Bab 6
SEBAIK sahaja sampai di rumah, bau haruman masakan emak masuk ke dalam hidung. Bau yang cukup untuk membuatkan perut Shin mendendangkan lagu. Bukan lagu rancak, tetapi lagu sedih. Hati Shin sedang bersedih, jadi rasa lapar perlu ditahan terlebih dahulu. Shin ada misi penting yang mesti diselesaikan.
"Shin." Suara emak memanggilnya dari dapur.
"Shin." Suara emak semakin dekat. Mungkin emak sudah tiba di ruang tamu.
"Shin." Suara emak terdengar sangat dekat. Apabila Shin mengangkat muka dan memandang ke arah pintu biliknya, emak sudah berada di situ. Awalnya emak melukis senyuman. Kemudian tiba-tiba saja emak bertukar cemas. Mata emak terbuka luas melihat Shin sedang memasukkan baju-bajunya ke dalam beg sederhana besar.
"Shin buat apa ni? Shin nak lari dari rumah lagi? Shin tak sayang emak dengan bapak?"
"Shin tak pernah tak sayang emak dengan bapak. Tapi Shin mesti pergi."
Emak sudah meluru memeluk Shin. Cukup erat pelukan emak. Emak juga sudah menangis.
"Tempat Shin kat sini. Kat rumah ni."
Laju gelengan kepala Shin. Pelukan emaknya juga telah dilonggarkan.
"Shin mesti pindah keluar, mak. Shin tak nak tinggal sini lagi. Shin minta tolong sangat mak tak fikir yang Shin tak sayang emak dengan bapak lagi."
"Kalau macam tu, Shin jangan pindah. Tinggal sini." Tenang suara emak memujuk.
Gelengan kepala Shin semakin rakus. Shin takut. Shin rasa, seperti ada kegelapan yang menghampiri emak dengan bapak kalau dia terus tinggal dengan mereka.
"Mak ingat lagi kawan bapak yang tolong Shin hari tu?"
Emak tidak memberi apa-apa reaksi. Emak seperti sudah tahu khabar buruk yang Shin hendak sampaikan.
"Kawan bapak dah mati. Kawan bapak mati sebab dia tolong Shin. Sial Shin dah melekat kat kawan bapak. Sebab tu kawan bapak mati!" Berbelit-belit penjelasan Shin. Shin harap emaknya faham apa yang cuba Shin sampaikan dan tidak menghalangnya lagi untuk pindah keluar.
"Shin tak nak sial Shin melekat kat emak dengan bapak. Shin tak nak emak dengan bapak mati."
"Siapa yang cakap Shin ada sial? Pak Cik Lee? Shin, jangan dengar cakap Pak Cik Lee. Shin anak mak dengan bapak. Sejak Shin jadi anak kami, kami bahagia."
Gelengan kepala Shin yang membalas semua kata pujukan emak.
"Shin, dengar sini. Shin anak emak dengan bapak. Ini rumah Shin. Rumah kita sekeluarga."
"Nyawa emak dengan bapak dalam bahaya kalau Shin terus tinggal sini."
"Kalau macam tu, lebih baik emak mati bunuh diri daripada melihat Shin keluar dari sini."
Shin kembali menggelengkan kepalanya. Rakus.
"Emak tak boleh buat macam tu."
"Kalau Shin keluar dari rumah ni, itu yang emak akan buat. Shin nyawa mak. Kalau Shin tinggalkan mak, serupa mak dah tak bernyawa. Lebih baik mak mati terus."
Bergetar bahu Shin. Semakin lama semakin kuat. Akhir sekali Shin mengongoi sepuas hati. Shin memeluk tubuh emaknya dengan erat.
"Emak nak Shin lupakan semua apa yang Pak Cik Lee dah cakap. Yang penting sekarang, Shin belajar rajin-rajin supaya jadi pandai. Nanti bila besar, Shin tak perlu jual sayur dengan buah kat pasar malam dah macam emak dengan bapak. Emak nak Shin hidup lebih baik."
Semakin erat pelukan Shin. Shin takut kehilangan emaknya.
"Shin jangan tinggalkan emak dengan bapak, ya?"
Shin angguk.
"Janji dengan emak."
Shin angguk lagi lalu pelukannya dilonggarkan.
"Tengok ni, habis sembap mata Shin. Tak cantiklah kalau macam ni," bebel emak sambil tersenyum manis. Kemudian bahu Shin ditepuk beberapa kali.
"Emak nak siap-siap pergi pasar ni. Kat dapur tu ada lauk kesukaan Shin. Emak masak tadi. Nanti Shin makan."
"Shin nak ikut emak pergi pasar."
"Jangan. Shin siapkan kerja sekolah. Bila kerja sekolah dah siap, Shin rehat. Hal cari duit, biar emak dengan bapak yang selesaikan."
Shin mahu membantah, namun emaknya sudah sekali lagi mengukir senyuman. Kemudian emaknya mengeluarkan not sepuluh ringgit Malaysia sebanyak tiga keping.
"Ni duit baki baju seragam Pandu Puteri dengan baju sukan. Esok bayar pada cikgu."
Berkali-kali emak mencium pipi Shin. Emak seperti berat hati sangat mahu melepaskan Shin pergi.
"Jangan lupa tutup pintu. Kalau ada orang ketuk, jangan terus buka. Periksa dulu."
Shin angguk. Sayup-sayup terdengar bunyi motosikal menghampiri pekarangan rumah. Itu bunyi motosikal bapak.
"Bapak dah balik. Emak nak ke pasar sekarang," ujar emak. Dia sudah bangun untuk keluar dari bilik Shin. Sebaik saja berada di muka pintu, emak kembali melihat ke arah Shin. Namun sangat mengejutkan apabila emak meluru ke arah Shin. Dalam sekelip mata, tubuh Shin selamat berada dalam pelukan emak semula.
"Anak emak dah besar, dah cantik. Tak lama lagi, bolehlah mak ada menantu."
Shin malu mendengar pujian emaknya. Semakin menunduk kepala Shin.
Shin tak cantik. Mata Shin saja lain, tak sama dengan warna mata orang Asia. Lagipun kalau Shin cantik, Shin tak akan dibuang. Sebab Shin buruk, jadi dia dibuang oleh darah dagingnya sendiri. Hanya emak dengan bapak yang sudi menaik taraf kehidupan Shin jadi anak angkat.
"Emak nak jaga Shin lebih lama. Emak nak tengok Shin kahwin dan kemudian ada anak. Emak sebenarnya, dah tak sabar nak jadi nenek." Secara tiba-tiba tangisan emak meletus. Shin pastilah terkejut. Lebih-lebih lagi apabila pelukan emak semakin erat, seperti tak akan dilepaskan lagi.
"Jaga diri, Shin. Jangan lupakan emak dengan bapak." Emak mengesat-ngesat tubir matanya. Selepas itu, emak memberikan senyumannya yang paling indah pada Shin.
"Sampai bila-bila, Shin tetap anak emak dengan bapak. Shin mesti ingat, emak dengan bapak selalu ada di belakang Shin. Asalkan keputusan Shin baik, emak dengan bapak takkan membantah."
Begitulah bunyi pesanan emak sebelum emak keluar berniaga petang tadi. Shin menangis setelah emak dan bapak keluar berniaga. Shin menangis memikirkan Fahri yang kehilangan ayahnya. Mesti Fahri sangat sedih. Shin menangis sehingga dia tertidur.
Pukul 11:00 malam Shin terjaga. Perutnya berbunyi minta diisi. Hujan turun dengan lebat dekat luar. Guruh bersahutan. Kalau begini, lambat lagilah baru emak dengan bapak sampai rumah. Kasihan emak dengan bapak, mesti basah kuyup ditimpa hujan. Shin harap, jualan bapak dengan emak laku hari ini.
Shin baru tiga kali menyuap makanannya apabila pintu diketuk dengan keras. Pak Cik Lee yang datang. Muka Pak Cik Lee bengis dan matanya sangat merah. Shin tak berani nak buka pintu.
"Buka pintu ni! Aku kata buka!"
Menggeletar lutut Shin. Tidak berhenti Shin menitipkan doa pada TUHAN supaya emak dengan bapak lekas pulang.
Belum habis doa Shin, Pak Cik Lee telah menendang pintu sampai terkopak kunci rumah. Kemudian rambut Shin terus ditarik lalu tubuh Shin dihempaskan ke lantai. Shin rasa kepalanya mahu pecah. Berpinar pandangan mata Shin.
"Pak cik..."
"Jangan panggil aku pak cik, anak sial! Aku tak pernah anggap kau ni keluarga Lee! Kau tu orang luar! Anak pungut!" terpekik-pekik Pak Cik Lee menempelak Shin. Shin hanya mampu menangis.
"Aku dah cakap, aku tak nak nampak muka kau lagi. Kenapa kau tak berambus hari tu?"
Shin menangis semahunya.
"Puaslah hati kau sekarang? Adik aku dengan isteri dia dah mati. Kau sukalah?"
Shin angkat kepala. Shin tak faham apa yang Pak Cik Lee cakapkan.
"Adik aku dah mati. Adik aku dengan isteri dia dah mati! Mereka dah tak ada! Mereka mati sebab sial kau dah melekat kat mereka! Aku dah cakap hari tu kan, kau penyebab mereka mati. Kenapa kau sikit pun tak nak dengar cakap aku?!" Tangan Pak Cik Lee melayang lalu bertembung dengan pipi kanan Shin, kemudian pipi kiri pula. Tidak cukup dengan tangan, kaki Pak Cik Lee turut bekerja memukul tubuh Shin.
"Ampun, pak cik..."
"Jangan panggil aku pak cik!" Sekali lagi pipi Shin jadi mangsa pukulan sehingga Shin jatuh terduduk.
"Kenapa kau ni susah sangat nak keluar dari rumah ni? Apa yang kau nakkan sangat? Sebab nasi ni ke kau tak nak pindah?"
Tangan Pak Cik Lee sudah mengambil pula mangkuk nasi Shin tadi. Secara paksa dia menyumbat mulut Shin dengan nasi. Kemudian mangkuk nasi itu dilemparnya ke arah muka Shin setelah isinya habis. Di luar guruh semakin menggila. Sama gila dengan perangai Pak Cik Lee.
Akhirnya kegilaan Pak Cik Lee berakhir setelah Shin berhenti bersuara. Dia menyeret tubuh Shin hingga ke pintu utama. Tubuh yang sudah lemah itu kemudian ditolak keluar.
Shin terbaring beralaskan tanah dan rumput. Dia cuba bergerak, namun tenaganya sudah hilang. Hujan lebat membasahi tubuhnya.
Di langit sana dia melihat emak dengan bapak. Emak dengan bapak sedih. Emak dengan bapak ikut menangis melihat keadaan Shin. Perlahan-lahan Shin mengangkat tangannya. Shin mahu menyentuh emak dengan bapak. Malangnya hasrat Shin tidak kesampaian. Pak Cik Lee sudah membaling beg pakaian tepat ke arah kepala Shin.
Gelap. Nafas Shin sudah berhenti. Shin sudah mati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co