Bab 5
EIYAD berlari masuk ke dalam rumah sambil membawa mainan yang baru dibelinya tadi. Dia terus tinggalkan Dina dan Darina.
"Itu mesti nak tunjuk kat pak su kesayangan dia," kata Dina. Dia menutup pintu kereta kakaknya. Rasa pelik dengan perangai kakaknya yang termenung sejak di kedai makan lagi. Ada masalah ke? Tapi kat shopping mall tadi okey saja. Dahi berkerut melihat Darina yang masih duduk di dalam kereta.
"Kak Darina! Ooo... Kak Darina. Kan dah sampai rumah," panggil Dina dengan nada tinggi.
Darina terkejut dan memandang Dina yang sudah keluar dari kereta.
"What's wrong? Ada masalah ke? Something happened?" tanya Dina dengan wajah serius.
"Tak ada apa-apa la." Dengan pantas Darina menjawab. Dia segera keluar dari perut kereta BMW X4 miliknya. Kepalanya terlalu fikirkan pasal Rozie.
"Jom masuk," ajak Darina.
Dina mencapai tangan kakaknya. Dia merenung wajah Darina.
"Are you really okay, sis?" tanya Dina sekali lagi. Dia dapat hidu sesuatu.
"Okey saja," jawab Darina dengan senyuman untuk mengaburi mata Dina.
"Tipu! Mesti ada something jadi masa pergi toilet tadi, kan?" Dina merenung anak mata kakaknya demi kepastian. Firasat dia tak pernah salah.
Darina tergamam. Otak begitu ligat mencari alasan. Mustahil dia akan ceritakan hal sebenar dekat Dina. Cari nahas! Tiba-tiba dia dapat idea.
"Masa Kak Darina keluar toilet tadi, ada lelaki kacau. Geram la. Tak reti bahasa betul. Minta no phone lagi. Sebab itu Kak Darina lambat sikit, sebab larikan diri dari lelaki itu," jawab Darina mereka cerita. Harap sangat Dina percaya. Tipu sunat kata kan!
"Laaa... Kenapa tak cakap awal-awal? Biar Dina ajar lelaki tu. Nak mengurat kena la gentlemen. Next time kalau kena kacau, beritahu Dina. Okey!" kata Dina. Dia terus melangkah masuk.
Wajah Darina jelas lega setelah ceritanya dipercayai oleh Dina. Tiba-tiba dia terkejut apabila Dina patah balik ke arahnya.
"Dina lupa nak cerita something kat Kak Darina. Tadi nak cerita tapi Eiyad ada."
"Pasal apa, Dina?"
"Masa Dina pergi ambil bekas minuman Eiyad, Dina terdengar perbualan ibu dengan kawan dia. Memang betul la ibu nak kenalkan Kak Darina dengan seseorang. Apa lagi, Dina terus tegur ibu. Terus ibu naik angin. Kata ibu, pilihan ibu kali ini jauh baik daripada Joe. Mikail ni doktor yang ada klinik kat Melaka. Kononnya famili Mikail ni daripada famili baik-baik. Benda yang sama juga ibu cakap pasal Joe tu. Doktor pakar bedah yang disegani, yalah tu... Tapi tengok apa Joe tu buat kat famili kita. Malu yang kita dapat. Alih-alih Joe tu pergi kejar bekas teman wanita," cerita Dina. Dalam masa yang sama, dia sakit hati apabila teringat bakal abang iparnya yang tak jadi itu.
Air muka Darina berubah. Mustahil dia dapat melupakan apa yang terjadi. Pada saat itu hatinya sudah diberikan kepada Joe. Balasan yang dia dapat hanya kekecewaan. Joe menghilangkan diri pada saat majlis akad nikah mereka ingin dilangsungkan.
Dina menyedari perubahan wajah kakaknya. Dia rasa bersalah kerana mengungkit kisah kakaknya dan Joe. Dia pun satu, sebut nama jantan tak guna tu buat apa?!
"Sorry... Dina tak patut sebut nama lelaki tak guna tu," ucap Dina.
"It's okay. Dah jadi sejarah, kan?" Darina tersenyum kelat.
"Kalau ibu tetap juga nak Kak Darina jumpa Mikail tu, beritahu Dina. Tahu la macam mana Dina nak sabotaj plan ibu tu! Ingat, Kak Darina. Tell me everything! Antara kita tiada rahsia, kan?" Walau apapun yang terjadi, Dina akan berpihak kepada kakaknya.
Darina tersenyum dan menganggukkan kepala perlahan-lahan. Masak la dia nanti kalau Dina tahu dia rahsiakan pasal Rozie.
Dina tersenyum puas. Takkan dia biar hati kakaknya disakiti lagi. Cukuplah sekali dikhianati.
ERJAZ mendaki anak tangga satu per satu. Dia menguap perlahan. Mengantuk sejak tadi lagi. Maklum la dia baru saja selesai melakukan pembedahan. Suasana di dalam rumah hanya samar-samar. Pasti semua orang sudah tidur. Sebelum dia keluar dari kereta tadi, dia sempat melirik ke arah jam kereta yang menunjukkan pukul 1 pagi.
"Abang Erjaz."
Erjaz terkejut apabila namanya dipanggil. Dia melihat wanita berambut panjang duduk di sofa dalam keadaan gelap.
"Darina! Ya Allah! Kenapa duduk dalam gelap? Terkejut la." Erjaz menarik nafas lega. Ingatkan hantu tadi.
"Shisss... Jangan cakap kuat sangat. Darina ada benda nak beritahu ni." Darina melihat ke kiri dan kanan. Isyarat tangan diberi seraya menyuruh abangnya duduk di situ. Bimbang jika suara abangnya tadi mengejutkan penghuni lain di tingkat atas itu terutama sekali Dina.
"Ada apa sampai tak boleh cakap esok ni? Penting sangat ke?" tanya Erjaz. Dia menguap sekali lagi. Kelopak mata semakin berat. Nampak bantal saja sekarang ini.
"Penting!" tegas Darina.
Erjaz terus duduk dan memandang Darina.
"Hari ni kan kami keluar shopping, Darina jumpa Rozie," beritahu Darina.
"Apa?!" Erjaz terkejut. Terus kelopak mata terbuka luas.
"Ya."
"Habis tu, Dina dengan Eiyad?"
"Nasib baik la dia orang tak ada. Rozie cakap dia balik Malaysia untuk selama-lamanya. Abang Erjaz tahu tak pasal hal ini?" tanya Darina.
"Kawan Abang Erjaz ada beritahu pasal kepulangan Rozie minggu lepas. Lepas graduate di London, Rozie akan kerja di Malaysia. Dia orang cakap Rozie dapat tawaran kerja di hospital swasta Penang," beritahu Erjaz. Wajahnya jelas tenang. Hubungan dia dan Rozie sudah berakhir 5 tahun yang lalu.
Darina menghela nafas lega. Bagus juga kalau Rozie kerja jauh dari KL.
"Rozie dah bercerai, Abang Erjaz tahu tak?"
"Dah cerai ke, kahwin lain ke, Abang Erjaz tak nak ambil tahu," jawab Erjaz. Malas nak mengingatkan apa yang terjadi antara mereka berdua sepanjang dua tahun berkahwin. Mereka berdua tak pernah bahagia. Dia cuba menjadi suami yang baik tapi hati Rozie sudah ada orang lain.
"Tapi Rozie nak jumpa Eiyad," beritahu Darina.
Erjaz terkejut.
"Apa? Kak Rozie nak jumpa Eiyad?" Tiba-tiba ada suara lain muncul.
Darina terperanjat. Dia melihat ke arah Eiman yang keluar di sebalik tempat persembunyiannya. Air muka Darina berubah. Dia terus bangun dan menarik Eiman agar duduk di sofa bersama mereka.
"Suara tu slow sikit. Nanti Dina dengar," pesan Darina dengan suara perlahan.
"Mustahil la Kak Dina nak dengar. Kak Dina kalau tidur, tidur mati. Esok pagi baru jaga," jawab Eiman. Disebabkan dahaga, dia terjaga. Tak sangka ketika hendak ke dapur, dia terdengar perbualan kakak dan abangnya pasal bekas kakak iparnya.
"Kenapa Kak Rozie tiba-tiba nak jumpa Eiyad? Dah lupa ke perjanjian yang Kak Rozie buat sendiri masa suruh Abang Erjaz ceraikan dia? Bila Eiyad tu dah besar, tiba-tiba nak jumpa. Susah payah Abang Erjaz besarkan Eiyad, senang-senang nak jumpa." Eiman mendengus kuat. Dia memang tak sukakan Rozie. Satu-satunya ibu kandung yang langsung tak ada hati perut. Hanya tahu pentingkan diri sendiri. Kononnya nak kejar impian sendiri dan sambung belajar. Tak bersedia nak kahwin tetapi dipaksa oleh keluarga. Tapi hakikatnya, tak sampai setahun sambung belajar di London, Rozie berkahwin dengan bekas kekasih yang turut sama belajar di situ. Argh... Pandai betul berdrama! Tak pasal-pasal anak yang menjadi mangsa.
"Apa hak dia nak jumpa Eiyad? Dia sudah hilang hak dia sebagai seorang ibu. Abang Erjaz akan fight kalau dia cuba nak jumpa Eiyad. Perempuan macam tu tak layak jadi ibu Eiyad. Eiman, masa hantar atau ambil Eiyad di tadika, jangan sesekali bagi Rozie tu dekat dengan Eiyad. Terus call Abang Erjaz, faham!" kata Erjaz sambil mengingatkan Eiman. Kalau dia kerja, Eiman dan Dina yang selalu ambil Eiyad di tadika.
"Ayah dengan ibu patut tahu tak? Kak Dina lagi la kena tahu," kata Eiman.
"Tak perlu tahu. Rozie bukan menantu mereka lagi. Dina pula..." ujar Erjaz seraya berkerut dahi memikirkan adiknya yang seorang lagi.
"Tak payah! Lagi baik Dina tak payah tahu. Bertambah masalah kalau Dina tahu. Baik rahsiakan hal ini daripada Dina," jawab Erjaz lagi seraya menggelengkan kepala.
"Tapi kalau Kak Dina terserempak dengan Kak Rozie macam mana?" tanya Eiman lagi.
"Jawabnya Rozie tu pendek umur la." Darina mencelah. Tak dapat bayangkan jika itu terjadi.
"Betul juga. Kak Dina benci gila dengan Kak Rozie. Tapi... Best juga kalau Kak Dina terjumpa dengan Kak Rozie, mesti havoc KL ni nanti," kata Eiman kemudian tersenyum jahat.
"Orang nak elak masalah, dia pula suka masalah. Dah, pergi tidur. Janji tau, jangan beritahu Dina," pesan Darina. Dia membesarkan anak matanya.
"Betul tu. Jangan sesekali beritahu Dina. Bersurai. Abang Erjaz nak tidur." Erjaz turut sama mengingatkan adik bongsu mereka. Dia terus bangun dan melangkah ke bilik tidurnya. Dalam hati, dia berharap sangat takkan berjumpa dengan Rozie.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co