Truyen3h.Co

Mr. & Mrs. Sweet

Bab 8

karyaseni2u

ZARIEL IMRAN termenung jauh. Anak matanya asyik memerhatikan anak-anak ikan koi peliharaan daddynya yang berenang tenang. Namun kenapa hatinya tidak sedamai itu? Sebulan telah berlalu semenjak Aalia tinggalkan dia demi mengejarkan cita-citanya.

Kecewanya menggunung dengan tindakan yang tidak dijangka daripada Aalia. Sangkanya Aalia akan berlembut hati demi kesinambungan kasih mereka. Tapi ternyata percaturannya silap. Kerjaya mendahului segala-galanya.

Derita dan sakit hatinya berganda apabila pemergian wanita itu tanpa sebarang pamitan kepadanya. Hanya secebis nota yang menjadi perantara.

I am sorry, Zariel. I terpaksa pilih yang terbaik untuk diri I... Dan I rasa I perlu ikut kata hati I untuk kali ini. Bukan sebab I tak sayang you, cuma I perlukan sedikit ruang untuk I capai apa yang I impikan selama ni. I harap you faham. Beri I tempoh untuk I capai cita-cita I dan I janji akan kembali kepada you. - Aalia.

Sebulan juga dia hanyut dalam dunianya. Dia bukan Zariel yang dulu. Jiwanya sepi. Hatinya hancur. Mindanya sentiasa dibayangi wajah Aalia. Kuat betul penangan wanita tersebut. Enam tahun mereka menyulam kasih namun dalam sekelip mata dia ditinggalkan. Lantaran itu hidupnya dihabiskan dengan kerja. Keluar pagi pulangnya lewat malam. Hanya itu caranya untuk dia tidak melayan perasaan laranya.

Kemuncak mogoknya apabila dia dipaksa menghadiri majlis kesyukuran anjuran badan kebajikan yang dinaungi oleh syarikatnya. Demi mommy yang kelihatan bersungguh-sungguh ingin dia hadir, maka dia akur. Dan buat ke sekian kalinya mommy mengungkit kembali hasratnya yang satu itu. Hasrat yang telah menjarakkan dia dengan kekasih hatinya. Tapi dia tetap anak yang baik. Setiap patah kata mommynya walau dibantah sekalipun dia tetap akan turut jua. Walaupun dalam hati menjerit tidak, namun akalnya tetap mendahului bicara hati.

Badan disandarkan ke kerusi. Mata dipejamkan. Nafas ditarik dalam. Cuba meredakan apa yang terjadi kepadanya. Mungkin dengan cara itu jiwanya kembali tenang.

"Mommy dah ada calon yang sesuai buat Im," tutur Datin Sue Ann lewat petang semalam. Dalam hatinya dipanjatkan kesyukuran dengan tindakan Aalia walaupun cara tersebut kelihatan amat terkesan sekali kepada anak terunanya. Tapi dia yakin Zariel mampu tanganinya sebaik mungkin. Dia anak yang kuat.

Zariel masih tidak berkutik. Bukan dia tak dengar bicara mommynya. Malah jelas sekali bait-bait tersebut di telinganya. Namun dia malas nak melayan celoteh mommynya itu. Selepas isyak dia sampai rumah, kerja-kerja pejabat disambung di kamarnya.

Datin Sue Ann memerhatikan anak terunanya yang tidak bereaksi. Hati keibuannya agak tersentuh. Bukan kerana kehadirannya diabaikan tapi melihatkan longgokan fail-fail pejabat di atas meja kerja anaknya. Lelaki itu bekerja keras semata-mata ingin melupakan kesedihan hati walaupun jam sudah menginjak ke angka 11.30 malam!

"Im dengar apa yang mommy cakap?" Datin Sue Ann tetap menggunakan pendekatan diplomasi dengan anaknya. Amaran suaminya agar tidak terlalu berkeras sentiasa diingatnya.

"Im dengar mommy." Selamba jawapan yang keluar dari bibir Zariel. Itu pun tanpa memandang wajah wanita di hadapannya. Jarinya laju menekan papan kekunci Notebook. Sekali-sekali tangannya mencatitkan sesuatu pada fail yang sedia terbentang di atas meja.

"Mommy dah merisik dia untuk Im."

Ternyata ia mengejutkan Zariel. Riak wajahnya berubah.

"Apa?!"

Datin Sue Ann tetap berwajah tanpa perasaan. Dia memang dah nekad dengan perancangannya. Ibu bapa empunya diri pun sudah ditemui dua hari lepas. Semua mengikut seperti dirancangkan walaupun kehadirannya bersama rombongan kecil memang ternyata mengejutkan mereka. Tapi berkat pemilihan orang perantaraan yang boleh dipercayai ternyata membuahkan hasil. Dan sekarang tugasnya hanya memujuk anak terunanya. Bukan satu kerja mudah!

"Mommy buat apa ni? Kenapa tak beritahu Im dulu sebelum buat keputusan nak merisik?" Kepala Zariel digelengkan beberapa kali. Kadang-kadang dia terpaksa akui bahawa hatinya agak kecewa dengan tindakan mommynya yang melulu tanpa perbincangan.

"Lagipun Im tak kenal dia. Entah siapa-siapa yang mommy pilih."

"Mommy tahu pilihan mommy memang terbaik buat Im. Trust me."

"Mommy tahu tak apa yang dah jadi kepada Im sekarang ni? Aalia dah tinggalkan Im dan sekarang mommy beria-ria paksa Im kahwin dengan entah mana-mana perempuan semata-mata nak penuhi keinginan mommy yang merepek tu." Oktaf suara Zariel cuba dikawal.

"Mommy dah bagi Im peluang untuk kahwin dengan Aalia, kan? Tapi sekarang, tengok apa yang dia dah buat kepada Im? Dia lebih pentingkan kerjaya model dia daripada Im sendiri! Perempuan macam tu ke yang Im nak sehidup semati?" tingkah Datin Sue Ann geram.

"Dia masih muda mommy dan bukan salah dia kalau dia ingin berjaya dulu. In fact, kita orang tak pernah terfikir pun nak kahwin dalam waktu terdekat ni. Dia ada impian dia dan Im pun ada impian Im sendiri. Tapi mommy yang tiba-tiba datang dengan idea yang tak masuk akal ni."

Datin Sue Ann mengetap bibir.

"Tapi itu tak bermakna dia boleh tinggalkan Im sesuka hati dia. Kalau betul dia cintakan Im, kenapa tidak dia berkorban? Bayangkan, suatu hari nanti Im hidup dengan dia, tiba-tiba dia menghilangkan diri hanya kerana nak penuhi impian dia tu. Lagi satu, mommy tak berkenanan dengan kerjaya dia tu. Sanggup ke Im nak tengok berpuluh-puluh mata jantan liar pandang susuk tubuh dia kat atas pentas tu? Bila dah kahwin, itu adalah hak Im, bukan orang lain. Jangan bagi tahu mommy yang Im sikit pun tak ada rasa apa-apa pasal ni."

Zariel terdiam. Tidak dinafikan ada betulnya apa yang dikatakan oleh mommynya. Tapi disebabkan rasa bangga dapat berpasangan dengan model jelita yang terkenal, dia abaikan perasaan itu. Baginya lelaki lain sekadar dapat memandang dari jauh sedangkan dia lebih bertuah kerana memiliki wanita yang menjadi igauan setiap lelaki. Biarpun pada hakikatnya dia terpaksa kongsi pandangan dengan mata-mata liar di luar sana.

Melihatkan Zariel yang tidak bereaksi, Datin Sue Ann mendekati puteranya. Bahu sasa anaknya diusap lembut.

"Believe me, you won't regret," tuturnya perlahan. Sekeping gambar diletakkan di hadapan anaknya.

Zariel terpaku. Gambar tersebut dicapai. Pandangannya bersilih ganti antara mommy dengan gadis di dalam gambar tersebut.

"Kenapa dia?"

"Why not?"

"She is seven years older than me." Tidak pernah terlintas untuk berpasangan dengan wanita yang berpangkat kakak kepadanya. Bukan kerana umur yang menjadi persoalan sebenarnya. Tapi hati yang berperanan utama.

"Itu hanya angka. In fact, mommy tak nampak pun dia tua kat mana. Yang penting dia boleh jaga dan handle anak mommy sorang ni." Rambut perang Zariel digosok lembut.

"Jangan terlalu yakin, mommy. Mommy pun baru kenal dia, kan?"

Datin Sue Ann tersenyum.

"Mommy yakin dengan pilihan mommy."

Zariel tersenyum sinis.

"Im tak nampak kat mana kelebihan dia sampai mommy bersungguh-sungguh dengan dia."

"Mommy pun tak nampak kat mana kurangnya dia sampai Im tak nak terima dia."

"Im tak nak kecewakan dia, mommy sebab Im tak fikir Im boleh sayangkan dia. Hati Im masih ada Aalia."

"Perasaan tu boleh dipupuk selepas kahwin." Entah apa yang diharapkan kepada model tu lagi! dengus hati kecil Datin Sue Ann.

Zariel menggelengkan kepala beberapa kali sambil ketawa kecil. Gambar tersebut kembali diletakkan di atas meja.

"I don't think so."

"Whatever. Perkahwinan ini akan tetap berlangsung dan untuk pengetahuan Im, hujung minggu depan mommy akan hantar rombongan meminang. Sebulan kemudian majlis akan dilangsungkan." Kedengarannya agak tegas kata-kata yang keluar dari mulut Datin Sue Ann.

Zariel melopong.

"Do I have any option?"

"Nope!"

"Dia tahu pasal ni?" soal Zariel. 'Dia' merujuk kepada gadis di dalam gambar tersebut.

Datin Sue Ann kelihatan mengerut dahi.

"Emmm... Kalau ikutkan sekarang ni dia sepatutnya dah tahu."

"Apa? Maksud mommy dia pun macam Im juga? Terpaksa kahwin? Macam tu?!" Anak mata mommynya dipandang tepat. Terbayang wajah polos gadis yang baru beberapa kali dijumpanya. Kesian! Gadis yang tak bersalah turut mejadi mangsa dalam rancangan mommynya.

"Hei, jangan cakap macam tu, ya! Nampak macam mommy ni jahat pula paksa-paksa anak orang kahwin."

"Dah memang ya pun!" getus Zariel perlahan namun sempat didengari oleh Datin Sue Ann.

"Mommy yakin dia belum berpunya. Kalau tak, takkan famili dia terima masa mommy merisik dua hari lepas." Datin Sue Ann tetap tidak berputus asa. Keinginan untuk bermenantukan gadis itu terlalu kuat. Hatinya berkenan dengan tingkah laku yang dipamerkan dan dia benar-benar yakin pilihannya tidak silap.

Zariel mengusap rambutnya yang tidak gatal. Dahi berkerut seribu. Dengan keadaan sekarang dia tidak mempunyai sebarang sokongan. Daddy sekadar mengikut rancangan mommy. Baik pada mommy, baiklah pada daddy. Nak diharapkan pada Zetty Amsyar, satu-satunya adik perempuan yang dia ada pun tak boleh. Gadis itu jauh di bumi Eropah sana. Tinggal dia seorang terkontang-kanting melayan kehendak mommy. Diluah mati mak, ditelan mati bapak.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co