Bab 8
"SO, apa pelan Fiq sekarang?"
Syafiq yang baru sahaja selesai meneguk teh meletakkan kembali cawan ke atas piring. Wajah ayahnya yang baru sahaja menyoal dipandang tepat.
"Fiq ingat nak settle down kat sini. Well, masih lagi jadi freelance photoghrapher. Tapi, at least dah duduk kat rumah. Tak adalah tinggal merata-rata lagi."
Ya, sebelum meninggalkan Malaysia, dia telah pun melepaskan kerjayanya sebagai arkitek dan mengambil keputusan untuk menjadi seorang jurugambar. Sejujurnya kerjaya arkitek itu sendiri tidak ubah seperti satu lagi medium untuk dia berlawan dengan abangnya.
Jika Aariz Danial terkenal sebagai jurutera kimia yang gah, Syafiq pula merupakan arkitek yang hebat, yang mampu menghasilkan rekaan cantik dengan sentuhan jari-jemarinya. Jadi, untuk dia membebaskan diri daripada Aariz, dia juga perlu membebaskan sebuah kerjaya yang hanya mengikat dirinya sebagai pesaing abangnya, dan membuat apa yang dia sendiri minati. Menangkap gambar.
Sementelah pula, dia mahu merakamkan saat-saat indah, sedih, kecewa atau apa-apa pun emosi yang dikaitkan dengan manusia ke dalam sekeping foto, menterjemahkannya kepada orang lain dan yang paling penting kepada dirinya sendiri. Entahlah, mungkin itu caranya untuk Syafiq mengingatkan dirinya tentang kemanusiaan. Untuk membuatkan dia lebih bersyukur dengan apa yang dimiliki dan mungkin juga untuk dia mengekspresi siapa itu Tuan Syafiq Tuan Haikal.
"Jadi Fiq memang akan tinggal kat sini? Kat rumah ni?" Suara Puan Marina pula yang menyambung soal.
"Eh, umi... Cara umi tanya ni macam tak nak aje Fiq duduk kat sini?" Sengaja Syafiq mengusik ibunya.
Tercengang sejenak Puan Marina. Tidak tahu reaksi bagaimana yang harus diberikan. Namun, usai melihat wajah menyengih Syafiq, sedarlah dia bahawa anaknya itu sedang bergurau. Ah, pelik sekali apabila Syafiq bercanda begini. Tetapi, dalam hati Puan Marina tetap gembira. Syafiq benar-benar bukan Syafiq yang dahulu, yang tidak pernah bergurau senda dengannya. Segala-galanya yang keluar dari mulut hanya ungkapan pemusnah jiwa.
Perlahan-lahan Puan Marina mengulum senyum.
"Tak adalah. Kalau Fiq tinggal kat sini sampai bila-bila, lagi umi suka. Boleh temankan umi kat rumah ni. Tak payah langsung buat apa-apa."
"Tak payah buat apa-apa? Amboi, umi! Itu dah melampau namanya. Takkanlah Fiq nak tanam anggur aje kut?" Lagi Syafiq menyakat.
Tuan Haikal, Aariz serta Dahlia yang sedang menonton tergelak. Hati masing-masing berbunga dengan rasa lega dan gembira, terutama sekali Tuan Haikal. Kini, barulah terasa rumah ini lengkap, tiada lagi lompong yang menandakan ketidaksempurnaan keluarga mereka. Dalam hati, dia tidak putus-putus mengucap syukur.
Ya Allah, aku berterima kasih dan bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah mengembalikan anakku kepada kami sekeluarga, ucap Tuan Haikal dalam hati.
"Ala, bukan selalu anak umi ni tanam anggur, kan? Sekali-sekala apa salahnya? Fiq tanam, umi harvest. Lepas tu kita makan sama-sama." Selamba Puan Marina membalas.
Terhambur tawa besar Syafiq. Sepasang matanya lembut menatap wajah manis Puan Marina. Melihat ibunya yang semakin sihat membuatkan dia berasa sangat bersyukur. Sepuluh tahun lamanya! Sepuluh tahun ibunya melawan kanser perut, tidak pernah kenal erti putus asa, tidak pernah juga berhenti berdoa kepada Dia Yang Maha Kuasa, pemegang setiap nyawa di muka bumi.
Dan kini setelah sepuluh tahun itu, uminya disahkan bebas daripada tumor yang selama ini mengancam nyawanya. Benarlah! Manusia tidak akan meninggal dunia selagi belum tiba ajalnya. Walaupun bertahun-tahun sakit, jika Allah menitipkan bahawa ajal mereka belum sampai, tiada apa yang mampu memisahkan nyawa daripada sekujur tubuh.
"Hari ni Fiq ada apa-apa pelan ke?" Tuan Haikal menyoal setelah tawa mereka surut.
"Petang nanti Fiq nak jumpa kawan. Kenapa, bah?" tanya Syafiq kembali dengan dahi yang berkerut. Ekor matanya menjeling kepada Aariz dan Dahlia yang turut menetapkan pandang kepada bapa mereka.
"Tak adalah. Abah nak minta tolong sikit."
"Apa dia, bah?"
"Basuh kereta kat luar tu."
Syafiq tergelak halus.
"Isy, abah ni. Ingatkan apa tadi. Cara tanya tu, serius benar."
Lalu sekali lagi, ruang makan rumah milik Tuan Haikal bergema dengan gelak tawa yang membahagiakan.
DARI atas beranda, Dahlia memandang anak-anaknya yang sedang menjerit diusik oleh Syafiq. Bibirnya lebar dengan senyuman. Seronok benar nampaknya Adam dan Azfar bermain-main dengan bapa saudara yang pertama kali ditemui itu. Aduh, katanya mahu menolong Uncle Fiq membasuh kereta, tetapi yang kini terpampang di hadapan mata ialah Syafiq yang lencun dibasuh mereka.
"Helo, pretty. Boleh mengurat?"
"Abang!" Terperanjat Dahlia dengan suara yang tiba-tiba menghentak gegendang telinga.
"Sayang tengok apa?" bisik Aariz. Pinggang isterinya dipeluk dari belakang. Dagunya pula disangkut ke atas bahu kanan Dahlia. Itulah kebiasaannya sejak dahulu lagi, sejak awal perkahwinan mereka. Entahlah kenapa, tetapi dengan berbuat demikian, dia merasakan mereka dekat sekali, bagaikan sehati sejiwa.
Dahlia membiarkan sahaja. Kenal sangat dengan perangai manja suaminya yang tidak sudah-sudah. Tangan kekar Aariz yang terletak elok di perut dipegang kemas, membalas rangkulan suami sendiri.
"Abang buat apa kat sini? Bukan ke abang sepatutnya tolong dia orang basuh kereta?" Tanpa menjawab pertanyaan suaminya tadi, Dahlia menyoal kembali.
"Oh, abang rindukan isteri abang ni." Sekelipan bahu si isteri dikucup lembut.
"Abang, Lia tanya betul ni," gumam Dahlia.
"Yalah, yalah. Abang saja nak tengok isteri abang ni tengah buat apa kat sini. Sedangkan semua orang kat bawah tu."
"Oh, itu..." Dahlia mengunjuk dengan menggunakan bibir.
Anak mata Aariz mengikut arah cebikan bibir isterinya, dan kemudian melekat kepada Darina yang sedang lena tidur di atas katil.
"Merengek-rengek nak tidur. Letih main dengan abangnya lepas breakfast tadi kut. Abang pun tahu kan, perangai si kembar tu? Selagi adik kesayangan dia orang ni tak tidur, selagi itulah nak main-main, nak kacau."
Terangguk sekali kepala Aariz. Mendengar semua itu mengingatkan dia akan kebahagiaannya. Betapa bertuahnya dia dikurniakan sebuah keluarga sempurna yang tidak pernah lekang dek kasih sayang.
"Sayang..."
"Hmmm..."
"Sayang belum jawab soalan abang lagi, tau."
Dahlia mengerunyutkan dahi.
"Soalan apa?"
"Eh, dia ni! Dah lupa, ya? Abang tanya... Sayang tengok apa tu?"
"Oh..." Termalu sejenak Dahlia. Boleh pula hilang ingatan sekejap.
"Syafiq ke?" teka Aariz.
"Haah. Saja tengok dia dengan anak-anak kita tu. Kasihan pula Lia tengok dia, teruk dikerjakan budak dua orang tu." Bait bicara Dahlia yang lembut disusuli tawa halus. Geli hati juga melihat Syafiq dalam keadaan begitu. Lencun sambil mengejar Adam, manakala Azfar pula galak menyembur air.
"Biarlah. Dia orang tu saja nak bermanja dengan bapa saudara sendiri. Lagipun..."
"Lagipun apa?" sambung Dahlia kala bait bicara Aariz termati sendiri.
"Syafiq tak pernah seseronok itu. Maksud abang, abang tak pernah tengok dia macam tu. Waktu kecil dulu pun, kita orang tak pernah..." Lagi tutur kata Aariz terhanyut di sebalik emosi berat yang tiba-tiba menyelinap masuk ke dalam diri.
Ya, mengingatkan zaman kanak-kanak mereka berdua yang terlalu kompleks, jiwa Aariz kembali sebu dengan rasa bersalah dan tidak senang. Dia sebagai abang, tidak pernah langsung bermain-main dengan adiknya itu sedangkan Syafiq selalu ingin bermain dengan abang sendiri.
Seketika suasana jadi hening. Aariz menyengap bersama memori lamanya. Dahlia pula membiarkan sahaja. Hanya sentuhan tangannya yang semakin hangat mengusap tangan encik suami. Bagaikan menyalurkan ketenangan dalam senyap.
"Abang..." Setelah beberapa ketika mendiam, Dahlia akhirnya membuka mulut.
"Hmmm..."
"Ada orang yang Lia kenal tu kan... Dia beria-ia sangat nak adik dia lupakan benda yang dah lepas. Tapi dia pula yang asyik ungkit-ungkit. Tak reti langsung nak berhenti."
Terlopong mulut Aariz. Spontan dia melepaskan rangkulan, memusing tubuh Dahlia dan kemudiannya mencubit pipi mulus isterinya.
"Sindir abang, ya?"
"Mana ada!" Dahlia memuncungkan bibir dan menjongket kening. Sengaja menayangkan riak muka nakal kerana mahu menghilangkan emosi berat yang berkeladak dalam hati suaminya.
"Hah, muncung lagi mulut tu. Abang cium karang..."
"Abang!" Dahlia mula menggelabah. Aariz ini pun satu, bukan nak tengok tempat dulu. Asyik mengusik sahaja kerjanya.
Aariz menghamburkan tawa galak. Puas hati dapat menyakat isteri sendiri. Lebih lima tahun usia perkahwinan mereka, Dahlia tetap seperti dahulu. Comel dan manis. Saban hari rasa cinta buat satu-satunya wanita yang telah membuka hatinya ini bertambah dan bertambah. Malahan, dia tidak pernah berhenti berdoa agar rasa kasih dan cinta itu akan terus memekar indah.
"Abang, dah-dahlah tu gelak. Tengok!" tegur Dahlia.
"Apa?" soal Aariz di sebalik sisa tawanya.
"Orang kat bawah dah tengok kita semacam."
Semerta Aariz melarikan pandang ke bawah. Tepat kepada Syafiq, abahnya, Adam dan Azfar yang sedang tersengih-sengih memandang mereka.
"Oh, hai semua!" Dengan lagak selamba Aariz melambai-lambai, lagak Putera William yang sedang melambai kepada rakyat jelata dari balkoni Istana Buckingham.
Dahlia membulatkan mata dan menyiku perut suaminya.
"Eh, dia ni main-main pula!"
Tanpa mempedulikan rasa senak di perut, Aariz menarik bahu Dahlia ke arahnya, memerangkap dalam satu rangkulan kemas.
Lagi menjojol mata Dahlia. Pipinya kepanasan. Rasa segan dan malu kepada mereka yang melihat jadi berlipat ganda.
"I am gonna miss you. A lot." Tidak semena-mana Aariz berbisik lembut. Serius dan penuh emosi.
Dahlia yang sedang cuba melepaskan diri daripada pelukan suaminya terkaku. Akal fikirannya mula dapat mengerti maksud kata-kata Aariz.
"Sebab itulah Lia..."
"Jom." Belum sempat Dahlia menyudahkan kata, Aariz terlebih dahulu melepaskan rangkulan dan menarik tangannya.
Dahlia membiarkan sahaja namun hatinya mengeluh kuat. Aariz selalu begini. Tidak mahu mendengar!
Sampai bila harus begini, abang? Sedetik suara hati Dahlia menyoal. Namun seperti selalu, dia hanya mampu tertanya-tanya dalam diam.
DARI bawah, Syafiq melihat segala adegan mesra abang dan kakak iparnya dengan rasa ralat dalam jiwa. Entahlah, dia jadi agak cemburu. Tidak! Bukan cemburukan kebahagiaan abangnya, kerana dia sedar Aariz sudah terlalu banyak menderita sebelum memperoleh kebahagiaan itu. Cuma, dia cemburu kerana hatinya juga terdetik untuk merasa kebahagiaan sebegitu.
Pasti seronok dan senang sekali punya seorang isteri yang sentiasa bersamanya, tidak kira susah senang. Yang selalu menghadiahkan ketenangan kala hatinya dihambat kerisauan, yang selalu memberikan kekuatan buatnya saat dia hampir tersungkur dengan rasa lemah. Yang mungkin juga mengingatkan dirinya tentang soal agama dan sama-sama mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Esa. Ya, seorang isteri.
Terlepas keluhan dari mulut Syafiq. Kau ingat kau cukup layak ke untuk semua itu, Syafiq? Perempuan mana yang sanggup jadi isteri kau? Yang rela berkongsi hidup dengan manusia seperti kau ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co