aku pergi lagi PPD tu. Aku nak kerja jugak. Apa nak jadi, jadilah."

Laptop dicapai kembali. Julia memeriksa e-mel pula.

Kenapalah tak ada company yang reply ni? Hampeh betul!

Julia segera mematikan laptopnya dengan perasaan yang berbuku.

Nak majuklah. Eh, sewel ke apa aku ni? Nak merajuk dengan siapa pulak!

Julia bangun meletakkan laptopnya di atas meja. Almari pakaian pantas dibuka.

Sepasang baju kurung biru ditarik keluar. Begitu juga dengan sehelai tudung bawal biru.

"Alamak, biru. I like blue! Mesti aku cun esok ni."

Julia bergerak ke sudut bilik di mana seterika berada. Plag dipasang laju. Kurung biru tersebut digosok dengan laju.

Esok pagi-pagi aku serbu PPD, sure depa teruja punya. Atau lebih tepat simpati kat aku yang comel ni.

Sure dapat jadi guru ganti punyalah. Tak kesahlah dua bulan saja.

Eh, cikgu la ni dah banyak songeh. Cuti bersalin tiga bulan. Kira okeylah tu, kan?

"Assalamualaikum murid-murid. Saya cikgu baru awak semua. Nur Julia Arina. Saya harap awak semua akan beri kerjasama."

Apa yang bau hangit ni? Julia lantas memandang baju kurungnya.

"Maakkk!"

Jeritan Julia menarik perhatian Jaliah dan Salman yang pantas meluru ke bilik anak gadis mereka. Jaliah menolak daun pintu bilik Julia.

"Kenapa ni Ju?"

"Huwa... habis baju Ju terbakar. Mak tolonglah, mak!" Julia merengek kepada Jaliah.

Jaliah duduk di birai katil Julia, melepaskan penat berjalan pantas sebentar tadi.

"Mak ingat apa tadi. Ju janganlah macam budak-budak," Jaliah bersuara perlahan. Sedikit kesal dengan tindakan Julia yang menjerit hanya kerana baju kurungnya terbakar.

Dadanya diurut perlahan untuk meneutralkan denyutan jantungnya yang berdegup kencang.

Mujur juga dia tiada sakit jantung. Jika tidak, harus juga dia bermalam di hospital malam ini.

"Ada apa ni, Ju?" Salman bertanya lembut. Kasih sayangnya tumpah kepada anak bongsu yang manja itu.

"Maaf mak, ayah. Terkejut tadi sebab baju terbakar."

"Ju nak pergi mana esok ni?" Salman memandang wajah Julia, lembut.

"PPD. Nak paksa dia orang bagi Ju jadi guru ganti jugak."

"Eloklah tu. Jangan kamu buat lawak bodoh kamu tu di sana, sudahlah. Dahlah. Mak nak tidur ni. Jom, bang!"

Jaliah bangun, lalu bergerak keluar dari bilik anak gadisnya.

Salman masih berdiri di muka pintu. Dia kemudiannya mengorak langkah perlahan menuju katil, lalu duduk di tempat Jaliah duduk tadi.

Julia bangun membuka almari pakaiannya semula.

"Ni okey tak, ayah?"

"Okey sangat. Ayah doakan Ju dapat kerja esok. Ni ayah nak tanya ni? Kenapa Ju macam terdesak sangat nak kerja ni?"

Julia kembali duduk, mula menggosok baju kurung merah jambunya. Soalan Salman dibiarkan sepi.

"Ayah ni cakap dengan tunggul ke?" Salman ketawa kecil.

Julia turut ketawa.

"Kan dah lima bulan menganggur. Kesian mak ayah masih tanggung Ju. Lagipun..."

"Lagipun apa? Tu kalau bercakap, pandang pada baju tu. Nanti terbakar lagi."

Seterika ditegakkan, dan plag dimatikan. Julia memandang wajah ayahnya itu memohon pengertian.

"Lagipun kalau Kak Hani balik, macam mana? Malulah Ju kat dia."

"Eh, malu kenapa pulak? Dia cakap apa pada Ju masa balik hari tu?"

"Tak ada apalah ayah. Cuma Ju yang tak sedar diri. Tahun depan dah suku abad. Sampai bila nak mak dan ayah tanggung?"

"Sabarlah Ju. Rezeki orang ni tak sama. Kita tak tau bila Allah akan beri. Jangan berhenti berdoa. Ayah doakan Ju dapat kerja esok. Dah, cepat gosok tu. Tidur cepat. Kan nak cantik esok mintak kerja."

Salman bangun dan bergerak ke pintu bilik.

"Terima kasih, ayah."

Salman hanya tersenyum menyambut ucapan terima kasih daripada anak kesayangannya itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co