Truyen3h.Co

Panahan Matamu

Bab 4

karyaseni2u

TIBANYA di pusat membeli-belah, tempat wajib singgah sudah tentunya kedai mainan. Bukan main seronok Eiyad. Mata Eiyad bersinar-sinar melihat mainan yang ada di situ. Dina dan Darina mengekori Eiyad dari belakang.

"Pantang nampak mainan!" Dina bersuara.

"Biasa la budak-budak." Darina tersenyum.

"Kita saja tempat dia menumpang kasih pun. Nak harapkan ibu kandung sendiri, spesies ibu tak guna." Nada suara Dina perlahan agar tak didengari Eiyad. Masa umur Eiyad 6 bulan, bekas isteri abangnya itu minta diceraikan.

"Shiss... Jangan cakap kuat-kuat sangat," tegur Darina. Bimbang jika Eiyad terdengar. Lagipun kebelakangan ini Eiyad asyik bertanya mana ibunya. Terpaksa la tipu cakap yang ibu Eiyad sambung belajar di luar negara. Maklum la sudah pergi tadika, semestinya Eiyad nampak kawan-kawannya ada ibu.

Eiyad berlari ke arah mereka berdua sambil membawa dua barang mainan.

"Eiyad nak dua boleh?" tanya Eiyad. Tersenyum manja agar kedua-dua ibu saudaranya setuju.

"No! Dah janji kan, beli satu saja. Pilih yang mana Eiyad paling suka." Darina bersuara lembut.

"Tapi Eiyad suka dua-dua," jawab Eiyad. Bibir terus muncung. Dia memeluk erat dua mainan itu.

"Tak boleh, papa Eiyad dah pesan kat kami. Kalau pergi kedai mainan, boleh beli satu saja." Dina bersuara. Teringat pesanan abangnya supaya jangan manjakan Eiyad sangat. Bilik Eiyad sudah penuh dengan mainan.

"Mak ngah! Mak lang! Jangan la beritahu papa," jawab Eiyad lagi.

"Amboi, dia mengajar kita pula." Dina menggelengkan kepala. Kecik-kecik dah pandai ajak bersubahat.

"Mak ngah nak Eiyad pilih satu saja. Bulan depan kita datang lagi, ya. Mak ngah belikan satu lagi. Boleh, kan?" pujuk Darina. Dia tersenyum.

"Mak ngah janji, kan?" kata Eiyad lagi.

"Janji!" jawab Darina.

Wajah Eiyad yang masam tadi kembali ceria. Dia berlari semula meletakkan barang mainan yang satu lagi.

"Seronok la tu!" Dina menggelengkan kepala dengan gelagat Eiyad.



DARINA keluar dari tandas. Sambil berjalan dia membelek beg tangannya yang terkena air. Dilap dengan tisu beberapa kali.

Tiba-tiba Darina terlanggar seseorang.

"Maaf! Saya betul-betul minta maaf. Salah saya," kata Darina kepada lelaki yang baru saja dilanggar tadi. Dia segera mengambil spek mata hitam lelaki itu yang terpelanting ke lantai. Resah jika spek itu rosak. Dia membelek spek mata hitam itu. Nasib baik elok lagi.

Darina menghampiri lelaki itu dengan rasa bersalah. Ini berpunca daripada kecuaian diri sendiri. Berjalan tak tengok depan.

"Encik, ini spek encik. Saya minta maaf banyak-banyak," ucap Darina lagi sambil menghulur spek.

Lelaki yang berkemeja putih dan seluar jean itu masih berdiri memandang Darina.

Dahi Darina berkerut melihat reaksi lelaki itu.

"Encik! Encik! Encik!" Suara Darina terus tinggi.

Lelaki itu terkejut dan mengambil spek mata hitam itu dari tangan Darina.

"It's okay. It's okay." Akhirnya lelaki itu bersuara.

"Saya minta maaf sebab terlanggar encik tadi. Saya gerak dulu." Darina terus beredar dari situ tanpa mempedulikan pandangan lelaki itu.

Darina berjalan laju. Teringatkan Dina dan Eiyad yang tengah menunggunya di kedai makan. Langkah Darina terhenti setelah bertembung dengan wanita yang sangat dikenali.

Wanita bersama budak perempuan berusia dua tahun itu turut sama terkejut melihat Darina.

Wajah Darina serius lalu menghampiri wanita itu.

"Darina! Long time no see. You apa khabar?" Wanita itu bersuara. Dia cuba hilangkan rasa kekok antara mereka berdua.

"Baik! Bila you balik Malaysia?" tanya Darina.

"Minggu lepas," jawab wanita itu. Dia cuba tersenyum.

"Bila nak balik London?" tanya Darina lagi.

"I dah habis studi. So I balik Malaysia terus. Aaa... Eiyad dan Erjaz sihat?"

"Sihat alhamdulillah. Berdua saja, mana husband you?"

"Kami dah bercerai 6 bulan lepas." Senyuman wanita itu berubah menjadi kelat.

"Ooo... Ya ke? Okey la, I gerak dulu," balas Darina. Muka macam tiada perasaan.

"Darina, you datang dengan Eiyad ke?" tanya wanita itu lagi.

"Ya," jawab Darina.

"Boleh I jumpa Eiyad? Dah lama I tak jumpa Eiyad."

"Nak jumpa Eiyad? You nak jumpa Eiyad sebagai siapa, Rozie? Ibu? Rasanya you dah hilang hak itu selepas you gunakan Eiyad masa minta cerai dengan Abang Erjaz, kan? You dah lupa ke?" jawab Darina. Pandangan tepat ke arah bekas kakak iparnya.

Rozie terdiam.

"Eiyad bukan anak you lagi," tambah Darina lagi.

"Tapi I yang mengandung dan lahirkan dia. Walau apa yang terjadi, hakikatnya I ibu dia, Darina!" balas Rozie.

"Ibu? Ibu jenis apa yang tinggalkan anak kandung sendiri yang baru berusia 6 bulan, hah? Jangan lupa you dah sain perjanjian. Perjanjian yang you sendiri cadangkan. Don't forget about that. Jaga la anak you yang ni baik-baik. Jangan you buat benda yang sama kat anak you ni. Jadi seorang ibu yang baik," pesan Darina lagi. Baru setapak melangkah, Darina berhenti dan berpaling.

"Kalau you berani nak jumpa Eiyad, silakan. Orang pertama yang you akan hadap ialah Dina. You sendiri tahu kan perangai Dina macam mana? I takkan bertanggungjawab jika sesuatu terjadi kat you. FYI, Dina ada dengan Eiyad sekarang ni. Harap-harap you tak terserempak dengan Dina kat shopping mall ni." Darina terus berlalu pergi. Dia mengetap bibir. Langkah dipercepatkan untuk mencari Dina dan Eiyad. Seboleh-bolehnya dia mahu keluar dari shopping mall ini.



SAMBIL memegang tangan Eiyad, Dina mengekori kakaknya. Tadi dia baru saja nak oder makanan, tiba-tiba saja Darina yang baru balik dari tandas ajak lunch di tempat lain. Apabila ditanya, katanya ada tempat makan baru buka berdekatan rumah.

Mereka bertiga berjalan ke tempat letak kereta.

Langkah Dina terhenti apabila terdengar pertengkaran. Dia melihat ada sepasang lelaki dan perempuan sedang bergaduh. Diamati dengan dahi berkerut. Macam pernah jumpa saja? Aaa... Dia orang la yang bergaduh depan kedai hari itu.

"Mak lang!" panggil Eiyad. Hairan melihat Dina yang berhenti melangkah.

Darina berkerut dahi. Dia turut sama melihat pertengkaran yang berlaku tak jauh dari mereka. Dia mula susah hati jika Dina masuk campur.

Lelaki itu menolak perempuan itu sehingga terjatuh. Kemudian lelaki itu terus masuk ke dalam kereta dan bergerak meninggalkan wanita itu.

Dina mengetap bibir. Memang pantang tok nenek dia kalau ada lelaki bertindak kasar terhadap wanita.

"Kak Darina pegang tangan Eiyad sekejap." Dina memberi tangan Eiyad pada kakaknya. Dia melangkah mendekati wanita yang masih terduduk di tempat letak kereta sambil menangis.

Baru saja Darina ingin menegah, tangan Darina ditarik oleh Eiyad. Darina melihat Eiyad.

"Mak lang nak gaduh lagi ke?" tanya Eiyad.

"Tak la. Mana ada gaduh. Mak lang pergi tolong," jawab Darina dengan senyuman. Cuba dikawal rasa terkejut dengan pertanyaan Eiyad. Tengok, budak kecil pun tahu Dina kaki gaduh. Pandangan Darina beralih semula kepada Dina yang membantu wanita itu.

"Cik! Cik okey ke?" tanya Dina sebaik sahaja menghampiri wanita yang masih menangis.

"Aaa... Okey," jawab wanita itu. Dia bangun dengan dibantu oleh Dina.

"Terima kasih," ucap wanita itu kemudian terus berlalu pergi seraya mengesat air mata.

Dina kembali menghampiri Darina dan Eiyad.

"Hari tu Dina nampak dia orang bergaduh kat depan kedai. Hari ini bergaduh kat sini. Tak guna punya lelaki. Berkasar macam tu dengan perempuan memang dasar lelaki dayus!" maki Dina.

"Biarlah. Itu masalah dia orang. Pokok pangkalnya mesti ada cerita di sebalik apa yang berlaku. Dah, jom pergi makan," ajak Darina. Dalam masa yang sama, dia mahu mereka bertiga bergerak keluar dari sini kerana bimbang Dina akan terserempak dengan Rozie.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co