Truyen3h.Co

MUA MOST WANTED

Bab 15

karyaseni2u

Faheem pandang ke sekeliling restoran nasi Arab itu yang menurutnya, tak adalah hebat mana. Sama sahaja macam mana-mana restoran negara benua timur yang sedang tumbuh melata di Malaysia ni. Dekorasinya pun lebih kurang sama sahaja dengan yang lain. Tak beza banyak. Menunya pun lebih kurang sama. Yang bezanya mungkin dari segi rasa dan special dish yang dihidangkan.

Sedang kusyuk dia memerhati, matanya bertaut tanpa sengaja dengan mata yang dihiasi kanta lekap berwarna perang itu.

"Dalam banyak-banyak tempat... The Mines ada, IOI Mall ada, kenapa dekat sini? Restoran hujung dunia orang tak berapa nak ada ni?" soal Faheem pada Fynn yang baru sahaja kembali dari tandas. Masuk-masuk sahaja restoran tadi terus nak ke tandas. Biasalah, touch-up mekap.

"Haaa, you've got the point. Hujung dunia, orang tak ada. I like that kind of thing. Bosanlah jadi attention. I nak time yang solid dengan you," balas Fynn dengan senyum meleret. Faheem balas dengan senyum sinis. Solid time katanya?

"Kita nak bincang pasal business, bukan dating. Plus, attire you tak sesuai dengan restoran macam ni," tegur Faheem sambil mata meliar ke arah sekeliling restoran itu buat ke sekian kalinya.

Di hujung sudut luar bahagian tidak berhawa dingin itu ada sekawan lelaki Arab tengah bergelak tawa dengan rakan senegara mereka. Selang beberapa meja pula satu famili dari negara yang sama. Isterinya berpurdah. Dan Fynn di sini? Dengan dress labuhnya tapi bahagian dada sedikit terdedah. Cuma ditutupi sedikit dengan shawl lepas yang disebai di kepalanya setakat boleh menutupi wajahnya yang sudah pun berkaca mata hitam. Pendek kata bagi Faheem, sangat tak sesuai!

"Two plus one, apa salahnya? Eh, cepatlah order. I lapar ni. Don't worry. Semua in house, I bayar. Okey? Well, walaupun kita dah lama tak keluar sama, I tetap ingat yang bukan style you untuk belanja perempuan. Kan?" soal Fynn, sinis.

"Whatever!" balas Faheem acuh tak acuh sambil mula membelek menu di hadapannya. Adoi. Semua Arablah! Apa yang aku nak makan ni? Isyhhh.

Sambil menelek, sambil itu juga matanya melirik ke arah sekeliling restoran itu. Dalam diam dia memuji tindakan Fynn untuk memilih tempat seperti itu setelah sekian lama mereka tak berjumpa sebab dia sendiri yang mengelak dengan alasan sibuk. Kalau terjumpa pun kebiasaannya di mana-mana acara ataupun secara kebetulan di stesen televisyen. Dan di sini, rasanya hampir mustahil untuk mana-mana wartawan ada sama. Rakyat Malaysia pun tak ada melainkan. Eh? Macam kenal aje couple ni!

Cepat-cepat Faheem angkat menu tinggi-tinggi menutupi wajahnya sambil curi-curi pandang ke arah pasangan yang baru sahaja melalui cermin hadapan restoran itu. Harap-haraplah mereka tak masuk ke sini!

"Hmmm... Apa lagi yang awak berdiri tu? Duduklah," gesa Raid yang sudah pun duduk dengan muka bersahaja sambil menelek menu yang baru sahaja tiba.

Lara cebir bibir. Kerusi ditarik sendiri sebelum punggungnya dilabuhkan. Typical Malay man. Tak gentleman langsung. Kut ya pun tak suka, kasi la muka kali pertama jumpa ni. Sudahlah naik kereta tadi pun sendiri buka pintu, sendiri tutup. Ni nak duduk, sendiri tarik kerusi. Urghhh! Tak drama langsung.

"Nak makan apa?"

Lara angkat muka. Wajah kacukan Arab Melayu itu dipandang tanpa rasa. Muka persis Humood Alkhudher itu dikerling sekilas sebelum bahunya dijongket, tanda tak pasti.

"Saya tak biasa makan makanan macam ni. Tak tahu nak makan apa."

"Kalau macam tu, minum ajelah. Senang."

Mata bulat milik Lara langsung membuntang besar. Like, seriously? Tak boleh ke pura-pura layan baik walaupun setakat nak pilih makanan dari menu? Membencikan sangat ke keluar dengan dia? Gaya macam aku yang merenyam nakkan dia. Pleaseee... Laaa!

"Nak makan ke tak ni?" soal Raid lagi.

"Nak," balasnya pendek. Mood sudah ke lautan Hindi. Kalau awal tadi moodnya sedikit merundum sebab disuruh papa untuk keluar dengan Raid tanpa persetujuannya terlebih dahulu, sekarang lagilah. Rasa nak balik!

Mata bundar dan sedikit ke dalam itu hanya merenungnya seketika sebelum pandangan dikalih ke arah lain dengan keluhan panjang. Butang order pada meja ditekan sebelum pelayan datang. Lepas berbicara menggunakan bahasa Arab dua tiga ayat yang mana Lara sah-sah tak faham apa, pelayan itu beredar meninggalkan mereka berdua.

Sunyi. Keadaan sama seperti mereka di dalam kereta dari Taman Tun tadi. Jauh sungguh rasanya perjalanan untuk sampai ke Seri Kembangan ni semata-mata nak bincang pasal majlis kahwin mereka.

"Awak kerja apa?" soal Raid tiba-tiba.

"Ha?"

"Saya tanya, awak kerja apa?"

"Errr... Penulis."

Ada senyum sinis pada bibir yang berkumis nipis itu.

"Boleh kaya ke jadi penulis ni?"

Errrkkk! Soalan. Dia ni wartawan to be ke apa? Tak ada ke soalan yang lebih membunuh dari yang ini? Mesti ke buat sesuatu tu sebab nak kaya? Kalau sebab minat, tak boleh?

"Bolehlah. Buat beli kondo, kereta sebiji tanpa mengharapkan ihsan mama dengan papa. Tak percaya? Tak percaya pun tak apa. Tak penting," balas Lara sarkastik. Sakit pula hati kita ni dibuatnya.

Raid tertawa besar berbaur sinis.

"Biar betul ni? Setakat menulis cerita bukan-bukan pun boleh beli kondo? Ke part-time benda lain ni?" soalnya, angkuh.

Lara tayang muka no face. Kesian Datin Jannah. Mak punya elok bertudung labuh tapi anak mereka macam ni gayanya? Iman tak boleh diwarisi. Betullah lagu nasyid yang kumpulan Raihan duk nyanyi sejak dulu tu. Yang di depannya sekarang ni contoh terbaik. Patut jadi model video klip nasyid tu.

"Whateverlah," balas Lara acuh tak acuh. Malas nak melayan tapi dalam masa yang sama dia jadi semakin bimbang. Kalau jadilah mereka kahwin, sanggup ke Lara tahan dengan fiil mengarut mamat ni? Kata-kata mamat ni? Baik dia layan fiil Si Ruru dengan crush Smule dia tu dari layan soalan-soalan sarkastik macam ni.

"Macam inilah ya, Lara. Saya rasa sebaiknya saya berterus terang aje. Sejujurnya, saya tak berminat nak kahwin dengan awak. Saya turutkan rancangan pertunangan ni sebab ummi terlalu berkenan dekat awak. Jadi, kira-kiranya mudah dekat sini. Please do something so that this plan will be cancel or else, you'll suffer. Saya akan kahwin dengan awak dan dalam masa yang sama, akan madukan awak sebab saya dah ada pilihan sendiri."

Seraya itu bibir Lara terjongket senyum. Ooo... Kisahnya. Kena paksa rupa-rupanya! Eh, silap. Sebetulnya dia pun dipaksa cumanya tidaklah dia ada pilihan sendiri lagi buat masa ni. Cuma, ah. Abaikan.

"Awak buatlah apa pun. Upah mana-mana lelaki ke jadi pakwe awak. Ataupun boleh juga awak mengaku saja pada ummi saya yang awak dibuntingkan dek lelaki lain. Bukan alasan-alasan macam ni biasa ada ke dalam drama ke, apa ke, kan?" soal Raid bersahaja dengan senyum sinisnya.

Darah Lara tiba-tiba naik ke kepala pada kelajuan cahaya. Dia kata apa? Suruh cari teman lelaki upahan? Okey, itu boleh diterima akal lagi. Dibuntingkan? Itu kurang ajar namanya! Dia anggap aku kucing ke apa nak dibuntingkan segala?

"Hamboi, baik punya plan awak rancang untuk saya, kan? Kenapa mesti saya yang batalkan plan ni? Kenapa bukan awak? You're playing good son character here and asking me to be the culprit? Lelaki jenis apa awak ni? Tak gentleman langsung. Jadi jantan, boleh? Tak suka, cakap ajelah. Apa masalahnya? Sebab ummi awak berkenan dengan saya? Anak ummilah ni, ya?" balas Lara, sinis. Maroh ni. Maroh!

Mata Raid tajam tak berkelip. Mungkin marah, mungkin juga terkejut dengan respons Lara tadi. Ah, gasak! Dia ingat perempuan sekarang jenis apa? Turutkan, sedih lepas tu nangis? Dulu-dulu bolehlah. Sekarang? No more!

"Masalahnya sekarang ni, parents awak yang beria-ia datang jumpa walid dengan ummi saya melobi awak untuk jadi menantu mereka. Faham? So, you need to clear things out. Not me!"

Dia kata apa? Melobi? Ini apa ni? Dia nak bagi tahu yang papa dengan Mama Mona jadikan diri dia bahan rasuah kepada parents mamat depan dia ni untuk kembangkan lagi empayar business mereka? Macam tu?

Tapi, ah Lara. Bukan kau dah tahu ke yang itu memang asbab utama kau dijodohkan? Si kembar tu pun menanti hari aje untuk jadi gula-gula yang seterusnya.

"Haaa... Makanan dah sampai. Saya nak pergi tandas kejap," kata Lara tiba-tiba. Panas! Restoran berhawa dingin pun boleh jadi panas dan tegang atmosferanya kalau datang dengan lelaki berdarah panas, mulut panas macam Raid ni. Dia ajelah kononnya mangsa keadaan. Aku ni merelakan aje, macam tu?

"Hai, Cik Rapunzel. Dating dengan tunang ke?"

Lara urut dada menahan debar. Rapunzel mana pula ni? Seraya itu, Lara berpaling. Aik? Mamat ni?

Faheem tayang senyum bila pandangan mereka bertaut.

"Apa Rapunzel? Laralah. Awak buat apa dekat sini?"

"Kerja."

"Kerja ke, dating?" tebak Lara pula sambil memandang ke arah sekeliling restoran itu. Tak ramai pun pengunjungnya melainkan ada seorang perempuan di sudut hujung restoran itu.

"Tu eh orangnya? Rasanya hari tu awak keluar dengan orang lain. Playboy juga awak ni, kan? Typical slippery head man!"

Mata Faheem membulat besar.

"Sliperry head man? Apa tu?"

"Nanti balik umah, buka Oxford Dictionary, eh? Cun awek tu. Padan," komen Lara sambil menjeling sekilas.

"Dia bukan awek saya. Saya kerja dengan dia tapi sebaliknya, dia tengah fikir yang dia sedang dating dengan saya. So, dua-dua memenuhi tekaan awak. Kan? Okey bye."

Faheem berlalu. Dari belakang, Lara menurut langkahnya sambil memerhati. Eh? Perempuan tu macam kenallah! Familiar mukanya.

"Lara, nak ke mana tu?"

"Eh? Terlepas pula." Lara berhenti melangkah. Duk sibuk memerhati sampai tak perasan sudah melepasi meja mereka.

"Eh? Kebab tu siapa punya?" soal Lara, pelik. Wajah Raid dipandang dengan rasa tak percaya. Badan tak adalah besar mana tapi nafsu makan, bukan main! Dah makan nasi Arab, oder kebab lagi sebagai add on. Dahsyat!

"It's mine," sahut satu suara dari tepi.

"Ha?" soal Lara kehairanan tapi belum sempat lagi soalan seterusnya diajukan, air kosong dari gelas di hadapannya sudah selamat dicurahkan ke mukanya tanpa isyarat. Lara terkedu. Blank. Matanya terkebil-kebil memandang ke arah wanita tinggi lampai berwajah Causcasian di hadapannya.

"Dasar tak sedar diri. Tengoklah dulu diri tu macam mana. Perkara mudah setakat berhijab pun tak boleh nak buat, ada hati nak jadi menantu Datin Jannah. Serve your right!"

Mata Lara berkaca. Bibirnya diketap rapat menahan geram. So, inilah rupanya pilihan hati Raid, ya? Mata Lara memandang ke arah Raid tapi nampaknya Raid langsung seperti tidak mahu menyesali tuduhan buah hatinya atau menghalang perbuatan pilihan hatinya itu buat Lara makin rasa geram.

"Make a plan. Just anything to make our wedding cancel. Boleh?" soal Raid.

Ya Allah. Itu aje? Itu aje yang mampu dia cakap? Geramnya! jerit Lara dalam hati. Ini ke plan dia untuk desak aku cancel semua aturan keluarga ni? Dasar lelaki tak guna!

"Our wedding? Oh my God. Tolonglah, Raid. You ada selera ke nak kahwin dengan perempuan macam ni? Tengok ni? Sudahlah tak bertudung. Rambut tak berikat. Muka pun pucat. Tengok, baju apa dia pakai ni?"

Lara tunduk. Mengumpul kekuatan. Menahan 1001 rasa yang mula beraja dalam hatinya. Ya Allah, dugaan apa ini? Beberapa kali bertunang menurut kehendak papa dan mama dan inilah buat kali pertama dia betul-betul rasa menyesal ikutkan saja semuanya.

"Muka dia pucat sebab dia hanya akan berhias untuk suami dia. Once she get married, sooner or later she'll be like you or more. But the point is, her beauty is just for her husband. Unlike you. Belum ada apa-apa lagi dah berlapis-lapis mekap tapi itu pun bercapuk concealar sana sini. Tak rata. Oh, yes. Kening lukis warna perang tu tak sesuai dengan kulit you yang agak tak berapa nak cerah. I'll suggest you stay with natural eyebrow. Lipstick orange colour? This one is the biggest mistake. Sampai rumah nanti tolong buang, ya? Pakai aje natural cherry. Itu sesuai. So I guess, your oppoinment ends here. I ambil semula girlfriend I ni, ya? Sayang. Jom!" panggil Faheem sambil menarik lengan Lara supaya beredar. Dan bagaikan dipukau, Lara hanya menurut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co