Bab 5
KETIKA subuh masih hening, emak dengan bapak sudah sampai di rumah Pak Cik Mustaqim. Emak menangis sebaik saja tubuh Shin berada di dalam pelukannya. Emak memarahi Shin. Emak marah bersama titisan air mata. Shin juga yang dilanda rasa bersalah.
"Jangan buat macam ni lagi. Mak boleh mati."
Berkali-kali Shin anggukkan kepala. Shin sudah buat keputusan. Pak Cik Lee kata apa pun selepas ini, Shin tak akan ambil kisah. Sial dan malang itu perkara tahyul kata emak. Shin pegang kata-kata emak.
Hampir satu jam juga emak dan bapak menghabiskan masa di rumah Pak Cik Mustaqim. Kemudian barulah bapak meminta diri untuk pulang.
"Lepas ni Shin jangan segan singgah rumah pak cik lagi."
Kata-kata Pak Cik Mustaqim, Shin balas dengan senyuman tipis. Sampai mati pun Shin akan ingat kebaikan Pak Cik Mustaqim sekeluarga.
"Mak, tunggu sekejap. Shin nak pulangkan buku ni." Shin membuka beg pakaiannya. Buku berjudul Khadijah milik Fahri dikeluarkan. Kemudian dia menghampiri Fahri dengan senyuman paling lebar. Berbaloi dia menggosok pakaian seragam pengawas Fahri semalam. Buku Khadijah ini sangat bagus.
"Saya nak pulangkan buku ni. Saya dah habis baca. Sikit lagi saya terbawa balik. Nasib baik teringat."
Fahri menaikkan keningnya.
"Awak dah habis baca buku Khadijah tu?"
"Dah."
"Betul awak dah habis baca?"
Lain macam saja gaya soalan Fahri. Suaranya juga boleh tahan kuat. Semua mata sekarang memberi tumpuan pada Shin dan Fahri. Membahang pipi Shin.
"Betullah, saya dah habis baca. Takkan saya nak tipu pula?"
"Awak yakin dengan jawapan awak tu?"
Soalan Fahri sekarang ada gaya soalan rancangan Wheels of Fortune. Tak fasal-fasal Shin berdebar tidak menentu. Diibaratkan nyawa Shin berada di hujung tanduk.
"Awak tak ada talian hayat."
Buku berjudul Khadijah itu terus diletakkan di tangan Fahri. Banyak cakap pula Fahri ni. Itulah, inilah. Fahri bernasib baik sebab Shin datang dari keluarga orang baik-baik. Kalau jahat, memang Shin tak pulangkan buku tersebut. Shin jadikan harta sendiri terus.
"Shin."
Niat Shin untuk pergi mati. Dia kembali mencari sorotan mata Fahri.
"Siapa nama emak dan ayah Khadijah?"
Soalan cepu emaskah ini? Minta maaf sebab Shin lupa. Jadi Shin tidak ada jawapan.
"Tak tahu, kan? Ambil balik buku ni dan baca betul-betul."
Buku berjudul Khadijah itu sekali lagi berada dalam tangan Shin. Terkebil-kebil mata Shin. Fahri pula sudah masuk ke dalam rumah.
"Tu cara Fahri nak beritahu, yang buku ni dia beri pada Shin. Shin simpan, tak perlu pulangkan."
Melopong pula mulut Shin mendengar penjelasan Pak Cik Mustaqim. Mustahil Fahri murah hati. Kalau murah hati pun, pasti penuh dengan muslihat. Murah hati Fahri jauh dengan frasa ikhlas.
"Shin."
Bapak sudah memanggil dari dalam lori tannya. Bergegas Shin masuk ke dalam lori kecil tersebut. Tangannya dilambaikan pada Pak Cik Mustaqim dan isterinya.
DUA hari kemudian, Shin sudah hafal semua fakta penting tentang susur galur keluarga Khadijah. Sejarah kehidupannya juga Shin telah hafal. Nanti Fahri tanyalah soalan apa pun, Shin pasti boleh menjawabnya tanpa salah.
Tepukan di meja mengejutkan Shin. Bulat matanya. Jaja yang mengetuk meja tersebut. Mujurlah cikgu belum masuk, kalau tidak, jenuh pula hendak menjawab soalan cikgu sebab Jaja menepuk meja.
"Aku dah buat keputusan," cetus Jaja tiba-tiba. Lagaknya seperti panglima perang yang mendapat akal untuk menyerang pihak musuh.
"Aku reject Fahri tu," cetus Jaja lagi dengan muka penuh yakin.
Berkerut terus dahi Shin mendengar luahan berkobar-kobar Jaja.
"Kenapa? Dia tak layan kau?"
"Itu satu. Satu lagi, kawan Fahri yang bagi respons. Okeylah, tak dapat Fahri, dapat kawan dia pun jadilah. Handsome juga."
Dasar Jaja gatal. Dasar Jaja lalang. Sekelip mata rasa sukanya pada Fahri boleh berubah.
"Kau nak ikut aku tak?" Shin pula yang memberi kejutan kepada Jaja.
"Pergi mana?"
"Jumpa boyfriend tak jadi kau tu."
"Jumpa Fahri? Nak buat apa? Malas aku nak tengok muka ketat tak ada senyuman dia tu."
Amboi, padahal sebelum ini, muka ketat itulah yang menjadi pujaan hati Jaja.
"Aku nak pulangkan buku dia."
Kening Jaja naik serta-merta dengan mata terbeliak.
"Kau dua orang ni ada skandal ke belakang aku?"
Soalan Jaja sungguh di luar jangkaan. Rahang Shin terbuka luas. Ini adalah soalan paling mengarut pernah Shin dengar.
"Coi! Tak adalah!"
"Dah tu?"
"Ni, aku pinjam buku dia masa aku tumpang tidur kat rumah dia."
"Tumpang tidur kat rumah dia dan kau kata tak ada skandal? Helo? Kau ada silap tak?"
"Betullah. Bapak dia kawan bapak aku. Hari tu aku cuba nak lari dari rumah. Bapak dia yang jumpa aku"
Raut wajah Jaja berubah risau. Dia memegang lengan Shin.
"Kenapa kau nak lari dari rumah? Pak cik dengan mak cik sayang sangat dengan kau. Apa yang kurang lagi?"
Hambar senyuman Shin. Tunduk kepalanya.
"Mak dengan bapak hadiah paling bagus kiriman Tuhan. Aku nak jadi anak mereka, tapi sayang, aku tak boleh. Adik-beradik bapak tak suka aku."
Raut wajah keliru pula yang Jaja persembahkan tatkala mendengar cerita Shin.
"Aku bukan anak kandung emak dengan bapak. Aku anak pungut yang dikutip berdekatan dengan rumah keluarga Lee." Terasa panas tubir mata Shin.
"Bapak dengan mak bertegas nak ambil aku jadi anak angkat, tapi ahli keluarga Lee yang lain membantah. Aku ni cuma anak tak tahu asal usul. Muka pun tak macam muka anak Cina."
"Dah, jangan cerita lagi. Lupakan yang sedih. Yang penting, pak cik dengan mak cik sayang sangat kat kau. Itu yang paling utama."
Shin menyeka hujung matanya sampai kering.
"Kalau boleh, Jaja... aku nak tukar mata. Biar warna mata aku hitam dan bukan warna buruk ni."
"Tak baik cakap macam tu. Mata kau cantik. Paling cantik pernah aku tengok. Terima kasih sangat pada emak dengan bapak kandung kau yang berikan kau warna mata ni."
"Mereka tinggalkan aku. Mereka buang aku. Mereka tak perlukan aku."
Lekas-lekas Jaja memeluk Shin. Dapat dirasakan betapa hebatnya getaran tubuh Shin sekarang.
"Jangan ingat perkara sedih tu lagi. Kau mesti tutup buku tu."
Terangguk-angguk kepala Shin. Dia membiarkan saja Jaja memujuknya dengan gosokan lembut di belakang tubuhnya.
"Baiklah, aku setuju ikut kau cari Fahri. Nanti lepas loceng bunyi, kita lari terus pergi kelas dia." Jaja mengubah cerita. Cerita sedih Shin, ditutup kemas-kemas.
Lima minit setelah loceng menandakan sesi persekolahan tamat berbunyi, Shin dan Jaja sudah terpacak di depan kelas Fahri. Mata kedua-duanya terus bertukar jadi radar untuk mengesan Fahri.
"Fahri mana?" aju Jaja kepada kawan Fahri. Jaja nampak tersipu-sipu. Mungkin inilah kawan Fahri yang Jaja sedang pikat.
"Fahri dah balik. Ayah dia kena langgar lari pagi tadi. Meninggal di tempat kejadian. Sekarang kami semua nak ke rumah Fahri. Kalau awak nak ikut, jomlah sekali pergi."
Jatuh buku Khadijah yang berada dalam pegangan tangan Shin. Jatuh terhempas juga hati Shin. Perkataan sial dan malang mula datang bertubi-tubi di dalam kepala Shin. Begitu juga seraut wajah tenang Pak Cik Mustaqim. Shin jadi takut tiba-tiba.
"Nak! Kami nak ikut." Laju Jaja menjawab, sedangkan Shin sudah mula melangkah dalam keadaan terhuyung-hayang.
"Shin, kau nak ke mana?"
"Balik rumah."
"Kau tak nak pergi rumah Fahri?"
"Aku ada sial. Aku ni bawa malang. Pak Cik Lee pernah cakap aku ni bawa kematian. Siapa yang bergaul dengan aku, mesti bernasib malang. Ayah Fahri mati sebab aku."
"Apa kau merepek ni? Karut semua tu."
Laju Shin berpaling ke arah Jaja. Bibirnya digigit hingga sakit. Tubuhnya mulai menggigil. Shin sedang menahan tangisnya dari berhamburan keluar.
"Hari tu aku tinggal dengan keluarga Fahri sehari. Sekarang dah ada kematian. Aku yang sebabkan ayah Fahri mati. Salah aku. Aku ni bawa malang."
"Shin, janganlah cakap macam tu. Kau buat aku sedih."
Shin memegang kemas kedua-dua belah bahu Jaja. Memandang tepat ke anak mata Jaja.
"Jaja, lepas ni kau jangan kawan aku lagi. Aku tak nak kau mati sebab aku. Aku ni ada sial, ada malang. Tak elok kau rapat dengan aku."
"Aku tak percaya semua tu. Kau kawan aku. Kau manusia, sama macam aku. Sial tu kepercayaan lapuk!"
Shin geleng kepala tak berhenti. Bukti sudah ada. Kalau Jaja terus berada dekat dengan Shin, Jaja pasti terima nasib sama macam ayah Fahri.
"Selepas ni jangan kawan aku lagi, dan aku pun takkan jadi kawan kau."
"Janganlah macam ni, Shin."
Shin memaksakan mengukir senyuman tipis. Kemudian Shin menepis tangan Jaja. Laju langkahnya meninggalkan Jaja.
Shin sangat sayangkan Jaja. Shin tak akan benarkan sesuatu yang buruk pula berlaku kepada Jaja. Biarlah Jaja memanggil namanya sampai sakit anak tekak, Shin tak akan berpaling lagi. Hubungan kawan Shin dan Jaja telah tamat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co