Bab 10
HARI Sabtu, Dina keluar bersama Darina, Eiman dan Eiyad. Mereka berempat berjalan di shopping mall.
Eiyad seronok dapat keluar. Dia tersenyum seraya memegang tangan Eiman.
"Tengok tu! Senyum sampai telinga. Bab nak habiskan duit pak cik, memang dia nombor satu. Dekat papa sendiri tak berani nak minta." Dina menghela nafas panjang. Hari-hari tanya bila dapat gaji? Dah hujung bulan ke? Mulut ini dah berbuih-buih menjawab. Nasib baik la Eiman menawarkan diri untuk membeli mainan untuk Eiyad. Selamat duit dia.
Dina dan Darina berjalan bersama-sama. Dibiarkan Eiman dan Eiyad berjalan dahulu.
"Minggu ni Dina nampak ibu macam moody saja. Kenapa?" tanya Dina kepada kakaknya. Nak bertanya sendiri, takut kena marah dengan ibunya.
"Esok tok ma dengan Auntie Emilia datang," jawab Darina.
"Aaa... Patut la ibu moody. Mereka berdua tu pun satu, apa hal pula nak datang rumah kita? Kalau datang setakat nak menunjuk, baik tak payah datang." Dina tak suka dengan perangai nenek dan ibu saudaranya. Dah la sombong, cakap besar pula tu. Macam la dia orang bagus sangat. Sebab itu la hari tu ibunya suruh dia dan Eiman pergi pasar malam.
"Kak Darina pun tak faham la dengan mereka berdua tu. Masing-masing dah tua, bertaubat la. Kita semua satu keluarga kut." Darina mengeluh perlahan.
Mereka berempat memasuki kedai mainan. Dina dan Darina berbual sesama mereka manakala Eiman menemani Eiyad mencari mainan.
Selepas tiga puluh minit, mereka berempat pergi makan di Pizza Hut atas permintaan Eiyad. Sambil makan, mereka bertiga melayan kerenah Eiyad yang tak henti-henti berceloteh.
Sebelum keluar dari shopping mall, mereka berempat singgah di grocery store. Ada barang yang perlu dibeli sebelum balik rumah. Dina dan Eiman sudah hilang mencari barang. Manakala Eiyad ada bersama dengan Darina.
"Mak ngah! Eiyad nak air chocolate," beritahu Eiyad kepada ibu saudaranya yang sedang mencari sesuatu di bahagian sejuk beku.
"Pergi ambil tapi jangan merayau tempat lain," pesan Darina.
Eiyad terus berlari ke arah bahagian minuman sejuk.
Darina memerhati Eiyad beberapa saat sebelum mengambil sosej ayam. Tiba-tiba dia terkejut apabila Eiyad terus memeluk kakinya.
"Ibu! Ibu! Ibu!" panggil Eiyad.
"Eh, kenapa ni?" Darina terkejut apabila dipanggil sebegitu.
"Pasal apa?" Dina yang baru saja mendekati mereka berdua terpinga-pinga dengan telatah Eiyad.
"Tiba-tiba Eiyad panggil Kak Darina ibu," jawab Darina. Dia mengusap rambut Eiyad.
"Ibu?" Tiba-tiba Dina teringat rahsia dia dan Eiyad. Dia terus melihat ke sekeliling.
"Eiyad! Lelaki yang sama ke?" tanya Dina.
"Ya," jawab Eiyad. Dia terus mendekati Dina.
Dahi Darina berkerut. Tak faham dengan apa yang berlaku.
"Dia buat apa kat Eiyad?" tanya Dina lagi.
"Dia ambilkan air chocolate Eiyad sebab Eiyad tak sampai," beritahu Eiyad.
"Hmmm... Ya ke? Ingatkan apa la tadi." Dina menarik nafas lega. Ingatkan lelaki itu kacau Eiyad.
"Cuba beritahu, cakap pasal apa ni?" tanya Darina dengan wajah serius. Dia dapat rasakan yang dirinya berada di awang-awangan.
Dina tersengih. Kemudian dia menceritakan apa yang berlaku kepada kakaknya. Sedikit demi sedikit wajah Darina berubah keruh.
"Kamu ni Dina, agak-agak la nak ajar Eiyad macam tu! Eiyad tu kecil lagi. Suka sangat ajar Eiyad yang bukan-bukan," marah Darina.
Dina memandang ke arah lain. Tak pasal-pasal terpaksa dengar leteran kakaknya.
"Eiyad nak protect mak ngah. Jangan la marah mak lang!" kata Eiyad. Dia terus memeluk kaki Dina. Masam terus muka Eiyad.
Darina menggelengkan kepala. Nak marah tapi ada orang yang membela.
"Tengok! Eiyad pun tahu kami ni berniat baik. Kami nak protect Kak Darina daripada lelaki-lelaki jahat yang ada kat KL ini. Betul tak, Eiyad?" kata Dina dan terus mendukung Eiyad. Fuh, semakin berat. Maklum la penuh dengan isi. Nasib baik larat angkat lagi.
"Betul!" Pantas Eiyad menjawab.
Darina mengetap bibir dengan telatah mereka berdua.
"Buat drama apa pula kat sini? Dah ambil barang yang nak beli ke? Jom beratur, orang dah mula ramai kat kaunter." Eiman muncul dengan membawa troli. Dia melihat kakak-kakaknya. Macam ada benda terjadi semasa dia tiada.
"Am I missing something?" tanya Eiman seraya melihat ke arah Dina dan Darina.
"Nothing! Jom bayar," jawab Darina dan terus melangkah pergi. Balik rumah nanti dia akan cakap pasal hal ini dengan Dina.
Selepas Darina berlalu pergi, Eiman mendekati Dina.
"Kali ni Kak Dina buat apa lagi sampai Kak Darina marah?" tanya Eiman dengan suara perlahan.
"Mana ada!" jawab Dina. Sambil mendukung Eiyad, dia mengekori jejak langkah kakaknya.
"Ya la tu! Macam la orang percaya," kata Eiman sebelum menolak troli. Apa-apa pun balik nanti dia akan selidik apa yang berlaku sebenarnya.
JAZLI ketawa terbahak-bahak selepas mendengar cerita abang sepupunya itu. Rasa lucu. Dia tak pedulikan mata-mata yang ada di dalam coffee cafe itu.
"Slow down suara tu! Malu la kat orang," tegur Imran sambil memandang ke kiri dan kanan. Ketawa Jazli menarik perhatian pelanggan yang ada.
"Sorry! Sorry!" ucap Jazli setelah berhenti ketawa.
"Muka aku ni scary sangat ke? Budak lelaki tu terus lari kat ibu dia selepas tengok aku. Niat aku just nak tolong saja. Salah ke?" Imran mengeluh perlahan. Semasa dia nak jumpa Jazli tadi, dia singgah di grocery store di dalam shopping mall ini untuk membeli barang yang dipesan neneknya. Tak sangka pula terserempak dengan budak lelaki yang dia jumpa di kafe hari itu. Dia melihat budak lelaki cuba mengambil botol air coklat tetapi tak sampai. Selepas dia menolong, budak lelaki itu terus berlari ke arah ibunya. Dia terus panik dan berlari dari situ.
"Aku tak tahu. Kau kena tanya sendiri kat budak lelaki tu," jawab Jazli.
Imran terdiam sebentar dan terus menyandarkan diri di kerusi.
"Aaa... Kau dengan Dina macam mana? Kau orang dah bercakap ke?" Tiba-tiba Imran teringat pasal Jazli dan Dina. Jazli ada cerita pasal Dina kepadanya.
"Belum. Aku busy. Dia pun busy," jawab Jazli. Lagipun klinik giginya baru saja buka beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah, ramai juga yang datang. Rezeki daripada Allah Taala.
"Laaa... Sekarang ni zaman teknologi. Ada phone, kan! Call kan senang. Nombor telefon Dina, kau ada tak?" tanya Imran.
Jazli menggelengkan kepala.
"Kau ni slow la! Kau minta la kat adik dia. Kau kan rapat dengan Eiman tu."
"Aku tak berani la. Dina tu ada angin juga. Hari tu dia tengok aku jeling-jeling lagi. Tengok la macam mana nanti," jawab Jazli. Rasa belum lagi masa yang sesuai untuk dia berjumpa dengan Dina.
"Ingat! Ada sebab kenapa semua ini terjadi. Selepas apa yang kau lalui, kau berjumpa dengan first love kau. Aku ingat lagi kau menangis teresak-esak bila Dina pindah sekolah," pesan Imran. Dia tersenyum.
Jazli turut sama tersenyum. Faham di sebalik kata-kata abang sepupunya itu. Dia gembira sangat-sangat setelah mendapat tahu Dina ialah orang yang sama. Selepas Dina berpindah, dia terus lost contact dengan Dina. Tak sangka selepas dia berpindah ke KL, dia berjumpa semula dengan Dina.
TEPUNG talam yang baru dipotong oleh Eiman terus dimasukkan ke dalam mulut Dina. Mata terbeliak luas sambil makan.
"Okey tak rasa dia?" tanya Eiman.
"Okey sangat-sangat," jawab Dina seraya mulut penuh dengan tepung talam.
Eiman mengambil sepotong dan dimasukkan ke dalam mulut. Sedap juga. Resipi yang dia ambil di Internet nampaknya menjadi.
Darina muncul di ruang dapur.
"Eiyad dah tidur ke?" tanya Dina kepada Darina.
"Dah penat agaknya main dengan lori yang baru beli tadi. Tidur sampai mulut terbuka. Tidur pun duk peluk lori tu lagi," cerita Darina diakhiri gelak ketawa.
"Kak Darina, rasa la!" Eiman memberikan pinggan berisi tepung talam kepada Darina.
"Jadi juga," kata Darina sebelum makan. Dia mengangguk kepala memberitahu sedap.
"Laaa... Rupa-rupanya semua kat sini." Puan Dariah yang baru balik dari farmasi melangkah masuk ke dapur. Masa dia masuk ke rumah tadi, dia rasa pelik apabila sunyi sepi sedangkan semua kereta ada kecuali kereta Mercedes Benz milik Erjaz.
"Eiyad mana?" tanya Puan Dariah apabila menyedari tiada kehadiran cucunya di situ.
"Tidur. Ibu rasa la. Eiman try buat tepung talam tadi menjadi!" jawab Dina seraya memberikan sepotong tepung talam kepada ibunya.
Puan Dariah terus makan. Memang sedap. Dia akui yang Eiman ada bakat memasak jika nak dibandingkan dengan kakak-kakaknya.
"Kamu berdua ni tak rasa malu ke adik lelaki kamu yang masak kat kamu? Ingat sikit kamu berdua tu orang perempuan, kerja tinggi macam mana pun tetap kena pandai memasak." Puan Dariah memandang Dina dan Darina.
"Ibu! Sekarang ini orang dah tak kesah perempuan atau lelaki ke yang pandai masak. Lagipun dah trend lelaki pandai memasak daripada perempuan," jawab Dina.
"Habis tu kalau tak pandai masak, kamu pandai apa?" Puan Dariah mengetap bibir. Ada saja jawapan daripada Dina. Mulut tu tak pernah nak diam.
"Pandai cari duit la. Tak boleh masak, boleh saja makan kat luar. Banyak kedai makan yang sedap-sedap, kan! Siapa nak support dia orang kalau bukan kami yang tak reti masak. Betul tak, Kak Darina?" jawab Dina lagi.
Berkerut dahi Darina setelah Dina mengajukan soalan kepadanya. Dia menyedari perubahan wajah ibunya. Tak berani dia nak jawab soalan adiknya. Cari nahas!
"Ibu tegur ada saja jawapan kat mulut tu," balas Puan Dariah.
"Ibu. Tok ma dengan Auntie Emilia jadi ke datang rumah esok?" tanya Eiman secara tiba-tiba. Dia cuba mengubah topik.
"Tak jadi datang. Ayah kamu cakap yang kita semua tak ada kat rumah," jawab Puan Dariah dengan senyuman di bibir. Dia gembira selepas mendapat panggilan daripada suaminya pagi tadi.
"Yes! Yes! Tak payah nak dengar sindiran tok ma dengan Auntie Emilia tu. Dah la berlagak, lepas tu cakap besar. Perasan diri tu bagus sangat." Dina turut sama tumpang gembira dengan berita ini. Dia menadah kedua-dua tangan dan bersyukur.
Puan Dariah menggeleng kepala dengan telatah Dina. Walaupun Dina selalu melawan cakapnya tetapi Dina yang selalu menyebelahi dia setiap kali berhadapan dengan ibu mentua dan adik iparnya.
"Dah, tak payah nak over sangat, Dina. Ibu nak naik atas solat asar," kata Puan Dariah. Dia terus meninggalkan mereka bertiga.
"Dia orang tak jadi datang. Bestnya! Aman dunia ni!" tambah Dina. Matanya bersinar-sinar. Mujurlah nenek dan ibu saudaranya itu tinggal di Johor Bahru. Tak la kerap sangat datang ke rumah. Kalau tak, buat menyemak saja!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co