Truyen3h.Co

My Sewel Guy

Bab 14

karyaseni2u

"Abang long, Lia nak tanya sikit ni." Dahlia duduk di kerusi meja makan. Awal dia bangun tidur hari ini semata-mata mahu berjumpa Danish sebelum bergerak ke tempat kerja. Dia mahu berbual dengan Danish terlebih dahulu. Memandangkan hari ini hari Sabtu, Danish tidak bekerja. Bab makan, Danish memang tak boleh skip. Sanggup bangun tidur awal pagi semata-mata nak menjamah sarapan yang dimasak oleh ibu. Kata Danish, dia selalu tertinggal untuk bersarapan ketika bekerja. Waktu rehat begini sahaja Danish memberi peluang untuk perutnya membuncit.

"Nak tanya apa?" soal Danish. Rajin pula Puan Aina mahu membuat kuih kegemarannya pagi ini. Kuih talam ubi kayu.

"Abang long boleh tolong Lia carikan doktor psikiatri tak?" Hampir tersedak Danish mendengar permintaan Dahlia. Doktor psikiatri? Doktor yang rawat orang gila ke?

"Hah?! Nak buat apa cari doktor psikiatri? Lia takut sakit Nasri tu berjangkit dekat Lia ke?"

Dahlia menggeleng beberapa kali. "Apa abang long ni... Tak ada maknanya sakit Nasri tu berjangkit dekat Lia."

"Habis, buat apa Lia yang nak cari doktor psikiatri pula?" Sudah dua biji kuih talam ubi kayu yang menyinggah ke mulutnya. Dalam keluarga kecil mereka, hanya ibu dan dirinya sahaja yang suka kuih talam ubi kayu. Dahlia dan Darwisy tidak menggemari kuih itu.

"Ada nak buat research sikit." Dahlia cuba mengelak daripada menjelaskan isu sebenar. Dia tiada masa untuk mencari mana-mana doktor psikiatri. Dia hanya mengharapkan Danish saja.

"Research? Research apa lagi? Bukan Nasri tu ada doktor sendiri ke?"

Dahlia mengeluh lembut. Banyak soalan pula yang datang daripada Danish. Bukan mudah sebenarnya meminta pertolongan abang sulungnya itu. Kena banyak bersabar. Nak minta tolong Darwisy, kerja Darwisy tidak tentu masa.

"Memanglah. Tapi Lia ada nak tanya dekat doktor lain pula. Nak minta pandangan doktor yang berbeza."

"Rancak berbual. Cerita pasal apa tu?" Puan Aina masuk ke ruang dapur. Dia meletak bakul bersebelahan dengan mesin basuh. Dia baru selesai menyidai pakaian. Sementara waktu pagi begini, Puan Aina berpeluang menyidai pakaian. Nanti matahari dah terik, panas pula.

"Cerita pasal doktor psikiatri." Danish menjawab soalan ibunya. Piring berisi kuih talam ubi kayu diletakkan di hadapan Puan Aina sebaik ibunya duduk di kerusi. Takut dibiarkan di hadapan mata, hilang kuih itu dengan sekelip mata.

"Doktor apa tu?" Puan Aina kurang memahami.

"Doktor untuk pesakit mental, bu."

Puan Aina menganggukkan kepala.

"So, boleh tak abang long?" Dahlia menyoal semula. Dia tak mahu soalan itu tidak berjawab.

"Apa yang abang long dapat kalau abang long tolong Lia?" Dahlia menarik muka. Sudah diagak soalan ini akan diutarakan.

"Lia belanja abang long minum dekat kafe. Abang long mintalah ukiran apa sekalipun dekat atas air abang long. Lia belanja."

Danish papar muka terkejut. "Serius? Tak bohong, kan? Bohong dosa tahu."

"Tahu. Lia janji dengan abang long. Dengan ibu sekali Lia belanja. Lia belanja satu keluarga kita pun tak apa." Macam melebih-lebih pula. Tetapi, tak apalah. Janji kes Nasri dapat dibantu. Sekadar belanja minum di kafe, tak mendatangkan kudis pun.

"Okeylah. Lia nak pergi mandi dulu." Dahlia bangun dari kerusi.

"Hesy, selekeh. Berbual punya lama dengan abang... Baru nak pergi mandi. Dengan air liur basi, bukan nak basuh muka. Pengotorlah Lia ni!" jerkah Danish. Dia memandang Dahlia dari atas hingga ke bawah.

Memang Dahlia baru bangun tidur. Belum basuh muka lagi. Rambut panjangnya masih berserabut. Jadi, apa masalahnya? Apa yang menyebabkan dirinya bergelar pengotor?

"Bukan Lia minum air abang long ke... Makan sarapan ke... Sekadar cakap-cakap dengan abang long aje. Itupun nak panggil Lia pengotor. Abang long lagi pengotor. Seluar dalam sendiri pun tak nak cuci. Umur dah cecah angka tiga dekat depan. Tapi, seluar dalam pun ibu yang cuci." Dahlia bercekak pinggang.

Puan Aina sibuk menyuap kuih ke dalam mulut. Malas mengganggu pertengkaran Dahlia dan Danish yang sering tercetus. Gaduh-gaduh manja yang diamalkan setiap kali mereka meluangkan masa berdua.

"Apa masalahnya dengan seluar dalam ibu yang cuci? Ibu pun tak bising. Lia nak bising pula. Lagipun, bukan abang tercirit dekat seluar dalam pun sampai nak panggil abang pengotor."

Dahlia tergelak. Kelakar mendengar Danish beria-ia membela dirinya.

"Maknanya, kalau Lia nampak abang long tiba-tiba basuh baju sendiri, itu bermaksud abang long terciritlah?" Bukan Dahlia seorang sahaja yang bergelak ketawa, Puan Aina turut sama.

"Kalau macam tu... Ibu pernah nampak Danish basuh baju sendiri. Tentu Danish tercirit masa tu, kan?" ucap Puan Aina.

"Apa ni, bu? Buat pakatan. Tak adillah."

"Ibu bukan buat pakatan. Ibu cakap perkara betul." Puan Aina mengelap pekarangan mata yang basah. Ketawa hingga mengalir air matanya.

Dahlia berjalan masuk ke dalam bilik air. Sebentar kemudian dia keluar semula. Terlupa mengambil tuala di dalam bilik. Sebelum keluar dari bilik, Dahlia mengambil beg sandangnya untuk mengeluarkan kotak ubat. Kotak ubat milik Nasri sengaja dibawa pulang tanpa pengetahuan sesiapa melainkan Nasri. Dia perlu luangkan masa jika Danish berjaya mencari doktor psikiatri yang terdekat. Malah dia perlu keluar tanpa pengetahuan Datuk Azmi dan Datin Sarah. Tetapi, macam mana dengan Bibik Tini? Wanita itu tentu mahu mengetahui ke mana Dahlia pergi nanti. Merahsiakan hal Nasri membuatkan semua perkara menjadi sukar. Minta-minta mulutnya tidak sesekali terlepas cakap kepada orang lain. Dia akan terus merahsiakan seperti arahan Nasri.

Awal juga Dahlia mendapat berita daripada Danish mengatakan dia sudah berjumpa dengan doktor psikiatri. Bahkan Danish ada juga bertanyakan sama ada Dahlia mahu berjumpa dengan doktor itu hari ini atau tidak. Jika ya, Danish akan datang ke kediaman Datuk Azmi untuk mengambil Dahlia berjumpa dengan doktor psikiatri itu. Dahlia melihat jam di dinding bilik Nasri Haikal. Pukul dua setengah petang. Rasanya kalau aku hilang dalam sejam dua... Bibik Tini perasan tak?

Dahlia mengusap dagunya. Tak kut... Entah-entah waktu macam ni, bibik buat tahi mata. Bukan tak kenal dengan Bibik Tini tu. Semenjak aku kerja dekat sini, sofa dekat ruang tamu rumah Datuk Azmi yang jadi mangsa setiap petang. Terlentang sehingga dua tiga jam.

Pasti dengan keputusannya, sekali lagi Dahlia mengilas pandang ke arah jam dinding yang berada di bilik Nasri. Lantas dia membalas mesej Danish bagi meminta Danish datang untuk mengambil dirinya. Dia mahu selesaikan urusan mengenai ubat milik Nasri dengan segera.

"Sibuk betul aku tengok kau hari ni... Asyik belek handphone aje? Boyfriend kau mesej ke?" tegur Nasri. Dari tadi dia memandang Dahlia. Setiap lima minit berbalas mesej. Etika kerja hilang entah ke mana. Selalunya gadis itu tidak bersikap begitu.

"Haah. Sibuk sikit. Abang mesej," jawab Dahlia.

Nasri menaikkan sebelah keningnya. Abang? Panggilan manja untuk teman lelaki ke? Nasri kembali memandang kaca TV. Beberapa kali dia menekan punat alat kawalan yang berada di tangan. Tak ada rancangan yang menarik mata sehingga dia memutuskan untuk menutup TV saja.

"Dah lama kau kenal dengan abang kau?" Nasri berpeluk tubuh. Dia membelek kuku jari tangannya.

"Soalan apa ni? Tentulah lama. Dari kecil lagi."

Nasri memuncungkan bibir. Dari kecil lagi mereka sudah kenal antara satu sama lain? Dijodohkan memang dari kecil ke apa?

"Kenapa kau tak kahwin aje dengan dia?" soal Nasri lagi.

"Kahwin dengan siapa?" Soalan Nasri membuatkan Dahlia tidak lagi menatap skrin telefon bimbitnya. Kenapa soalan seperti salah faham sahaja? Takkan Nasri ingatkan Danish sebagai teman lelakinya pula? Subhanallah...

"Dengan boyfriend kau la. Dengan siapa lagi?" Nasri menoleh ke arah Dahlia.

"Saya mana ada boyfriend."

Nasri menggaru-garu belakang kepala. "Habis tadi, kau cakap?"

Bertambah hairan pula Dahlia mahu menjawab soalan Nasri Haikal. Rasanya Dahlia tidak ada memaklumkan kepada Nasri tentang teman lelaki. Bila masa pula Nasri mendengar perkataan itu keluar dari mulutnya?

"Saya cakap apa dengan awak?"

"Kau cakap kau tengah mesej dengan abanglah. Aku tak pekak lagi."

Dahlia tergelak kecil. Memang Nasri tak pekak. Tak ada masalah pendengaran. Tapi ada masalah tentang pemahaman. Salah faham dengan apa yang dikatakan.

"Itu abang long sayalah. Bukan abang yang bernama boyfriend." Gelak Dahlia. Nasri tayang muka selamba. Langsung tak senyum. Tengok gaya Nasri yang langsung tak berperasaan, Dahlia serta-merta menghentikan gelak tawanya.

"Abang long saya nak datang. Nak ambil saya kejap lagi. Dalam dua jam lagi saya datang sini balik." Kalau tidak memaklumkan kepada Nasri, lelaki itu tertanya-tanya kehilangan dirinya pula.

"Kau nak pergi mana?"

"Nak jumpa doktor psikiatri. Nak tanya pasal ubat awak tu."

"Cepatnya kau jalankan kerja?"

Dahlia tersenyum kecil. "Saya nak awak cepat sembuh."

Nasri bangun lalu berdiri. Dia menarik nafas dalam kemudian menutup kedua-dua matanya.

"Kalau aku tak sembuh?" Nasri menoleh kepalanya. Dia hanya melihat Dahlia dari ekor matanya saja.

"Apa kata saya bawa awak jumpa doktor psikiatri yang lain? Awak boleh jalani terapi daripada doktor lain. Mungkin beri kesan yang berbeza. Kita tak boleh bergantung seratus peratus pada ubat juga." Dahlia ada juga mencari beberapa info tentang kesihatan Nasri di Internet. Banyak penjelasan yang boleh diberikan mengenai tahap kemurungan Nasri Haikal. Melalui tanda-tanda yang dinyatakan, memang Nasri menghidap major depression. Kemurungan yang agak serius. Maklumat di Internet juga ada memberi penjelasan tentang pengambilan ubat dan terapi yang diperlukan oleh pesakit kemurungan. Jika doktor peribadi yang digajikan Datuk Azmi tidak berkesan, mereka perlu mencari doktor lain. Doktor yang mampu menyembuhkan Nasri.

"Kau nak suruh aku keluar rumah?"

Dahlia mengangguk-angguk. "Tentulah awak kena keluar rumah. Jumpa doktor tu. Takkan nak suruh doktor tu datang sini? Nanti semua orang tahu pula. Awak nak beritahu semua orang ke?"

"Kalau aku keluar rumah bukan sama aje ke? Dia orang tentu perasan yang aku keluar." Nasri memberikan alasan yang munasabah. Cukup munasabah hingga Dahlia terdiam untuk seketika. Betul juga. Jika Dahlia membawa Nasri keluar rumah, sudah tentu ada yang perasan dengan kehilangan Nasri di rumah ini. Lagi-lagi Bibik Tini. Memang siap dilapor kepada Datuk Azmi dan Datin Sarah nanti.

"Kita keluar senyap-senyaplah. Waktu petang. Waktu bibik sibuk dilamun mimpi," cadang Dahlia. Rasanya taktik itu mungkin berkesan. Risiko memang ada. Tapi, itu sahaja jalan terbaik untuk memastikan Nasri mendapatkan rawatan terapi tanpa pengetahuan keluarganya.

"Kalau kantoi... pandai-pandailah saya bagi alasan dekat bibik. Jom, ikut saya sekarang. Saya bawa awak jumpa doktor tu." Dahlia turut berdiri. Kalau Nasri sanggup menanggung risiko, lagi bagus. Dia mampu dirawat terus oleh doktor psikiatri itu nanti. Kalau tidak dirawat, barangkali keadaan Nasri boleh diperiksa. Apa-apa sahajalah yang patut dilakukan kepada Nasri. Dengan adanya Nasri, segalanya lebih mudah nanti. Sekurang-kurangnya, Nasri boleh mendengar maklumat tentang ubatnya sendiri.

"Aku... Aku tak nak." Nasri memasukkan tangan ke dalam kocek seluar. Dia berjalan meninggalkan sofa lalu menuju ke katil.

"Kenapa tak nak? Awak takut dengan bibik ke? Insya-Allah tak ada apa-apalah. Saya tak berani nak janji tapi saya cuba yang terbaik untuk..."

"Bukan masalah tu."

Dahlia mengangkat kening. Kalau bukan masalah mengenai Bibik Tini, masalah apa lagi?

"Kalau bukan sebab bibik... Kenapa pula awak tak nak keluar?" tanya Dahlia.

Nasri duduk di hujung katil. Dia memandang Dahlia yang berdiri melihat dirinya.

"Aku... Dah lama tak keluar. Aku takut nak jumpa orang yang aku tak kenal."

Dahlia hanya mampu tersenyum. Sebab itu rupa-rupanya. Fobia dengan orang lain. Patutlah ketika kali pertama Nasri berjumpa dengannnya, lelaki itu menyorok di bawah katil. Payah ni... Nak bawa Nasri tanpa berjumpa dengan orang yang dia tak kenal memang payah. Macam mana nak elakkan Nasri daripada berjumpa orang yang dia tak kenal tapi dapat menyembuhkan Nasri? Tugas sukar. Misi mustahil!

"Macam mana nak sembuh kalau awak terus terperuk dalam bilik ni? Awak kena juga keluar. Jangan risau. Saya kan ada. Saya jadi bodyguard awak. Nampak aje saya macam ni... Tapi tengok ni. Muscle ni kalau tengok dengan mata kasar, memang macam tak ada apa. Tapi, kalau diselidik, kekuatan muscle saya dah macam Popeye tau. Makan spinach ni."

Nasri tersenyum panjang. Dia menggeleng melihat Dahlia. Gadis bertubuh kecil molek seperti Dahlia mahu menjadi penjaga buat dirinya? Kelakar betul. Cakap memang besar... Makan spinach bagai. Jika ada sesuatu yang buruk berlaku, mampu ke Dahlia menjaga dirinya? Silap-silap Dahlia hanya mampu menjerit saja. Bukan sekadar takut dengan orang yang tak kenal, ada sesuatu yang membuatkan Nasri takut untuk melangkah keluar. Sesuatu yang menyebabkan dia menjadi begini. Sesuatu yang sering menghalang fikiran dan emosinya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co