Bab 14
"PUKUL berapa ni?" Julia menolak selimutnya ke tepi. Telefon bimbit dicapai.
"Hah? Pukul sebelas!"
Julia terkocoh bangun, selimut dilipat laju. Tilam nipis alas tidurnya dilipat dua, lalu disusun di tepi bilik. Julia menarik kasar tuala miliknya yang tergantung di luar almari milik Dahlia. Pintu bilik air ditolak cepat. Apabila air membasahi badannya, Julia kembali ceria dan bahagia.
"Kalau aku kaya,
hari-hari Hari Raya,
bil-bil jiran tetangga,
aku belanja selamba..."
Eh, apa ke halnya aku nak bayar bil orang. Kena saving. Kan nak bayar PTPTN, nak kahwin. Kahwin? Mr. Dud? Oh, tidak!"
Julia keluar dari bilik air. Telefon bimbit dicapai.
Alamak, mak telefonlah! Julia menelefon Jaliah semula.
"Assalamualaikum, mak sayang. Apa kes?"
"Waalaikumussalam. Kes tak ada. Apa hal tak jawab mak telefon ni?"
"Pagi sangat mak call. Ju mandilah mak."
"Pagi kamu kata? Pukul sebelas lebih ni. Tak cari kerja ke ni? Dah alang-alang bawak diri ke KL, kan?"
"Mak ni... tak baik tau perli-perli Ju. Kan baru sampai petang semalam. Tak hilang penat lagi ni. Esoklah cari. Lusa ke? Tulat ke? Kan duit ada lagi," Julia ketawa.
"Banyaklah sangat duit kamu ya? Kalau habis nanti macam mana? Nanti ada surat PTPTN datang macam mana?"
"PTPTN tu kecohlah. Tak larinya Ju ni. Duit habis, mintak ayahlah. Takkan mintak mak. Mak kedekut tahap gaban."
"Merepek pandai. Ni, Si Zafran ada telefon, kamu? Apa katanya? Masih menunggu kamu ke? Ke dah tak nak kamu?"
"Tak cakap apa pun. Ju cakap dengan kakak aje malam tadi. Kira setellah. Tak ada jodoh."
"Kamu tak kesian ke pada Maya? Dibuatnya dapat mak tiri jahat, habis budak tu. Hah, silap hari bulan, dijual ke apa?"
"Ala, Zafran taklah bodoh sangat nak kahwin dengan perempuan tak tentu hal. Dah tak ada jodoh. Mak kena reda," Julia ketawa lagi.
"Kamu menyesal nanti, Ju. Mana nak dapat lelaki baik macam Zafran tu," Jaliah bersuara perlahan.
Julia tiba-tiba diam. Ingatannya terbang mengingati wajah tampan Zafran.
Mr. Dud yang handsome. Tapi, aku tak nak hidup susahlah!
"Ju! Kamu ada lagi ke ni?"
"Ada. Mak, Ju laparlah. Nak cari makanan ni. Nanti Ju call mak ya?"
Julia keluar dari bilik, menuju ruang tamu yang sunyi.
"Macam rumah aku pulak dah. Tak ada orang. Aku boleh melepak sepuasnya!"
Langsir di balkoni ditarik ke tepi. Sliding door dibuka luas. LRT di hadapan rumah Julia laju bergerak.
Kuala Lumpurku. Adakah aku akan mencapai impianku di sini? Kerjaya yang hebat, lelaki yang mampu aku banggakan apabila memperkenalkannya kepada Kak Hani. Ataupun, impian itu berterbangan menjadi debu? Dan akhirnya aku pulang ke kampung, menanti pinangan orang kampung. OMG! Aku tak nak!
"Laparlah pulak!" Julia memegang perutnya. Terasa pedih. Julia melangkah laju ke dapur.
"Apa barang roti Gardenia ni! Aku nak makan nasi."
Julia membuka kabinet dapur mencari beras.
Eh, banyaknya kampit beras. Masak asing-asing kut ni. Kan tak ada duit! Lawak betul. Macamlah aku ada duit. Mana satu pulak Lia punya ni? Ah, belasah ajelah. Paling teruk aku termasak beras si bambam tu. Biarlah dia diet sikit, beras dia aku ambik!
Julia terus membasuh beras dan dimasukkan ke dalam periuk nasi. Tangannya pantas membuka peti sejuk.
"Telur pun telurlah. Janji dapat lunch."
Nak masak apa telur ni? Haaa, ada kicap. Masak kicap telurlah.
"Beginilah nasib diriku yang malang... oh, Tuhan...Kena makan telur kicap sempoi sendiri..."
Telur kicap? Bukan kakak cakap, Mr. Dud masak telur kicap ke dulu?
Eee... pehal pulak aku ingat Mr. Dud ni? Aku suka dia ke ni? Confuse betul!
Julia menikmati makan tengah harinya seorang diri di ruang tamu. Televisyen yang dipasang langsung tidak dihiraukan.
Gadis cantik itu melayani perasaannya yang merindui seseorang. Jeritan telefon bimbitnya, menyedarkan Julia yang sedang menikmati rezeki sambil berangan itu.
"Hello sayang, berangan lagi ke?" Dahlia dapat meneka apa yang tersirat di dalam hati Julia.
"Nope! I'm having lunch. Telur masak kicap."
"Woi! Telur siapa kau masak? Aku tak beli telur." Dahlia ketawa kuat.
"Entah. Si bambam punya agaknya."
"Bising nanti dia tu. Kau tak tau dia berkira tahap apa entah."
"Petang nanti aku turunlah beli barang. Relakslah. Ni beras siapa entah aku masak."
"Haha. Beras belasah aje. Takkan housemates aku perasan. Tapi bab telur, mesti dia orang kira punyalah."
"Okey, okey. Nanti aku turun beli. Tak ada hallah."
"Kau okey tak ni?"
"Okey aje."
"Are you sure?"
"Okey, cuma... I feel like there is something missing from my heart! Cewah, yo-yo o je kan?"
"Kau ingat cikgu sekolah yang reject kau tu ke?"
"Tak pulak!"
"Habis tu? Dud tu? Kau kata kau tak nak. Tak ada hati. Not your taste konon. Tak nak hidup susah. Ni apa cerita ni, beb?"
"Taklah. Eh, entahlah. Kau baliklah cepat. Aku rindu kau."
"Rindu aku? Kau nak mampus?"
Julia ketawa suka mendengar kata-kata Dahlia.
Julia masih memegang telefon bimbit. Skrin telefon yang tertera nombor telefon Zafran itu ditenung lama.
Isy, apa pasal aku ni? Dah angau kat Mr. Dud ke? Tidak. Oh tidak. Mana boleh angau camni. Aku tak boleh kahwin dengan lelaki pokai. Nehi, nehi. Love is nothing without money. Money! Money! Money! Tengok gambar kakaklah.
Jari runcing Julia mencari gambar Maya. Gambar Maya yang tersengih manis itu cukup membuat Julia terhibur seketika.
"Kak Ju rindu kakak sangat. Baru sehari tak jumpa. Bilalah kakak nak call lagi ni?"
Kenangan bersama Maya menjelma di mata Julia.
"Kenapa kakak tak nak naik motor dengan ayah?"
"Kak Ju lah naik motor dengan ayah." Maya ketawa kuat.
"Kalau Kak Ju naik dengan ayah, kakak nak naik dengan siapa?"
"Kakak tak payah ikut. Kak Ju dan ayah aje keluar makan," Maya ketawa lagi.
"Apa kakak ni. Kak Ju tak naklah keluar makan dengan kakak lain kali."
"Majuk?"
"Yalah. Kakak cakap merepek!"
"Kakak sayang Kak Ju. Duduklah rumah kakak, ya?"
Julia tidak menjawab lagi akan kata-kata Maya. Perjalanan ke kedai makan diteruskan dengan Zafran mengekori Julia menggunakan motosikalnya dari belakang.
Turun dari motosikal, Maya mencapai tangan Julia mesra. Zafran yang berada berdekatan malu-malu menuruti Julia dan Maya masuk ke dalam kedai makan.
"Kak Ju nak belanja kita orang makan apa ni?" Zafran memulakan perbualan setelah mereka duduk.
"Kakak nak sate," Maya berkata kuat.
"Boleh makan apa aje, sebab Mr. Dud yang bayar. Eh, ayah Maya yang bayar!" ucap Julia spontan.
Wajah Zafran merah padam menahan malu. Julia yang melihat wajah Zafran merasa bersalah.
"Zafran, sorry."
"It's okay. Memang I dud, kan?"
Mak ai, I tu! Sejak bila drebar lori pandai ber 'you – I' ni. Ngada betul!
"Dud tu apa Kak Ju?"
Julia diam.
"Dud tu macam ayahlah. Tak ada isteri," Zafran menjawab lembut.
Sadisnya bunyi. Kesian jugak kat kau, ya!
"Kita order." Julia menukar topik perbualan dengan pantas. Tangannya laju diangkat untuk menarik perhatian pekerja kedai makan.
"Malam ni I belanja Ju. Terima kasih sebab sayang Maya."
Suara Zafran terasa merdu di pendengaran Julia. Julia senyum tawar.
"Ayah, Kak Ju malu tu. Ayahlah order untuk Kak Ju."
"Kakak!" Suara Julia sedikit kuat.
Zafran pula senyum. Julia yang melihatnya terpegun.
Sebijik Remy Ishak. Betullah kata mak!
Julia kembali kepada realiti. Di hadapannya skrin televisyen yang terpasang. Tiada Maya dan juga klon Remy Ishak di situ.
"KAD Mesra ada?"
Lelaki berbangsa Cina di luar cermin menggeleng kepala. Baki RM20.00 dikembalikan oleh Julia.
Huh! Boringnya. Sampai bila nak kerja stesen minyak ni? Macam kentut aje. Kalaulah Kak Hani dan husband dia yang legam tu isi minyak di sini, haru! Malu Mak Jemah. Mana nak letak muka ni? Dah la aku kelentong mak, cakap kerja ofis. Anak derhaka betullah aku ni. Tapi nak buat macam mana? Kalau bagitau, kang disuruhnya aku balik pulak. Nasib baik ayah faham. Memang terbaiklah Haji Salman tu. Muah kat ayah!
Sementara menanti pelanggan tiba, Julia mengalihkan pandangan ke arah mesin ATM yang ada di dalam kedai Mesra Petronas itu. Barisan orang yang mahu mengambil wang agak panjang. Julia teringat akan baki wangnya yang makin menipis.
Bilalah gaji nak masuk ni? Nanti si bambam bising aku tak bayar sewa pulak. Salah aku jugak, duk melepak hampir sebulan. Walk-in yang hampeh. Penat aje aku solek tebal-tebal, pinjam baju Lia bagai. Mujur tak pinjam baju bambam. Isy, lari cuttinglah kalau pinjam baju dia!
Tok! Tok!
Cermin di sebelah Julia diketuk perlahan.
"Pam dua, tiga puluh!" Seorang lelaki yang boleh bergelar pak cik menyerahkan wang bernilai RM30.00 dan kad Mesra.
Secebis senyuman diberikan oleh Julia apabila memulangkan kad Mesra tersebut.
"Top up Celcom sepuluh ringgit!" Seorang remaja lelaki sengih kepada Julia.
"Top up dah habislah, dik."
"Huh!!!" Rengus remaja tersebut kasar.
Dah habis nak marah pulak. Hampeh punya budak!
Kalau dalam drama TV, mesti ada anak orang kaya bakal CEO berkenan kat aku yang comot di kaunter ni! Julia senyum sendiri.
Dalam realiti, tu ha Si Abdullah Bangla yang jeling-jeling aku. Hampeh punya Bangla. Datang cari rezeki, bukan kacau anak dara orang. Lebih-lebih lagi aku yang cun ni. Kalau dia senyum-senyum lagi, siaplah. Aku sound terus. Ngada nak ngorat aku!
"Kau kenapa?" Syed menyiku Julia.
"Apa ni? Haram tau sentuh aku."
"Ala, kan berlapik. Lagipun, aku tak naklah kat kau. Aku ada boyfriend dah."
"Apa? Boyfriend?"
Syed angguk.
"Lelaki?"
Syed angguk lagi.
"Kau jangan la..." Julia memandang Syed lama. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, penampilan Syed sudah lari jauh daripada penampilan kaum Adam. Alas bedak yang ketara, celak dan tentunya wangian berjenama dipakai oleh Syed.
Kau ni lelaki ke perempuan, Syed oi? Boleh ke kau macam ni? Bukan dosa ke? Siapa aku nak tegur dia?
Syed telah lari daripada fitrah, dan cuba melawannya. Larangan Allah tentang perkara tersebut amat jelas kepada kita umat Nabi Muhammad SAW.
Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW bersabda...
Dilaknat orang lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki. (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan Bukhari.)
"Kau tau? Dia handsome tau!"
"Dia tau ke, kau assume dia as your sweetheart?" Julia sengaja mengusik Syed.
"Uish, coi! Tak sayang mulut. Aku cili kau nanti. Aku pasti dia suka akulah bila aku bagitau aku suka dia."
"Dia belum taulah ni?"
Syed sengih seperti kerang busuk.
Ngeri aku tengok kau, Syed! Elok-elok jadi lelaki nak jadi perempuan. Kau tak tau, macam mana susah menjadi perempuan. Kena tunggu lelaki nak. Bukan boleh dapat lelaki yang perempuan nak. Ngok punya Syed!
"Aku tunggu masa aje ni." Syed sengih lagi.
"Masa apa? Nak resign? Kau dapat kerja baru ke?"
"Nope!"
"Habis tu?"
"Nak luah perasaan la. Cakap kat dia, how much I love him."
"Kau tak malu, jika dia bukan jenis tu?"
"Do I care?"
"Syed, entahlah. Aku speechless!"
"Bagus. Kalau macam tu, jangan komen lagi. Just mind your own business, okay!"
"Sorry. Akukan kawan kau. Walaupun tak sampai sebulan kita kenal. Kau marah?"
"Entah!"
"Dapat gaji, aku belanja KFC, okey?"
"KFC saja?" Syed sinis.
"Kesianlah aku. Kerja tak sampai sebulan. Tu saja yang aku mampu."
"Kau ni cantik. Come on, dress up sikit. Ramai lobster di luar sana!"
"Cantik? Thanks for your compliment. Tapi aku tak faham maksud kau," ujar Julia dalam keliru.
"Cari saja sugar perempuan. Kau tak payah susah payah kerja kaunter Petronas ni. Penat saja kau belajar dulu. Buat apa degree kau tu?"
Lebih si pon ni. Tak apa Julia, tak apa. Tak payah layan dah!
Julia senyum. Senyuman yang ditujukan khas untuk Syed.
"Aku memang suka duit. Tapi aku masih ada harga diri. Tahu dosa dan pahala!"
Syed senyap. Hilang kata-kata untuk berhujah lagi.
Julia memberi tumpuan kepada tugasnya melayani pelanggan yang membeli petrol untuk kereta masing-masing. Syed di sebelahnya melayani pelanggan yang membeli barang di Kedai Mesra tersebut. Kedua-dua sahabat itu tidak lagi berbual. Lagak kedua-duanya persis pasangan bercinta yang sedang bergaduh.
"Kau marah aku ke?" Syed menyiku Julia lagi.
"Apa ni? Tak sukalah," rengus Julia kasar.
"Wei, jangan kasar sangat. Lelaki tak suka tau!"
"Ada saja lelaki suka. Tapi bukan kaulah," bantah Julia.
"Even kita berbeza, kita boleh jadi kawan. Sorrylah cadang bukan-bukan kat kau tadi."
Julia diam, malas untuk berbicara lagi.
"Aku janji tak bagi cadangan keji lagi kat kau. Kita kawan balik ya?"
"Yalah."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co