Bab 15
MALAM itu Julia tiba di rumah melewati jam 11.00 malam. Penat, letih dan lesu menguasai diri. Badannya yang berbau masam dihempas perlahan ke sofa. Ruang tamu telah sepi.
Semua dah tidur ke ni?
Jam tangan dipandang sekilas.
Patutlah, dekat pukul dua belas dah. Bilalah aku nak kerja normal macam dia orang ni?
Tudung ditarik perlahan. Beg galas di sisi, dicapai. Telefon bimbit pantas diambil. Gambar Maya yang dijadikan 'wallpaper' itu ditenung lama.
Rindu kakak. Kakak tak rindu Kak Ju ke? Dah dua hari tak call Kak Ju. Apa kata call kakak. Ah, mengarutlah tu. Dekat pukul dua belas ni. Kakak dah tidur. Yang belum tidur, mesti Mr. Dud tengah pandang siling rumah. Ingat aku. Haha. Perasanlah pulak aku ni. Dah dekat dua bulan, mesti dia dah lupakan aku yang peot ni!
"Malasnya nak mandi!"
Julia melangkah malas menuju bilik. Pintu bilik dibuka perlahan.
"Belum tidur?"
"Belum. Kau nampak penat gila," komen Dahlia. Majalah di tangan diletakkan.
"Bambam mana?"
"Bilik sebelah. Gosip."
"Semua okey?"
"Tak faham." Julia kerut wajah.
"Kerja okey ke? Si Abdullah tu kacau kau lagi ke?"
"Macam biasa, usha-usha dari jauh saja. Kalau dekat, aku hamun. Dahlah hangit."
Ketawa Dahlia meledak.
"Mana tau cintanya kepada kau, tulus. Tiada agenda."
"Gila kau! Sejuta kali Mr. Dud tu, okey."
"Tengok tu. Dud tu lagi. Aku rasa kau ada hati padanya. Tapi kau tak nak hidup susah dengan dia. Betul?"
"Aku nak mandilah. Masam habis ni." Julia menarik tuala yang tergantung, lantas masuk ke bilik air.
"Kau rindu dud tu ke? Sedih saja?" Dahlia melaung kepada Julia di bilik air.
Tiada jawapan daripada Julia.
Selesai mandi, Julia keluar dari bilik air. Dini sedang melumur wajahnya dengan krim malam. Dahlia pula telah menarik selimut paras dada. Tanpa mempedulikan Dini dan Dahlia, Julia membentang sejadah. Solat isyak ditunaikan.
"Sampai bila kau nak kerja di pam minyak tu? Tak penat ke?" Dini menyoal Julia tanpa perasaan.
Julia diam. Terfikir-fikir akan jawapan yang mahu diberikan kepada teman sebiliknya yang boroi itu.
Hey bambam ni, tak kerja kang, siapa nak bayar sewa aku? Kau nak bayar ke? Ngada je. Dahlah debab sangat. Cuba la diet sikit. Eh, nak jawab apa ni?
"Nak buat macam mana, dah nasib. Bukan macam kau. Lepas grad terus dapat kerja okey."
"Kau kena rajin walk-in. Aku ni sebab course aku ambik okey," sinis kata-kata Dini.
Aduh, dasar bambam sombong. Tak sayang mulut betul!
"Soal nasib dan takdir, kau kena ambik kira jugak. Jangan bangga sangat dengan apa yang kita ada. Kalau Allah nak tarik, bila-bila saja tau!" Dahlia tiba-tiba bersuara.
"Bukan kau dah tidur?" Julia menoleh ke arah Dahlia.
"Hampir. Tapi dengar conversation tak sihat, tulah aku menyampuk tu," Dahlia menjawab perlahan.
Dini menarik selimut dengan kasar. Tiada sebarang ayat yang keluar dari mulutnya lagi.
Julia juga tidak lagi bersuara. Tilam tipis di dinding dibentangnya. Julia merebahkan badan.
"Are you okay?" Dahlia memandang wajah sahabatnya itu.
"I'm fine. Kau tu over protective kat aku. Dahlah, tidur. Aku tak apa, kerja petang."
Dahlia senyum mesra.
"Okay. Good night!"
Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, menyinari hidupku,
Kota yang penuh dengan cabaran,
Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, menyinari hidupku,
Kota yang penuh dengan harapan.
Julia menyanyi sayu dalam hati. Gadis cantik itu, manusia biasa. Punya hati dan perasaan yang rapuh. Sedikit sebanyak kata-kata Dini merobek juga hatinya walaupun Julia melabelkan dirinya sebagai brutal.
Aku tak boleh selamanya kerja di pam minyak tu. Kawan dengan Syed yang pon. Dipikat oleh Si Bangla Abdullah. Akhirnya nanti, kalau tak jadi perempuan kasar, ala-ala pengkid, mau aku terima cinta Si Abdullah. Jauhkanlah, Ya Allah.
Julia mengiring ke kanan memandang Dini yang mulai berbunyi. Dengkuran perempuan berbadan gempal tersebut ternyata masih bisa mengganggu Julia, walaupun sudah hampir dua bulan Julia mendengarnya.
Aku takkan selamanya kerja situ. Tidak sama sekali. Bambam, aku akan dapat sewa bilik sendiri nanti, dan tak payah dengar kau berdengkur, okey!
Kedua-dua tangan diangkat dan dirapatkan oleh Julia.
"Ya Allah, permudahkanlah urusanku untuk mencari kerja yang lebih sesuai. Tolonglah aku, Ya Allah," Julia bersuara lirih.
"KENAPA kakak monyok?" Salman memandang anak tiri tidak jadi Julia itu, mesra.
"Huh!" rengus Maya kasar.
"Eh eh, pak cik tanya pun marah. Rindu Kak Ju ke?"
"Abang ni. Dah tau, lagi nak tanya. Sudah terang lagi bersuluh." Jaliah jeling suaminya.
"Ala kakak ni, itu pun nak marah. Cuti nanti, Kak Ju baliklah tu. Tak elok marah-marah. Tengok, muka kakak dah tak cantik. Tak cun dah," usik Salman.
"Betul cakap pak cik tu, Maya. Makan cekodok ni. Kejap lagi ayah balik dah. Tak sempat makan nanti," Jaliah memujuk Maya lembut.
"Mak cik telefonlah Kak Ju, suruh balik. Cakaplah pak cik sakit."
"Eh, eh kakak ni. Tak nak pak cik. Dibuatnya pak cik sakit betul nanti, macam mana?" bantah Salman akan cadangan Maya.
"Dahlah tu. Malam nanti mak cik telefon. Kakak makan cepat. Sedap ni, mak cik goreng."
"Betul?"
"Betullah. Takkan mak cik nak bohong pulak. Kan bang?"
"Haa... Makan cepat. Sedap pulak cekodok pisang ni? Resipi baru, ya Ja?" Salman mengenyitkan matanya kepada Jaliah.
"Haa, bang. Makanlah banyak-banyak ya."
Perlahan Maya menghulur tangan ke arah pinggan, mengambil sebiji cekodok pisang. Cekodok pisang dimasukkan ke dalam mulut, lalu dikunyah laju.
"Tak sedap pun. Tipulah mak cik ni."
"Hahaha." Ketawa Salman menguasai ruang dapur.
"Ala, makanlah. Kak Ju suka tau cekodok ni," Jaliah berkata lembut.
"Mak cik tipu?"
"Isy, betullah!"
Salam yang kedengaran membuat Maya bangkit dari kerusi.
"Ayah dah baliklah." Maya berlari meninggalkan ruang dapur.
"Kakak, tunggu!" Jeritan Jaliah tidak dihiraukan oleh Maya.
"Biarlah. Ayah dia dah balik tu. Kat sini pun, Ju tak ada."
"La, baru makan sebiji cekodok tu. Saya nak bagi dia ni." Jaliah mengambil pinggan berisi cekodok, lalu bangun.
"Tak banyak sangat ke tu, Ja? Zafran tu makan ke, cekodok awak ni?" Salman sengih nakal.
"Kenapa pulaknya dia tak makan? Dia bukannya bakal COE syarikat. Bawak lori saja. Takkanlah dia nak banyak songeh." Jaliah menarik muka masam.
"CEO lah Ja oi. Awak ni pakai sebut saja," Salman ketawa lagi.
"Apa-apalah. Saya nak pergi rumah sebelah kejap. Abang habiskan cekodok tu. Kalau tak, saya merajuk nanti." Jaliah melangkah meninggalkan ruang dapur.
"Cekodok hangit ni, suruh aku habiskan? Jaliah... Jaliah. Mujurlah kau sorang isteri abang. Kalau tak, ini malam abang tidur rumah isteri mudalah!"
"MAYA! Maya! Maya!"
Maya muncul di muka pintu.
"Ni mak cik bawakkan cekodok tadi."
"Tak naklah!"
"Kakak, tak baik macam tu. Ambik cepat!" arah Zafran. Zafran menghampiri Maya di muka pintu.
Maya patuh. Pinggan di tangan Jaliah diambilnya, lalu bergerak ke dapur.
"Kamu sihat?"
"Saya?"
"Yalah, kamu. Siapa lagi mak cik nak tanya."
"Alhamdulillah. Sihat, mak cik."
"Kamu ingat Julia lagi ke?"
"Ingat! Eh, tak..."
"Isy, kamu ni. Yang mana satu?"
Zafran senyum kosong. Sekosong hatinya.
"Maafkanlah dia, ya. Mak cik pun tak tau nak cakap apa. Orang muda ni, macam-macam hal. Ada impianlah. Dreamslah."
"Tak apa, mak cik. Saya faham. Ju tak salah apa-apa. Saya tak boleh paksa dia sukakan saya. Saya patut cermin diri saya dulu sebelum suka dia, mak cik." Lemah kata-kata Zafran. Tersentuh hati Jaliah yang mendengarnya.
"Gini, Zafran. Mak cik ada cadangan untuk kamu. Itu pun kalau kamu setujulah."
Maya muncul di sisi Zafran.
"Kakak pergilah mandi, busuk ni." Sengaja Zafran menghindarkan Maya daripada mendengar perbualannya dengan Jaliah.
"Okey!" Maya berjalan laju menuju ke biliknya.
"Ada apa ni, mak cik? Masuklah. Takkan nak berdiri saja."
"Berdiri pun tak apa. Sekejap saja. Err, err, boleh mak cik carikan calon untuk kamu? Pengganti Ju degil tu."
Zafran kaku dan kelu. Tidak tahu untuk memberi sebarang jawapan kepada Jaliah.
"Mak Cik Senah kamu tu, ramai kawannya. Ramai anak-anak dara yang dia kenal. Ha, macam mana? Anak dia pun ada. Kamu nak?"
"Err, tak apalah mak cik."
"Tak apalah tu apa? Setuju ke tidak?"
"Tak, mak cik. Biarlah dulu."
Jaliah menarik muka masam. Degil duda ni. Nak kat anak aku jugak ke?
"Mak cik ikhlas ni, Zafran. Kesian Maya tu."
Zafran diam.
"Kamu fikirlah. Mak cik balik dulu."
Jaliah tiba di ruang tamu rumahnya.
"Geramnya saya, bang."
"Kenapa pulak ni? Kamu bergaduh dengan duda sebelah ke? Dia tak nak cekodok kamu?"
"Abang ni... kalau sehari tak buat lawak, tak boleh ya, bang? Pergilah KL sana. Jumpa pelawak-pelawak kat TV tu."
Salman ketawa.
"Yalah tu. Kenapanya?"
"Zafran tu. Saya ni nak tolong dia. Tak nak pulak. Jual mahal punya duda. Hangin saya ni, bang."
"Awak nak tolong apanya, Ja oi?"
"Carikan calon la. Cari pengganti Ju. Sampai bila dia nak ingatkan Si Ju tu!"
"Ja oh Ja. Awak ni pun..."
"Kenapanya?"
"Dah dia sukakan Ju, senang saja awak nak carikan calon lain. Kalau abang pun, abang tak suka. Silap hari bulan boleh hangin dibuatnya. Kamu dah tak ada kerja ke?"
"Saya cuma nak menolong. Daripada dia duk ingat Si Ju tu. Hah, ni dah dua bulan, tak nak balik jenguk kita ke? Abang telefon dia, suruh balik. Betul ke dia kerja ofis?"
"La, takkan anak awak tu nak menipu. Nanti-nantilah abang telefon. Baru dua bulan, bukan dua tahun Ja oi."
"Saya nak mandilah." Jaliah bangun meninggalkan Salman.
Setelah Jaliah hilang daripada ruang tamu, Salman mengambil telefon bimbit di atas meja. Nombor telefon Julia ditekannya.
Sementara menunggu panggilannya dijawab, Salman memanjangkan leher ke arah bilik. Jaliah keluar dari bilik menuju ke bilik air. Salman menarik nafas lega.
"Assalamualaikum, ayah." Suara Julia ceria menyambut panggilan Salman.
"Waalaikumussalam. Cerianya anak ayah ni. Tak mengepam minyak ke?" Salman ketawa kuat.
"Ayah ni, tak baik tau. Ju di kaunterlah ni. Kan semua orang pam sendiri. Ayah saja je, kan?"
"Alah, lawak saja sikit. Ni, mak Ju dah bising. Tanya bila Ju nak balik. Ju tak nak balik ke?"
"Mestilah nak, ayah. Tunggu Ju dapat gaji ya! Next week, Ju balik. Tapi ayah mesti tetap simpan rahsia tau!"
"Sampai bilanya Ju nak kerja kat situ?"
"Ayah tanya, macamlah Ju dah bertahun kerja. Kan tak sampai sebulan pun. Tunggulah sampai dua, tiga bulan."
"Yalah. Balik tau minggu depan. Kesian mak Ju. Maya pun."
"Maya sihat, ayah?"
"Eh, Ju tak telefon dia ke?"
"Seganlah. Tunggu Maya yang call saja selalunya."
"Segan dengan siapa? Zafran? Dah tolak, tapi masih telefon?" Salman ketawa lagi.
"Bukan call dia, call Maya pun."
"Alahai, entah-entah rindu pada ayahnya jugak." Tawa Salman berterusan.
"Ayah!"
ZAFRAN masih duduk termenung di sofa mengingati kata-kata Jaliah. Hati Zafran tidak keruan. Cadangan Jaliah, membangkitkan ingatannya terhadap Julia yang cuba dilupakan.
Macam-macam hallah mak mertua tak jadi aku tu. Dah anak dia tak nak, nak pas-pas aku kat entah sapa-sapa entah. Pening aku. Aku tak nak kahwinlah. Kakak pun makin pandai urus diri. Biarlah Ju dapat lelaki kaya idamannya. Aku akan jaga kakak sorang-sorang. Kakaklah penawar segala dukaku!
Zafran memandang telefon bimbitnya di sisi.
Malasnya kalau kena call Ju lagi. Bila-bila mesti kakak suruh aku call Ju ni!
"Julia!"
Eh, kenapalah aku sebut nama dia ni? Masih adakah lagi rindu di hati ini untuk dirinya? Mengapa aku tak boleh benci atau meluat dengan perempuan gabra ni! Mengapa?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co