Truyen3h.Co

Panahan Matamu

Bab 9

karyaseni2u

PAGI ini Puan Dariah melangkah masuk ke dalam kedai runcit Puan Hajar. Dia sengaja datang ke sini untuk melihat perkembangan proses renovation di farmasi yang akan selesai dua minggu lagi.

Puan Hajar menyedari kehadiran sahabatnya dan memberi isyarat menunggu kerana hari ini ramai pelanggan sedang beratur untuk membayar di kaunter. Dia menolong pekerjanya mempercepatkan proses pembayaran.

Puan Dariah faham kemudian melangkah keluar. Dia melihat Eiman Kopitiam dan Klinik Haiwan Dino yang terletak berhadapan kedai runcit Puan Hajar. Dia melihat Eiman Kopitiam yang dipenuhi pelanggan. Keluhan berat dilepaskan.

Pandangan Puan Dariah beralih pula melihat klinik milik Dina pula. Ramai juga orang keluar masuk membawa kucing dan anjing. Semakin berkerut dahi Puan Dariah. Tak sepatutnya semua ini terjadi. Dia sudah plan untuk mereka berdua sejak kecil lagi. Dia mahu Dina jadi doktor pakar sakit puan manakala Eiman pula menjadi doktor pakar bedah ortopedik. Tetapi semuanya hancur selepas dua orang anaknya itu memilih bidang lain.

"Sorry! Ramai pula pelanggan hari ini," kata Puan Hajar.

"Kedai Eiman tu hari-hari ke ramai orang macam sekarang ni?" tanya Puan Dariah.

"Setiap hari ramai. Makanan memang sedap. Ramai orang puji. Kadang-kadang tu orang sampai beratur. Dahlah sedap, murah pula tu. Jom la kita pergi makan kat sana. Eiman mesti seronok kalau ibunya sendiri datang," beritahu Puan Hajar. Dia selalu juga makan di situ. Ternyata Eiman berbakat memasak seperti ibunya.

"Tak nak! Kalau aku pergi, itu bermakna aku setuju dengan pilihan Eiman. Aku nak dia jadi doktor bukannya jadi cef. Lepas tu buka kedai makan sendiri. Aku ingat business Eiman ni takkan tahan lama. Lain pula yang jadi." Puan Dariah mengetap bibir.

"Kamu Dariah, jangan la ikutkan hati sangat. At least anak-anak kau ada usaha dan bekerja. Tengok aku ni, ada biawak hidup dua ekor kat rumah aku. Dah graduate bertahun-tahun, suruh cari kerja, macam-macam alasan bagi. Suruh kerja kat kedai runcit aku ni pun dia orang tak nak juga. Asyik besarkan badan saja," nasihat Puan Hajar.

"Kau tahu kenapa aku nak dia orang jadi doktor?"

"Aku tahu, tapi Erjaz tu dah jadi doktor otak. Lepas tu Darina doktor bius. Takkan tak cukup lagi? Si Dina tu doktor haiwan. Itu dah lebih daripada cukup, Dariah oiii..." tambah Puan Hajar lagi.

Puan Dariah mengeluh perlahan.

"Minggu ni ibu mentua dengan adik ipar aku datang. Mesti datang nak sindir aku lagi," beritahu Puan Dariah. Dia tak suka dengan kedatangan mereka berdua. Mentang-mentang la dia bukan menantu pilihan.

"Apa masalah mereka berdua tu, hah? Dah berpuluh-puluh tahun kau dengan Ehsan kahwin, kenapa mereka tak puas hati lagi? Macam la mereka berdua tu perfect sangat." Puan Hajar tahu konflik antara Puan Dariah dengan ibu Encik Ehsan.

Pandangan mata Puan Dariah terpaku ke arah lelaki yang keluar dari klinik gigi.

"Tu siapa, Hajar?" Puan Dariah berminat ingin tahu.

"Itu Doktor Jazli. Ala, doktor gigi yang aku cerita kat kau. Esok klinik dia baru buka. Single lagi. Sebaya Dina. Sesuai untuk Dina. Handsome pula tu. Dalam famili kau belum ada doktor gigi, kan? Tu... Calon sesuai untuk Dina. Baik budaknya," jelas Puan Hajar dengan panjang lebar.

Puan Dariah mengeluh kuat.

"Macam la kau tak kenal dengan perangai Dina tu. Spesies haiwan liar. Kau rasa ada ke lelaki dapat jinakkan Dina? Bela gajah liar lagi senang," jawab Puan Dariah. Semua lelaki yang dia kenalkan dengan Dina, semuanya lari dan tak mahu jumpa dengan Dina lagi.

"Kau ingat senang nak bela gajah liar? Belum apa-apa lagi, gajah liar tu dah pijak kau." Puan Hajar ketawa kuat.

Puan Dariah malas nak melayan. Pandangan beralih ke arah lelaki yang sedang menyusun pasu-pasu bunga di luar klinik itu. Rasa macam pernah nampak saja tapi kat mana?



SELESAI saja tugas di dapur, Eiman keluar selepas tiada lagi pesanan pelanggan. Dia melihat kedainya yang masih penuh dengan orang walaupun sudah pukul 11 pagi. Ada kelibat yang sangat dia kenali di dalam kedai itu. Langkah diatur menghampiri meja itu.

"Assalamualaikum, Doktor Jazli."

"Waalaikumussalam. Panggil saja Abang Jazli, kan lagi mesra. Makanan kat sini memang sedap. Pagi-pagi boleh la Abang Jazli breakfast kat sini. Maklum la jawatan orang rumah masih kosong lagi," jawab Jazli sambil itu dia berseloroh dengan Eiman.

Eiman turut sama ketawa dan terus duduk.

"Cukup ke makan bihun goreng saja? Oder la lagi. Kuih-muih pun ada."

"Ini dah lebih daripada cukup. Ini kuih pau dua biji belum makan lagi," jawab Jazli. Dia tersenyum.

"Eiman, nanti Kak Dina pergi ambil Eiyad." Dina muncul di hadapan mereka berdua.

Eiman menganggukkan kepala tanya setuju. Sepatutnya dia yang ambil tapi kalau Dina nak ambil, dia tak kesah pun.

"Doktor Dina jemput makan," pelawa Jazli. Dia tersenyum.

Dina mendengus kuat dan menjeling sebelum berlalu pergi.

Jazli terkejut. Tiba-tiba dihadiahkan jelingan tajam oleh Dina.

"Aaa... Abang Jazli ada buat salah ke?" Jazli menoleh dan bertanya kepada adik Dina.

"Abang Jazli tak buat salah pun. Biasa la orang perempuan, moody tak kena tempat. Kak Dina memang macam tu. Biarlah kat dia," jawab Eiman. Hakikatnya dia tahu sebab apa Jazli dilayan sebegitu. Kakaknya telah ceritakan apa yang berlaku. Rasa tak percaya pun ada. Mustahil la Jazli bertindak sebegitu. Apa-apa pun dia malas nak berfikir. Apa hak dia nak hukum orang?

"Ooo... Nak tanya, nama penuh Doktor Dina... Farah Dina, kan?" Jazli beranikan diri untuk bertanya.

"Ya," jawab Eiman.

"Sebenarnya kawan Abang Jazli ada nama Farah Dina. Masa sekolah tingkatan satu dengan tingkatan dua sama-sama tapi bila tingkatan tiga, kawan Abang Jazli pindah ke KL. Muka dia ada iras-iras Doktor Dina," cerita Jazli. Semasa pertama kali jumpa Dina, dia ingin bertanya tapi tak berani.

"Hmmm... Sebelum kami berpindah ke KL, kami tinggal kat Ipoh. Maksud Abang Jazli, SMK Raja Permaisuri Bainun?" Mata Eiman terus bulat.

"Ya! Betul!" jawab Jazli. Kemudian tersenyum gembira.

Mulut Eiman terus ternganga kerana terkejut. Mesti kakaknya terkejut bila dapat tahu.



"WHAT?!"

Suara Dina bergema di dalam bilik tidurnya selepas mendengar cerita daripada Eiman. Memori semasa berumur 13 tahun mula bermain dalam fikirannya.

"Eee... Boleh pekak telinga ni. Suara tu perlahan la sikit!" Eiman memegang kedua-dua telinganya. Boleh pecah gegendang telinga ni dengar suara kakaknya menjerit.

Dina segera bangun dan menuju ke laci meja solek. Dikeluarkan kotak kecil yang mengandungi gambar masa dia kecil dulu. Satu demi satu kepingan gambar diselak. Akhirnya dia jumpa gambar dia bersama budak lelaki yang gemuk. Diamati wajah budak lelaki itu, sememangnya ada iras.

Eiman mendekati kakaknya yang masih melihat gambar.

"Ini Abang Jazli ke? Comelnya! Kulit dia memang putih melepak masa budak-budak." Eiman bersuara.

"Doktor Jazli dengan Jazli pau orang yang sama? Biar betul?" Dina masih tidak dapat menerima kenyataan. Otak macam tak boleh nak proses.

"Jazli pau?" Eiman terkejut.

"Aaa... Masa sekolah dulu, dia suka sangat makan pau. Dia boleh habiskan makan 10 biji pau seorang diri. Kalau masa makan, dia asyik beli pau saja kat kantin. Jadi budak-budak lain panggil dia Jazli pau. Lepas tu dia orang ejek dia macam-macam," cerita Dina.

"Lepas tu Kak Dina yang selamatkan Abang Jazli, kan? Masa Abang Jazli kena buli, Kak Dina pertahankan Abang Jazli lepas tu Abang Jazli kawan dengan Kak Dina," kata Eiman. Dia masih ingat lagi ada suatu hari itu ibu bapanya dipanggil ke sekolah kakaknya sebab bergaduh dengan kawan sekelas. Bayangkan la empat orang budak lelaki berlawan dengan kakaknya tapi kakaknya yang menang. Maklum la kakaknya belajar tekwando, selepas itu bapak saudara mereka ada boxing gym. Siapa yang berani cabar kakaknya, silakan!

"Mereka semua tu jahat. Dah la ejek Jazli tu macam-macam, lepas tu pulaukan dia. Mula-mula tu memang Kak Dina nak biarkan sebab Kak Dina dah janji dengan ayah dan ibu takkan gaduh lagi tapi... Kak Dina tak boleh nak biarkan bila ketidakadilan berlaku di depan mata. Terus saja Kak Dina meletup. Kak Dina dah nasihat tapi dia orang tetap tak nak dengar. Lepas tu siap cakap lagi, kalau kami nak buat juga, kau boleh buat apa?" cerita Dina seraya mengajuk cakap budak-budak lelaki yang membuli Jazli dulu.

"Dia orang boleh cakap macam tu kat Kak Dina. Nak tengok sangat Kak Dina boleh buat apa? Seekor demi seekor, Kak Dina bagi penumbuk. Anak jantan lembik. Masa kena panggil dengan cikgu, Kak Dina cerita hal sebenar. Memang Kak Dina kena amaran tapi Kak Dina tak kesah pun. Kak Dina ada di pihak yang benar. Buat apa takut? Lepas tu Jazli ikut saja ke mana Kak Dina pergi. Tiada siapa berani buli Jazli lepas tu. Kami BFF sampai tingkatan dua," tambah Dina lagi. Teringat saat mereka berdua berkawan. Makan sama-sama dan juga belajar sama-sama. Dia happy berkawan dengan Jazli. Orangnya sweet dan baik.

"Wah! Kak Dina memang hebat dari dulu. Tak pernah takut dengan sesiapapun! Gengster sekolah. Thumbs up!" kata Eiman seraya mengangkat kedua-dua ibu jarinya. Dia tersengih.

"Eh, budak ni! Ini puji ke sindir?" Dina menjegil mata kepada adiknya.

Eiman ketawa kecil.

"Tapi Kak Dina, pasal apa Kak Dina nampak Abang Jazli dengan perempuan tu? Rasanya baik Kak Dina tanya dulu Abang Jazli sebelum buat andaian sendiri. Pagi tadi masa Eiman borak dengan Abang Jazli, ada orang call tapi Abang Jazli buat tak tahu. Banyak kali berbunyi tapi Abang Jazli buat tak endah saja. Lepas tu bunyi mesej. Eiman sempat nampak kat skrin phone Abang Jazli. Maafkan I, please bagi I peluang. Kak Dina rasa apa maksud mesej tu? Mesti ada something terjadi!" cerita Eiman.

Dina terdiam dan berfikir selepas mendengar cerita Eiman. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co