Bab 9
ZARIEL IMRAN DATO ARIFF? Kenapa dia? Atau kenapa aku? Sedari semalam dia tidak tidur lena. Semenjak dikhabarkan ada rombongan meminang yang akan datang, dia sudah tidak keruan. Apatah lagi dimaklumkan rombongan tersebut datang daripada orang ternama, lagilah hatinya berderau. Otaknya bercelaru. Jiwanya kacau.
Tidak pernah terduga Datin Sue Ann yang baru dikenalinya boleh mengambil tindakan sedrastik itu. Malah disokong kuat oleh umi An Nur. Dia yakin ini bukan kehendak tuan punya badan itu sendiri. Sebab setahunya Zariel sudah punya pilihan hati. Terbayang di ruang mata adegan romantik yang pernah disaksikan suatu ketika dulu. Tapi kenapa dia tidak membantah?
Iman menekup wajahnya dengan bantal kecil berbentuk hati. Buat pertama kali, kepulangannya ke kampung pada hujung minggu tersebut disambut dengan tekanan yang maha berat. Dia masih tidak faham kenapa keluarganya dengan mudah menerima pinangan tersebut tanpa banyak soal. Adakah kerana pengaruh keluarga Dato Ariff? Yalah, siapa yang tak nak bermenantukan anak bilionair Malaysia. Berpangkat lagi. Atau mungkin juga pengaruh umi yang sememangnya amat dikenali oleh ahli keluarganya.
Umi lebih mengetahui baik buruk keluarga Dato Ariff dan Datin Sue Ann. Maka dengan itu, baik kata umi, baik jugalah pada keluarganya. Ke sebab ibu dan abahnya risaukan dia yang hampir lanjut usia tapi bayangan calon suami masih belum ada? Bagi orang tua yang masih berfikiran konservatif, umur 32 tahun untuk gadis sepertinya sudah boleh dikategorikan sebagai anak dara tua. Tapi itu bukan alasan untuk mereka terima lelaki yang lebih muda untuk dipasangkan dengan dia!
Biarpun Zariel memiliki pakej gred A+, tapi itu belum cukup untuk diterima oleh hatinya. Biar orang nak kata dia memilih sekalipun, dia tak kesah. Baginya perkahwinan bukan untuk sebulan dua. Matlamat perkahwinannya biarlah sampai ke jannah. Tapi dengan situasi sekarang, mampukah dia? Zariel sendiri macam mana? Kenapa dia tak kahwin dengan teman wanita jelitanya itu? Kenapa harus aku yang menjadi mangsa? Permainan apa yang sedang dimainkannya ni?
Tidak cukup dengan duduk, Iman kembali berdiri. Langkahnya mundar-mandir di dalam kamar yang sederhana luasnya. Sekali-sekala mulut kecilnya menggigit jari. Salah satu tabiat yang tak dapat dielak sendainya hati tidak tenang. Banyak betul persoalan yang bermain dalam minda. Satu pun tiada berjawapan.
"Berangan lagi! Jadi tua macam nenek kebayan baru tau!" Amirul Aiman mengusik adiknya.
"Sibuklah!" Iman menyinga. Geram dengan alongnya yang sedari tadi tak jemu mengusik.
"Manda tolong ibu, ya?" Puan Manisah muncul dengan dulang besar di tangan.
"Haaa... Pergi tolong ibu. Jangan asyik nak memerap aje. Karang otak pun jadi lembab," gurau Amirul sambil tergelak kecil.
"Ibu!"
"Mirul!" Puan Manisah sudah menjengilkan mata ke arah anak terunanya. Lantas bahu anak gadisnya ditarik. Kalau dibiarkan makin menjadi-jadi pula perangai dia orang.
Iman mengikut langkah ibunya yang menghala ke laman rumah. Sekali dia berpaling memandang wajah abangnya yang masih tersengih. Bibir diketap geram. Isyarat penumbuk ditunjukkan dengan buku limanya.
"Manda tak gembira?" Puan Manisah menyoal anak gadisnya yang berwajah mendung. Rambut lurus keperangan milik Iman dielus lembut. Sejak dikhabarkan berita pertunangan, Iman kelihatan monyok sepanjang hari. Seperenggan ditanya, sepatah juga dijawabnya.
Iman mengorak senyum tipis. Jarinya sibuk memintal-mintal bunga telur yang telah siap digubah tanpa tujuan. Dia pun tak pasti apa rasa hatinya sekarang. Semua bercampur baur.
"Ibu dan abah mahukan yang terbaik buat Manda."
"Tapi kenapa mereka? Sebab mereka kaya?" Iman meluahkan rasa ketidakpuasan hati. Rasa yang dari semalam terbuku dalam hati.
"Ya, sebab mereka kaya," tutur Puan Manisah dengan senyum tipis. Mahu diduga anak itu. Dapat ditangkap pandangan tajam yang terbit dari mata anak gadisnya.
"Mereka kaya dengan adat dan budi bahasa."
Iman mendengus. Sebab tu aje?
"Kalau dah nak sesuatu memanglah kena buat baik, ibu." Sinis aje bunyi bicara Iman.
"Hesy... Tak baik cakap macam tu. Manda sendiri pun dah kenal mereka, kan? Ada nampak kekurangan kat mana-mana tak?" Kelihatan Iman diam membisu.
"Gerak hati ibu cakap famili Datin Sue boleh jaga anak ibu ni dengan baik. Mereka bukan setakat kaya harta aje, tapi kaya dengan budi bahasa juga sampai ibu dengan abah tak rasa kekok nak bergaul dengan golongan atasan macam mereka."
Datin Sue Ann dengan Dato Ariff memang diakui baik. Malah kadang-kadang terlebih baik. Tapi Zariel sendiri macam mana? Mampukah lelaki itu menjaganya seperti seorang suami menjaga isterinya? Hatinya rasa tak tenang.
"Manda tak kenal pun Zariel tu macam mana orangnya, bu. Setahu Manda, dia dah ada teman wanita. Manda tak fikir dia pun setuju dengan pertunangan ni." Mula terbayang wajah maskulin milik Zariel di ruang mata.
"Ini jodoh namanya. Mungkin ada sebab kenapa famili dia datang pinang anak ibu ni. Mereka berkenan dengan Manda. Ibu dengan abah pun tengok Zariel tu tak kurang hebatnya. Sesuai dengan Manda. Status dan kekayaan tu jatuh nombor dua," ujar Puan Manisah. Hati anak gadisnya tak susah untuk dilembutkan. Yang penting, jangan berkeras.
"Entahlah, ibu. Manda dah tak tahu nak cakap apa. Manda reda aje. Baik pada ibu dengan abah, insya-Allah baik juga pada Manda," akur Iman. Tak guna juga kalau dia mahu mengubah perancangan pada saat-saat akhir. Semua sudah terlambat. Esok tengah hari dia bakal menjadi tunangan orang. Tak sangggup rasanya ingin memalukan keluarga dengan melarikan diri. Itu cuma terjadi dalam cerita Tamil saja.
Puan Manisah tersenyum lega. Tenang hatinya mendengarkan kata putus dari mulut anaknya sendiri. Dengan persiapan yang telah dibuat, risau juga dia kalau-kalau gadis itu tiba-tiba buat perangai. Lari meninggalkan majlis walaupun dia yakin anaknya tidak akan melakukan perkara yang boleh memalukan keluarga.
"Alhamdulillah, lega ibu dengar. Mudah-mudahan anak ibu bahagia dunia akhirat." Telapak tangan Iman digosok lembut.
"Insya-Allah, ibu." Senyum tipis terukir di bibir mungil Iman. Tak pasti ia ikhlas atau tidak.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co