Truyen3h.Co

Mr. & Mrs. Sweet

Bab 10

karyaseni2u

DENGAN persalinan berwarna putih mutiara, Iman kelihatan amat jelita. Ditambah lagi dengan calitan mekap tipis berserta selendang yang menutupi kepala terserlah keayuannya yang jarang-jarang sekali dipamerkan. Hasil sentuhan jurumekap yang ditempah khas oleh ibunya, wajahnya kelihatan amat berlainan sekali.

Tapi itu semua masih tak mampu untuk menutup rasa debar dalam hati. Bunyi riuh-rendah di luar membuatkan larian jantungnya bertambah laju. Rombongan meminang sedari tadi sudah sampai. Mungkin sedang mengamalkan adat berbalas pantun. Adat warisan turun-temurun.

Tangannya berpeluh. Nasib baik boleh dikawal tabiat menggigit jari seperti kebiasaannya itu. Pintu biliknya dikuak. Kepala ibunya terjengul dari luar.

"Dah sedia? Jom."

Iman menarik nafas dalam. Cuba meredakan gemuruh hatinya. Baru bertunang dah separuh pitam macam ni, kalau kahwin nanti mahu koma terus! Tangannya yang sejuk menggenggam erat tangan ibunya. Memohon sedikit kekuatan. Ibunya tetap dengan senyuman keibuannya. Tangan dingin anaknya ditepuk perlahan seakan-akan memahami apa yang tersirat dalam hati anaknya tika itu.

"Semua orang tak sabar nak tengok anak ibu yang cantik ni." Dahi Iman dikucup lembut seperti kebiasaan.

Langkah diatur menuju ke mini pelamin yang telah tersedia di ruang tamu. Gemuruh dadanya makin menjadi apabila puluhan mata semua tertumpu kepadanya. Terasa langkah kakinya agak pengkar.

Dengan tertib dia melabuhkan punggung ke pelamin indahnya. Lagak gaya seperti perempuan Melayu terakhir dengan gaya bersimpuhnya. Ibunya tetap setia di sisi. Datin Sue Ann menghampiri dengan senyuman manis. Terpaku dia melihatkan kecantikan bakal menantunya yang jarang sekali dilihat. Rugi kalau Zariel masih lagi menidakkan pilihannya kali ini.

Jari runcing wanita jelita di hadapannya dicapai. Cincin berlian cantik disarungkan. Muat-muat saja. Tampak sepadan cincin tersebut di jari Iman yang putih melepak. Pantas saja Iman mencium tangan wanita separuh abad itu. Agak terkejut apabila Datin Sue Ann mengucup dahinya lantas ditarik tubuhnya rapat. Terasa syahdu apabila berada di dalam dakapan wanita lain selain ibunya. Baru dia sedar yang Datin Sue Ann juga berjiwa penyayang. Mudah-mudahan telahannya benar belaka.

"Terima kasih Iman sebab sudi jadi bakal menantu mommy." Ucapan tulus daripada Datin Sue Ann.

Dah mommy pula!

"I am speechless, Datin." Kekok pula dia ingin memanggil wanita itu mommy sedangkan selama ini hanya perkataan Datin yang bermain di bibir.

"Apa Datin lagi ni. Dah nak jadi famili, kan? So, from now on you should call us mommy and daddy. Boleh?"

Iman mempamerkan raut wajah serba salah. Ibunya di sebelah dijeling sekilas. Puan Manisah sekadar mengangguk. Segan pula rasanya!

"Baik, mommy."

Senyuman Datin Sue Ann makin meleret.

"Good girl." Buat kesekian kalinya dahi Iman yang terdedah diciumnya.

"Boleh kita mulakan sesi bergambar?" Entah dari mana munculnya jurugambar tempahan ni. Di tangan tersedia kamera berjenama selaku jurugambar profesional.

Iman menurut apabila tangannya ditarik oleh bakal mentuanya. Matanya liar memandang sekeliling. Mencari wajah yang mungkin dikenalinya.

"Zariel tak datang hari ni."

Rona wajah Iman bertukar apabila ditegur Datin Sue Ann. Ketara sangat ke? Hesy... Kantoi pula!

"Tapi mommy akan pastikan dia dapat tengok the best picture of you. Trust me."

Iman tersenyum menutup rasa malu yang mula bersarang dalam hati. Nak bertanya lebih rasa macam tak patut. Karang majlis bertunang jadi forum soal jawab pula.

Majlis berlangsung seperti yang diatur. Masing-masing kelihatan gembira. Terpancar keceriaan di wajah kesayangannya. Ibu, abah, along serta bakal mentuanya. Umi tidak ketinggalan. Beberapa kali diungkapkan rasa bersyukur kerana tanggungjawabnya sebagai orang perantaraan telah diselesaikan dengan baik sekali. Gembira wanita itu seperti telah pinangkan Iman untuk anaknya sendiri!

Iman cuba untuk bersikap optimis dan positif dengan apa yang terjadi dalam waktu yang singkat ini. Dalam tempoh sebulan dia akan menukar status dirinya sekali lagi. Mampukah dia?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co