Bab 4
ENAM jam selepas Shin meninggalkan rumah keluarganya, dia mula kelaparan. Duitnya tinggal RM2.60. Dia nekad membeli dua bungkus roti. Satu dijadikan makan malam. Satu lagi untuk makan tengah hari esok. Esok dia akan mencari kerja sampai dapat.
Kemudian masalah timbul lagi apabila hujan turun dengan lebat. Basah kuyup Shin dibuatnya. Payung hitam milik Fahri gagal menjaga Shin dari tempias hujan lebat. Lebih parah, payung hitam itu sempat ditiup angin. Kelam-kabut Shin mengejarnya. Cuak mukanya melihat salah satu besi payung tersebut tercabut dan bengkok. Mana Shin nak cari duit ganti payung Fahri?
Shin enggan berfikir apa-apa lagi. Dia memerlukan tempat perlindungan sekarang. Matanya melihat sebuah masjid. Di depan masjid terdapat tempat berteduh. Shin berharap agar dia tidak dihalau.
"Tunggu siapa?"
Satu suara menegur setelah seminit Shin menumpang berteduh. Serentak kilat memancar. Nampak dengan jelas pemilik suara itu lelaki separuh abad usianya dan berjambang. Umurnya mungkin sebaya bapak.
Shin sudah berkira-kira mahu lari apabila guruh berdentum dan saling bertingkah dengan petir.
"Mak!" jerit Shin. Dia jatuh terduduk. Bertambah lencun bajunya. Namun cepat juga dia bangun semula. Beg sekolahnya dipegang erat. Dia takut dirompak.
"Shin?"
Shin tergamam. Pastilah dia terkejut apabila namanya disebut dengan betul.
"Shin buat apa kat sini? Sejuk ni. Kenapa tak balik rumah? Ah Heng mana?"
Habislah Shin. Pasti lelaki ini kawan bapak. Bukti cukup jelas apabila dia tahu nama Shin dan bapak.
"Shin bawa beg ni, Shin nak ke mana?"
Soalan semakin banyak menerjah telinga Shin. Satu pun Shin belum jawab.
"Shin lari dari rumah?"
Tekaan lelaki tua ini sungguh tepat. Lekas-lekas dia menggelengkan kepalanya. Dia menyusun sepuluh jari sebelum berlutut dalam keadaan basah kuyup.
"Pak cik jangan hantar saya balik. Saya tak nak balik."
"Sebab apa Shin tak nak balik rumah?"
Shin membisu. Kalau dia memberitahu dia lari dari rumah, nanti dia akan dihantar ke balai polis. Secara tak langsung, dia pasti dihantar balik ke rumah keluarganya semula.
"Pak cik yakin, mesti sekarang emak dengan bapak Shin tengah cari Shin. Mereka tentu tengah risau. "
Shin bangun dengan niat mahu lari sekali lagi. Lelaki tua ini seperti dapat membaca apa yang cuba Shin rahsiakan.
"Shin." Lengannya telah ditangkap. Kemas pegangan tangan lelaki tua itu.
"Saya tak lari dari rumah, pak cik. Saya bukan lari. Saya cuma tak nak emak dengan bapak mati sebab jaga saya. Saya ni ada malang."
"Astaghfirullahalazim... Siapa cakap?"
Shin tunduk.
"Shin ikut pak cik balik rumah. Sekejap lagi pak cik telefon Ah Heng supaya jangan risau."
Nampak jelas riak ketakutan Shin. Bukan sebab lelaki tua ini berkata mahu memberitahu bapak lokasi Shin berada sekarang, tetapi sebab Shin tidak mengenali lelaki tua ini. Biarpun wajahnya bersih dan boleh dipercayai, Shin tetap ragu-ragu. Biarpun dia mengenalkan diri sebagai kawan bapak, ketakutan Shin tak juga hilang.
"Jangan risau, pak cik bukan nak culik Shin. Takkanlah pak cik tergamak nak buat kerja jahat tu." Lelaki tua itu ketawa di hujung kata-kata, memaksa Shin sekali lagi menundukkan kepala.
"Kalau saya ikut pak cik, nanti pak cik mesti hantar saya balik rumah. Kalau saya balik ke sana, emak dengan bapak mati. Saya sayang mak dengan bapak. Saya tak nak mereka mati."
Panjang helaan nafas lelaki tua tersebut. Lama sebelum suaranya kembali sampai ke telinga Shin.
"Macam ni, malam ni Shin tidur di rumah pak cik. Tapi sebelum tu, pak cik akan telefon bapak Shin. Kalau betul Shin sayang mereka berdua, jangan buat mereka risau."
Shin membisu. Lama-kelamaan dia menangis teresak-esak. Shin sebenarnya takut hendak berpisah dengan emak dan bapak. Mereka berdua segalanya dalam hidup Shin.
"Dah, jangan menangis. Shin ikut pak cik balik."
Dia menurut saja ketika lelaki separuh abad itu mendorongnya masuk ke dalam kereta.
"Baju saya basah, pak cik. Nanti kereta pak cik basah." Tenggelam timbul suara Shin.
"Biarlah basah. Pak cik tak kisah."
Alangkah bagusnya kalau Pak Cik Lee seperti kawan bapak. Pasti hidup Shin aman bahagia.
"Bapak Shin dengan pak cik dulu satu sekolah. Kami satu kelas. Sekarang bila dah ada anak bini, dah jarang bersembang. Kalau jumpa pun, kat pasar malam."
Sehingga sekarang Shin belum tahu nama kawan bapak yang baik hatinya ini. Rancak kawan bapak membuka cerita.
"Lupa pula pak cik nak kenalkan nama. Dah tua-tua ni, cepat betul lupa."
Kawan bapak seperti ada magis. Dia dapat membaca fikiran Shin.
"Nama pak cik, Mustaqim."
Lembut suara Pak Cik Mustaqim. Bibirnya juga murah dengan senyuman. Senyuman yang dilontarkan sangat mirip dengan senyuman Fahri.
"Dah, jangan menangis. Nanti sampai rumah pak cik, Shin mandi dan kemudian kita makan malam sama-sama."
Shin angguk kepala sambil menyeka matanya. Selepas itu dia melihat Pak Cik Mustaqim menghubungi seseorang. Siapa lagi kalau bukan bapak Shin. Sebaik saja perbualan tamat, Pak Cik Mustaqim melemparkan senyuman. Kemudian enjin dihidupkan dan selepas itu, kereta Proton Saga warna biru tua Pak Cik Mustaqim mulai bergerak meninggalkan pekarangan masjid tersebut.
Rumah Pak Cik Mustaqim besar sedikit saja dari rumah keluarga Shin. Di depan rumah Pak Cik Mustaqim ada banyak pokok bunga kertas. Di muka pintu pula, berdiri seorang perempuan. Usianya mungkin baru melepasi angka 30-an. Dia pasti isteri Pak Cik Mustaqim.
Tekaan Shin betul. Pak Cik Mustaqim sendiri mengaku bahawa perempuan yang kelihatan itu isterinya. Cuma jauh dalam sudut hati, Shin rasa isteri Pak Cik Mustaqim mirip dengan Fahri.
Payah juga hidup Shin sekarang. Semua orang pun Shin samakan dengan Fahri.
"Anak siapa abang bawa balik?"
"Anak Ah Heng dengan Sue Ling. Abang dah telefon Ah Heng tadi. Esok pagi Ah Heng datang dengan isterinya."
Shin menundukkan kepala. Malu untuk bertentang mata dengan isteri Pak Cik Mustaqim.
"Tak ada rupa anak Cina."
Meskipun isteri Pak Cik Mustaqim sekadar berbisik, tetapi dapat didengar dengan jelas. Semakin tunduk Shin dibuatnya. Shin sedar diri. Susur galur darahnya tidak diketahui. Dia spesies anak manusia yang tidak dikehendaki. Sebab itu dia dibuang.
"Tapi mata dia cantik. Sejuk hati saya tengok."
Shin sejuta kali lebih rela warna matanya sama dengan warna mata emak dan bapak. Shin tak suka warna hijau zamrud. Shin benci.
"Fahri mana?"
Serta-merta Shin angkat kepala apabila Pak Cik Mustaqim menyebut nama Fahri. Nama Fahri nama yang boleh buat Shin seperti terkena arus elektrik. Kemudian selepas melihat gambar keluarga Pak Cik Mustaqim, Shin rasa mahu pengsan. Ada muka yang sangat Shin kenal. Muka Fahri.
Patutlah senyuman Pak Cik Mustaqim mengingatkan Shin pada Fahri. Patutlah muka isteri Pak Cik Mustaqim, mirip dengan Fahri. Darah mereka berdua, mengalir dalam tubuh Fahri.
Tanpa membuang masa lagi, Shin bergerak menuju ke pintu utama. Shin nak balik. Tidak sempat Shin menarik tombol, pintu sudah dibuka dari luar. Terjengul muka Fahri. Hanya TUHAN yang tahu betapa besarnya bukaan mata Shin. Payung hitam Fahri yang telah rosak mula menari-nari di depan matanya.
"Awak buat apa kat sini?"
Dum! Shin tutup pintu sekuat hati. Muka Fahri telah selamat dicop dengan pintu jenis kayu jati.
"Shin?" Suara Pak Cik Mustaqim. Mungkin Pak Cik Mustaqim pun terkejut mendengar bunyi hentaman pintu.
Shin sendiri sebenarnya terkejut dengan reaksi balasnya. Dia tidak sepatutnya menutup pintu tersebut. Apa yang sepatutnya Shin buat adalah berdiplomasi dengan Fahri. Sekarang Shin bukan berdiplomasi, sebaliknya melancarkan perang terus dengan Fahri.
Pintu jati itu kembali dibuka dari luar. Terjengul lagi muka Fahri. Kali ini dengan hidung yang merah. Shin sudah lama pegun. Kalau Shin perlu melutut, dia akan melutut dan meminta maaf pada Fahri.
"Apa awak buat ni? Awak dah nampak saya kat pintu, yang awak pergi tutup pintu tu kenapa?"
"Fahri, jaga bahasa. Shin tu tetamu." Suara tegas Pak Cik Mustaqim bergema.
Fahri menjeling Shin sebagai tanda protes.
"Malam ni kamu tidur dengan Fairuz. Bilik kamu tu, kemas apa yang patut. Nanti Shin akan tidur sana." Suara tegas Pak Cik Mustaqim bergema lagi.
Shin tidak berani lagi mengangkat muka untuk melihat Fahri. Shin dapat rasa aura kemarahan Fahri. Kalau dia ditempat Fahri, dia pun akan marah. Pagi tadi Shin jatuhkan motosikal Fahri. Tadi semasa hujan lebat, Shin rosakkan payung Fahri. Dan sekarang, Shin bakal mengambil bilik Fahri pula.
"Tunggu apa lagi? Jalanlah cepat. Saya tunjuk bilik awak."
Aneh, suara Fahri terdengar lebih tenang. Shin membayangkan Fahri akan marah, sebaliknya pula terjadi. Kakinya terus diayun mengekori langkah Fahri.
"Fahri," panggil Shin, sedikit teragak-agak.
"Hurm..."
Biarpun sekadar desahan ringkas, masih berhasil menerbangkan seluruh jiwa Shin.
"Payung awak... Saya tak sengaja rosakkan. Sekarang saya tak ada duit lagi nak ganti."
Tiba-tiba saja Fahri berhenti melangkah. Terus saja belakang tubuhnya berlaga dengan Shin. Shin suka dengan wangian yang Fahri pakai. Menusuk terus ke dasar hati.
"Sabtu pagi awak ada pergi mana-mana?"
Aneh soalan Fahri. Shin sedang bercerita tentang payung, Fahri pula membuka cerita tentang hari Sabtu.
"Kalau awak tak pergi mana-mana, datang sini dan bersihkan motor saya. Lepas tu, awak tak payah ganti dah payung saya."
Fahri kembali melangkah. Shin masih terkejut di belakangnya. Hanya setelah Fahri berdeham dan berhenti di depan sebuah bilik, barulah Shin bergegas mengayun langkah deras mendekati lelaki itu.
"Tadi awak serius ke nak suruh saya cuci motor awak?"
"Seriuslah. Kalau awak tak nak cuci motor saya tu, sekarang juga saya nak payung baru."
Oh TUHAN, Fahri sangat kejam. Wajahnya yang sedap dipandang tak seiring dengan perangai kejamnya.
"Ni bilik saya."
Shin tahu, tak perlu Fahri menekankan perkataan 'saya' tersebut.
"Malam ni awak boleh tidur sini. Bilik ni ada bilik air sendiri. Lepas mandi, awak terus ke dapur. Kami tunggu awak."
Shin nak sangat menyebut 'terima kasih'. Malangnya, lidahnya enggan mendengar kata. Hati Shin sedang geram.
20 minit kemudian, Shin selesai membersihkan dirinya. Sekarang dia memerhatikan sekeliling bilik Fahri. Meja belajar Fahri yang paling menarik perhatian. Banyak buku yang menjolok mata di situ. Shin terus mencapai salah satu buku di situ. Baru halaman pertama, hatinya sudah digaru untuk ke halaman seterusnya.
"Awak buat apa lagi tu? Tadi saya dah pesan, lepas mandi terus ke dapur."
Mengeras tubuh Shin. Shin tahu itu suara Fahri. Sedikit ragu-ragu dia berpaling. Dilihatnya Fahri sedang bersandar di tepi pintu sambil berpeluk tubuh. Masih lagi nampak tenang, namun sorotan matanya tidak tenang langsung. Tajam membalas pandangan mata Shin. Mungkin Fahri sudah marah sekarang. Fahri sudah hilang sabar.
"Tu buku saya."
Shin tahu. Buku yang berada di tangannya diletakkan semula di atas meja.
"Tak semestinya saya benarkan awak tinggal dalam bilik saya, semua harta dalam bilik ni pun awak boleh belek sesuka hati." Jari telunjuk Fahri menunjuk sekeliling biliknya. Raut wajahnya tanpa perasaan.
"Maaf." Sepatah suara Shin. Shin tahu dia salah. Dan rasanya, Shin tak akan dimaafkan. Shin sudah mendengar bunyi derap kaki Fahri mendekatinya.
Tak guna! Buat pertama kali sepanjang Shin menghirup udara dunia, dia rasa susah hendak bernafas. Apatah lagi setelah Fahri berdiri di sebelahnya.
"Oh, awak belek buku tentang Saidatina Khadijah." Fahri sedang meniliknya tanpa berkelip. Puas Shin menahan nafas.
"Awak suka buku ni?"
Polos anggukan kepala Shin.
"Awak nak baca buku ni?"
Polos lagi anggukan kepala Shin.
"Baiklah, saya boleh pinjamkan."
Setengah tidak percaya Shin mendengar ayat yang baru dilontarkan oleh Fahri. Dan oh, TUHAN, Fahri yang mahal senyuman itu sedang mengorak senyuman. Tidak tahu berapa harga senyuman tersebut.
"Awak tak kisah saya pinjam?"
"Tak kisah. Tapi tu dalam almari, ada baju uniform sekolah saya. Tolong iron dan lepas tu, buku ni awak boleh pinjam."
Melopong mulut Shin.
"Dah, jom pergi makan. Saya lapar ni. Nanti lepas makan baru awak iron uniform saya tu. Kalau saya nampak ada sikit kedut, buku tu awak tak boleh pinjam."
Terkocoh-kocoh Shin mengikut langkah Fahri. Sampai di muka pintu, langkah Shin terhenti. Dia kembali menoleh pada buku Saidatina Khadijah milik Fahri.
Nanti selepas Shin selesai menggosok uniform Fahri, Shin akan baca buku tersebut. Shin sanggup bersengkang mata malam ini. Buku itu ada sesuatu. Sesuatu yang sulit untuk Shin jelaskan dengan kata-kata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co