Bab 4
"KAKAK tak ada kerja rumah?"
"Kakak dah buat di tadika tadi. Cikgu tadika pun tolong kakak."
"Bukan kakak baca Iqra' ke kat situ?"
"Lepas baca Iqra' lah. Hari ni, kakak dah masuk Iqra' dua." Maya senyum gembira.
"Ye ke? Sayang kakak." Zafran mencium dahi Maya perlahan.
"Hadiah?"
"Tunggu ayah gaji. Kita makan KFC nak?"
"Nak! Nak! Kalau mama ada, mesti mama seronok ni. Rindunya pada mama. Ayah tak rindu mama?"
Apa aku nak jawab ni?
"Mestilah ayah rindu mama," ujar Zafran lembut.
"Kalau rindu, kita pergilah kubur mama. Ayah tak pernah pergi pun kakak tengok."
"Ayah tak nak kakak sedih tengok kubur mama. Biarlah mama aman di sana. Okey?"
"Okeylah," nada suara Maya berbaur sedih.
"Nantilah ayah bawak kakak tengok kubur mama, ya?" Zafran memujuk Maya lembut.
"Janji? Ustazah cakap, kalau mungkir janji, berdosa. Ayah tak mungkir janji?" Maya memandang wajah Zafran lama.
"Pernah ayah mungkir janji?" Zafran memaksa diri untuk senyum.
"Pernahlah. Dulu janji dengan kakak dan mama nak pergi Legoland. Tengok... kan tak sempat tunai janji," Maya bersuara tanpa memikirkan kesannya kepada Zafran.
Kita hidup susah, sayang! Ingin sahaja Zafran menuturkan kata-kata tersebut kepada Maya, namun dibiarkan sahaja kata-kata Maya sepi tanpa jawapan.
"Ayah memang tak sayang kakak." Maya memusingkan badannya membelakangi Zafran.
Maya mula menangis. Kanak-kanak manja yang berusia tujuh tahun itu sebenarnya rindukan mamanya. Pada saat meniti hari-hari indahnya di awal persekolahan, Amira telah pergi meninggalkannya. Bahu Maya bergoyang selaras dengan tangisannya yang semakin laju.
"Ayah janji, kakak. Ayah minta maaf sebab tak dapat tunai janji pergi Legoland. Nanti ayah ada duit sikit, kita pergi," Zafran bersuara sebak. Bahu Maya dipegang, dan rambut perang kanak-kanak itu diusap perlahan.
MAYA telah lena di biliknya. Zafran baring di sofa usang kepunyaan tuan rumah di tengah ruang tamu. Fikiran duda tampan itu terus berpusat kepada anak tunggalnya, Maya. Pelbagai persoalan bermain di kepala Zafran.
Kakak makin besar, dan aku kena uruskan dia. Pastikan dia mandi dan pakai baju. Boleh ke macam tu? Sedangkan badan kakak semakin membesar!
Zafran gelisah sendiri, mengingati isu-isu sumbang mahram yang begitu banyak di media massa. Kanak-kanak seawal sembilan bulan juga menjadi mangsa.
"Astaghfirullahalazim!"
Aku bukan lelaki sehina itu. Tapi adalah lebih elok, kakak mandi dan pakai baju sendiri mulai sekarang. Tapi okey ke kalau kakak mandi sendiri? Bilik air yang licin? Atau kakak akan bersabun di bahagian perut saja! Zafran senyum sendirian apabila mengingatkan Maya sudah pasti akan menyabun bahagian perutnya sahaja jika dibiarkan mandi sendirian.
Oh, anak ayah. Macam mana ayah dapat tolong kakak ni? Zafran mengeluh perlahan. Zafran sedar, dirinya tidak mampu untuk menjaga Maya seorang diri dalam keadaan sekarang ini.
Apa aku nak buat ni? Takkan aku nak kahwin lagi kut? Siapa yang nak duda miskin macam aku ni? Siapa?
Zafran bangun daripada baringnya, lalu duduk. Jam di dinding telah melewati pukul 11.00 malam.
Alamak! Baju sekolah kakak belum gosok!
Zafran segera bergerak menuju ke bilik Maya. Pintu bilik Maya ditolak perlahan. Dalam kesamaran bilik yang diterangi lampu dari ruang tamu, Zafran melihat Maya yang tidur dengan nyenyaknya. Ternyata anak tunggalnya itu cepat matang.
Menerima hakikat mamanya telah pergi meninggalkannya, sedangkan ayahnya masih teraba-raba mencari kekuatan diri untuk meneruskan hidup.
Baju kurung dan tudung Maya dicapai dari tempat menggantung baju. Sebelum melangkah keluar, Zafran memandang Maya sayu.
Ayah takut tak dapat jaga kakak dengan baik. Ayah takut, sayang!
Zafran membawa baju sekolah dan tudung Maya ke dalam biliknya. Di situlah Zafran menggosok uniform sekolah anaknya. Ingatan Zafran terhadap Amira kembali menerpa.
"Abang tak menyesal kahwin dengan Mira?"
"Kenapa abang nak menyesal pulak?" Zafran mengelus rambut isterinya, lembut.
"Sebab Mira, abang dibuang keluarga. Betul abang tak menyesal?"
"Tak. Jangan tanya yang bukan-bukan lagi. Nanti baby dalam perut dengar. Tak eloklah, sayang."
"Mira minta maaf. Sebab Mira, abang hidup susah. Kalau abang nak kembali kepada keluarga abang, Mira tak marah. Tapi abang tak boleh bawaklah baby ni. Baby ni akan temankan hari-hari sunyi Mira nanti."
"Syyy, janganlah merepek, sayang. Kan dah janji nak lupakan semua perkara lalu. Abang nak lupakan semua tu. Dunia abang cuma ada Mira dan baby saja."
Mujur tak terbakar tudung kakak ni!
Zafran kembali kepada realiti. Tudung sekolah Maya digosoknya perlahan sehingga licin.
"Untuk anak ayah yang baik, dengar kata dan matang." Zafran senyum sendiri.
"KAKAK habiskan tau!" Zafran menghulur secawan Milo kepada Maya pagi itu. Maya menyambutnya sambil senyum.
"Ayah punya?"
"Ayahkan tak suka Milo. Kakak kena minum. Untuk tenaga kakak. Rehatkan lama lagi."
"Okeylah ayah busuk. Nanti jangan lambat lagi ya?"
"Tak. Hari ni sure ayah tak lambat."
"Kalau lambat lagi?"
"Tak lambat lagi dah! Ayah janji. Dah, cepat minum. Kalau sampai pagar, loceng bunyi... mesti jaga tu tak bagi kakak masuk nanti."
"Kakak menangislah. Mesti dia bagi kakak masuk."
"Pandai anak ayah ni."
Sepandai mamanya uruskan hidup!
Ungkapan itu hanya mampu berlegar di minda Zafran.
Zafran memerhatikan Maya yang sedang menyalami guru bertugas di tepi pagar. Guru tersebut memegang beg plastik mengandungi gula-gula. Dua biji gula-gula diterima oleh Maya. Maya sempat menoleh ke arah Zafran, lalu tangannya diangkat sambil senyum. Lambaian tangan Maya disambut Zafran.
Mampukah ayah besarkan kakak dengan baik?
Zafran meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan hati yang bercelaru.
Jika sebelum ini wajah Amira muncul di matanya, kini wajah Maya pula asyik menerpa.
Mira dah tak ada. Kakak yang masih ada nilah perlu aku fikirkan!
"Awal kau hari ni?" Zamri tersenyum di hadapan Zafran.
"Maya tu sibuk nak sampai awal di sekolah. Dia kata siapa yang datang awal dapat sweets. Betullah tadi dapat gula-gula tu."
"Kau dah sarapan?"
"Malaslah."
"Malas? Kau masak apa malam tadi?" Zamri senyum menanti jawapan Zafran.
"Masak nasi goreng dan telur mata."
"Aku rasa kau kena kahwinlah." Zamri ketawa pula.
"Kau ni... asyik cakap pasal kahwin saja. Malas aku fikir pasal kahwin sekarang ni. Aku sebenarnya takut." Wajah Zafran menunjukkan perubahan.
"Takut apa? Anak kau kena dera?"
"Tu satu hal. Ni lebih penting. Besarkan Maya sorang-sorang. Dia makin besar, tapi dia tetap masih budak. Perlu orang tolong dia urus diri. Mandi, pakai baju. Kau faham kan maksud aku? Aku ni lelaki. Tak sesuai nak buat semua tu untuk dia. Kalau takat masak, aku tak kesah."
"Jawabnya kau kena kahwinlah. Ada saja perempuan nak laki pokai macam kau. Kilang sebelah tu. Hah, ramai aje perempuan gedik nak kau rasanya. Abang duda handsome katakan." Zamri ketawa lagi.
"Boleh ke perempuan macam tu jaga Maya? Perempuan tu muda lagi. Kadang SPM pun tak ambik. Takat gelak-gelak, suka-suka... bolehlah. Aku tak ada duit, mau dilepas geram pada anak aku."
"Betullah kau ni memilih," selar Zamri.
"Bukan pilihlah. Kena cari yang boleh terima anak aku. Sayang anak aku. Kalau takat sayang aku sebab aku handsome... kau yang kata aku handsome, kan?" Zafran ketawa tipis.
"Berapa lama suka kat aku tu? Satu hari nanti perempuan tu menyampah jugak pada aku yang pokai ni."
"Betul! Betul! Habis tu, kat mana kau nak cari perempuan yang boleh sayang anak kau tu? Dan boleh suka lelaki handsome pokai macam kau ni?"
"Entahlah. Aku harap adalah perempuan yang akan sayang anak aku tu. Pasal aku tak penting."
"Betul ke tak penting? Kau masih perlukan perempuan beb! Yang janda gemuk sikit tu, kau tak nak?"
"Aku tak fikir pun pasal tu. Kau, kalau pasal benda tu pandailah. Janda mana ni?"
"Benda apa? Maksud aku, kau perlukan teman. Nak bercakap, berbual semua tu. Kau yang fikir lain ni." Zamri ketawa besar.
"Janda kawan adik aku. Mesti dia tak dera anak kau." Zamri terus bercerita.
"Macamlah sehari aku kenal kau ya."
Ketawa Zamri semakin kuat.
"Bukan betul apa aku cakap?" Zamri masih tidak melepaskan Zafran.
"Itu kau. Aku lebih fikir pasal anak aku. Hati aku tak terbukalah fikir pasal kahwin ni."
"Tengah hari ni aku belanja kau makan."
"Tak payahlah. Nanti lambat pulak kau tunggu. Akukan kena ambik Maya di sekolah."
JAM 9.45 pagi, pelajar-pelajar tahun satu dibenarkan turun awal ke kantin. Dengan memegang botol airnya, Maya berjalan pantas bersama rakan-rakan menuju ke kantin.
Maya beratur membeli sepinggan nasi berlaukkan ayam goreng. Nasi di dalam pinggan diletakkan di atas meja. Maya pergi ke singki yang disediakan untuk membasuh tangan.
"Nak sikit ayam awak, boleh?" Suhaida memegang ketulan ayam di pinggan Maya.
"Jangan la. Ayam tu kecik je." Maya menolak permintaan Suhaida keras.
"Dahlah tak ada mak. Sombong pulak. Wekkk!!!" Suhaida bangun membawa bekas makanannya ke meja lain.
Air mata Maya bergenang. Maya menahan tangisnya sebaik mungkin. Suapan nasi dimulakan walaupun hatinya sebak.
Nanti nak bagitau ayahlah!
Selesai makan, Maya sekali lagi pergi ke singki untuk membasuh tangan. Baki wangnya masih ada RM1.00. Maya mengeluarkan kembali beg duitnya dari poket baju kurung. Dua keping duit syiling lima puluh sen itu dipegangnya.
"Haha, aku dapat!" Suhaida berlari ke kaunter untuk membeli makanan setelah berjaya merampas wang milik Maya. Kali ini air mata Maya tidak mampu dibendung lagi. Maya menangis teresak-esak.
Kringgg!
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Maya melangkah perlahan menuju ke kelas. Fauzan, selaku guru subjek matematik kelas 1 Mualim, SK Sri Mutiara melangkah masuk ke dalam kelas dengan penuh dedikasi.
"Assalamualaikum, cikgu!" Suara seramai tiga puluh orang pelajar itu bergema di seluruh bilik darjah.
"Waalaikumussalam, semua. Duduk!" Mata Fauzan meliar memandang kesemua pelajar di dalam kelas.
"Semua dah masuk kelas, kan?" Fauzan memandang Fitri selaku ketua kelas.
Fitri memandang ke kiri dan ke kanan. Selepas itu, Fitri menoleh ke belakang.
"Semua dah masuk, cikgu. Tapi..."
"Tapi apa?" Fauzan amat tertarik mendengar jawapan daripada ketua kelas itu.
"Tapi Maya menangis, cikgu."
"Menangis?"
Fauzan berjalan mendekati Maya yang telah duduk. Kesan tangisan masih jelas kelihatan di wajah mulus Maya.
"Kenapa awak menangis? Bagi tahu cikgu," Fauzan bersuara lembut.
"Err... duit saya, cikgu..."
"Kenapa dengan duit awak?"
"Errr... Suhaida ambik duit saya tadi."
Wajah manis Fauzan berubah. Kesal dengan perbuatan buli yang berlaku walaupun pelajar-pelajar di dalam kelas tersebut baru di tahun satu. Fauzan berjalan mendekati Suhaida yang berwajah pucat.
"Betul awak ada ambik duit Maya?"
Suhaida diam. Kaku. Tidak memberi sebarang respons.
"Siapa yang nampak Suhaida ambil duit Maya?"
Fitri mengangkat tangan. Tugasnya sebagai ketua kelas 1 Mualim dijalankan sehingga ke kantin.
"Tadi masa di kantin, saya nampak Suhaida rampas duit Maya, cikgu." Fitri bersuara penuh yakin.
"Ada siapa lagi yang nampak?"
"Saya pun nampak, cikgu." Fatin bersuara kuat.
"Saya akan telefon ibu bapa awak, Suhaida. Perbuatan mengambil duit orang lain itu salah." Fauzan mengherdik Suhaida.
Suhaida masih membatu. Tiada sebarang respons diberikan. Wajahnya sahaja yang kemerahan menahan malu.
Kanak-kanak perempuan nakal tersebut, keras hatinya. Tidak menangis langsung walaupun dimarahi Fauzan.
Fauzan kembali berdiri di hadapan kelas. Pandangannya disorot ke seluruh kelas, kepada semua pelajarnya itu.
"Ini satu pengajaran bagi semua pelajar. Jangan buat seperti yang dilakukan oleh Suhaida. Mengambil tanpa izin, merampas dan mencuri duit orang lain adalah dilarang sama sekali. Semua murid faham?"
"Fahammm, cikgu," suara ramai menjawab pertanyaan Fauzan itu.
"Kalau macam tu, keluarkan buku matematik satu. Latihan cikgu bagi semalam, dah siap ke belum?"
Suhaida tiba-tiba mengangkat tangan.
"Ha Suhaida, kenapa?"
"Saya tak siap, cikgu."
"Aduh! Awak ni... bukan saja nakal... malas pulak. Aduyai!!!"
"Aduyai tu apa, cikgu?" Suhaida kembali menyoal.
"Aduyai tu macam awaklah. Nakal dan malas."
Seluruh kelas ketawa.
Suhaida mencebik marah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co