Bab 14
Faheem baru sahaja melabuhkan punggungnya di atas sofa berhampiran balkoni sebelum Ogy terkocoh-kocoh datang dengan kain putih panjang diselimutkan di tubuhnya. Rambutnya pula diikat tocang banyak-banyak. Muka putih melepak ditepek bedak sejuk.
"Ya Allah, G. Lain kali boleh tak jangan buat macam ni? Nasib baik aku tak melompat tadi. Boleh tak kain putih tu tinggal aje dalam bilik?" marah Faheem sambil urut dada. Ogy ketawa mengekek.
"Kau debar ya, Bam? Gegirl juga kau rupanya. Mak pun kau nak seram."
"Gegirl otak kau. Dah berselimut putih macam ni. Muka tepung gomak. Lepas tu tiba-tiba aje muncul, siapa pun boleh terkejut. Haaa dah kenapa ni? Aku letihlah. Malaslah nak tolong pegang kain ni sementara kau nak potong. Kau tebar aje la depan TV tu," balas Faheem malas. Orang baru nak relaks hilangkan letih seharian melayan kerenah client pagi tadi dengan Smule, dia datang pula bawa kain minta tolong pegang.
"Bukanlah! Ni Abam, pelakon pujaan kau call aku tadi. Duk mengadu dekat aku, kau tak angkat langsung call dia. Ya ke, Bammm?"
Faheem hanya mengerling sekilas dengan wajah tanpa riak.
"Kau biar benar, G? Pelakon pujaan aku dah lama meninggal," balasnya bersahaja.
Ogy menganga sebelum tangannya ditarik lembut menutup bibirnya.
"Ya Allah, Ya Allah. Dia hidup lagi la, Bam. Kau ni, tak baik tau. Orang duk sihat wal afiat lagi, kau kata meninggal. Mulut tu, very the nak kena sagat dengan pengukur kelapa. Jahat tau."
"Marah pula. Tan Sri P. Ramlee dah lama meninggal kut."
Ogy ketap bibir. Geram! Dia buat lawak pula!
"Mak cakap pasal Fynn la. Bukan pujaan yang itu. Bijak!" marahnya. Punggung dilabuh di atas kerusi sebelah. Bila Faheem buat-buat malas nak layan, memang lama la gayanya dia kena buat penjelasan. Kalau dipandang enteng aje masalah ni, job pun lari nanti. Very the vouge the vass client ni! Rugi kalau terlepas!
Dahi Faheem berkerut panjang. Fynn?
"Fynn Jamal tu bukan penyanyi ke? Dia ada urusan apa nak call aku?"
Ogy tepuk dahi sendiri. Tocang di kepalanya pula ditarik berkali-kali menahan geram sebelum dia terjerit sendiri. Eee dia ni, kan! Very the Faheem sangat!
"Eee... Geram tau! Geram! Geram! Tadi P. Ramlee, lepas tu Fynn Jamal pula. Fynn pelakon tu la. Hadfina! Hadfina! Haaa, kan. Dah terkeluar suara jantan mak. Saje aje kan, kau ni Bam. Nak kasi panasss aje!"
Faheem gelak mengekek sambil geleng kepala. Dah tentu-tentu dalam IC tulis jantina lelaki. Takkan nak keluar suara gadis ayu.
"Ooo... Hadfina. Cakaplah awal-awal. Ha, kenapa dia?"
"Kan mak dah cakap tadi. Dia murka. Dia call kau banyak kali, kau tak jawab. Kau tak nak job ke, Bam? Minah tu dari hujung tahun lepas dok riki kau, kau tolak. Bam, sesak-sesak macam ni terima ajalah. Bukan kau nak kena kahwin dengan dia pun! Tolong jadi assignated MUA dia jerrr!"
Faheem buang keluhan panjang. Tubuh disandar perlahan. Hilang mood nak Smule lagi malam ni.
"Kau yang kata macam tu. Tapi kau tak tahu, agenda di sebalik assignated MUA dia tu," balas Faheem serius.
"Ya, Bam. Mak faham. Mak tahu sangat dah dengan pandangan mata dia pada kau tu. Macam nak terkam! Baju pun macam tak cukup benang aje bila jumpa kau. Tapi itulah, kan. Kau kena faham, keadaan kita sekarang ni, Bam. Job asyik kena caras. Rumah ni nak kena bayar. Kereta tu pun sama. Perut kita pun nak kena isi. Ni, barang mekap mak ni pun dah habis. Sebab tu mak pakai bedak sejuk aje buat ganti mask. Kau tak sedih ke, Bam? Sedih, kan? Kesian mak."
Faheem pandang sekilas ke sisinya sambil memerhati wajah buat-buat kesian Ogy. Ikut hati rasa nak dilepuk tapi apakan daya. Dialah satu-satunya gandingan terbaik buat masa ni. Pernah Faheem cuba kerjasama dengan kenalan lain sebelum ni tapi majoriti kaki songlap, kaki kuat kencing. Job sama-sama buat tapi bila dapat payment tak mahu bayar, makan sorang.
"Aku boleh aje nak mekap dia. Tak ada masalah. Yang aku tak tahannya dia minta aku escort dia merata-rata. Itu bukan assignated MUA. Itu escort boy namanya!"
Ogy menganga.
"Escort boy? Dia mak ayam ke, Bam? Baru mak tau, noks!"
"Hoi! Alah kau ni. Buat-buat suci pula, kan?"
Ogy tertawa mengekek.
"Ala, Bam. Kau terima ajelah tapi dalam masa yang sama kau stated la kau punya syarat. Buat hitam putih. Kita pro, kan? Dia pun nak kau mekap untuk kerja dia juga. Amacam? Bolehlah, ya? Bolehlah, ya? Aku call dia semula, ya? Aku cakap, kau jadi nak terima job dia. Boleh?"
Faheem mengeluh perlahan. Sekilas, planner di hadapannya dikerling laju-laju. Minggu ni ada lagi satu job. Next week masih kosong.
Alahai. Macam mana ni? Duit backup hari tu dah bagi pada Paie untuk dia renew roadtax kereta dia. Takkan nak korek duit kecemasan pula kut buat bayar bil bulan ni?
"Hmmm... Yalah."
"Yeay! Kepak kepung, kepung. Kompang dipalu...Pengantin lalu. Ah ah."
"Hoi!"
Ogy berlari-lari anak masuk ke dalam sebelum jadi mangsa lepukan Faheem dengan selipar rumahnya.
Faheem tekup muka dengan tangan. Stres! Nak kerja, tapi tak ikhlas pula rasanya bila berkait rapat dekat pemenang Anugerah Bintang Harapan tu. Cukuplah ibu hampir sesak nafas bila wajah dia terpampang di dada akhbar setahun yang lepas sebab kononnya bakal masuk meminang Fynn dalam masa yang terdekat.
Apa pula kali ini? Allah. Nak memikirkan pun, Faheem rasa tak sanggup.
"Smule la! Stres!"
"Lara. Tidak!!!"
Lara pandang ke dinding bilik sebelahnya. Dah kenapa dengan Ruru tu? Tangan terjahit benang ke? Adoi, minah ini, kan? Ada-ada ajelah malam-malam buta ni. Lara bebel sendirian. Dalam masa yang sama, laju saja dia berlari keluar dari biliknya.
"Kenapa, Ru? Kau okey?" tanya Lara, bimbang.
Ruru geleng tapi mukanya langsung tak ada wajah kesakitan ke apa. Yang ada cuma muka teruja tahap tak tahu nak kata apa. Jerry yang ada di sudut bilik pun duk monyok tayang muka ketakutan, agaknya sebab dijerit tadi.
"Gila! Tak habis-habis dengan Smule," balas Lara, menyampah.
"You should see this, Lara. Cuba kau tengok!"
Lara kerling sekilas. Tengok apanya. Gelap aje!
"Kau tengok video apa ni, Ru?"
"Aku belum tengoklah. Ni, kau tengok ni. Just'in. Dia dah post video la sekarang, Ra! Ya Allah! Aku tak sangka betullah doa aku dimakbulkan. Tercapai juga impian aku nak tengok muka dia."
Lara gelak besar. Muka apa gelap-gelita macam tu.
"Cuba kau tekan play. Kita tengok tahap mana doa kau tu dimakbulkan," sahut Lara sambil ambil tempat di sisi Ruru.
"Okey. Aku tekan play, ya? Ya Allah. Debarnya, Ra! Macam tunggu nak tengok muka bakal suami!"
Lara geleng kepala. Gedik tau! Belum nampak lagi memanglah debar. Jangan nanti dah tengok ada yang pitam, tak lalu makan seminggu bila yang dibayang tak seperti yang sebenarnya.
"Isyhhh. Aku takutlah, Ra. Kau playkan la!"
"Hek eleh. Gaya macam kalau kau yang tekan play tu, mamat Just'in ni nanti lompat keluar dari telefon kau aje, kan? Tak payah nak over sangatlah!"
Ruru gelak besar.
"Serius weh. Aku debar ni. Kau tolonglah aku, Ra."
"Yalah. Alahai. Nak tekan play dekat telefon sendiri pun masalah. Entah apa-apa. Nah. Aku dah tekan. Selamat menelek muka Just'in kau walaupun entah nampak ke tidak tu, ya?" balas Lara sambil tawa mengekek.
"Raaa..." panggil Ruru lagi. Langkah Lara mati seketika.
"Handsomelah, Ra. Walaupun nampak sikit aje muka dia. Ya Allah, Ra. Apa pasal aku rasa aku macam terjatuh cinta aje ni?"
Lara tarik senyum sebelum terus melangkah ke arah biliknya.
Apa-apa sajalah Ruru, asal kau bahagia! Dan baru saja punggung dilabuhkan di atas kerusi kerjanya, telefon bimbit berbunyi tanda panggilan masuk.
Papa?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co