Bab 5
WAJAH Maya ceria sejurus melihat Zafran di atas motosikal di luar pagar sekolah.
"Awal ayah datang hari ni."
"Kan dah janji dengan kakak semalam. Kakak lupa?"
Maya hanya sengih mendengar kata-kata Zafran.
"Ha, apa lagi? Naiklah."
"Nak cerita dulu. Tadi ada kawan kakak rampas duit kakak."
"Habis, kakak tak makan?" Zafran bertanya cemas.
"Makan. Dia ambik seringgit saja. Duit kakak nak beli sosej. Cikgu dah marah dia. Cikgu kata akan telefon mak ayah dia, ayah."
"Erm, tak apalah. Kejap lagi kakak makan di tadika transit ya! Cepatlah naik."
Tanpa berkata lagi, Maya terus membonceng di belakang Zafran.
"Okey, bos. Tolong laju sikit!" Maya ketawa.
"Amboi, kakak buat ayah macam driver, lah." Zafran turut ketawa.
Tengah hari itu buat pertama kalinya selepas kematian Amira, Zafran tidak mengunjungi pusara Amira.
Maafkan abang, Mira. Mungkin sudah tiba masanya abang teruskan hidup bersama Maya tanpa Mira. Tanpa bayang-bayang Mira!
Minumannya disedut laju. Zafran tidak membuang masa terlalu lama di kedai makan. Bagi Zafran, berada seorang diri di kedai makan adalah suatu perkara yang mendukacitakan. Nampak benar dirinya keseorangan dalam mengharungi hidup ini.
Kalaulah Mira masih ada, tentunya aku dan Maya akan makan tengah hari di rumah!
Zafran harus menerima kenyataan, makan tengah harinya kini amat berbeza. Dirinya makan di kedai makan, sementara Maya makan di tadika transitnya.
"Aduh, kenapa pulak ni?"
Zafran memberhentikan motosikalnya apabila mendengar bunyi letupan kecil di bahagian belakang tayar motosikalnya.
"Pancit pulak!" Keluhan berat dilepaskan oleh Zafran.
Zafran menolak perlahan motosikalnya mencari bengkel motosikal. Peluh mula memercik di muka.
Habislah aku masuk lambat lagi ni!
Zafran menongkat motosikal, lalu mengeluarkan telefon bimbit usang miliknya.
"Helo, Zam. Kau bagi tahu si pengampu tu, tayar motor aku pancit. Masuk kerja lambat sikit tau!"
"Kau kat mana ni? Jauh lagi dari bengkel? Nak aku tolong?"
"Eh, tak payah. Dekat saja ni. Kau tolong yang tu aje. Okey, aku cau."
"Okey, okey. Ada apa-apa, kau call aku."
Zafran kembali menyorong motosikalnya. T-shirt kilang yang dipakainya mulai dibasahi peluh.
Tanpa disedarinya, dari jauh, pemandu sebuah kereta yang berhenti sedang memerhatikan Zafran. Lelaki di dalam kereta tersebut juga mengambil beberapa keping gambar Zafran.
"LU datang kerja jugak ini petang apa pasal? Bukan lu sudah kaya ma!" Ah Seng tersenyum menampakkan giginya yang tidak tersusun.
"Lepas bini lu mati, lu macam bos dalam ini kilang. Keluar rehat awal, balik rehat lambat. Lu ada share ka dalam ini kilang?"
"Motor aku pancit tadi. Aku dah telefon Zamri. Dia tak bagi tahu kau?"
"Ada Zamri bagi tahu. Apa pasal telefon dia? Siapa supervisor? Lu mau kerja atau berhenti? Kalau lu berhenti, anak lu mau makan apa? Mau mati jugak macam mak dia?"
Dush!!!
Satu tumbukan padu singgah di muka Ah Seng. Ah Seng tersungkur.
"Kau baru jadi supervisor sudah banyak sombong. Aku tanya kau, kau ada share dalam kilang ni? Dasar kafir tak sedar diuntung!"
Zamri dan beberapa orang pekerja tiba bila melihat aksi di luar kawalan itu.
"Wei beb, relakslah. Kenapa sampai bertumbuk ni?" Zamri cuba meredakan api kemarahan Zafran. Bahu Zafran dipegang.
"Lu tau nasib lu nanti!" Ah Seng menuding jarinya kepada Zafran.
"Apa tengok-tengok? Pergi buat kerja la!" Ah Seng berlalu meninggalkan tempat kejadian dengan perasaan marah dan malu. Marah terhadap Zafran, dan malu kepada pekerja-pekerja yang lain.
"Kau ni kenapa? Kau boleh dibuang kerja oleh bos tau! Ah Seng tu mesti mengadu punya!" Zamri memandang Zafran yang masih dalam mood marah.
"Buang, buanglah. Aku dah tak kesah. Aku pun tak hingin kerja di kilang kafir ni lagi!"
"Sabar, bro. Kau tengah marah tu. Tarik nafas. Fikir dalam-dalam. Kau jangan menyesal pulak nanti. Kau tak patut tumbuk pengampu biul tu. Dia memang saja cari pasal. Saja buat kau marah tu."
"Dia dah melampau. Ada dia kata anak aku akan mati macam maknya kalau aku tak kerja di sini. Kalau kau jadi aku, kau hangin tak?"
ZAFRAN mencari ketenangan dengan membaca surah Yasin. Selesai membaca surah Yasin, Zafran berdoa panjang, memohon keberkatan daripada Allah SWT.
Tidak lupa, Zafran juga memohon dirinya reda dengan ketentuan Allah dengan pemergian Amira serta memohon keselamatan dirinya bersama Maya.
"Ayah, kakak laparlah. Lamanya ayah sembahyang hari ni."
"Ayah baca Yasinlah, kakak. Malam ni ayah tak laratlah nak masak. Kita makan kat kedai, nak?"
"Makan kedai? Mama kata membazir, kan? Ayah lupa?"
"Ayah ingat lagi. Tapi bukan selalu. Kan ayah penat sangat ni. Cepat sikat rambut kakak tu. Macam sarang burung ayah tengok," Zafran ketawa kecil.
"Isy ayah ni. Kakak merajuk nanti. Tak nak cakap dengan ayah seminggu baru tau." Wajah Maya masam serta-merta.
"Ala, ayah gurau aje. Kan dah tak comel anak kesayangan ayah yang sorang ni."
"Betul kakak comel?"
"Mesti la. Anak siapa? Adam Zafran Handsome, kan?" Zafran ketawa kuat.
"Dah lama kakak tak tengok ayah ketawa. Asyik diam dan monyok aje. Kakak nak ayah gembira macam ni tau. Janji?"
"Wokeh, janji! Cepatlah sikat rambut. Pergi ambik sikat dalam bilik kakak."
NASI goreng ayam milik Maya telah terhidang di atas meja.
"Boleh kakak makan sekarang?"
"Mesti la boleh. Baca doa makan dulu," pinta Zafran lembut. Penuh kasih sayang.
Maya merapatkan kedua-dua belah tangannya. Doa makan dibaca dengan kuat oleh Maya.
"Sedap. Lebih sedap daripada ayah masak." Maya ketawa.
"Ha, mana boleh cakap dan gelak masa makan. Kalau mama ada, mesti kakak kena cubit ni."
"Opps! Sorry ayah handsome." Senyuman Maya melebar di bibir.
"Makan elok-elok. Malam esok makan masakan ayah semula." Giliran Zafran pula ketawa.
Di dalam gembira menikmati makan malamnya bersama Maya, sebenarnya hati Zafran cuak
Cuak memikirkan akan hari esok. Bagaimanakah nasib dirinya esok? Ah Seng tidak akan melepaskan dirinya begitu sahaja.
"Nasi goreng ayah sedap?"
"Boleh la... Tapikan, ayah rasa nasi goreng ayah buat lagi sedap."
"Ayah perasannn!!!"
JAM telah pun menunjukkan pukul 10.00 malam tatkala mereka tiba di rumah. Maya telah masuk ke dalam biliknya setelah menggosok gigi. Rutin malam Zafran setelah Maya tidur bermula lagi. Zafran membaringkan tubuhnya di sofa ruang tamu memikirkan nasib diri.
Macam mana kalau aku dibuang kerja esok?
Zafran membiarkan persoalan tersebut terus-terusan bermain di minda. Kipas di siling ruang tamu berputar ligat menjadi teman setia Zafran.
Macam mana aku nak sara kakak kalau aku dibuang kerja?
Zafran bangun. Telefon bimbit di meja kecil di hadapan sofa dicapai.
"Yes, bro. Kenapa telefon malam-malam ni?"
"Kau rasa Ah Seng macai tu buat apa? Apalah yang diberitahu pada bos nanti."
"Tu, lah. Kau pun baran sangat. Sure kau kena panggillah masuk ofis esok. Kau tak boleh buat apa-apa. Doa saja banyak-banyak," jujur jawapan Zamri.
"Kau ni, bukan nak legakan aku. Makin buat aku stres saja!"
"Aku cuma cakap yang betul. Kau kena sedia."
"Okeylah Zam." Talian diputuskan oleh Zafran.
Alat kawalan jauh televisyen dicapai. Zafran menekan-nekan alat kawalan tersebut. Tiada rancangan televisyen yang berjaya mengikat hatinya. Akhirnya Zafran menutup televisyen dengan hampa.
Habislah aku esok!
Zafran melangkah malas ke bilik air. Zafran perlu segera menunaikan solat isyak sebelum tidur. Zafran tidak boleh tiba lewat di kilang esok pagi.
SEPERTI yang dijangka oleh Zafran dan Zamri, pagi-pagi lagi Zafran dipanggil menghadap Encik Wong, tuan punya kilang besi tersebut. Pintu bilik Encik Wong diketuk dengan hati berdebar.
"Masuk!"
Zafran melangkah masuk dengan cuak. Encik Wong memandang Zafran dengan pandangan kurang senang.
"Duduk!"
Zafran akur. Kerusi di hadapannya ditarik, lalu duduk.
"Awak tahu mengapa saya panggil awak?"
"Tahu bos. Pasal saya tumbuk Ah Seng semalam," perlahan sahaja jawapan Zafran. Jawapan orang yang bersalah.
"Itu satu hal. Lepas bini lu mati, lu banyak pelik. Suka keluar awal makan, balik lewat. Saya minta maaf, Zafran. Saya terpaksa buang awak kerja!"
Zafran terdiam. Ramalannya benar-benar terjadi. Zafran hilang kata-kata untuk menceritakan apa yang terjadi kepada dirinya, jauh sekali untuk membela diri.
"Ambik gaji awak daripada kerani. Jaga diri. Jangan ambil dadah! Awak ada anak mau jaga."
"Terima kasih, Encik Wong. Saya keluar dulu." Zafran melangkah menghampiri pintu.
"Awak jangan ambil dadah!"
Laungan Encik Wong masih kedengaran walaupun Zafran telah keluar dari bilik.
Zamri menerpa Zafran yang memegang sampul surat berisi gaji terakhirnya.
"Kenapa ni? Mr. Wong buang kau kerja?"
Zafran bungkam.
"Tu gaji akhir kau?"
"Ha lah," jawapan dari mulut Zafran keluar juga.
"Kau nak kerja mana sekarang ni? Kesian aku tengok kau. Ah Seng tu memang nak kena!"
"Bukan salah dia pun. Mr. Wong cakap aku selalu keluar awal dan balik lewat masa rehat."
"Yalah. Kalau macai tu tak bagitau Mr. Wong, mana orang tua tu tau. Kau tak nak belasah dia? Baru dia tau langit tu tinggi ke rendah!" getus Zamri marah.
"Dahlah. Aku tak nak cari pasal lagi. Aku balik dulu." Zafran melangkah laju.
"Aku tak habis dengan kau lagi ni!" Zamri menjerit memanggil Zafran.
"Buatlah kerja. Nanti kau pulak dibuang kerja. Ada apa-apa, aku call kau nanti."
Pandangan Zamri masih tertancap ke arah Zafran yang telah keluar dari kilang.
"Macam manalah kau nak bagi makan anak kau nanti? Siapa pulak yang nak duda pokai, tak ada kerja pulak tu. Siallah Ah Seng ni!" rengus Zamri sendirian.
Ya Allah, kuatkan imanku. Semangatku! Zafran mengelus dadanya, cuba menerima hakikat dirinya yang telah dibuang kerja.
Duniaku belum berakhir. Aku kena berusaha demi Maya. Maya, tolong ayah!
Zafran meraba kunci motosikal di dalam kocek seluar. Motosikal bergerak perlahan meninggalkan parkir kilang.
Aku nak pergi mana ni?
Zafran tiba di tanah perkuburan di mana jenazah Amira disemadikan.
Mira, abang datang ni!
Tangan kasar Zafran memegang batu nisan Amira dengan kuat.
Abang dah dibuang kerja. Abang kena cari kerja baru, Mira. Demi anak kita. Abang janji, abang takkan biarkan Maya hidup susah.
Zafran menahan air matanya daripada keluar. Matahari mula menunjukkan belang. Sinarannya memanggang tubuh Zafran yang berada di kawasan tanah lapang itu.
Abang balik, Mira. Nanti abang datang lagi!
Zafran menuju ke sekolah Maya walaupun jam baru menunjukkan pukul 12.00 tengah hari.
Masalah yang melanda membuatkan rindunya terhadap Maya mendesak. Menyeksa hatinya. Penat menanti di atas motosikal, Zafran duduk di perhentian bas. Perut Zafran mula berbunyi.
Ah, perut. Sabarlah sekejap. Nanti aku nak makan dengan anak aku! Dalam keadaan lapar itu, masakan kegemaran Amira menjelma di hadapan mata. Bau sup ayam yang segar seakan dapat dihidu oleh Zafran. Begitu juga dengan kepedasan sambal kicap yang semakin melazatkan sup ayam itu.
Abang lapar, Mira! Ayah lapar, kakak!
Keriuhan pelajar yang keluar dari pekarangan sekolah mengejutkan lamunan Zafran. Jam tangan dikerling.
Dah satu suku? Lamanya aku berangan!
Zafran berjalan mendekati pagar sekolah. Mata Zafran melilau mencari anak perempuan kesayangannya. Maya tidak kelihatan.
Mana kakak ni?
Lima minit berlalu, pelajar-pelajar semakin berkurangan. Zafran mulai resah.
Kakak tolong cikgu ke?
Dari jauh kelihatan Maya berjalan menuju ke pintu pagar utama sambil tersenyum. Langkahnya semakin laju apabila terpandangkan Zafran.
"Kenapa kakak lambat?"
"Ayah risau ya? Kakak tolong cikgu tadi."
"Tolong cikgu apa? Bawak buku? Kan beg kakak pun berat," selar Zafran. Dia kurang senang dengan tindakan Maya.
"Taklah. Tolong sapu sampah tadi." Maya menyeluk saku baju kurungnya. Dua biji gula-gula ditunjukkan kepada Zafran.
"Upahnya cikgu bagi ni."
Zafran senyum.
"Dah, jom! Ayah dah lapar ni."
Maya membonceng di belakang Zafran. Zafran menghulurkan topi keledar buat Maya.
"Kan dekat aje transit tu! Selalu kakak tak pakai pun."
"Hari ni kita balik terus. Ayah ambik cuti. Pakai cepat. Kita makan kat kedai. Tak payah kakak makan kurma telur lagi di transit." Zafran ketawa kecil.
"Ala, rindulah kat Ustazah Aisyah macam ni."
"Esok boleh jumpa ustazah tu."
"Kakak nak makan ayam goreng. Boleh ayah?"
"Kalau ayah kata tak boleh?"
"Kakak nangislah. Ayah mesti gabra, kan?" Maya ketawa.
"Pandainya anak ayah ni. Gabra tu apa?"
"Macam takutlah. Ayah ni... kat TV kan ada," jawab Maya girang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co