Bab 12
"Abang, kita balik terus rumah abang, ya?!" pesan Paie sewaktu Honda CRZ milik Faheem meluncur keluar dari Tol Lekas Mantin ke arah Pekan Mantin.
"Hmmm, ni mesti ada apa-apa ni. Paie ada janji apa dengan Dila? Nak tengok wayanglah tu, kan?" tebak Faheem.
Paie sengih.
"Adalah. Rahsia."
"Eleh. Macamlah abang tak tahu rutin mingguan kau orang dari zaman sekolah dulu. Walaupun dulu abang jarang balik, segala aktiviti abang pantau tau!"
"Yalah tu. Haaa dah sampai. Tak payah parking dalam la. Kita parking tepi kereta ibu, ya?"
Faheem cuma menurut tanpa banyak bertanya. Memandangkan dia cuma balik semalaman, hanya bag pack kecil dari tempat duduk belakang saja yang ditarik keluar dari kereta lalu digalas sambil menuju ke pintu pagar rumah teres dua tingkat yang separuh terbuka.
"Surprise!!!"
Tak jadi Faheem nak terus melangkah bila dia diserbu di hadapan pintu pagar yang dipenuhi dengan belon dan macam-macam hiasan lagi.
"Apa ni? Surprise?" soalnya kehairanan sambil buang pandangan ke arah Paie di sisinya.
"Happy birthday, abang! Moga panjang umur dan dimurahkan rezeki selalu. Paie sayang abang sangat-sangat!" ucap Paie sambil peluk mesra lengan Faheem yang tampak masih kebingungan.
"Amboi kau, Paie. Bak kata Abang Ogy, kau ni very the over chikki. Jangan lebih-lebih eh, ni abang kami tau!" bebel Dila sambil tarik tangan Faheem lalu disalaminya.
"Entahnya Kak Paie ni. Beria-ia tau. Dijah yang bongsu ni pun tak manja macam tu dengan abang. Jealous ni. Jealous!" sahut Dijah pula. Mendengarkan luahan tak puas hati tu, laju saja lengan Faheem dilepaskan sebelum dia tersengih malu.
"Alaaa sorry. Sorry. Kita share la, ya? Share. Ayah kau orang, ayah Paie juga, kan? Jadi, abang kau orang, abang Paie juga la. Bukan macam tu ke?" soal Paie, mesra.
"Apa hal? Tak cukup lagi ke ayah kami kau kebas? Abang kami pun kau nak sapu sekali? Apa pasal kau tak suruh kami tukar aje Abang Aem dengan Abang Alan kau tu?" tegur Iqa yang duduk di atas kerusi malas berhampiran kolam ikan. Serentak itu semua yang ada sama langsung berpaling ke arah Iqa yang hanya tayang muka tak bersalah.
"Iqa, apa cakap macam tu? Tak baik tau! Orang duk gurau-gurau aje tadi tu dia buat serius pula. Kan Paie, kan?" tegur Dila sebagai kakak yang sulung. Tapi teguran Dila disambut dengan senyuman sinis Iqa.
"Apa yang tak baiknya, Kak Dila? Akak lupa ke? Sebab abang dialah along jarang balik sini. Sebab abang dia juga, along tak suka sambut hari jadi dia sendiri dan hari ni, dia pandai-pandai organize birthday party along. Baik ke semua tu?"
"Iqa, apa ni? Dia, dia. Dia tu siapa?" tegur ibu yang baru sahaja turun dari tingkat atas diikuti oleh ummi di belakangnya.
Laju sahaja Faheem atur langkah menghampiri kedua-duanya dan bersalaman tanda hormat.
"Ah, malaslah Iqa nak cakap. Kalau Iqa cakap pun, bukan ada sesiapa yang nak faham pun," balas Iqa sambil berlari-lari anak ke tingkat atas. Melihatkan keadaan itu, Dila langsung tersenyum pada ummi dan ibunya sebelum paksa diri tertawa bagi meredakan keadaan tegang sebentar tadi.
"Agaknya Si Iqa tu PMS, kan? Tak apa, kita abaikan saja hal tadi tu, ya? Jom kita makan. Makanan dah siap terhidang dekat dapur tu," ajak Dila.
"Errr... Tak apa. Semua makan dulu, ya? Along naik atas sekejap, ajak Iqa makan sekali," balas Faheem sambil berlari-lari anak menaiki tangga tanpa mengendahkan panggilan Paie yang beria-ia mengajak dia tiup lilin atas kek hari jadinya.
"Faiqa Adwa," panggil Faheem perlahan. Punggung dilabuhkan di sisi katil double-decker tingkat bawah.
"Along panggil dari tadi kenapa Iqa tak jawab? Hmmm?" soal Faheem sambil tepuk perlahan bahu Iqa yang sedang peluk kaki rapat ke tubuhnya. Wajahnya muram.
"Iqa tahu kan, apa yang Iqa buat tadi tu tak bagus? Along dah banyak kali pesan pada Iqa. Ingatkan Iqa. Apa pun yang dah terjadi dan bakal terjadi, mereka tetap sebahagian daripada kita. Tak ada apa yang boleh menafikan keadaan tu," pujuk Faheem. Laju sahaja Iqa menggeleng.
"Tak. Iqa tak suka dan Iqa tak setuju dengan semuanya."
Faheem lorek senyum. Wajah protes tak sudah Iqa dipandang mesra.
"Iqa setuju atau tidak, umi tetap ibu kita juga. Bukan sehari dua aje, Iqa. Sebelum Iqa lahir lagi dah tertulis macam tu. Sudahlah tu, Iqa. Along malas nak ulang benda yang sama tiap kali. Iqa pun dah cukup besar nak faham, kan? Jangan rumitkan lagi keadaan keluarga kita. Boleh, kan?"
"Eee... Iqa bencilah. Menyampah! Umi tu kan, tak tahu malu betul. Datang rumah kita ni buat macam rumah sendiri, macam tak ada perasaan bersalah padahal dia duduk banglo, kita duduk teres aje. Paie tu pun sama. Beria-ia abangkan along. Dia kan ada abang sendiri. Nak juga menggedik dengan along," luah Iqa.
Faheem terdiam. Lama. Akalnya ligat memikir. Kalau betul ummi selalu ke mari, sebab itu ke jadi punca kembarnya tu melancarkan perang ke atasnya? Habis semua job dia sailang sesuka hati dia? Tak puas lagi ke hati dia biarpun yang duduk serumah dan menghabiskan hampir banyak masa dengan ayah itu adalah dia? Kembar tak seibunya itu?
"Ummi memang kerap ke sini ke, Iqa?" soal Faheem.
Iqa angguk.
"Hampir tiap-tiap hari. Kalau ayah tak ada, kadang-kadang ummi siap bermalam di sini. Masak sama-sama. Pergi keluar shopping pun sama-sama. Serius, Iqa pelik dengan ibu. Ibu tak marah ke dimadukan?"
Faheem tarik senyum. Tangannya mengusap perlahan kepala Iqa yang masih nampak tegang dengan kehadirannya tadi bersama Paie.
"Hal tu tak payahlah kita bincangkan. Itu masalah antara ibu, ayah dan ummi. Kita sebagai anak, jalankan aje tanggungjawab kita. End of discussion. Boleh?"
Iqa angguk perlahan. Bila alongnya dah bagi kata dua, memang tak ada cara dah untuk dia tegakkan apa yang dia rasa. Habis macam tu sahajalah nampaknya.
"Okey, baiklah tapi ada syarat. Syaratnya, along jangan nak mengada-ada jatuh hati dekat minah tu, ya?! Yalah, dia tu kan lawa, pandai. Doktor pelatih pula tu!"
Kening Faheem berkerut panjang. Minah?
"Minah mana pula ni?"
"Ala along ni pura-pura tak faham pula. Tu la. Minah yang peluk elok lengan along tadi tu. Menyampah!"
Tawa Faheem pecah.
"Ish, Iqa ni. Apa jatuh-jatuh hati ni? Kita kan adik-beradik. Walaupun berlainan mak, tetap tak boleh."
"Tak boleh apanya pula, along? Dia bukan anak kandung ummi dengan ayah pun!" sahut Iqa bersahaja.
Faheem terkedu seketika. Laju aje kemudiannya mulut Iqa ditekup sambil buat isyarat supaya merendahkan suaranya.
"Dari mana Iqa tahu? Siapa beritahu pada Iqa?" soal Faheem, separuh berbisik.
"Iqa terdengar ummi dengan ibu berbual. Paie tak tahu kan pasal ni? Along dah tahu hal yang sebenar, kenapa tak bagi tahu Iqa? Iqa tengok, bukan main mesra lagi along layan dia. Bukan tu maknanya along ada hati pada dia ke? Siap panggil sayang lagi kadang-kadang tu."
Mata Faheem terbeliak besar. Dari mana Iqa tahu semua tu?
"Alaaa... Iqa adalah dekat-dekat situ masa Paie borak dengan along dalam telefon. Dia pergi loud speaker masa tu. Iqa dengarlah. Eee... Memualkan sungguh tau along ni. Macam tak ada perempuan lainlah nak jadikan kakak ipar kami," bebel Iqa tanpa kesudahan.
"Siapa lagi yang tahu pasal ni?"
"Along ni tak menjawab soalan la. Benci tau," marah Iqa.
"Jawab soalan along dulu."
"Tak nak! Iqa tak setuju kalau along pilih Si Paie tu. Tolonglah, long. Along bukannya tak ada rupa. Dah pupus ke perempuan dekat Malaysia ni sampai along kena pilih dia?" Iqa berpeluk tubuh. Bengang. Soalan kita tak mahu jawab, soalan dia wajib. Adil ke macam tu?
Faheem mendengus perlahan. Entah kenapa dia masih enggan menjawab soalan Iqa tadi. Iqa dengan Paie memang sejak kecil tak sebulu. Puncanya dari sikap ayah yang asyik melebihkan keluarga Paie berbanding mereka sejak dulu.
"Along! Isyh bencilah!"
"Iqa ada beritahu Dila dengan Dijah?"
"Tak adalah. Along ingat Iqa ni kaki gosip macam dia orang ke?" bidas Iqa.
Faheem tarik senyum kelegaan.
"Alhamdulillah. Ya. Along tahu yang adik along ni baik. Cuma kadang-kadang aje mulut dia lagi laju dari otak bijak dia ni. Kan? Kan?"
Iqa cebir bibir. Perli la tu!
"Tapi along tak..."
"Long! Turun bawah sekarang long. Cepat!" gesa Dijah yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu bilik mereka.
"Ada apa, Dijah?"
"Jom!" ajak Dijah yang terus menarik tangan Faheem tanpa banyak soal.
Dari tangga lagi suara seakan-akan orang bertengkar menyapa gegendang telinga Faheem. Yang jelas kedengaran suara Paie dan juga Dila. Ummi dan ibu sayup-sayup sahaja tak berapa jelas.
"Ha. Dah keluar pun birthday boynya. Ingatkan kecut nak keluar tadi."
"Alan!" tegur ummi dengan wajah kurang senang.
"Birthday aku, birthday kau juga, kan? Jemputlah masuk, Lan. Lama kita tak jumpa. Rasanya kali terakhir waktu wedding Datuk Awira, kan?"
"Dahlah. Tak payah nak tunjuk good-good depan semua orang. Eh, Im. Kau ni memang tak pernah rasa cukup, ya? Tak cukup dengan walid, sekarang ni adik aku dengan ummi aku pun kau nak kebas dari aku? Ilmu penunduk apa yang kau pakai ni? Kuat betul nampakya," tempelak Fadlan dengan nafas naik turun menahan amarah. Sakit aje hatinya melihat Faheem begitu tenang bila ternampak dia tadi.
"Apa kau cakap ni, Lan? Kebas apanya?"
"Kebas apa, ya? Ni, sekarang ni apa? Hari ni hari jadi aku. Tapi apa yang aku dapat? Ha? Belum habis lagi letih touch down dekat KLIA tadi, walid terus ke tempat lain kononnya ada nak jumpa client. Nak tak nak terpaksalah aku naik cab. Itu satu hal, sampai pula rumah, rumah kosong. Rupa-rupanya semua duk berkumpul dekat sini gembira-gembira meraikan kau. Jadi, semua ni bukan kebas ke? Eh, sepatutnya kau tak payah lahir pun tak apalah. Menyusahkan hidup aku aje!"
"Alan!" marah Ummi dengan nada suara tinggi. Semua terpaku seketika. Ummi yang lemah lembut nampak gayanya pada petang itu sudah hilang kesabarannya.
"Alan, ummi tak pernah ajar Alan bersikap macam ni. Kenapa Alan sanggup cakap macam ni, nak? Faheem ni abang Alan. Alan tak boleh cakap macam tu."
"Abang? Alan tak ada abang. Alan anak lelaki tunggal walid!" tempik Fadlan sekuat hatinya.
"Ya. Alan anak lelaki tunggal walid dan ummi tapi dalam keluarga besar kita..."
"Alan tak pernah anggap dia orang ni keluarga kita. Tak pernah dan tak akan pernah. Lepas ni, Alan tak nak tengok lagi adik dengan ummi jejak kaki ke rumah ni. Faham?"
"Eh, kami pun tak inginlah tengok muka kau dekat sini. Buat hilang mood seharian aje. Sedih punya lelaki!" tempelak Iqa, bengang. Harap aje muka boleh blah. Perangai tak boleh blah. Attention seeker tahap giga!
"Kau sini. Lapar penampar, ya?"
"Abang! Apa abang ni? Dah gila ke?" marah Paie pula sambil menghalang Fadlan dari cuba merapati Iqa.
"Aku? Gila? Ke kau yang gila? Macamlah aku tak tahu yang kau ada hati dengan mamat gay ni. Dalam handphone. Laptop, bersepah gambar gay ni, kan?"
"Fadlan!"
Sekali lagi semua terdiam bila tangan kecil milik ummi melekap pada pipi Fadzlan. Faheem turut tergamam bila ummi bertindak begitu sekali dan bila melihat reaksi Paie, dia jadi keliru. Kenapa Paie buat muka macam tu? Betul ke apa yang Alan cakapkan tadi?
"Kan? Betul tak apa Iqa cakap tadi? Dia memang ada hati pada along!" bisik Iqa perlahan sambil mereka memerhati ummi dan Paie minta izin untuk beredar awal sebelum hal makin berlarutan.
"Syhhh... Rahsia kita berdua," balas Faheem.
Iqa juih bibir. Senyum sinis.
"Dah tak jadi rahsia dah pun!" balas Iqa bersahaja dengan senyum mengejek.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co