Bab 2
Danish membelek motor skuter milik Dahlia. Dari bahagian ekzos hingga ke handle motosikal gadis itu dibeleknya. Bersungguh betul Danish menyentuh setiap bahagian motosikal.
"Apa yang rosaknya dengan motor Lia ni?" soal Danish. Nampak macam dalam keadaan baik sahaja motosikal milik adik bongsunya itu.
"Cek macam profesional..." Perlahan nada suara Dahlia. Dia mengutuk Danish yang masih lagi memandang setiap bahagian motosikal.
"Lia cakap apa?"
Dahlia pantas menggeleng. Dengar pula telinga tebal abang sulungnya itu. Selalu kalau dikutuk dalam versi perlahan begini, memang langsung tak perasan.
"Abang long tu... cek macam mekanik aje, tapi bahagian motor yang rosak pun abang long tak tahu. Act aje lebih." Jujur Dahlia menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Tengok dari jauh pun tahu tayar motornya pancit. Buat apa belek bahagian lain?
"Lia nak abang long tolong ke tak? Nak abang long balik ke? Tinggalkan Lia dekat sini?" ucap Danish dengan muka seriusnya.
Dahlia berpeluk tubuh. "Alah, cakap main-main pun nak terasa. Hati kama betul."
"Ni, apa yang rosaknya?" Sekali lagi Danish menyoal soalan yang sama. Pada Danish, dia lebih gemar melayan adik bongsunya dengan tegas. Dia begitu kenal dengan perangai Dahlia yang gila-gila. Tak pernah ambil kesah dengan ketegasan dirinya langsung.
"Tayar motor Lia yang pancit," terang Dahlia sambil menunjukkan tayar motosikalnya yang kempis.
Sebelum habis waktu kerja, memang Dahlia sempat menelefon Danish untuk datang ke klinik. Dia meminta bantuan Danish untuk menyelesaikan perkara ini. Nak harapkan dirinya memang dia tak larat untuk menyorong motosikalnya ke bengkel. Kudrat empat keratnya ini ada hadnya juga. Sebelum berkecai tulang-belulang di tengah jalan, lebih baik dia mengharapkan kudrat Danish yang jauh lebih mantap.
"Kena hantar bengkel ni. Tayar Lia bocor," ujar Danish selepas selesai membelek bahagian tayar motosikal Dahlia.
"Bocor?" Bulat mata Dahlia memandang Danish.
"Ya. Bocor. Tengok tayar ni pun dah tahu."
Dahlia mengamati tayarnya. Macam mana nak tahu tayar motosikalnya bocor?
"Nampak bocor, kan?" Danish menunjukkan bahagian tayar yang dikatakan bocor. Pada Dahlia, dia tidak nampak apa-apa pun.
"Nampak tak?" tanya Danish lagi. Dahlia mengangguk lemah. Ya kan sahaja apa yang dikatakan oleh Danish. Sejujurnya dia sendiri tidak mampu membezakan. Ada beza ke tayar pancit dengan tayar bocor?
"Lia bawa motor macam mana ni? Orang bawa motor atas jalan, Lia bawa motor atas apa?"
"Atas jalanlah... Takkan bawa motor atas angin kut?" cebik Dahlia. Kalau nak cantik bunga tayar, tak nak bocor bagai, selimutkan aje motor tu dekat rumah. Senang. Memang tak rosak. Boleh buat pameran lagi.
"Ada bengkel yang dekat tak dengan area klinik Lia ni?"
Dahlia menggeleng. "Kalau ada bengkel yang dekat, Lia dah hantar sendiri."
Danish menggaru-garu kepala. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul enam petang. Masih ada bengkel yang buka ke sekarang ini? soalnya dalam hati.
"Lia tinggalkan ajelah motor Lia dekat sini. Esok abang long bawa pergi bengkel. Dah pukul berapa ni," cadang Danish.
"Mana boleh. Nanti motor Lia hilang macam mana?"
Danish menggaru-garu kepalanya lagi. Pening. Buntu dengan keadaan Dahlia. Dengan baju kerja yang masih belum dibuka, rasa rimas pula tubuhnya ketika ini. Panas. Bertambah panas pula dengan masalah yang menimpa mereka.
"Macam ni ajelah... Lia drive kereta abang long, abang long naik motor. Follow tepi sambil pegang side mirror kereta."
"Serius? Abang long okey ke nanti? Boleh ke kita buat macam tu?" Macam bahaya pula cadangan Danish. Tapi jika itu sahaja cadangan yang ada, apa boleh buat?
"Jangan bawa laju-laju... Bawa perlahan aje."
Dahlia mengangguk-angguk. Dia mengikut sahaja arahan Danish. Danish lebih memahami dalam perkara begini berbanding dirinya. Dia tak sanggup meninggalkan motosikalnya di sini.
"Cramp tangan abang long ni... Dah tak rasa apa dah..." Itu ayat pertama yang keluar dari mulut Danish sebaik mereka tiba di rumah. Lenguh betul tangannya memegang cermin sisi kereta sepanjang jalan. Rasa macam nak tercabut. Nasib baik motosikal adik tersayang. Kalau tidak, sudah lama dicampak ke sungai.
Dahlia yang masih berada di dalam kereta menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya mereka sampai ke rumah dengan selamat. Lagi satu, motosikalnya juga selamat sampai tanpa risau dicuri orang. Itu paling penting.
"Penatnya..." keluh Dahlia selepas keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup rapat. Melihatkan Danish sudah bersandar di tepi kereta, Dahlia mengurut bahu abang sulungnya itu. Kasihan pula dengan Danish. Sanggup berpenat lelah untuk dirinya. Tapi dah namanya abang kandung. Abang sulung dan ketua dalam keluarga mereka. Kalau tidak Danish, nak harapkan siapa lagi?
"Sorry, abang long. Lia susahkan abang long hari ni... Jangan risau. Esok... Lusa... Lia susahkan abang long lagi. Cukuplah untuk hari ni." Dahlia tersenyum sehingga menampakkan gigi.
Mahu saja Danish mengetuk kepala Dahlia selepas mendengar kenyataan yang langsung tidak melegakan hatinya itu. Makin bertambah sakit pula tangannya.
"Abang long nak air. Buatkan abang long air." Danish melepasi tubuh Dahlia. Lemah kakinya melangkah masuk ke dalam rumah selepas memberi salam. Melihat Nur Puan Aina, ibu mereka sibuk melipat kain, Danish melabuhkan punggung di sebelah. Badannya disandarkan ke sofa.
Dahlia yang mengekori langkah Danish berhenti sekejap di ruang tamu. Dia membuka tudung dan meletakkan beg galasnya di atas sofa.
"Ibu... Ibu nak air tak?"
"Tak apa," jawab Puan Aina. Dia melemparkan senyuman manis kemudian kembali tekun melipat kain.
"Abang long nak air apa?" soal Dahlia sebelum kembali melangkah. Digagahkan jua ke dapur membuat minuman untuk Danish. Kalau tidak, kerahan tenaga itu akan diungkit sehingga esok. Itu yang Dahlia malas nak dengar.
"Hot cappuccino... Nak ada ukiran Hello Kitty dekat atas air, tau."
Dahlia yang berada di dapur kembali ke ruang tamu. Apa? Hot cappuccino dengan ukiran Hello Kitty? Kenapa tak minta ukiran Spiderman? Kan superhero kegemaran abang long?
"Apa abang long? Nak air apa?" Sengaja Dahlia menyoal sekali lagi untuk memastikan dia tidak salah dengar. Dia begitu pasti Danish memesan minuman ala-ala berehat di kafe itu.
"Hot cappuccino dengan ukiran Hello Kitty. Macam tak biasa pula," jawab Danish selamba. Matanya terpejam rapat. Langsung tak ketawa mahupun tersengih. Seperti mengatakan kenyataan yang diberikan bukan satu gurauan semata-mata.
Dahlia berjalan ke ruangan dapur semula. Pintu peti sejuk dibuka luas. Mana pula dia mahu mencari perasa cappuccino? Kopi adalah!
"Motor Lia dah hantar bengkel?" Puan Aina mula bersuara. Dahlia terlebih dahulu memaklumkan kepadanya tentang perkara yang menimpa.
"Tak hantar pun. Danish bawa balik aje. Esok baru hantar bengkel. Takut dah lewat petang macam ni, tak ada bengkel yang buka pula."
Puan Aina mengangguk perlahan. "Esok Danish hantar Lia pergi kerja, ya? Ibu tak nak dia naik bas. Risau ibu nanti."
"Ya, bu." Pendek Danish menjawab. Memang kenal benar dengan sikap protective Puan Aina terhadap Dahlia. Keluarga kecil mereka kehilangan ayah ketika Dahlia berumur tiga tahun. Ketiadaaan ayah menyebabkan Danish memikul peranan ketua keluarga. Puan Aina banyak berkorban bagi membesarkan mereka empat beradik. Mohd Danish, Nur Damia, Mohd Darwisy dan Nur Dahlia. Disebabkan Dahlia membesar tanpa sempat merasai kasih sayang seorang ayah, jadi dia diberikan perhatian lebih oleh Puan Aina.
"Arwi mana, ibu? Dah pergi kerja?"
"Dia syif malam minggu ni."
Darwisy, adik lelakinya itu sedang belajar di universiti. Dia menyambung ijazah selepas pelajarannya tergendala untuk seketika. Ketika ini Darwisy sedang bercuti pertengahan semester. Memang sifat Darwisy yang tidak suka menyusahkan orang lain. Dia ligat mencari duit perbelanjaan sendiri setiap kali cuti semester. Sejak di bangku sekolah menengah lagi Darwisy dan Danish mula bekerja. Mereka membantu Puan Aina untuk perbelanjaan rumah dan pengajian masing-masing.
Apa yang membezakan mereka cuma kepandaian Darwisy dalam pendidikan. Danish jauh ketinggalan. Darwisy pandai membahagikan masa dan memastikan tahap pelajarannya tidak terabai walaupun dia sibuk bekerja. Bak kata Darwisy, tiada had umur untuk kita terus belajar.
"Nah, air." Danish membuka matanya. Dia melihat Dahlia menatang dulang yang terletak segelas air berwarna merah. Dari pandangan sahaja Danish dapat mengagak air apa yang diberikan kepadanya.
"Sirap? Mana hot cappuccino abang long?"
Dahlia meletakkan sahaja dulang yang ditatang ke atas meja kopi. Dia mula mengambil tempat berdekatan Puan Aina.
"Tadi memang Lia ingat nak buatkan abang long hot cappuccino. Lia dah jerang air dah. Tangan ni memang dah ready nak ukirkan ukiran Hello Kitty atas air abang long. Masalahnya, Lia buka peti sejuk... nampak pula pewarna sirap. Abang long kan penat. Panas. Jadi, Lia buatkan abang long air yang sejuk." Panjang lebar Dahlia memberi penjelasan. Sengaja memerli Danish yang meminta minuman yang bukan-bukan.
Kecil sahaja mata Danish memandang Dahlia. Ada-ada sahaja alasan gadis itu. Gelas berisi air sirap yang terletak di atas meja kopi dicapai. Pantas air itu menjengah mulutnya. Dia membasahkan tekaknya yang begitu kering. Dahaga dengan kerahan tenaga yang habis digunakan untuk membantu Dahlia.
"Abang long minta hot cappuccino, dapat sirap pula. Macam tak logik! Kalau dekat kedai ni, memang dah kena kompelin," keluh Danish. Dia kembali bersandar.
Puan Aina yang duduk di sebelah sempat menepuk paha anak sulungnya itu. Dia meminta Danish mengalah sahaja daripada terus mengarut bercakap perkara yang bukan-bukan.
"Tak logik... Tapi boleh pula minum air sirap." Perlahan Dahlia menjawab. Dia mula mengalihkan pandangannya ke arah TV. Ceramah agama di saluran Al-Hijrah menjadi pilihan Puan Aina. Sepertimana Puan Aina sering berpesan, setinggi mana ilmu kita di dunia, ilmu akhirat lebih penting.
"Lia... Esok pergi kerja abang long hantarkan. Jangan naik bas," ucap Puan Aina. Sebelum Dahlia mengambil keputusan untuk pergi ke tempat kerja menaiki bas, lebih baik dia menyuarakan pendapatnya terlebih dahulu.
Dahlia yang tekun menonton TV, terus memandang Puan Aina sebaik namanya dipanggil oleh wanita itu.
"Apa, bu? Ibu cakap apa?"
"Ibu cakap, esok Lia pergi kerja... Abang long hantarkan. Ibu tak nak Lia pergi kerja naik bas."
Dahlia melopong kecil. Sempat ekor matanya memerhati Danish yang duduk di sebelah Puan Aina. Bantuan untuk hari ini sahaja sudah diminta minuman yang bukan-bukan. Untuk esok, entah apa yang Danish mahukan. Bukan boleh percaya sangat abang sulungnya itu.
Baru sahaja Dahlia mahu membuka mulut untuk menjawab kenyataan Puan Aina, kedengaran suara dari hadapan rumah memberi salam.
Sambil menjawab salam, Danish bingkas bangun dari sofa. Siapa pula datang waktu lewat petang begini? Takkan jurujual kut?
Danish berjalan keluar rumah. Melihat seorang lelaki tidak dikenali membuatkan Danish hanya berdiri di balik pintu pagar yang berkunci. Langkah keselamatan yang perlu diambil.
"Waalaikumussalam. Cari siapa?" tanya Danish. Dia memandang lelaki yang turut berdiri di sebalik pintu pagar rumah mereka. Kereta mewah yang berhenti di hadapan rumah membuatkan Danish begitu teruja untuk mengetahui gerangan lelaki itu. Hendak dikatakan jurujual, tentu bukan. Takkan jurujual pakai kereta mewah? Barangkali lelaki itu tersilap rumah. Rasanya tiada seorang pun dalam keluarga mereka mengenali orang kaya seperti lelaki ini. Takkan kenalan Darwisy? Biar betul?
"Ini rumah Dahlia ke? Nur Dahlia binti Mustapha." Terkedu Danish mendengar nama yang meniti di bibir lelaki itu. Cari Dahlia? Lelaki kaya begini bukan kenalan Darwisy ke?
"Ya. Ini rumah Dahlia. Aku Danish, abang dia. Kau ni siapa?"
Danish perlu mengetahui gerangan lelaki itu. Takkan dia mahu membiarkan sahaja Dahlia berjumpa dengan lelaki yang Danish sendiri tidak kenal?
"Saya Doktor Ridzwan. Saya majikan Dahlia."
Ternganga Danish mendengar gerangan lelaki itu. Lelaki di hadapannya ini Doktor Ridzwan yang selalu dikatakan oleh Dahlia? Kenapa pula doktor tu berada di sini? Takkan mahu berjumpa dengan Dahlia? Takkan apa yang Dahlia katakan adalah benar? Memang dia mempunyai hubungan cinta dengan doktor itu? Ingatkan Dahlia hanya bercakap besar semata-mata. Sengaja nak buat cerita.
"Boleh saya jumpa dengan Dahlia?" Terpaksa Ridzwan bersuara lagi. Abang Dahlia tampak terkejut dengan kedatangannya.
"Ah... Masuklah." Danish membuka pintu pagar rumahnya.
"Tak apa. Saya nak jumpa Dahlia dekat luar aje."
Danish berkerut. Perkara apa yang begitu rahsia sehingga hendak berjumpa Dahlia di luar rumah sahaja? Tak pun... Orang kaya seperti Doktor Ridzwan tidak sudi masuk ke dalam rumah kecil mereka.
"Rumah kami ni mungkin kecil. Tapi kalau doktor masuk dalam rumah, bukan sempit pun. Masih muat lagi. Masuklah." Seperti perli pula kenyataan Danish kepada Ridzwan. Tidak membantah permintaan Danish, Ridzwan menurut sahaja. Sambil berjalan di belakang Danish, Ridzwan memerhati kawasan luar rumah milik Dahlia. Rumah teres setingkat yang terletak di lot tepi nampak sederhana. Dinding rumah yang dicat menggunakan warna biru terang kelihatan ceria dari luar.
"Lia... Bos Lia datang ni!" teriak Danish sebelum sampai ke pintu gelangsar hadapan rumah. Sengaja Danish bercakap kuat supaya ibunya dan Dahlia yang berada di dalam rumah bersiap sedia memakai tudung.
Dahlia yang masih duduk di ruang tamu lintang-pukang mencapai tudung kemudian bergerak ke dapur. Dia mengikat rambutnya sebelum menyarung tudung di kepala.
Kenapa pula Doktor Ridzwan datang ke rumah? Tak beritahu aku langsung! Tak call atau mesej dulu. Tak pernah-pernah lelaki itu datang mencarinya sehingga ke rumah. Mustahak sangat ke perkara yang hendak dibincangkan sampai Doktor Ridzwan sanggup datang ke rumah? soal Dahlia dalam hati.
"Masuk, doktor," pelawa Danish. Ridzwan melangkah masuk ke dalam rumah. Melihat seorang wanita berdiri dan turut mengalihkan pandangan ke arahnya membuatkan Ridzwan berdiri kaku. Mulutnya hanya mengukirkan senyuman buat wanita itu.
"Ibu... Ini Doktor Ridzwan. Dia bos Klinik Harmoni tu. Bos tempat kerja Lia," terang Danish. Puan Aina mengangguk perlahan sebelum turut menguntumkan senyuman.
"Duduk dulu, doktor. Mak cik pergi buatkan air," ujar Puan Aina sambil berlalu pergi.
"Duduklah dulu. Aku panggilkan Dahlia." Danish pula mengangkat kaki meninggalkan ruang tamu. Dia segera ke dapur mendapatkan Dahlia.
Ridzwan yang ditinggalkan seorang diri di ruang tamu terus melabuhkan punggung di atas sofa. Berkelip-kelip matanya menonton televisyen yang sibuk membincangkan tentang topik perkahwinan. Dia jarang menonton TV di rumah. Waktunya banyak dihabiskan di klinik atau di luar.
"Lia... Memang betul ke Lia dengan doktor tu bercinta?" Soalan pertama Danish selepas mendapatkan Dahlia di dapur betul-betul mengejutkan gadis itu. Hampir tergelak pun ada tatkala mendengar apa yang keluar dari mulut Danish. Hubungan mereka hanya sekadar majikan dengan pekerja sahaja. Tidak lebih daripada itu. Dia sengaja mengacau Danish dengan kenyataan palsu begitu.
"Taklah. Mana ada. Dia bos Lia la. Yang selalu Lia cakap tu... Lia main-main aje."
Danish memang sudah menyangka kenyataan Dahlia hanya palsu. Tapi, kehadiran Doktor Ridzwan seperti menyangkal kenyataan itu pula.
"Habis, kenapa dia cari Lia sampai dekat rumah?"
Dahlia mengangkat bahu beberapa kali. Dia sendiri tiada jawapan bagi soalan itu. Kalau boleh dia mahu menyoal balik soalan itu kepada Danish. Kenapa Doktor Ridzwan mencarinya sampai ke rumah?
"Lia jumpa dia dululah." Dahlia mula melangkah. Menyedari Danish turut berjalan, Dahlia pantas bersuara.
"Abang long stay dekat dapur dulu. Lia nak berbual dengan dia kejap. Takut abang long ada, dia tak nak berbincang pula."
Tiba di ruang tamu, Dahlia mengambil tempat di sofa. Kekok pula dia berhadapan dengan Ridzwan.
"Awak tak tukar baju kerja lagi?" Soalan Ridzwan membuatkan Dahlia melihat uniform sendiri. Memang uniformnya masih belum dibuka.
"Haah. Belum lagi. Ada apa doktor datang cari saya sampai dekat rumah? Ada perkara urgent ke?"
"Yes. Ada urgent matters nak bincang dengan awak."
"Cakaplah."
Ridzwan tersenyum manis. Dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan sekeping kertas kecil lalu dihulurkan kepada Dahlia.
"Alamat rumah siapa ni?" Dahlia berkerut. Alamat yang tertulis di atas kertas dibaca berkali-kali. Ini alamat rumah Doktor Ridzwan ke? Kenapa nak bagi aku? Nak aku buat apa dekat rumah dia?
"Saya nak awak datang dekat alamat ni pagi esok."
Tercengang Dahlia mendengar arahan Ridzwan. Kepalanya sudah mula terasa pening.
"Pagi esok? Saya kan kerja. Lagipun, saya nak buat apa datang rumah doktor?"
"Awak tak payah datang kerja esok. Saya ada benda nak minta tolong awak."
"Tolong apa?" Malas betul dia mahu berteka-teki dengan Ridzwan. Kenapa lelaki itu tidak mahu berterus terang sahaja?
"Minum dulu, doktor." Puan Aina datang bersama segelas air dan sepiring biskut. Kemudian dia meninggalkan mereka berdua semula untuk memberi ruang Dahlia berbual-bual dengan Ridzwan.
"Saya sebenarnya tak boleh lama dekat sini. Lagipun, dah lewat petang." Ridzwan sempat menghirup air yang diletakkan di hadapannya.
"Tapi saya..."
"Awak just datang dekat alamat tu. Sembilan pagi. Sharp. Jangan pakai uniform. Wear something nice. Saya jumpa awak dekat sana."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co