Bab 8
Sebulan berlalu...
Masa waktu rehat, Dina mengajak Noor, Abu dan Ina makan di luar. Ada kedai makan masakan Thai yang baru dibuka di belakang klinik. Boleh juga tukar selera. Hari-hari makan nasi bungkus, bosan juga. Makan nasi goreng lepas tu tomyam, mesti berselera.
Beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Puan Hajar memanggil.
Mereka berempat berhenti dan menoleh.
"Ramai-ramai ni nak pergi lunch ke?" tanya Puan Hajar.
"Ya. Ada apa Mak Cik Hajar?" tanya Dina. Dia menyedari ada seorang lelaki mengekori Puan Hajar.
"Ini mak cik nak kenalkan dengan kamu semua, Doktor Jazli! Dia la yang akan buka klinik gigi sebelah Eiman Kopitiam nanti." Puan Hajar memperkenalkan lelaki berkulit putih dan bercermin mata itu.
Dina tersenyum dan memandang lelaki itu. Rasa macam familiar saja.
"Ini Doktor Dina. Ini pula Doktor Noor. Ini pula Abu dengan Ina. Mereka semua kerja kat klinik haiwan. Dah dua tahun klinik haiwan ini dibuka. Dina ni kakak kepada pemilik Eiman kopitiam," tambah Puan Hajar lagi.
"Selamat berkenalan semua. Datang la klinik gigi saya. Jangan risau, saya akan bagi diskaun untuk semua orang." Jazli bersuara dan tersenyum.
"Ya ke? Belum apa-apa lagi dah nak bagi diskaun. Semoga Doktor Jazli dimurahkan rezeki. Amin!" kata Abu. Dia tersengih.
"Okey la. Kami nak pergi ke Mei Florist pula," kata Puan Hajar.
"Jumpa lagi!" kata Jazli sebelum mengekori Puan Hajar.
"Peramah betul Doktor Jazli tu," puji Noor.
"Tak sombong pula tu!" balas Ina.
"Tapi rasa macam pernah nampak Doktor Jazli tu. Kat mana?" Dahi Dina berkerut.
"Kenapa? Dah jatuh hati ke?" usik Noor.
"Selalunya itu ayat orang selalu guna bila nak mengurat!" Ina ketawa kecil.
"Mana ada! Betul la rasa macam pernah jumpa. Biarlah. Jom," jawab Dina. Apabila diusik macam itu, dia malas nak cakap lagi. Dia memulakan langkah kemudian berhenti dan berpaling ke belakang. Kat mana ya?
JAZLI menyentuh lembut bahu abang sepupunya setelah melangkah masuk ke dalam kedai mamak. Mereka berdua sudah berjanji berjumpa selepas pukul 6 petang.
"Termenung apa sampai macam ini sekali? Teringatkan Miss Lawa ke?" kata Jazli. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan Imran.
"Aku ingatkan aku dah jumpa bintang hati aku tapi... rupa-rupanya mak orang. Jazli, jantung aku ni pertama kali berdegup kencang macam tu masa terlanggar dia kat luar toilet. Orangnya lemah lembut, lepas tu sopan santun bila bercakap. Dengar suara dia saja, aku dah lemah lutut. Bila budak lelaki tu cakap itu mak dia... Harapan aku terus berkecai," jawab Imran kemudian diakhiri keluhan hampa.
"Itu namanya tak ada jodoh. Dah, lupakan saja. Berdosa fikirkan isteri orang," tegas Jazli.
"Betul juga. Aku ni kalau bab perempuan memang malang. Perempuan yang aku suka, semuanya sudah berpunya." Imran mengeluh perlahan mengingatkan nasibnya.
"Ala, kalau dah jodoh, takkan ke mana. Jangan risau la. Suruh saja nenek carikan." Jazli tersengih.
"Tak nak la. Baik cari sendiri." Imran menggelengkan kepala. Pilihan nenek terlebih luar biasa. Memang la cantik tapi perangai tak macam manusia. Berlagak nak mampus. Mengada-ada pula. Dah tentu dia swipe ke tepi. Reject! Dah kahwin nanti, tentu dia jadi hamba abdi. Tak nak!
"So macam mana kerja kat tempat baru? Dah seminggu, kan?" tanya Jazli. Habis saja sambung PhD, Imran terus bekerja di hospital milik keluarganya.
"Baru seminggu kan, tengah sesuaikan diri. Ikut hati aku memang tak nak ambil alih tempat nenek. Yalah, aku ni muda lagi. Nak juga cari pengalaman kat tempat lain," cerita Imran.
"Muda apanya? Umur tu dah lebih 30 kut. Pengalaman ada cuma malas nak guna, betul tak?"
"Umur 31 tahun masih muda lagi, tahu tak? Aaa... Perempuan tu kacau kau lagi tak?" tanya Imran tiba-tiba. Teringat apa yang terjadi dua bulan yang lalu.
"Tak," jawab Jazli. Dia terus terdiam. Apa yang berlaku hari itu takkan dia lupakan sampai mati.
DENGAN wajah serius, Dina berfikir. Dia masih tidak mendapat jawapan pasal Jazli. Gerak hatinya tak pernah silap. Dia memang pernah nampak Jazli sebelum ini. Tapi kat mana, ya?
"Kak Dina, ingat kan ibu cakap nak cili kering berapa kilo?" tanya Eiman. Dalam masa yang sama, dia memasukkan bawang besar yang dipilihnya ke dalam bakul.
Pertanyaan Eiman tidak didengari oleh Dina.
Eiman menoleh ke arah kakaknya yang berdiri di sebelah. Pelik apabila tiada jawapan daripada Dina. Berangan ke?
"Kak Dina oiii! Kat pasar malam pun boleh berangan ke?" Eiman sengaja meninggikan suara.
Dina terkejut.
"Apa dia?"
"Eiman tanya berapa kilo cili kering ibu pesan tadi?" soal Eiman sekali lagi. Malam ini Dina temankan dia pergi ke pasar malam yang berdekatan dengan rumah mereka.
"Sekilo!" jawab Dina. Beg-beg plastik yang ada di tangannya dibetulkan. Berat gila. Banyak betul ibu pesan. Buah la! Ikan la! Ayam la! Sayur la! Aduh, datang dua orang memang tak cukup tangan. Dia melihat Eiman yang tengah membuat bayaran setelah semua barang dibeli.
"Jom!" ajak Eiman. Kedua-dua tangannya penuh dengan beg plastik.
"Ibu nak buat apa pesan semua barang ni? Macam ada benda tak kena saja. Ini boleh buat kenduri. Tiba-tiba saja balik tadi ibu suruh kita keluar pergi pasar malam. Dah la penat seharian bekerja, ikut suka arah orang." Dina mula membabel. Tak puas hati.
"Ini ikhlas ke tak nak tolong ibu? Asyik nak kompelin saja. Elok-elok dapat pahala, terus dapat dosa," tegur Eiman.
Dina mencebik bibir apabila ditegur sebegitu.
"Tadi termenung pasal apa? Teringat buah hati?" usik Eiman.
"Muka Doktor Jazli tu memang familiar sangat-sangat. Kak Dina yakin pernah jumpa dia. Eee... Kenapa la tak boleh ingat kat mana?" balas Dina. Berkali-kali dia cuba ingat tapi tetap juga tiada jawapan. Makan semut banyak sangat ke?
"Muka handsome macam tu dah tentu la familiar. Kenapa? Kak Dina nak try mengurat Doktor Jazli ke?" usik Eiman lagi.
"Apa? Try mengurat? Jaga sikit mulut tu! Doktor Jazli tu bukan taste Kak Dina la. Dah la kulit putih melepak. Kalah kulit orang perempuan. Aaa... Ada lagi ke barang yang nak beli? Jari-jari rasa macam nak tercabut dah." Terus mulut Dina senget ke kiri. Tak suka dengan usikan adiknya. Dia cepat-cepat menukar topik lain
"Barang-barang ibu pesan dah settle," jawab Eiman.
"Okey! Jom beli air, dahaga ni." Wajah Dina bertukar ceria. Mata liar mencari orang menjual air. Orang semakin ramai mengunjungi pasar malam itu.
"Kena letak dulu barang-barang ni, lepas tu boleh tengok makanan," kata Eiman.
"Good idea! Nasib baik la parking dekat tadi," balas Dina.
Mereka berdua berjalan keluar dari pasar malam. Beberapa tapak melangkah, mereka terhenti. Pandangan tepat ke arah lelaki dan perempuan yang sedang bergaduh tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Ramai orang yang lalu-lalang di situ berhenti menyaksikan apa yang berlaku
Tiba-tiba Dina terus ingat di mana dia pernah nampak Doktor Jazli. Bulat terus mata Dina saat itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co