Truyen3h.Co

MUA MOST WANTED

Bab 11

karyaseni2u

"Ruru, kau buat apa tu?" soal Lara yang baru sahaja sudah menghantar sepuluh bab pertama manuskrip barunya kepada editor khas Datin Lulu. Gila sungguh. Baru Ahad lepas dia call untuk mengetahui perkembangan terbaru karyanya dan Ahad tadi sudah minta 10 bab yang pertama untuk dinilai. Memang diktator sungguh!

"Syhhh. Jangan bising. Aku tengah menghendap ni," balas Ruru sambil peluk Si Jerry, santai. Lara angkat kening tinggi. Menghendap? Siap ajak Jerry lagi?

"Sejenis menghendap gaya apa macam tu, Ruru? Orang menghendap tepi dinding. Melalui lubang ke apa. Kau menghendap tepi balkoni. Itu bukan menghendap namanya, Cik oiii. Itu curi dengar orang cakap telefon namanya."

"Hoi. Perlahanlah sikit. Dia dengar nanti, macam mana? Isyhhh kau ni, kan. Kalau bercakap dengan aku aje mesti macam gaya orang tertelan pembesar suara. Cuba kalau cakap dengan Si Alif Ba macam hari tu? Bukan main lagi macam gadis Melayu terakhir. Suara dengar tak dengar aje. Yang aku dengar, bunyi macam ular. Sss... Sss."

"Shut up, you!"

Ruru ketawa mengekek. Puas hati dia dapat kenakan Lara walhal sebenarnya bukanlah nak kenakan sangat tapi lebih kepada berpesan-pesan secara tak berapa hikmah.

"Okeylah. Aku mengaku. Aku curi dengar suara orang tengah menyanyi. Suara dia sedap kut, Lara. Nak kata husky pun boleh. Rare gitu. Selalunya hujung minggu pagi-pagi adalah dengar suara dia tapi hari ni tak ada pula. Peliklah. Takkan dah arwah kut!

"Choi! Mulut kau tu, Ruru. Tak baik tau. Eh, jiran yang mana satu kau skodeng ni? Kiri, kanan, atas atau bawah?" soal Lara seakan-akan berminat.

Ruru tidak menjawab. Cuma jari telunjuknya sahaja yang bagi isyarat ke atas.

"Atas? Gegel ke boboi?"

"Eh, haruslah boboi. Aku belum cukup lesbianlah nak skodeng gegel," sanggah Ruru beria-ia. Pecah tawa Lara.

"Minat suara orang tak menjadikan kau gay atau lesbianlah, mak cik oi. So, handsome ke mamat atas ni?"

"Manalah aku tahu. Bukannya aku pernah naik tingkat atas, say hi dan mintak autograf pun. Tak adalah segigih tu pun."

"Hahaha. Manalah tahu, kan. Calon jodoh ke. Kan? Tapi kan Ruru, orang duk kata. Orang duk katalah, kan. Kalau lelaki suara sedap ni biasanya tak handsome. Gemuk!"

"Yalah tu. Dato Diti Nurhaliza tu kurus saja orangnya tapi suaranya sedap."

"Aku kata lelakilah. Le. La. Ki."

"Anuar Zain tu..." sampuk Ruru lagi.

"Orang katalah. Bukan aku!" sangkal Lara, bengang.

"Pula dah. Kau bukan orang ke?" soal Ruru, polos.

"Ruhaines binti Rahim!" jerit Lara sekuat hati. Tersengih-sengih Ruru dibuatnya.

"Alamak beb, tak payahlah jerit kuat-kuat. Nanti cik abang atas dengar, terus dia kenal aku dah. Malulah I!"

Lara tepuk dahi. Parah!

"Yalah-yalah. Aku tahu apa yang kau nak maksudkan. Kau nak bagi contoh Udit Narayan, kan? Serius beb, dulu-dulu aku ingat Shah Rukh Khan yang nyanyi lagu Kuch Kuch Hota Hai tu. Sekali tu bila Salman Khan pula keluar, ehhh sama pula suaranya. Rupa-rupanya? Alahai. Miming aje!"

"Haaa bijak pun. Tapi bukan semualah macam tu, kan? Bak kata kau, Anuar Zain pun suara sedap. Biasalah kan, masyarakat kita ni taboo sangat. Cepat sangat buat kesimpulan dari beberapa kes yang depa tahu."

"Yup! Betul tu! Maka dengan ini aku yakin yang mamat tingkat atas ni sebaliknya. Aku boleh bayangkan yang orangnya memang..."

Jeda sebentar.

"Susah nak cakap. Nanti kalau dia nyanyi lagi aku panggil kau, tau. Serius wei. Sedap gila suara dia," cerita Ruru beria-ia.

"Bukan sedap. Merdu. Sila gunakan perkataan yang bersesuaian ya, Cik Ruru."

"Eh, menyampahlah pula bercakap dengan penulis ni, kan? Kerjanya nak membetulkan ayat aku aje," bebel Ruru.

"Habis tu? Kau tak rasa aku menyampah bila asyik kena tegur pasal mekap, pasal bertudung dek kau selama ini?"

Ruru sengih.

"Itu lain, beb. Menutup aurat tu kan, kewajiban bagi setiap wanita Islam. Kau Islam, kan? Kita sama-sama saudara seislam. Aku sayang kau Ra, sebab tu aku selalu pesan. Ajak kau supaya menutup aurat."

Lara telan liur, berat. Senyum cuba dilebarkan tapinya nampak kekok. Bukan tak betul apa yang Ruru cakapkan. Semua betul. Tapi, entahlah. Kenapa hatinya masih berdegil untuk tidak menurut kewajiban yang satu ini. Berat rasanya.

"Eh, Ra! Aku baru perasan la. Jari kau tu!"

Mata bulat Lara berhenti berkelip seketika. Alamak! Cincin! Kantoi untuk ke sekian kalinya. Macam mana dia boleh lupa nak tanggal dan simpan dekat rumah papa hari tu, ya? Pada Ruru yang sudah berubah wajahnya menjadi kelat dihadiahkan senyuman secukup rasa.

"Kau bertunang lagi ya, Lara?" soal Ruru dengan wajah serius.

Lara lepaskan keluhan panjang sebelum kepalanya diangguk perlahan. Ikutkan hatinya, rasa nak bohong saja tapi dah tak sempat. Tertangkap sebelum sempat berbohong.

"Seperti biasa, kau tak tahu pun kan pasal majlis tu? Untuk ke sekian kalinya?"

Lara angguk lagi. Kali ini Ruru pula yang buang keluhan panjang. Sambil berpeluk tubuh, bahunya disandar ke dinding balkoni.

"Kau tak penat ke, Lara? Asyik-asyik benda yang sama berulang. Bertunang lepas tu putus. Bertunang lagi tak lama selepas itu dan putus lagi?"

Lara senyum tipis. Kali ini dia menggeleng.

"Kau ni macam tak kenal akulah, Ru. Aku ni kan ala-ala dah kena sumpahan Mahsuri. Kalau lagenda Mahsuri dulu, 7 keturunan dia disumpah. Mungkin untuk aku, lelaki yang ketujuh baru yang itu jodoh aku agaknya. Eh, dah macam web drama terbaru Korea la! Seven First Kiss gitu."

"Raaa.. Aku serius ni. Kau tak penat ke?"

Lara mengeluh perlahan. Ala Ruru ni, serius sangatlah pula.

"Tak apalah. Berapa kali pun aku kena bertunang, bukan masalah aku pun, Ruru. Yang kena keluar duit, papa aku. Aku relaks aje. Aku cuma perlu pakai baju cantik-cantik, muka kena solek. Lepas sarung cincin tunang, senyum. Aku tak rugi apa pun, kan?"

"Lara..." panggil Ruru panjang.

"Apa?" soal Lara dengan wajah tak bersalah.

"Kau tak rasa bersalah ke pada family kau, Ra? Pada papa kau? Pada family lelaki tu? Tahun ni aje, setakat bulan ni kau dah dua kali putus tunang tau!"

"And the list will go on selagi papa aku tak letih nak carikan calon menantu untuk dia kembangkan lagi business dia tu. Kau ingat aku tak bosan ke, Ruru? Aku ni punyalah anti sangat kalau tengok drama atau baca novel yang pasal kahwin sebab harta pusaka, pangkat tapi akhirnya? In real life, aku yang kena. Soalan paling utama yang aku teringin sangat nak tanya pada papa, kenapa aku? Kenapa tidak si kembar double H yang menggeletis tu?"

"Dan aku pula dari dulu tertanya-tanya kenapa kau ikutkan juga idea papa kau tu walaupun kau tak suka? Lepas tu bila dah berjanji, majlis nak dekat, kau buat hal yang kalau orang tak perasan akan anggap lelaki tu yang punya sebab majlis dibatalkan. Aku tahu kau buat semua ni bukan sebab harta kan, Ra? Apa yang kau ada sekarang ni pada aku dah cukup. Datin Lulu memang dah buat kau macam anak kandung dia."

Lara gelak besar.

"Kalau ikutkan hati aku ni, aku dah malas dah sebenarnya nak jejak rumah tu. Itu bukan tempat aku, Ruru. Aku cuma menumpang aje dekat sana. Ini rumah aku, syurga aku. Mujurlah Datin Lulu bermurah hati nak hadiahkan rumah ni pada aku. Family aku cuma kau, Ru. Aku tak tahulah kalau kau dah kahwin nanti, apa akan jadi pada aku. Duduklah dekat sini ala-ala Rapunzel gayanya menunggu tuan putera datang selamatkan aku," balas Lara dalam nada seloroh sambil tersengih sendiri.

"Ada hati lagi tu nak berangan jadi Rapunzel! Tuan puteranya pun entah hidup lagi ke tak. Mereput kau tunggu dia, Ra oi," balas Ruru sambil gelak mengekek.

Lara turut sama tertawa sebelum tawanya mati tiba-tiba.

"Sebut pasal Rapunzel, aku baru teringat sesuatu."

"Hmmm? Sesuatu?"

"Yup. Kau ingat tak aku ada cerita yang aku ada berhutang dengan mamat mana entah masa aku lupa bawa purse turun breakfast hari tu?"

Ruru paksa memorinya direwind semula sebelum dia mengangguk kecil.

"Haaa ada. Ada. Kenapa?"

Lara gelak sendiri sebelum tutup muka menahan malu.

"Betullah dunia ni bulat kan, Ru? Pusing-pusing jumpa balik aku dengan mamat tu. Kau tahu apa dia buat dekat rumah papa aku semalam?"

Ruru geleng laju tapi mata terbeliak seakan-akan membayangkan sesuatu yang tak dijangka.

"Jangan kata dia tu tunang kau? Biar betul, mak cik?"

Lara gelak besar.

"Aiyooo hakak. Too cliche! Teka lagi. Teka lagi."

"Kembar kepada tunang kau?"

"Kembar-kembar jangan sebut boleh? Terbayang si double H annoying tu. Salah. Teka lagi!"

Kening Ruru berkerut dahsyat. Fikir Ruru, fikir!

"Pengapit tunang kau?"

"Dei, tunang mana ada sanding-sanding la. Tak payah nak gigih berpengapit segala," sanggah Lara lagi.

"Eh, malaslah aku nak teka. Rajin pula aku nak main teka-teki teka tekuk dengan kau ni, kan?" rungut Ruru sambil mengatur langkah ke arah sofa. Letih berdiri!

"Dia pak andam aku!"

Tak jadi Ruru nak duduk. Mata terbeliak, mulut ternganga.

"Serius?"

Lara angguk laju.

"Seteng ke?"

"Maksud kau, sotong? Lembut?"

Ruru angguk.

"Totally no. Ini gred premium. Most wanted punya. And he is so..." Kata-kata Lara terhenti disitu. Liur tertelan sendiri bila teringatkan semula kes dia lentok baik punya dengan pak andam buku lima yang berkira tu. Urghhh! Malunya! Benci PMS! Kalau tidak, dijamin tak adanyalah drama air mata sebabak macam tu.

"He is so?" soal Ruru lagi.

"Tak ada apalah. Aku nak sambung menulis. Kau dah siap menjahit, kan? Bolehlah masak apa-apa yang patut. Kalau malas masak, kau call kan Domino's boleh? Bil hantar dekat Datin Lulu. Aku masuk dulu, ya? Bye!"

Bergegas Lara masuk ke biliknya sebelum terbit lagi soalan susulan daripada Ruru. Pintu bilik dikunci dari dalam sebelum tubuhnya disandarkan di daun pintu. Bila teringatkan wajah yang serius melukis wajahnya malam kelmarin, bibirnya tanpa sengaja menguntum senyum sebelum kepalanya digeleng laju.

"Entah-entah, laki orang! Bukan masa dekat restoran hari tu dia tengah makan dengan seorang awek ke? Mesra semacam aje gayanya. Hmmm. Carilah yang lain ya wahai Cik Lara Amani. Hailah..." bebel Lara sendirian sebelum melangkah semula ke arah meja kerjanya.

Two more weeks to go!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co