Truyen3h.Co

My Sewel Guy

Bab 15

karyaseni2u

Damia mengusap perutnya beberapa kali. Sudah masuk empat bulan usia anak yang berada di dalam perutnya ini. Ada tempoh lebih lima bulan lagi sebelum anak pertama mereka dilahirkan. Tapi, sebarang persiapan belum dapat dibuat. Pakaian dan tempat tidur untuk anak mereka belum mampu disediakan. Duit yang dipinjamkan oleh Dahlia, Damia langsung tak nampak hasilnya. Tentu Zubir menggunakannya untuk membayar hutang. Kehidupan mereka makin melarat. Makin sukar untuk ditempuh hari demi hari.

"Apalah nasib kita nanti..." ucap Damia sambil memegang perutnya. Sebagai ibu, dia mahukan segala yang terbaik untuk anaknya ini. Membesar dengan sempurna dan cukup sifatnya. Tetapi jika melihat anaknya membesar dalam kehidupan begini, Damia turut merasa susah hati. Sudah berkali-kali Damia meminta Zubir mengizinkannya untuk mencari kerja. Tetapi Zubir tetap berdegil. Adakalanya sehingga Damia sering terfikir untuk meninggalkan Zubir.

"Assalamualaikum." Damia mula mengangkat muka. Telinganya mendengar seseorang memberi salam di pintu hadapan rumah. Lantas dia berjalan keluar dari bilik dan melangkah perlahan ke arah pintu hadapan rumahnya.

"Waalaikumussalam," jawab Damia. "Ibu... Darwisy pun ada? Masuklah. Kenapa datang tak beritahu?"

Puan Aina dan Darwisy tidak menunggu lama di hadapan pintu. Mereka pantas menapak masuk ke dalam rumah. Mereka duduk bersila di ruang tamu. Rumah Damia dan Zubir tidak dipenuhi dengan perabot mahal. Sofa pun tiada. Hanya ada karpet di lantai dan TV sahaja di ruang tamu. Hiasan rumah bujang.

"Ni, ibu ada belanjakan barang dapur sikit. Ada bawakan pisang goreng dengan cendol pulut untuk Mia. Kata mengidam nak makan, kan?"

Hampir menitik air mata Damia. Terharu dengan sifat ambil berat ibunya itu. Memang dia pernah menyuarakan rasa mengidam cendol pulut ketika Puan Aina dan Dahlia datang ke rumah. Awal-awal lagi dia sudah meminta kepada Zubir. Tapi, Zubir buat-buat lupa saja. Langsung tak ambil berat. Nasib baik ada ibu yang penyayang.

"Terima kasih, bu. Dah lama Mia mengidam nak makan cendol pulut ni. Tunggu kejap. Mia pergi buat air. Kita minum petang sama-sama." Damia berlalu ke dapur.

"Darwisy tak kerja pula hari ni?" soal Damia dari dapur.

"Kerja. Darwisy syif malam."

"Lia kerja?"

"Lia kerja. Dia cuti hari Ahad aje," celah Puan Aina.

"Abang long mana? Tak datang sekali?"

"Dia keluar. Ada hal katanya. Nak cari doktor... Doktor apa namanya, Arwi?" Puan Aina menepuk paha Darwisy. Anak ketiganya itu sekadar mengangkat bahu. Darwisy tidak mendengar perbualan mereka bertiga pagi tadi, manalah dia tahu. Dia masih berselubung dengan selimut lagi selepas menunaikan sembahyang subuh. Sibuk diulit mimpi.

"Doktor apa, bu?" ujar Damia dari ruang dapur. Puan Aina mula mengingatkan kembali apa yang diucapkan oleh Danish. Doktor apa namanya...

"Doktor untuk orang sakit mental."

Damia mengacau air oren di dalam jag kecil. Sempat dia merasa sedikit sebelum menatang jag itu di atas dulang bersama tiga biji gelas ke ruang tamu. Terkejut juga dia mendengar Puan Aina mengatakan Danish mencari doktor sakit mental. Ada apa yang berlaku kepada Danish?

"Kenapa abang long cari doktor sakit mental? Abang long sakit ke?" risau Damia. Selama ini Danish kelihatan sihat sahaja. Tak nampak seperti mempunyai masalah gangguan mental.

"Bukan untuk Danish la. Untuk Lia."

Lagi terkejut Damia mendengar penjelasan ibunya itu. Dahlia juga kelihatan sihat. Apa sebenarnya yang berlaku ni?

"Lia cari doktor sakit mental untuk anak Datuk tu. Anak Datuk kan trauma kemurungan," jelas Puan Aina. Damia menarik nafas lega. Sepatutnya dia mendengar dulu keterangan ibunya dan tidak beranggapan yang bukan-bukan.

"Abang Zubir kerja ke kak ngah?" Darwisy memandang Damia yang sibuk menghidangkan pisang goreng di hadapan mereka.

"Cuti. Tapi awal pagi lagi dah keluar."

"Mia okey ke?" Perlahan Puan Aina menyoal.

"Okey. Mia okey." Senyum Damia.

"Kak ngah nak pakai duit ke? Darwisy boleh pinjamkan."

Damia menggeleng pantas. "Taklah. Kak ngah okey."

Segan mendengar keluarganya bersungguh-sungguh membantu tanpa perlu diminta-minta. Mereka faham meskipun sekadar melihat saja. Tetapi, dia masih ada maruah diri dan maruah suami yang perlu dijaga. Melainkan Zubir berada dalam keadaan sesak, barulah Damia akan meminta pertolongan keluarganya. Walaupun jauh dalam sudut hatinya dia mahu menerima, tetapi rasa segan mengatasi segala-galanya.

"Doktor Ramesh?" ucap Dahlia sebaik masuk ke dalam bilik pakar psikiatri di Klinik Pakar Ramesh. Klinik pakar bagi masalah psikiatri dan mental. Memandangkan Dahlia tidak membuat sebarang janji temu, dia terpaksa merayu dengan petugas klinik agar memberitahu doktor untuk berjumpa dengannya walaupun dalam tempoh lima minit. Nasib baik Doktor Ramesh bertimbang rasa. Atau barangkali tiada pesakit yang berjanji temu dengan doktor dalam tempoh waktu begini.

"Ada hal penting apa you nak jumpa saya? Kenapa tak buat appointment dulu?" soal doktor berbangsa India itu. Dia menunjukkan kerusi kosong yang berada di hadapannya.

Dahlia melabuhkan punggung ke atas kerusi. Danish turut sama. Berbeza keadaan bilik untuk pesakit begini daripada bilik untuk rawatan pesakit luar. Bilik ini tersedia sofa penjuru di sisi bilik. Mungkin tempat untuk pesakit menjalani sesi psikoterapi yang perlu dilakukan.

"Maaf, doktor. Saya memang ada hal penting nak jumpa doktor. Nak tanya pasal ubat ni." Dahlia mengeluarkan kotak ubat yang terisi dengan ubat milik Nasri Haikal. Doktor Ramesh mengambil kotak yang diberikan. Dibuka dan disentuh satu per satu.

"You are not getting this medicine from me, right?" ucap Doktor Ramesh bernada kurang pasti.

Dahlia menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Terlupa untuk dia bertanya kepada Nasri tentang nama doktor psikiatri yang merawat lelaki itu. Malah Dahlia sendiri tidak berkesempatan untuk berjumpa secara bertentang mata dengan doktor yang digajikan oleh Datuk Azmi. Bagaimana jika doktor di hadapannya ini merupakan doktor psikiatri yang merawat Nasri Haikal? Masalah...

"Sorry, doktor. Doktor ada rawat patient yang bernama Nasri Haikal? Nasri Haikal bin Datuk Azmi?" Doktor Ramesh mengambil fail yang terletak di atas meja. Dibelek beberapa kali sebelum menjawab pertanyaan Dahlia.

"No. Saya tak ada patient nama Nasri Haikal. Why?"

Dahlia mengeluh lega.

"But I don't know that Datuk Azmi ada anak lelaki. Anak dia ada masalah apa-apa ke?"

Terlalu cepat untuk Dahlia mengeluh nafas lega. Terlupa dengan faktor nama Datuk Azmi yang dikenali oleh segelintir orang. Adakah dia perlu terus menyembunyikan identiti Nasri Haikal?

"Doktor ada kenal dengan Datuk Azmi ke... atau doktor berkawan dengan dia?" Dahlia cuba menyelidik. Macam dah lari topik pula. Hasratnya mahu mengetahui tentang ubat Nasri. Tetapi perbualan ini sibuk menceritakan tentang Datuk Azmi.

"I have never met him. Cuma kenal melalui paper sahaja." Dahlia mengangguk-angguk.

"Actually, pasal Nasri Haikal ni... Sebenarnya orang lain tak boleh tahu keadaan dia. Saya harap doktor faham." Terpaksa Dahlia mendapatkan kerjasama dengan doktor itu sendiri meskipun Nasri berkemungkinan tidak bersetuju sama sekali. Lagipun, memang Dahlia berhasrat untuk menggunakan doktor di hadapannya ini bagi memeriksa Nasri. Walaupun Nasri belum memberikan kata putus untuk berjumpa doktor, Dahlia akan terus berusaha bagi membolehkan Nasri turut memberikan kerjasama.

"You don't have to worry. Masalah patient is confidential. Saya tak pernah ceritakan masalah mana-mana patient kepada orang lain."

Danish menepuk tangan Dahlia. Laju Dahlia memandang ke arah abang longnya itu.

"Straight to the point," bisik Danish. Dia tak nak Dahlia membuang masa dengan sekadar berbual kosong sesama mereka.

"Saya private nurse yang jaga Nasri. Sebenarnya saya nak minta doktor periksa ubat milik Nasri ni. Dia ada masalah major depression. He cut himself. Ada banyak luka yang berlaku dekat dia. Dah hampir setahun keadaan dia tak berubah. Sebelum beberapa hari lepas, dia bercakap dengan saya selepas hampir setahun dia tak bercakap. Dia sendiri yang minta saya tanya mana-mana doktor untuk periksa ubat ni. Jadi, saya nak minta penjelasan daripada doktor sendiri," jelas Dahlia dengan panjang lebar.

Doktor Ramesh membelek beberapa kapsul yang berada di dalam kotak ubat. Diteliti sebaik mungkin.

"Ada apa-apa lagi tak yang dia inform dekat awak pasal keadaan diri dia?"

Dahlia cuba mengingat kembali. Dia menaruh harapan kepada memori fikiran yang menyimpan maklumat tidak melebihi 256 MB ini.

"Dia ada cakap yang dia... Sometimes dia... Dia cakap dia akan okey kalau makan sesetengah ubat. Sometimes dia tak boleh kawal diri dia." Dahlia menggenggam erat tangannya. Terasa bangga dapat mengingat kembali apa yang dikatakan oleh Nasri. Seperti menjawab ujian pun ada juga.

Doktor Ramesh mengangguk. "Dia ada jumpa mana-mana doktor psikiatri?"

"Ada. Dia ada doktor psikiatri sendiri."

"Nama doktor tu?"

Dahlia melopong seketika. Identiti doktor peribadi yang merawat Nasri turut memainkan peranan ke?

"Saya tak kenal doktor yang rawat dia. Tak tahu nama dia."

"Doktor psikiatri dekat Melaka yang ada klinik sendiri tak ramai. Mungkin doktor yang rawat dia, saya kenal. Kalau awak tahu pasal doktor tu, saya boleh try discuss more about Nasri dengan dia." Dahlia pantas menggeleng.

"Jangan. Saya dah cakap dengan doktor, kan? Orang lain tak boleh tahu pasal dia." Bersungguh Dahlia. Kalau Doktor Ramesh mahu berbincang dengan doktor psikiatri Nasri sendiri, tentu rahsia Nasri akan terbongkar. Jadi, Dahlia perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

"Even from his own doctor?" tanya Doktor Ramesh. Dahlia pantas menganggukkan kepala.

"That is hard. Awak kena bawa Nasri jumpa saya supaya saya boleh cek keadaan dia. Ubat ni... Actually, saya tak pernah nampak ubat kemurungan jenis ni. Nanti saya try hantar dekat makmal perubatan di hospital." Doktor Ramesh mengambil beberapa biji untuk dijadikan sampel sebelum diserahkan semula kotak ubat milik Nasri kepada Dahlia.

"I need your contact information for our discussion about Nasri." Dahlia memberikan nombor telefonnya kepada Doktor Ramesh. Kemudian dia berdiri bersama Danish.

"Bayaran dia..." Dahlia menelan liur. Duit di dalam dompetnya belum tentu cukup untuk membayar perkhidmatan Doktor Ramesh. Dia terpaksa mengharapkan Danish sajalah.

"Kita bincang pasal ni lepas saya jumpa Nasri."

Dahlia mengangguk sahaja sebelum meminta diri untuk meninggalkan bilik doktor itu. Sekarang, dia perlu menanti keputusan ujian makmal tentang ubat Nasri. Dia berharap agar keputusan ubat itu nanti menjawab segala persoalan mengenai Nasri Haikal.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co