Bab 12
"CIK ARA tak apa-apa ke?"
Adra mengangkat tangan tanda tiada apa-apa kepada Siti, pekerja separuh masa yang diupah sempena pamerannya. Tubuh yang terasa lemah cuba dibawa hingga ke bilik kerja, merangkap bilik persiapan yang memang tersedia ada di galeri yang ditempah ini.
Sepanjang hari ini, hampir putus nafasnya cuba berlakon dan berlagak baik-baik sahaja sedangkan hatinya menempik-nempik tidak okey. Ya, masakan dia boleh baik-baik sahaja setelah lelaki keparat itu selamba sahaja menayangkan muka di hadapannya.
"Cik..."
Adra melepas rengusan halus.
"Saya tak apa-apa, Siti. Kamu boleh pulang."
"Tapi..."
"Siti, saya cuma letih sikit. Itu saja. Lepas dah rehat sikit, saya okeylah. Dan saya akan tutup galeri ni nanti." Tegas Adra memintas. Geram juga dia dengan sikap Siti yang tak reti-reti bahasa. Kalau orang sudah cakap okey, bahagian mana yang dia tak faham sangat?
"O... Okey. Saya balik dulu." Bagaikan mengerti pandangan Adra yang semakin tajam, Siti cepat-cepat mengalah.
"Hmmm..." Hanya sepatah yang dipantulkan oleh Adra sambil matanya menghantar pemergian Siti. Kemudian dia kembali membawa langkahnya. Longlai dan lemah.
"I heard you were looking for me."
Baru sahaja Adra mahu membuka tombol pintu, suatu suara lain terlebih dahulu mematikan gerak tangannya. Matanya hampir tersembul keluar. Jantungnya pula bagaikan berhenti berdegup.
"Now, I am here."
Adra mengetap bibirnya yang terketap-ketap dengan cukup kuat. Tangannya yang memegang tombol pintu dikepal kemas hingga menampakkan urat darah. Dadanya terasa berkepul-kepul dengan gumpalan nafas ganas. Tubuh yang terasa longlai tadi tidak semena-mena terasa dipam-pam dengan rasa benci dan dendam yang menguatkan setiap inci diri dan jiwanya.
"Adra..."
"Jangan panggil aku Adra." Mendatar Adra bersuara. Tanpa secalit emosi.
"Itu kan nama you?"
Sekelipan, bibir Adra membentuk senyuman sinis dan berbisik.
"Nama yang dah pun kau hancurkan."
"Huh?"
"Apa yang kau nak daripada aku, Nizam?" tanya Adra dengan cukup keras. Tubuhnya masih lagi membelakangi sang lelaki. Tidak ingin langsung dia mengotorkan pandangan matanya dengan melihat wajah itu.
"I yang patut tanya soalan tu, kan? It is you who were looking for me."
Mendengarkan bait bicara Nizam yang ternyata sangat bersahaja dan tidak berperasaan, Adra jadi makin menyinga. Ingin sekali dia membelasah... Tidak! Dia ingin melahap-lahap lelaki ini hidup-hidup dan biarkan dia mampus macam tu sahaja. Dia mahu jantan ini menderita hingga ke tahap kematian itu lebih menyenangkan dan lebih menyelesakan.
Ya, itulah yang dia inginkan selama ini. Kerana itulah dia mencari Nizam. Dia mahu lelaki itu menerima balasan atas segala penderitannya, setiap kesakitannya. Tetapi, saat ini, kala Nizam akhirnya terpacak di hadapannya, Adra jadi buntu sendiri. Sungguh, dia tidak tahu apa yang patut dibuat. Memukulnya? Menampar? Membelasah? Tidak! Kudratnya sebagai seorang wanita tidak akan dapat menandingi Nizam. Lagipun, dia tidak rela mencemarkan tangan sendiri dengan menyentuh jantan yang seorang ini.
"Kenapa senyap? You nak I ingatkan ke? I tahu you cari I pasal..."
"Jangan kau berani sebut pasal tu!!!" Terpusing tubuh Adra sambil menjerkah kuat. Dan kini, berdiri kira-kira tiga kaki daripadanya ialah wajah lelaki yang kali terakhir ditemui dua belas tahun yang lalu. Namun, dia dapat mengingati setiap inci raut wajah ini dengan cukup jelas. Inilah dia wajah manusia jahanam yang paling dibencinya!
"Okey... Okey!" Kedua-dua tangan Nizam terangkat ke atas. Riak wajah kosong masih lagi ditayangkan kepada Adra.
"Disebabkan you tak nak cakap kenapa you cari I, then biar I yang bagi tahu you kenapa I cari you."
Adra diam, namun riak mukanya bagaikan menyoal makna bicara Nizam.
"I nak bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku."
Pejam celik, pejam celik mata Adra cuba mencerna apa yang telah didengarinya. Melihat betapa senang dan tenangnya Nizam bertutur, jantung Adra semakin membuak-buak dengan kebencian yang bukan sedikit.
"Ber... Bertanggungjawab?" Tersekat-sekat suara Adra di sebalik tubuh yang bergetar menahan rasa marah.
"Ya, bertanggungjawab. Now I am here. And I will make things right."
Terlopong mulut Adra. 'Make things right? Huh, senang sungguh kau bercakap, kan? Kau ingat apa yang dah berlaku boleh dibetulkan begitu sahaja?'
"Kau memang gila, kan? Lepas apa yang dah jadi, kau nak bertanggungjawab? Huh, kau sedang buat lawak ke?" sinis Adra cukup pedas.
"Habis tu, you nak I buat apa lagi? For years, Adra..."
Adra memasang tenungan maut, memberikan isyarat benci terhadap nama yang disebut.
"Okay, fine. You are not, Adra. You dah jadi Ara," sindir Nizam membetulkan kembali kenyataannya tadi.
"For years, I teringatkan you. Walau ke mana pun I pergi, I tetap ingatkan you. So, I tahu I kena balik untuk you."
Adra mencebik. Teringatkan dia? Teringatkan apa sebenarnya? Jantan bernama Nizam ini sedang berlakon Broadway ke?
"Untuk betulkan apa yang dah jadi. Untuk bertanggungjawab."
"Kau tak payah bersusah-payah untuk buat apa-apa, Nizam," cantas Adra.
"Aku tak nak kau bertanggungjawab."
"Habis tu, you nak I buat apa? You cari I, I cari you... Bukankah dah obvious apa yang patut kita buat?" soal Nizam. Namun bagi Adra, soalan itu kedengaran seperti suatu kenyataan yang sangat menyebalkan.
"Kau nak tahu apa yang aku nak kau buat?" Adra memanggung muka kepada Nizam. Ditahan-tahan rasa ingin muntah saat matanya tertancap pada wajah yang amat menjengkelkan itu.
"Kau betul-betul nak tahu?"
Berkerunyut dahi Nizam.
"Apa yang aku nak, ya? Hmmm..." Adra menjongket kening.
"Aku nak kau... Pergi mampus."
Terbeliak mata Nizam. Jelas menunjukkan rasa terkejut. Akan tetapi hanya untuk sesaat sahaja, kerana selepas itu air muka tenang tanpa perasaan kembali dipaparkan.
"So, macam mana? Boleh tak kau bagi itu kepada aku?" tekan Adra lagi.
"Ara... Ara..." seru Nizam sambil menggelengkan kepala. Sepasang matanya bersinar cukup sinis. Dia mengangkat langkah ke hadapan, semakin merapatkan jarak antara dia dan Adra.
Cepat-cepat Adra mengundur diri ke belakang. Nizam yang semakin mendekati membuatkan tubuhnya tanpa rela jadi menggeletar. Stop it, Adra! Jangan takutkan dia lagi!
"Jangan kau berani dekat dengan aku."
"I will stop here then." Nizam menghentikan langkah dan menyoal,
"Memang itu ke yang akan buat you gembira?"
Adra merengus. Huh, senang sungguh Nizam mengucapkan perkataan 'gembira' setelah dia menjahanamkan hidup aku?
"Tak. Aku takkan gembira dengan kematian kau." Adra menafikan dengan cukup bersahaja.
"Kau nak tahu kenapa?"
"Kenapa?"
"Sebab itu adalah hukuman yang terlampau ringan untuk kau. Aku nak kau menderita seumur hidup kau."
Tanpa semena-mena, Nizam menghamburkan tawa. Sangat jelik menampar-nampar telinga Adra.
"Menderita? You ingat you mampu buat I menderita ke, Nur Adra?"
Tersirap darah panas ke muka Adra. Dia tahu dan dia sedar bahawa Nizam sengaja menekankan namanya demi menyakitkan hatinya.
"You..." Setapak Nizam berjalan ke hadapan.
"Takkan..." Setapak lagi diambil.
Adra mula menggelabah. Sedaya upaya dia menayangkan riak tenang, walhal tubuhnya semakin terketar-ketar. Dengan setiap tapak yang diambil oleh Nizam, setapak juga dia mengundur ke belakang hingga akhirnya melekat pada pintu bilik kerjanya. Cepat-cepat dia memusing tubuh dan membuka tombol. Namun...
Pap! Di sebalik sisi kepala Adra, terserlah tangan kekar Nizam yang sudah pun menutup pintu itu dengan telapak tangan. Dan dia... Dia dapat merasakan desah nafas lelaki itu di belakang lehernya. Dekat. Dekat sekali...
"I hope you can think about this thoroughly. I have seen your work, and I am very sure that people will love what you can offer to us. It is not that easy to find a photographer who can actually grasp what's inside of a subject. You are one of a kind."
"Oh, thank you so much. I really appreciate it. But, I do need some time to think this over. You see, I just came back to Malaysia. So, I don't really like the idea of going away again."
Dengan penuh tertib, Syafiq menjawab. Sedangkan benaknya masih lagi cuba menangkap apa yang sedang berlaku kepadanya. Tadi setelah kembali ke galeri ini, dia diperkenalkan dengaan Jason Kwon. Mereka berbual-bual buat seketika dan kini alih-alih, dia baru sahaja mendapat tawaran untuk menjadi salah seorang pasukan jurugambar National Geographic.
Masin betul! Ya, memang betul-betul masin mulut Zakri. Apa yang dia fikirkan mustahil tadi, tiba-tiba sahaja terpampang di hadapan mata.
"It is a big opportunity."
"Yes, I am sure it is. But really... I need time to think and sort things out."
Jason Kwon menarik nafas dalam-dalam sebelum tersenyum.
"Okay, then. Take your time and if you need anything, do call me."
Usai menitipkan kata, Jason menghulurkan sekeping kad nama kepada Syafiq.
"I... Errr... Don't have a name card." Syafiq mengambil sambil tersengih segan. Selama ini dia memang tidak mempunyai kad nama. Dia bekerja sendiri dan rasanya tidak memerlukan kad nama. Lagipun, biasanya dia yang menghubungi orang lain bukan sebaliknya. Entahlah, dia lebih selesa begitu. Rasa tidak terkongkong.
"It is okay. But... Can I have your number instead?"
"Okay, no problem." Syafiq memberitahu nombor telefonnya.
Tangkas Jason Kwon menekan-nekan telefon bimbitnya, menyimpan nombor tersebut.
"Thanks. So, let's keep in touch, yeah."
"Yup, sure." Tangan dihulur dan bertaut dalam salam. Syafiq memerhatikan sahaja Jason Kwon yang kemudiannya berlalu pergi.
"Hmmm, tak sangka pula benda macam ni boleh jadi. Senang betul aku dapat job. Rezeki betul..." omel Syafiq dengar tak dengar. Tetapi, patutkah dia terima sahaja tawaran tersebut? Mengingatkan wajah uminya yang baru sahaja ditemui kembali, hati Syafiq jadi berbolak bahagi.
"Ah, apa-apalah. Nanti aku fikirlah elok-elok. Sekarang tiba masanya untuk aku balik. Lagipun, macam dah tak ada orang kat sini. Takkan aku nak jadi jaga kat galeri ni kut? Dahlah lukisan-lukisan kat sini menakutkan aje. Painter of the dark, katanya..." Sempat Syafiq membebel sendiri. Matanya melirik pada jam dinding yang menginjak 9.30 malam. Patutlah, lagi setengah jam galeri ini akan ditutup sepenuhnya dan dibuka kembali esok pagi.
"YOU. Takkan. Dapat. Buat. I. Menderita." Sepatah-sepatah perkataan itu dititipkan betul-betul di telinga Adra.
"Never!"
Dalam-dalam Adra menghela nafas. Mendengar suara Nizam yang rapat benar bagaikan menolaknya ke dalam jurang memori yang membawanya kepada petang durjana itu. Suatu petang yang telah menjahanamkan hidupnya dan menukar kehidupannya menjadi sebuah neraka. Matanya dipejam kuat-kuat agar dapat melenyapkan segala bayangan yang satu per satu menerpa ingatan. Hatinya meneriak dan berdoa kepada Allah agar dia tidak rebah di sini. Ya, dia harus kuat. Atau sekurang-kurangnya tunjuk kuat.
"Nak tahu kenapa? Sebab I akan pastikan yang I dapat apa yang I nak." Lagi Nizam berbisik di telinga Adra. Penuh sinikal.
"Dan sekarang, you dah dengar apa yang I nak, kan? I nak bertanggungjawab atas apa yang dah berlaku."
Perlahan-lahan Adra membuka matanya kembali. Bibirnya menyenget dengan cukup menyampah. Bertanggungjawab? Huh, tak ada manusia dalam dunia ini yang memaksa orang lain untuk menerima rasa tanggungjawabnya, melainkan manusia itu ada agendanya tersendiri. Dan mengenali siapa Chairul Nizam Tan Sri Naufal, Adra yakin pasti ada sesuatu yang tersirat di sebalik semua ini.
Ya, dua belas tahun lamanya dia menghilang. Kini tiba-tiba sahaja muncul dengan alasan tanggungjawab? Dia ingat aku ini begitu tolol?!
"Kau ingat aku akan biarkan saja?" Perlahan Adra berdesis sebelum tiba-tiba memusing tubuh dan menolak tubuh Nizam hingga terdorong ke belakang.
"Kau dengar sini, Nizam! Aku bukan macam perempuan yang kau kenal dua belas tahun lepas. Aku tak tahu apa tujuan kau muncul kat sini dan aku tak peduli. Cuma satu yang aku nak kau ingat." Adra menuding jari telunjuknya tepat ke muka Nizam.
"Aku bersumpah yang kau takkan dapat apa yang kau nak, whatever it is. Sampai bila-bila pun kau takkan dapat!"
"You cabar I ke, Adra?" Terketap-ketap bibir Nizam, jelas menunjukkan dirinya yang juga sudah menyirap.
"Aku tak perlu cabar kau. Sebab itu apa yang akan aku pastikan benar-benar berlaku. Aku akan pastikan kau cukup menderita sebelum kau mampus."
"Kau ni memang..." Raut muka Nizam semakin tampak tegangnya. Sepasang matanya merah dan garang memanah.
"Aku akan tengok kau terseksa hinggakan kau rasa nak mati. Aku... Argh!"
Di luar jangkaan Adra, Nizam tiba-tiba meluru kepadanya dan mencengkam kedua-dua bahunya. Dalam sekelip mata sahaja, tubuhnya sudah pun terhempap pada dinding. Ditolak cukup kasar oleh kudrat lelaki setegap Nizam. Sepasang mata Adra terbeliak besar. Terkejut!
"What is going on?" Dalam keadaan runcing antara mereka, sayup-sayup ada suara lain yang berkumandang.
Nizam mendengus kasar. Hujung matanya menjeling tajam ke arah susuk tubuh seseorang yang semakin merapati.
"Apa kau buat? Lepaskan dia!"
Lambat-lambat Nizam melepaskan cengkamannya. Tetapi sempat dia berdesis tanpa nada.
"Kau memang nak kena, kan? Nampaknya dua belas tahun yang lepas tak cukup untuk kau."
Kemudian dengan langkah yang cukup angkuh, dia melangkah pergi. Sempat dia menjeling angkuh kepada lelaki yang semakin mendekati Adra.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co