Truyen3h.Co

Pembuka Hati

Bab 7

karyaseni2u

"FIQ tengok apa tu?"

Terkejut Syafiq di tempat duduknya. Suara halus Dahlia yang menyapa lembut bagaikan racun yang membuatkan segala urat sendinya lumpuh sendiri. Melalui ekor mata, dia memerhati Dahlia yang sudah pun menjatuhkan duduk di atas kerusi yang terletak elok di sebelah kirinya. Kakak iparnya kelihatan tenang dan bersahaja sekali, bukan sepertinya yang bagaikan menyimpan gunung debaran dalam jiwa. Bakal meletus bila-bila masa sahaja lagi.

Kemudian dia meliarkan pula bebola mata pada sekeliling, mahu mencari kelibat Aariz. Mustahil Dahlia menegurnya tanpa Aariz di sisi, lebih-lebih lagi malam-malam begini. Benar tekaannya kerana tidak jauh dari tempat mereka berada, Aariz kelihatan sedang elok berdiri sendiri. Entahlah apa yang dibuatnya. Mengira bintang di langit, mungkin.

"Kolam ikan ni abah bina dua tahun lepas. Saja, untuk dibuat tempat dia melepak dengan umi lepas dah pencen." Lagi suara tenang Dahlia berkumandang.

Syafiq mengalihkan pandang pada kolam yang mengandungi beberapa ekor ikan koi di dalamnya. Elok sahaja berenang-renang tanpa perlu memikirkan apa-apa. Ah, kalau ada pun, mungkin cuma berkenaan makanan. Dan itu pun, tidak perlu dirisaukan langsung kerana ada sahaja manusia yang akan rajin memberi makan. Kalaulah dia bisa menjadi seperti mereka.

"Awak..."

Agak tersentak Syafiq mendengarkan panggilan Dahlia yang bukan lagi 'Fiq'. Panggilan 'awak' itu bagaikan menarik-narik kembali Syafiq menjadi bekas tunang kepada Dahlia, pesalah kepada Dahlia Darius.

"Apa khabar?" Pandangan mata Dahlia kini tepat kepada Syafiq.

"Ba... Baik." Tergugup-gagap Syafiq menjawab. Anak matanya dilarikan, tidak mampu bertentang mata dengan gadis yang seperti sedang membacanya.

Dahlia tersenyum kelat. Bohong. Segalanya bohong belaka. Kepada siapa Syafiq mahu berbohong? Kepada siapa Syafiq mahu menyembunyikan rasa janggalnya? Kepada dia? Kepada Dahlia Darius yang sudah melepaskan segala-galanya pergi?

"Syafiq, you're not okay. Definitely not."

Syafiq mendengus. Hatinya mula dihentak rasa geram. Tadi Aariz, dan kini Dahlia pula mahu menghakimi sama ada dia okey atau pun tidak. Apa mereka fikir dia tidak boleh mengerti perasaan sendiri? Rasa hati sendiri? Keadaan sendiri?

"Siapa awak untuk cakap sama ada saya okey atau pun tidak? Siapa awak untuk judge saya macam tu?" Tanpa dapat ditahan-tahan, Syafiq mula membentak. Seketika kemudian, dia cepat-cepat mengetap bibir. Ya Tuhan! Di hadapan Dahlia, dia senang sekali membiarkan emosi bertaburan keluar. Seperti dahulu. Seperti waktu Dahlia menjatuhkan hukuman itu kepadanya.

"Saya kenal awak. Awak tidak akan ada di sini kalau awak tidak rasa bersalah."

Itulah bait bicara Dahlia suatu ketika dahulu yang menunjukkan betapa gadis itu memahami dan seakan-akan punya kuasa untuk membaca segala gerak lakunya. Dan kini, selepas empat tahun... Dahlia masih tetap sama. Masih tetap mampu menebak perilakunya.

Senyuman kelat di bibir Dahlia kekal terpamer, seakan-akan tidak terkesan langsung dengan bentakan Syafiq tadi.

"Sekarang, saya mahu bercakap sebagai Dahlia. Just Dahlia, perempuan yang pernah jadi tunang awak, perempuan yang dah jatuhkan hukuman tu kepada awak. Bukan sebagai Kak Lia, kakak ipar awak."

"Apa awak nak cakap?"

"Awak silap soalan. Bukan apa yang saya nak cakap. Tapi apa yang saya nak dengar."

Berkerunyut tebal dahi Syafiq. Tidak mengerti akan Dahlia yang seolah-olah mahu bermain kata.

"Empat tahun, Syafiq. Empat tahun awak berkelana merata-rata dunia, sehingga akhirnya awak kembali ke sini. Mesti sebab awak dah cukup bersedia untuk berhadapan semua orang, kan? Mesti awak ada sesuatu untuk diucapkan kepada semua orang, kan?" jelas Dahlia lagi, cukup matang dan tenang. Suaranya lembut dan beralun.

Syafiq terbungkam sejenak. Benarlah, Dahlia benar-benar tidak berubah. Tetap mampu membacanya. Kemudian dia bangun dan menapak menghampiri kolam ikan di hadapannya, membelakangi kakak ipar yang dia tahu masih setia memandangnya. Syafiq menghela nafas sedalam mungkin, cuba mencari kekuatan untuk akhirnya menitipkan apa yang menjadi azamnya sebelum kembali. Ya, nampaknya sudah tiba masanya untuk dia mengucapkannya.

"Saya... minta maaf." Selesai mengungkapkan kata-kata keramat itu, bahu Syafiq terasa ringan sekali. Beban yang selama ini menghempap jiwanya bagaikan diangkat pergi oleh suatu kuasa yang gagah.

"Saya benar-benar minta maaf atas semua yang pernah saya lakukan kepada awak, kepada keluarga awak."

Dahlia mendiamkan diri dan membiarkan sahaja Syafiq bertutur. Dia yakin pasti ada banyak sekali perkara yang ingin diperkatakan oleh lelaki itu.

"Lambat, kan?" Syafiq tersenyum sinis, mengejek diri sendiri.

"Lambat betul untuk saya memohon maaf atas kejahatan saya. I guess, saya ni memang jenis manusia yang tak reti untuk mengakui dosa sendiri."

"Better late than never." Tenang Dahlia menjawab.

"Lagipun, kalau awak tak minta maaf pun, semua orang memang dah maafkan awak, kan? Semuanya dah berlalu, Syafiq. Tak ada gunanya diingat-ingat lagi."

Itulah yang buat saya tambah rasa yang saya ni terlampau jahat, Dahlia. Terlalu jahat sehinggakan orang lain perlu maafkan saya, tanpa saya sendiri yang meminta maaf. Manusia jenis apa saya ni? jeda Syafiq dalam hati. Rasa bersalah yang sememangnya bermukim dalam hati jadi makin melimpah-ruah.

"Rasa bersalah."

Syafiq tersentap kuat. Bait bicara Dahlia bagaikan mengerti apa yang bermain dalam benaknya tadi.

"Ya, saya akui. Kemaafan saya juga berserta dengan..." Dahlia menghentikan kata buat sejenak dan membiarkan memorinya berlegar pada peristiwa empat tahun lalu.

"Keinginan saya untuk buat awak rasa bersalah. Ya, saya nak awak rasa bersalah, tercengkam sehingga awak takkan mampu untuk buat jahat lagi. Tapi, Syafiq..."

Perlahan-lahan Syafiq memusing tubuh dan melekatkan pandang kepada Dahlia yang tenang melihatnya.

"Saya juga nak awak 'hidup' kembali. Jadi seorang Syafiq yang tak terbelenggu oleh Aariz Danial. Jadi seorang lelaki yang bukan hidup di sebalik bayang-bayang lelaki lain."

Peluang kedua. Suara Aariz berdengung di suatu sudut gegendang telinga Syafiq. Mungkin inilah maksudnya.

"Saya tak bodoh, Syafiq. Untuk memahami apa yang berlaku antara awak, Aariz dan keluarga ni. Both awak dan Aariz ialah mangsa keadaan. Kau orang berdua dah banyak menderita. Jadi tak salah, kan? Kalau saya lepaskan awak, so that awak juga boleh cari kebahagiaan awak sendiri."

Syafiq diam tidak berkutik. Kesungguhan Dahlia sedikit sebanyak menyentuh hatinya. Tidak hairanlah Aariz boleh jatuh cinta kepada gadis ini walhal pernikahan mereka bukan atas dasar cinta. Ya, hati suami mana yang tidak tergugat kalau punya isteri setulus Dahlia Darius?

"Jadi, hentikanlah rasa bersalah awak tu. Saya tak nak awak terpenjara lagi. Empat tahun rasanya dah cukup, Fiq. Jadi, get up and find your own happiness. Umi dan abah tu dah tak sabar nak dapat menantu baru, tau. Kalau siap dengan pakej cucu baru, lagi bagus."

Terlepas gelak kecil dari mulut Syafiq. Sempat pula Dahlia mengusik di hujung bicara. Tanpa Syafiq sedari, ketenangan mula bertandang dalam hatinya. Ketenangan yang jarang-jarang sekali singgah dalam hidupnya.

Dahlia tersenyum lebar. Wajah Syafiq yang tidak lagi tegang dan keruh menggembirakan dia. Nampaknya, sedikit sebanyak bait bicaranya berjaya menusuk masuk ke dalam jiwa lelaki ini. Tadi risau juga dia kalau-kalau Syafiq tetap degil dengan rasa bersalahnya, dan terus-terusan mahu membiarkan diri sendiri terhukum begitu.

"Dahlia..." Lembut dan hati-hati Syafiq memanggil kakak iparnya.

"Hmmm..."

"Terima kasih."

Ikhlas sekali ucapan itu kedengaran di peluput telinga Dahlia. Lagi dia melebarkan senyum.

"Sama-sama."

"Jadi sekarang..."

"Apa?" soal Dahlia kala melihat Syafiq yang tiba-tiba mematikan kata.

"Awak dah jadi kakak ipar saya balik ke ni? Atau...saya boleh terus panggil nama aje?" Pertanyaan Syafiq berbaur usikan.

Dahlia melopongkan mulut.

"Amboi, nak lebih-lebih pula? Panggil saya Kak Lia, okey?"

Syafiq tertawa besar. Ketawa gembira yang meletus buat pertama kalinya setelah bertahun-tahun dia hidup di sebalik bayang-bayang abangnya sendiri, bawah cengkaman penjara kemaafan kakak iparnya dan juga di sebalik rasa bersalah kepada ibu bapanya.

DARI kejauhan, Aariz memasang senyum. Dia dapat menangkap ekor mata Dahlia yang mengerling kepadanya. Berjaya! Dia tahu itulah yang dimaksudkan oleh isterinya.

Lia, Lia... Awak ni memang superwoman, kan? My superwoman. Apalah yang awak tak mampu lakukan? Hinggakan hati keras Syafiq pun awak boleh cairkan, cetus suara hati Aariz, diselubungi rasa bangga terhadap isteri sendiri.

Dan kini, apa yang tinggal ialah... mendoakan agar suatu hari nanti Syafiq juga akan menjadi seperti dirinya. Menikmati hidup ini dengan penuh kebahagiaan kerana sesungguhnya lelaki itu sudah terlalu lama menderita.

Ya Allah, Ya Tuhanku... Engkau telah hadiahkan aku dengan kebahagiaan. Dan sekarang aku memohon kepada-Mu, bawalah kebahagian seumpama ini kepada adikku pula, doa Aariz dalam hati.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co