Bab 11
"ADUH, selesai juga kerja aku."
Syafiq menoleh sesaat kepada Zakri yang baru melabuhkan punggung di tempat duduk penumpang di sebelah. Enjin Preve milik Zakri pantas dihidupkan, kemudian dia memakai tali pinggang keledar.
"Buckle up." Pendek Syafiq menegur sahabatnya yang tidak membuat perkara yang sama. Tanpa banyak bicara, Zakri menurut.
"So, okey tak interviu tadi?" Syafiq memulakan perbualan.
"Okey. Macam biasa. Cuma lepas ni, aku kena balik untuk tulis storylah. Kau tadi buat apa aje? Hilang terus. Berminat sangat nampaknya dengan lukisan-lukisan dia."
Aku lebih berminat pada orang yang melukisnya, detik hati kecil Syafiq. Ya, benaknya tidak lepas daripada memikirkan gadis itu. Tidak! Bukan dari sudut perasaan seorang lelaki terhadap seorang perempuan kerana yang jelas, dia memang tidak suka dan tidak berkenan langsung dengan perempuan yang seorang ini. Tetapi, ada sesuatu tentangnya yang menarik-narik Syafiq untuk memberikan perhatian, untuk terkesan dengan segala apa perilakunya. Sukar sekali untuk dia menjelaskan dengan kata, namun itulah yang dirasainya saat ini.
"Kau tahu banyak tak pasal dia?" soal Syafiq tanpa menjawab pertanyaan sabahatnya tadi.
"Dia, siapa?"
"A.R.A itulah. That painter of the dark."
Zakri mengalih kepala. Muka teruja ditayangkan, dengan sengih lebar yang menampakkan gigi taringnya.
"Woah, woah... This is interesting. Kau dah tangkap cintan dengan dia ke?"
Hampir-hampir sahaja Syafiq menekan brek. Terkejut sungguh dengan sergahan Zakri.
"Kau gila! Mana ada!"
"Kalau ada pun, apa salahnya? Kau ni dahlah dah tua..."
Syafiq membulatkan mata. Amboi, gembiranya kutuk aku tua.
"Tapi aku tengok tak ada girlfriend. Sejak aku kenal kau, kau seorang aje. Kau memang tak berminat nak bercinta ke apa?"
Segala bebelan Zakri automatik membawa ingatan Syafiq kepada Alya, bekas teman wanitanya. Seorang lagi perempuan yang menjadi mangsanya. Berita terakhir yang didengari tentang Alya ialah berita perkahwinannya dengan seorang lelaki bernama Andy. Agak-agak apalah yang kini berlaku kepada Alya? Bahagiakah dia? Gembirakah dia?
Huh, apa kau peduli, Syafiq? Bukankah kau yang banyak menyakiti dia dulu? Hingga sanggup mengejarnya ke Wellington semata-mata mahu memaksanya bersama kau kembali! desis si hati.
Tanpa sedar, terlepas keluhan berat dari mulut Syafiq. Mengingati itu semua cukup membuatkan rasa bersalah kembali menyelinap ke dalam setiap pembuluh darahnya.
"Kau kenapa tak henti-henti mengeluh pula? Soalan aku tu bombastik sangat ke?"
Tersentak Syafiq mendengarkan tempelak Zakri. Bibirnya menyenget senyum kelat.
"Tak adalah. Aku cuma teringatkan sesuatu aje tadi."
"Isy, kau ni... Dari tadi asyik ingatkan sesuatu. Datang jumpa aku, tapi asyik fikir benda lain. Baik tak payah datang." Jauh bunyi suara Zakri.
"Kau tak payah berdrama kat sini. Kau pun sama. Masa aku datang jumpa kau, boleh pula kau pergi kerja, heret aku sekali pula tu." Syamil membidas kembali.
"Tapi sebab aku heret kau, kau dapat jumpa dia, kan?"
"Dia siapa?" Syafiq bermain soalan, ekor mata ditala ke sebelah dengan wajah yang berkerut.
"A.R.A itulah. Your painter of the dark." Zakri memulangkan paku buah keras, sambil menekankan perkataan 'your'.
Syafiq menayangkan muka plastik, malas mahu mengambil kira dengan usikan Zakri. Sahabatnya ini tidak mengenali dirinya yang dahulu. Jikalau tahu, pasti sekali usikan seperti itu takkan pernah terluah.
"So, back to soalan aku tadi. Kau tahu banyak tak pasal dia?" Tanpa mempedulikan gurauan Zakri, Syafiq kembali ke topik asal.
"Hmmm, let's see." Zakri menggaru bawah dagu.
"Aku rasa tak ada manusia dalam dunia ni yang tahu banyak pasal dia."
"Maksud kau?"
"She is a mysterious woman. Dia memang popular sebagai seorang pelukis. Tapi, kalau kau search, kau Google pasal dia, you will get nothing."
Penuh minat Syafiq mendengar segala maklumat tentang Adra. Ini semakin menarik. Seorang gadis dengan gelaran Painter of the Dark, wanita misteri tanpa diketahui mana datangnya dan siapa dia yang sebenarnya.
"Apa yang ada dalam pamphlet itulah, info yang paling komprehensif pasal dia."
"Nur Adra, dua puluh sembilan tahun, single." Tanpa sedar, tercetus informasi tersebut dari bibir Syafiq. Cepat-cepat dia mengetap bibir. Aduh, laju pula mulut ni bercakap!
"Yup, betul tu. Kadang-kadang aku ada juga terfikir..."
"Terfikir apa?"
"Maybe... Just maybe ini semua cuma gimik untuk buat orang tertarik kepada dia."
"Aku... Aku tak faham." Berkerunyut dahi Syafiq. Tidak mengerti akan spekulasi yang diputarkan oleh Zakri.
"Yalah, cuba kau fikir. Painter of the dark, dengan konsep misteri. Isn't that interesting? Manusia ni kan...Selalu saja tertarik dengan benda yang kita tak tahu. Lagi tak tahu apa-apa pasal sesuatu perkara, lagi kita nak menyibuk."
Bungkam Syafiq mendengar komen Zakri. Tertarik dengan apa yang tidak diketahui? Mungkinkah ini juga sedang berlaku kepadanya? Kerana dia tidak mengenali Adra, maka dia seperti tertarik kepadanya? Kerana aura misteri itu, dia bagaikan tidak dapat lari daripada wanita itu? Tetapi, betulkah begitu? Atau... ada sesuatu yang lebih daripada itu?
"Hello. Zakri speaking..."
Syafiq menjeling kepada Zakri yang tiba-tiba menjawab panggilan telefon. Bila masanya berdering, dia juga tidak sedar.
"Yes, that is Syafiq. Syafiq Haikal."
Automatik kepala Syafiq terkalih ke sisi, sebelum dia cepat-cepat kembali memandang ke hadapan, ke arah jalan raya. Ai, kenapa pula namanya yang tiba-tiba menjadi bahan pertuturan Zakri?
"Oh, really? You mean that... Jason Kwon?"
Jason Kwon? Lagi Syafiq tersentak. Nama yang dikenali benar itu berdengung di telinganya. Okey, ini sudah pelik. Apa yang sedang berlaku ini?
"Yeah, yeah. No problem. I will inform him."
Melalui ekor mata, Syafiq memerhati Zakri yang baru sahaja mematikan telefonnya.
"Apa..."
"Patah balik sekarang!" cantas Zakri dengan nyaring.
"Eh, tak. Maksud aku... Lepas kau hantar aku dan ambil kereta kau, patah balik ke sana."
"What? Apa?" Terkebil-kebil Syafiq cuba memahami segala arahan Zakri.
"He wants to see you!"
"Siapa?"
"Jason Kwon!"
Syafiq menayangkan muka pelik. Jason Kwon, seorang jurugambar terkenal yang bekerja dengan National Geographic mahu menemuinya? Untuk apa?
"Isy, kau ni! Tunjuk muka blur pula dah. Macam ni." Zakri memaling muka ke arah sahabatnya.
"Tadi, someone kat galeri tu call aku. Dia cakap Jason Kwon ada kat event hari ni dan dia nampak kau."
"So?"
"So, apanya? Sekarang dia nak jumpa kaulah. Dia cakap something like... Hmmm, sukakan hasil kerja kau yang dalam... Times? Atau... Entahlah magazine apa. But whatever it is, he loves it and now he wants to see you."
"Sekarang ke?"
"Taklah. Malam esok," perli Zakri. Isy, geram juga dia dengan Syafiq yang menyoal macam-macam. Kalau orang terkenal seperti Jason Kwon mahu berjumpa itu, pergi ajelah! Ini tidak, masih mahu bermain tarik tali.
"Isy, kau ni menyindir pula."
"Tak adalah. Dah kau ni banyak cekadak sangat. Sekarang ni Jason Kwon nak jumpa kau. Kau sepatutnya tunjuk muka excited, bukannya muka tak berperasaan macam ni."
Syafiq tersenyum kecil. Geli hati pula dia dengan riak Zakri yang lebih teruja daripadanya.
"Yalah, yalah. Lepas aku ambil kereta kejap lagi, aku patah balik ke sana. Puas hati?"
"Yes! Ingat, pergi betul-betul, tau. Manalah tahu dia ada job untuk kau ke apa? Hah, who knows... Maybe dia nak kau kerja dengan National Geographic?" Pelbagai andaian mula meluncur keluar dari mulut Zakri.
"Hmmm, pandailah kau. Aku tak cukup hebatlah." Cepat-cepat Syafiq mengusir andaian tersebut. Bekerja dengan National Geographic? Mustahil!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co