Truyen3h.Co

Mr. & Mrs. Sweet

Bab 5

karyaseni2u

IMAN memberhentikan Honda Jazznya. Wajah dan rambutnya ditilik seketika melalui cermin pandang belakang. Kemas! Hari ini dia mewakili Encik Hariz untuk berjumpa dengan pengasas Rumah Kebajikan An Nur berkenan biasiswa tajaan Hariz Holding. Setiap tahun beberapa orang pelajar cemerlang akan dipilih untuk menerima biasiswa melanjutkan pelajaran ke luar negara yang mana akan ditanggung sepenuhnya oleh Hariz Holding.

Langkah kaki diatur penuh yakin.

Entah kenapa tiap kali dia berkunjung ke sini, hatinya dipagut rasa sayu. Dia rasa sangat bersyukur kerana masih mempunyai keluarga yang lengkap dengan seorang ibu yang penyabar, abah yang memahami dan abang yang penyayang berbanding anak-anak di rumah kebajikan ini yang kebanyakannya anak yatim piatu dan tiada saudara-mara. Kalau pun ada, anak yatim ini tetap dihantar ke sini lantaran taraf hidup yang tinggi dan tidak mampu untuk menyara keluarga mereka. Maka di sinilah mereka membesar dengan jaminan hidup yang lebih baik dan bantuan daripada sektor-sektor korporat bagi meneruskan kelangsungan hidup di sini apatah lagi dengan pertambahan ahli baru saban tahun.

"Eh... Iman. Buat apa kat tengah panas tu?"

Iman tersentak. Pantas badannya dipusingkan menghadap ke arah empunya suara. Kelihatan Puan Sharifah sedang tersenyum kepadanya. Dia bukan seorang. Tapi berdua. Cantik! Perkataan itu yang terlintas dalam benaknya. Malu pula Iman apabila ditangkap sedang berkhayal. Di tengah-tengah panas pula tu.

Pantas tangan wanita bertudung labuh yang hampir sebaya ibunya dicapai dan diciumnya seperti kebiasaan.

"Assalamualaikum, umi." Tubuh wanita yang dipanggil umi oleh semua penghuni di situ dipeluk seketika.

"Umi sihat?"

Puan Sharifah tersenyum dengan tingkah wanita muda itu. Lengan Iman diusap lembut.

"Waalaikumussalam. Umi sihat, Iman. Alhamdulillah."

"Umi kenalkan, ini Datin Sue. Salah seorang penyumbang di sini. Datin, ini Iman, dari Hariz Holding."

Wanita yang diperkenalkan sebagai Datin Sue Ann tersenyum ramah. Dengan gaya penampilan yang elegan itu, memang melayakkannya untuk dipanggil Datin. Status harus dijaga.

"Apa khabar, Datin?" Iman beramah mesra. Tangan dihulur.

"Baik, Iman." Dia agak terkejut dengan tindakan spontan Iman yang tiba-tiba tunduk mencium tangannya. Jarang ada orang yang menyalaminya begitu. Bukan tak suka tapi lebih kepada terharu. Terpaku kejap dia dengan pakej yang ada pada gadis di hadapannya.

"Hariz Holding? Pemiliknya Hariz Akmal kalau tak silap." Datin Sue Ann memandang tepat ke anak mata coklat cerah milik Iman. Cantik!

"Datin kenal Encik Hariz ke?" Glamor juga bos aku ni ya, detiknya.

"Macam mana I tak kenal? Salah seorang businessman di Malaysia. Tapi I dah lama sangat tak jumpa dia. Dah tiga tahun kalau tak silap. Sekarang, I dah kurang terlibat dalam urusan syarikat. Semua Dato yang uruskan. Sekarang pun dia dah serahkan syarikat kepada anak, jadi, no more business matters. Kami dah tua. Dah layak untuk pencen pun," ujar Datin Sue Ann seraya ketawa kecil.

Iman turut ketawa.

"But you still look young, Datin." Mungkin ayat tu bunyi macam mengampu tapi dia memang serius. Penampilan yang dibawa oleh Datin Sue Ann mampu menyembunyikan umurnya yang sebenar.

"Hesy... I dah layak duduk rumah main dengan cucu aje sekarang."

"Wow! Mesti cucu-cucu Datin bangga punya nanny macam Datin. Masih nampak kuat. Boleh ajak main kejar-kejar keliling rumah."

Iman terbayang arwah neneknya. Semasa hayat neneknya juga boleh dikategorikan sebagai warga tua yang kuat. Mampu lagi bersawah pada umur 70 tahun. Paling hebat apabila dia dan abangnya dikejar keliling rumah dengan penyapu gara-gara tanpa sengaja telah merosakkan padi yang dijemur nenek. Berbirat jugalah betis mereka dilibas dengan penyapu lidi yang keras tu.

"You memang pandai bergurau, Iman. Kalaulah I ada cucu sekarang, memang I sanggup main kejar-kejar dengan dia orang." Datin Sue Ann cuba membayangkan hidupnya dikelilingi oleh cucu-cucu yang comel dan aktif. Bertuahnya rasa! Tapi anak bertuah tu pula masih belum beri kata putus mengenai cadangannya. Cadangan yang lebih kepada arahan sebenarnya.

"Errr... Okeylah. Saya kena pergi dulu. Ada hal." Pandangan Datin Sue Ann kepada dua generasi wanita di hadapannya bersilih ganti.

"Nice meeting you, Iman."

"Nice meeting you too, Datin." Sekali lagi tangan wanita jelita itu dicium penuh hormat.

Entah kenapa hati Datin Sue Ann tercuit apabila terpandangkan wajah Iman yang polos dengan solekan tipis. Hatinya bagai tertarik dengan gadis tersebut.

"Puan Sharifah, I balik dulu. Kalau ada apa-apa, bagi tahu saya."

"Baiklah, Datin. Terima kasih banyak-banya. Hanya Allah yang mampu membalasnya." Sopan tutur Puan Sharifah.

Kata-kata Puan Sharifah dibalas dengan senyuman oleh Datin Sue Ann sebelum mengatur langkah menuju ke arah pemandu peribadi yang sedia menunggu di sisi BMW 5 Series hitamnya.

"Jom masuk ofis. Banyak nak bincang ni," kata Puan Sharifah sebaik sahaja kereta mewah milik Datin Sue Ann hilang dari pandangan.

"Haaa... Itulah. Oh ya, Encik Hariz kirim salam kepada umi. Dia minta maaf sebab last minute tak dapat datang."

"Waalaikumussalam. Tak apalah Iman, umi faham. Iman datang ni pun umi dah bersyukur sangat."

Mereka beriringan menuju ke pejabat Puan Sharifah. Sejuk penyaman udara terasa menyamankan kulit Iman sementelah sedari tadi dia berdiri di luar. Segar rasanya.

"Senarai dua puluh lima orang pelajar cemerlang SPM tahun lepas umi dah siapkan. Cuba tengok." Kertas bertukar tangan.

Iman meneliti setiap helaian kertas yang umpama resume itu satu per satu. Hampir keseluruhan dapat semua A. Paling cemerlang pula tu. Bangga dia dengan kejayaan anak bangsanya. Teringat zaman kegemilangannya dulu. Tiada rezeki untuk sambung belajar ke luar negara maka dia menyudahkan ijazah dalam bidang Komunikasi Media di UKM.

"Wow! Meningkat dari tahun lepas, kan umi?"

Puan Sharifah tersenyum.

"Alhamdulillah, Iman. Umi pun tak sangka."

"Encik Hariz mesti gembira kalau tahu pasal ni."

"Bila Encik Hariz nak buat sesi temuduga nanti?"

Dahi Iman berkerut seperti memikirkan sesuatu.

"Mmm... Saya kena tengok jadual Encik Hariz dulu tapi rasanya dalam minggu depan boleh kut."

Sesi temuduga dibuat untuk mengenal pasti pelajar yang paling layak untuk dihantar ke luar negara di samping menentukan bidang yang akan dipilih oleh mereka. Yang mana tidak bernasib baik juga tetap berpeluang sambung belajar dalam negara dan tanggungan masih di bawah Hariz Holding sepenuhnya.

"Baguslah. Boleh umi info mereka awal-awal. Sekurang-kurangnya dia orang boleh buat persediaan sikit." Puan Sharifah membetulkan cermin matanya yang melurut turun.

Iman mengangguk.

"Oh ya, umi..." Tangannya sibuk menggagau beg tangannya. Sekeping cek dikeluarkan.

"Encik Hariz kirim cek ini untuk kos penambahan bangunan tu." Cek bernilai RM50,000.00 bertukar tangan.

"Eh... Cek apa lagi ni, Iman? Kos penambahan bangunan tu kan dah ditanggung sepenuhnya oleh Hariz Holding. An Nur dah tak keluarkan satu sen pun." Dahi Puan Sharifah berkerut. Riak serba salah jelas kelihatan di wajah wanita separuh abad tersebut.

Iman mengukir senyum tipis. Seakan-akan memahami rasa yang terbuku dalam jiwa Puan Sharifah.

"Duit ini untuk umi beli segala kelengkapan bagi bangunan baru tu. Ni pun saya tahu tak cukup tapi insya-Allah Encik Hariz takkan keberatan untuk menolong selagi dia termampu."

Nafas berat dihela. Betapa bersyukurnya dia hanya Tuhan yang tahu. Tuah Rumah Kebajikan An Nur ni jumpa dermawan seperti Hariz.

"Umi dah tak tahu nak cakap apa dah, Iman. Hanya Allah yang mampu balas budi Encik Hariz."

Iman mengangguk kecil. Hikmah di sebalik kematian Puan Rose, Hariz jadi lebih lembut hati. Duit bukan lagi agendanya. Yang penting ketenangan hidup. Berkongsi sedikit kesenangan dan kemewahan dengan insan yang lebih memerlukan mampu memberi seribu satu rasa yang sukar diungkapkan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co