Bab 1
"Masak aku hari ni!" Dahlia menyorong motor skuternya sehingga berhenti di hadapan Klinik Harmoni. Dengan helmet masih tersarung di kepala, Dahlia berlari masuk ke dalam klinik. Sempat lagi matanya mengamati beberapa pesakit yang sedang menunggu giliran. Dia yang berjalan melepasi pesakit hanya menguntumkan senyuman manis buat mereka yang sabar menanti giliran. Memang waktu pagi merupakan waktu sibuk di klinik ini. Adakalanya sehingga mereka terpaksa beratur panjang.
"Please... Please... Please..." omel Dahlia di hadapan mesin perakam waktu. Punch card di tangan dimasukkan ke dalam mesin tersebut.
Tit...
Warna merah yang tercatat di kad tersebut mampu membuatkan Dahlia mengeluh berat. Mahu dihancurkan sahaja mesin perakam waktu yang melekat di dinding itu. Tak bertimbang rasa langsung! Dia bukan sengaja mahu lambat. Semuanya gara-gara skuternya buat hal ketika menuju ke sini. Boleh pula skuternya pancit secara tiba-tiba di tepi jalan. Bukan nak bagi amaran dulu! Tak pasal-pasal dia terpaksa menyorong skuter sampai ke klinik. Sekadar lambat dua minit pun nak berkira. Takkan nak sorong skuternya sambil berlari? Boleh buasir nanti!
Kad yang sudah dikeluarkan daripada mesin diselitkan semula ke tempat asal. Dahlia keluar semula dari klinik. Dia memarkirkan skuternya ke tempat parkir kenderaan lalu mengunci skuter yang berwarna hitam itu. Takut dicuri orang pula. Kalau tak dicuri, tentu ada pesakit yang bising sebab motor itu diparkir betul-betul di hadapan laluan klinik. Susah untuk pesakit yang menghadapi kes kecemasan nanti.
"Dah macam lipas kudung akak tengok Lia hari ni. Berlari ke sana sini. Lambat bangun ke?" komen Juliana yang asyik memerhati gelagat Dahlia dari ruang kaunter klinik.
Longlai Dahlia berjalan ke kaunter. Masih penat. Penat menyorong motor menuju ke klinik. Nak harapkan mekanik, lagi lambatlah dia tiba nanti. Nak tak nak, dia laratkan juga tenaga untuk menyorong motornya itu. Dia memang takkan tinggalkan motor skuternya itu di tepi jalan. Ansuran motor masih belum habis dibayar. Kalau hilang, memang putih mata!
"Tayar motor Lia boleh pula pancit, kak Ju. Sabar ajelah. Lia sorong motor dua puluh minit. Punyalah penat. Itu yang lambat tu. Menggigil dah kaki Lia ni. Dah tak rasa apa dah... Rasa lenguh aje," rungut Dahlia. Bukan kaki sahaja terasa penat, kepala pun macam berpusing ligat. Macam nak muntah pun ada juga.
"La, tayar motor pancit? Kenapa sorong motor? Kenapa tak call abang Lia? Call akak ke... Akak boleh datang."
"Akak nak datang? Habis, kaunter klinik siapa pula nak jaga? Nanti doktor bising kalau akak keluar macam tu aje. Nak call abang Lia, dia tentu sibuk kerja."
"Alah, beritahu aje yang Lia ada masalah. Takkan dia tak faham? Lagipun Doktor Ridzwan belum masuk lagilah."
Dahlia memandang Juliana yang tekun membelek botol ubat di kaunter. "Doktor Ridzwan tak masuk lagi?"
Juliana menggeleng perlahan.
"Dah seminggu rasanya dia tak masuk klinik," ucap Dahlia sambil mengusap dagunya. Merasakan ada tali yang terikat di dagu, Dahlia mengucap besar. Helmet masih belum dibuka! Astaghfirullah... Maknanya aku keluar masuk klinik dengan helmet di kepala? Berbual dengan Juliana begitu rancak begini dengan helmet di kepala? Hebat!
"Akak! Kenapa tak cakap yang Lia tak buka helmet lagi? Malunya..." bising Dahlia. Dia menyalahkan orang lain padahal dia sendiri yang terlupa untuk membuka helmet. Patutlah kepalanya terasa berat semacam!
"Manalah akak tahu. Akak ingatkan Lia nak keluar semula. Ada hal dekat luar." Polos Juliana menjawab.
Dahlia meletakkan helmet dan beg galasnya di bawah kaunter. Kemudian dia membetulkan tudung bawal yang terasa seperti senget sahaja. Setelah puas betulkan tudung, dia mula bertugas seperti biasa.
Dahlia akui dia masih belum mahir lagi dalam bidang perubatan. Dia masih memerlukan banyak pengalaman sebelum berjaya menjadi jururawat yang lebih bertauliah. Lagipun dia sekadar lepasan diploma dan baru sahaja bekerja di klinik ini selama lima bulan.
Juliana meletakkan nasi bungkus yang baru sahaja dibeli di restoran yang berada di hadapan klinik. Nasi bungkus untuk Dahlia juga dibeli sama. Memang rutin mereka silih berganti. Adakalanya Juliana yang membeli makanan buat mereka dan sebaliknya juga buat Dahlia. Bergantung kepada kesibukan tugasan mereka.
"Lambatnya Lia ni..." Juliana menyentuh polystyrene di hadapannya. Perutnya sudah berbunyi-bunyi. Sudah bergendang kuat. Jam di dinding menunjukkan pukul dua petang. Hampir setengah jam dia menunggu Dahlia.Gadis itu masih belum keluar dari bilik rawatan padahal tak ada pesakit di dalam klinik. Takkan Dahlia masih sibuk?
Bunyi deringan telefon bimbit mengejutkan Juliana. Dia mula tercari-cari dari mana datangnya bunyi deringan itu. Hendak dikatakan datang dari pesakit, klinik baru sahaja ditutup sementara waktu rehat. Mana ada orang di dalam klinik melainkan Dahlia dan dirinya. Doktor dan pekerja lain juga sudah keluar berehat. Lagipun bunyi deringan begitu dekat dengan kaunter. Bukan deringan yang datang dari telefon bimbitnya. Barangkali milik...
"Siapa call ni?" Juliana mengambil telefon bimbit yang berada di dalam beg galas milik Dahlia. Takut panggilan kecemasan pula. Mana tahu datang dari keluarga Dahlia dan ada hal penting yang mahu disampaikan?
"Doktor Ridzwan?" Juliana pantas menyentuh skrin telefon bimbit. Dia menjawab panggilan daripada pemilik klinik ini. Tentu ada hal penting yang mahu dipesan kepada Dahlia. Tetapi kenapa Doktor Ridzwan tidak menelefon klinik saja?
"Assalamualaikum..." sahut Juliana.
"Waalaikumussalam. Dahlia, awak ada dekat klinik ke?" soal Doktor Ridzwan dari hujung talian.
"Doktor Ridzwan, Dahlia tengah busy. Saya Ju. Saya jawabkan panggilan telefon dia. Doktor ada apa-apa nak pesan ke? Saya boleh maklumkan dekat Dahlia."
"Saya ada hal sikit nak cakap dengan Dahlia. Ingat dia keluar pergi lunch. It's okay. Nanti saya telefon dia balik."
"Baik, doktor. Assalamualaikum." Sempat Juliana mendengar Ridzwan menjawab salam sebelum menutup panggilan telefon.
Entah kenapa Ridzwan tidak masuk ke klinik? Dahlah tak tinggalkan notis. Baru hari ini Juliana mendengar khabar daripada Ridzwan sendiri. Itupun sekadar mahu berbincang dengan Dahlia. Tentu ada perkara yang hendak disampaikan. Tetapi kenapa dia maklumkan kepada Dahlia saja?
Juliana pantas menggeleng untuk mengelak daripada berfikir yang bukan-bukan. Kemudian dia meletakkan semula telefon bimbit Dahlia ke dalam beg galas. Akhirnya Dahlia muncul setelah hampir lima minit dia menunggu. Dia menarik nafas lega. Lambat betul gadis itu!
"Akak Ju, jom. Lia dah lapar ni." Dahlia yang baru muncul di kaunter terus mengusap-usap perutnya.
"Lia okey ke? Muka pucat aje?" soal Juliana. Dia mula berdiri merapati gadis berumur 23 tahun itu.
"Okey. Lia okeylah."
"Akak dah belikan nasi untuk Lia. Kita makan dekat sini ajelah."
"Memang terbaiklah, Kak Ju. Lia dah lapar gila ni."
Masing-masing mengambil tempat di kerusi. Mereka makan di kaunter klinik. Dahlia terus membuka nasi bungkus yang berada di hadapan mata. Lauk ayam masak kari bersama sayur kacang botor kelihatan begitu menyelerakan. Sebelum tangannya menyentuh nasi, Dahlia mencapai beg galas yang berada di bawah kaunter. Dompetnya dikeluarkan dan sehelai not sepuluh ringgit dihulurkan kepada Juliana.
"Nah, kak. Lia bayar duit nasi Lia ni."
Juliana yang baru membasahkan tekak dengan air sirap limau terus menggeleng.
"Makanlah. Akak belanja."
Dahlia berkerut memandang Juliana. Selalu benar dia bersikap begini. Terlalu pemurah sedangkan wanita itu turut memerlukan duit. Bukannya duit jatuh dari langit pun.
"Jangan nak mengada-ada. Ambil duit ni, Kak Ju."
"Kan akak cakap dengan Lia, akak belanja Lia hari ni."
"Dalam minggu ni aje akak dah belanja Lia makan dua kali. Kalau termasuk hari ni, dah tiga kali. Lauk memang best. Kalau belanja makan nasi dengan telur masin taklah rasa segan nak terima. Ini lauk ayam pula tu. Seganlah, Lia. Ambillah, kak. Kalau akak tak ambil, Lia tak nak makan. Lia pergi beli makanan dekat luar."
Juliana mengambil duit yang dihulurkan kepadanya. Baru sahaja dia mahu mencapai beg tangannya yang di letak di kaunter, Dahlia terlebih dahulu bersuara.
"Tak payah nak bagi duit bakinya, Kak Ju."
Juliana tersenyum kecil. Duit yang berada di tangan terus dimasukkan ke dalam poket seluar. Macam tahu-tahu saja yang dia mahu memulangkan duit lebih. Kemudian mereka terus menikmati makanan. Takut waktu rehat mereka berakhir pula.
"Oh, ya... Akak terlupa pula." Juliana menelan kunyahan nasi yang berada di dalam mulut. Kemudian dia melihat Dahlia yang begitu tekun menikmati makanan. Memang lapar betul! Langsung tak toleh ke kiri dan ke kanan.
"Lia... Lia dengar tak?" soal Juliana. Bahu gadis itu disentuh lembut.
"Ya. Lia dengar. Cakaplah."
"Tadi Doktor Ridzwan call phone Lia. Akak jawabkan. Katanya dia ada benda nak cakap dengan Lia."
Kunyahan nasi di mulut Dahlia mula perlahan. Apa pula yang Doktor Ridzwan mahu? Ada perkara mustahak yang mahu dibincangkan ke? Tak pernah pula Doktor Ridzwan menelefon dirinya dan mengatakan ada perkara yang hendak dibincangkan. Inilah kali pertama.
"Pasal apa?"
Juliana mengangkat bahu. "Itu dia tak beritahu pula. Dia nak cakap dengan Lia. Lia tak ada, dia tak cakap apa-apa dekat akak. Tapi, dia kata nanti dia call Lia balik."
Malas Dahlia mahu ambil pusing. Dia menyambung menikmati makanannya semula. Tak dinafikan hatinya resah dengan perkara yang mahu dibincangkan oleh Doktor Ridzwan. Tipu jika dia tidak melalut memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Jangan fikir yang bukan-bukan, Lia! Tak ada maknanya lelaki macam Doktor Ridzwan tu nak dekat kau. Silap-silap, isu kecil aje yang dia cuba nak sampaikan. Kau aje yang berangan lebih! Ada hati dengan Doktor Ridzwan konon... Huh! getus hati kecil Dahlia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co