Bab 15
Cermin besar yang tergantung di ruang makan dilapnya dengan penuh cermat. Buat seketika, tangannya berhenti mengelap apabila dia terpandangkan imej dirinya di dalam cermin. Kulitnya nan cerah, matanya bundar, pipinya berisi dan rambut hitamnya ikal mayang. Bukan mahu memuji diri, tetapi dia akui, dirinya juga ada serinya. Abangnya pernah menggelarnya Dolly Dearest kerana rautnya yang seperti anak patung tetapi dia cukup tidak sukakan gelaran itu. Siapa yang suka apabila disamakan dengan watak anak patung pembunuh dari filem seram Dolly Dearest?
Dia tersenyum sendiri. Sudah lama rasanya dia tidak memerhatikan wajahnya dengan sebegini teliti. Mulai hari ini, raut wajah itu akan lenyap dari mata dunia, terkurung di penjara milik Wan Jamsiah. Ellisa tertawa kecil dengan angannya. Untuk kali yang entah keberapa, dia mengingatkan diri untuk kekal tabah.
"Apa kau senyum-senyum depan cermin? Ingat muka tu cantik sangat? Pergi bagi Polo makan. Mati kelaparan kucing aku tu karang," perintah Wan Jamsiah di sebalik senaskhah surat khabar. Ellisa dia renung dengan tajam menembusi cermin matanya yang berkanta kecil.
Ellisa mengangguk tanda faham. Spontan, tangannya mula mengelap cermin dengan pantas dan penuh fokus. Meskipun gerakannya disegerakan, setiap inci cermin dia pastikan bersih. Niatnya adalah untuk menyempurnakan kerjanya sebaik mungkin sebelum beralih ke tugasan yang lain.
"Pergilah bagi Polo makan dulu. Cermin tu tak mati kalau tak bersih," tegur Wan Jamsiah tanpa memandang ke arah cucunya.
Eleh, macamlah kucing boroi tak berbulu tu mati kalau lambat bagi makan seminit dua! Spontan Ellisa menggerutu dalam hati.
Ellisa hampir mengeluh. Namun, dia patuh. Kain lap yang digunakan diletakkan ke dalam sebuah bekas yang ditempatkan di atas meja makan yang dibawanya sewaktu memulakan kerja mengelap. Tanpa membuang masa, dia terus menuju ke dapur untuk mengambil makanan kucing. Setelah makanan disediakan, Ellisa ke belakang rumah di mana Polo ditempatkan.
Nampak sahaja kelibat Ellisa, kucing bogel jenis Sphynx yang dihadiahkan oleh Mak Nah itu terus mengiau, mengeluarkan bunyi amaran agar tidak datang mendekatinya. Semakin Ellisa menghampiri, semakin kuat Polo berbunyi. Ellisa mencebik. Sangkar yang mengurung Polo dia buka dengan kasar. Puas hatinya melihat Polo terkejut dengan gegaran yang dia buat.
Mangkuk makanan Polo dia letakkan tanpa cermat lalu pintu sangkar ditutup. Dia duduk memandang Polo yang serta-merta menyerang makanan, melahap dengan penuh berselera. Sebelum Polo menghabiskan juadahnya, Ellisa tidak dibenarkan ke mana-mana. Itu peraturan rumah yang telah ditetapkan Wan Jamsiah.
"Kau Polo, jangan kerek dengan aku. Kau ingat kau bogel, kau seksi habis? Dahlah gemuk. Kalau gemuk, gebu macam kucing nama Maru tu, berkenan juga aku. Nak juga aku rakam kau masuk YouTube. Ini tidak. Perangai pun serupa aje macam tuan kau. Dengan aku aje garang. Pilih bulu. Sedar sikit kau tu tak ada bulu." Ellisa membebel sendirian.
"Hai, Ell!" Tiba-tiba suara seorang wanita menegurnya dari belakang. Ellisa terus bingkas dari duduknya akibat terkejut. Wanita yang baru menegurnya dia tenung dari atas ke bawah dan kembali ke atas.
"Hei, Posh." Ellisa menjawab sapaan Posh dengan senyuman teragak-agak.
Posh mengangkat kaca mata hitam yang dipakainya ke atas kepala, menampakkan matanya yang penuh dengan pembayang mata warna kekelabuan serta celak hitam yang tebal. Anak matanya berwarna biru, terima kasih kepada khidmat kanta lekap kosmetik jenama Freshlook. Bibirnya pula diwarnakan dengan gincu merah jambu. Rambutnya yang panjang di paras siku lagi diluruskan berwarna blonde, namun ia nampak sesuai dengan kulit Posh yang sederhana cerahnya.
Ditambah lagi dengan penggayaan gaun lengan pendek paras keting dari Alexander McQueen, beg tangan Prada, dan gelang tangan manik dari Pandora, penampilannya tidak ubah seperti seorang model antarabangsa. Sayang, nama sebenarnya Poziah.
"You must be so lonely to have a cat to talk to," ujar Posh sambil tersenyum. Ellisa membalas senyumannya. Dia terima ayat itu sebagai satu gurauan.
Meskipun banyak perkara pernah terjadi antara mereka berdua, Ellisa tidak pernah menganggap Posh sebagai musuh. Dia dan Posh sepupu. Mereka membesar bersama, malah mereka pernah rapat antara satu sama lain. Segala pahit manis mereka lalui bersama. Namun perhubungan mereka sedikit demi sedikit mengalami perubahan. Kejadian selepas kepulangan Posh dari belajar di Amerika Syarikat adalah impak yang terbesar yang menggugat pertalian mereka.
Sejak itu, Ellisa tidak sukakan Posh. Tetapi, dia tetap melayan gadis itu sebagai ahli keluarga. Terlalu bermasam muka pun tidak guna. Bukannya boleh mengubah apa-apa. Bukannnya boleh melarikan dirinya ke mana-mana.
"Wow, look at you. You're..." Giliran Posh pula menilik Ellisa dari bawah ke atas. Ayat yang diucapkan tergantung dalam usahanya mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan Ellisa.
Ellisa sedar apa yang sedang dipakainya nampak hodoh di mata Posh. Sehelai seluar yang dijahit daripada kain batik, sehelai kemeja T lengan pendek. Rambutnya pula disanggulkan tidak kemas. Dia tidak segan dengan pemakaiannya. Apa yang perlu disegankan? Dia berpakaian untuk membuat kerja rumah.
"... A maid," sambung Posh seraya menjongketkan bahu. Wajahnya tersenyum mengejek. Jelas, Ellisa dipandang rendah.
"Ellisa!" teriak Wan Jamsiah tiba-tiba dari ruang makan.
Ellisa terus memecut ke arah suara Wan Jamsiah dengan mindanya yang tertanya-tanya, apakah kesilapan yang telah dia lakukan? Seingatnya, semua tugasan telah dia lakukan dengan sebaik mungkin. Posh turut membuntuti Ellisa dengan langkah catwalk di belakangnya.
"Kerja kau dekat sini tak siap, kau dah pergi ke tempat lain!" marah Wan Jamsiah. Jarinya menuding ke arah bekas berisi kain lap yang tadinya digunakan untuk mengelap cermin. Serta-merta, Ellisa menyirap.
"Wan ni. Tadi wan juga yang suruh tinggalkan kerja tu kejap sebab nak Lis bagi Polo makan," protes Ellisa.
"Amboi, dah pandai melawan cakap," komen Mak Nah. Ellisa melemparkan pandangan ke arah emak saudaranya itu. Tidak sedar pula dia akan kehadiran wanita itu di situ. Tetapi, tidak hairan. Pastinya Mak Nah datang bersama-sama dengan Posh.
"Aku tak kira. Kau siapkan kerja kau ni sekarang," arah Wan Jamsiah.
"Tapi..."
"Sekarang!" Wan Jamsiah tidak memberi peluang untuk Ellisa bersuara. Ellisa mengetap bibir. Dengan kesabaran yang ditahan-tahan, dia paksakan diri untuk patuh dengan perintah Wan Jamsiah.
Ekspresinya yang mencuka tidak dapat dilarikan daripada pemerhatian Posh. Lantas, Posh mendekati Ellisa, berdiri di antara nenek dan sepupunya itu. Bahu Ellisa ditepuk-tepuk.
"Janganlah marah sangat, Ell," pujuk Posh. Pandangannya lantas dialihkan kepada Wan Jamsiah lalu neneknya itu dipeluk.
"Wan garang untuk kebaikan kita semua. Kalau wan tak garang, kita semua tak jadi manusia. Kan wan, kan?" kata Posh dengan nada yang sungguh manja. Mak Nah tertawa bangga dengan kemesraan yang dipamerkan Posh terhadap Wan Jamsiah.
"Kau ajelah yang faham kenapa aku garang. Budak ni, bila aku garang, kata aku jahat," balas Wan Jamsiah. Matanya tajam mengerling ke arah Ellisa.
Mendidih darah Ellisa dibuatnya. Kalau tidak dikawal, mahu demam.
"Sudahlah, wan." Posh memujuk. Tangan Wan Jamsiah diraihnya dan dipimpinnya ke arah dapur. Mak Nah turut menyertai mereka berdua.
"Posh dah lama tak makan masakan wan. Wan masak untuk Posh hari ni boleh?" pinta Posh dengan nada yang tidak pernah berubah. Berlipat ganda meluat yang dirasakan Ellisa.
"Mestilah boleh," jawab Wan Jamsiah. Intonasi yang digunakan terhadap Posh nyata berbeza dengan nada yang digunakan terhadapnya.
"Yay!" Dalam kesamaran, Ellisa dengar Posh bersorak.
Tayangan kemesraan yang dipamerkan antara Posh dan Wan Jamsiah entah mengapa menyentuh hati kecil Ellisa. Dia bukannya cemburu dengan kemesraan mereka. Ikutkan keadaan, sudah bertahun-tahun dia menyaksikan hubungan baik antara mereka. Cuma, sekali-sekala jiwanya akan rasa tercalar. Tanpa dipinta waktu ini, setelah sekian lama, hatinya terasa sayu.
"Ellisa!" jerit Wan Jamsiah. Ellisa yang baru sahaja usai membersihkan cermin mengeluh apabila dipanggil begitu buat kali keduanya.
Dengan besen air yang berisi kain lap di dalam genggaman, Ellisa berjalan menuju ke dapur. Di situ, Wan Jamsiah sedang menantikannya dengan kedua-dua belah tangan yang dicekak ke pinggang. Ekspresinya seperti biasa, bengis.
Posh dan Mak Nah yang sedang duduk di meja bar memandang kosong ke arahnya.
"Apa dia, wan?" Ellisa menyoal malas.
"Apa aku pula? Kau la. Dah banyak kali aku cakap, dah banyak kali aku pesan. Waktu bagi Polo makan, tunggu dia habiskan!" Wan Jamsiah mula membebel.
Ellisa menelan liurnya yang terasa amat pahit di tekak. Apa lagi yang mampu diperkatakan? Tadi, waktu dia mahu menghabiskan kerja mengelap terlebih dahulu, disuruhnya bagi Polo makan. Tengah tunggu Polo makan, disuruhnya pula siapkan kerja membersihkan cermin. Apabila kerja mengelap sedang diselesaikan, dimarahnya pula sebab tak bagi perhatian pada Polo.
Nyanyuk ke apa orang tua ni? Spontan Ellisa mengutuk dalam hati. Geram!
"Habis kotor sangkar Polo dia taburkan makanan! Sebab tu aku suruh kau tengok dia makan. Tu pun tak faham? Aku cakap bahasa Melayu tau!" hambur Wan Jamsiah sambil menunjal-nunjal kepala Ellisa. Mak Nah menggeleng-gelengkan kepala seolah-olah apa yang telah dilakukan Ellisa adalah satu dosa yang besar.
Tanpa sebarang kata, Ellisa berlalu keluar melalui pintu dapur, ke ruang belakang tempat sangkar Polo berada. Dia tahu benar apa yang perlu dilakukan. Besen yang dipegang diletakkan berdekatan paip di kawasan itu sebelum dia bergerak mendekati sangkar kucing kesayangan Wan Jamsiah.
Polo dilihat sedang duduk santai sambil menjilat-jilat tubuhnya. Bekas makanannya terlangkup, dan sisa-sisa ramuan ayam dan tuna bertaburan di atas dulang yang terdapat di bawah sangkar. Ellisa melepaskan satu keluhan ringan. Dia mengeluarkan bekas makanan Polo dari sangkar manakala dulang tadi dikeluarkan dari tempatnya. Sisa makanan Polo dibuang sebelum dulang dan bekas makanan tersebut dibasuh. Alang-alang dia membasuh, besen air yang dibawanya tadi turut dibersihkan.
Bukannya kerja susah pun, buat apa nak marah aku sampai macam tu sekali? Ellisa merungut tidak puas hati terhadap kata-kata yang diludahkan kepadanya tadi.
Usai kerja mencuci di belakang, Ellisa kembali ke dapur di mana Wan Jamsiah sedang sibuk menyediakan bahan untuk memasak lauk kegemaran Posh. Dia lihat, Wan Jamsiah dan Mak Nah sedang duduk di kaunter bar, masing-masing sedang mengerjakan bawang dan kentang. Sambil-sambil itu, mereka berbual bersama-sama Posh yang sibuk menceritakan pengalamannya belajar di luar negara selama lebih lima tahun.
Ellisa mengerling ke arah singki. Nampaknya, daging beku yang dikeluarkan sejak pagi tadi masih belum disentuh. Pastinya pada waktu ini, daging itu sudah cukup lembut untuk dipotong. Maka, tanpa perlu disuruh, Ellisa terus mendekati singki. Dia tahu akan tugasannya.
Sambil tangannya cekap menjalankan tugas, Ellisa memasang telinga mendengar perbualan Wan Jamsiah, Mak Nah dan juga Posh sekadar untuk menghiburkan hati. Dia ingin juga tahu bagaimana Posh mengharungi hidupnya di negara orang. Maklumlah, dirinya tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara. Pergi bercuti ke Rom pun atas bantuan Naqiya dan abangnya, Azlan.
"Sebelum kau pergi sana, banyak nasihat wan bagi kat kau. Kau ikut tak?" soal Wan Jamsiah kepada Posh dalam nada yang lembut. Ini pertama kali Ellisa mendengar suaranya yang bernada sedemikian rupa. Meremang juga bulu roma.
"Mestilah dengar, wan. Wan kata kat Posh, jangan pakai seksi-seksi. Posh pun tak pakailah," balas Posh manja. Ellisa menahan ketawa sinis.
Baju lengan pendek, nampak betis tu memang tak seksi, perli Ellisa dalam hati. Kalau dia sertai perbualan itu, memang itulah yang akan dia katakan.
"Tapi kan, ramai juga lelaki-lelaki asing yang nak kawan dengan Posh," cerita Posh lagi.
"Kau layan tak?" tanya Wan Jamsiah lagi.
"Mestilah tak. Posh tahu hukum agama. Posh tahu jaga diri," balas Posh dengan manja. Spontan, Ellisa menoleh sedikit ke arah mereka. Dari sudut matanya, dia dapat melihat Mak Nah merenung tajam ke arahnya.
Sudah tentulah, rahsia terbesar Posh yang diketahui Ellisa berjaya diselindungkan dengan fitnah yang dua beranak itu tabur terhadapnya.
"Ada seorang lelaki ni kan, wan. Dia handsome. Dia nak dekat Posh tapi sampai mati pun Posh tak nak dekat dia." Posh menyambung kisahnya seperti seorang kanak-kanak bercerita.
"Kenapa?" layan Wan Jamsiah.
"Sebab dia bukan orang Melayu. Posh ingat cakap wan, wan tak suka orang bukan Melayu, kan?"
Ellisa terasa belakang kepalanya panas selepas mendengar ayat yang diluahkan Posh itu. Tanpa perlu menoleh, dia dapat merasakan Wan Jamsiah sedang merenung tajam ke arahnya. Orang tua itu pasti mahu dia merasa tersindir dengan kata-kata Posh.
Ellisa tertawa dalam hati. Perlu ke aku terasa? Bukannya aku bercinta dengan sesiapa pun.
"Lagipun, Posh kan dah jumpa calon..." sambung Posh lagi.
"Wan tahu. Tak lama lagi kau nak kahwin dah, kan? Alhamdulillah, kau ni memang cucu yang tak pernah mengecewakan aku. Aku nak kau belajar sampai jadi doktor, kau jadi doktor. Aku nak kau kahwin dengan orang Melayu, kau pilih calon Melayu. Sejuk hati aku tengok kau," ujar Wan Jamsiah, dengan harapan Ellisa akan merasa terperli dengan apa yang dia luahkan.
Ellisa sedikit pun tidak merasa tersindir. Sebaliknya, sebagai seorang manusia yang maha lemah, dia tidak dapat menahan perasaan meluatnya.
Racist! kutuk hati Ellisa.
"Oh, Posh. Nak kahwin dah rupanya you." Tiba-tiba Ellisa bersuara dengan nada teruja yang dibuat-buat. Serta-merta, tiga beranak itu berpaling ke arahnya.
Ellisa yang baru sahaja selesai memotong daging, mengelap tangannya yang sudah dicuci bersih. Sebuah periuk nasi dicapai sebelum matanya dikembalikan kepada mereka bertiga. Sebuah senyuman terukir di bibirnya.
"Haah. I nak kahwin dah. Sebab tu I datang sini dengan emak I, nak bincang dengan wan fasal I punya wedding," ujar Posh.
"Oh, tahniah," ucap Ellisa, masih melakonkan senyuman.
"Memandangkan you nak kahwin dah kan, mesti kerja-kerja memasak ni dah jadi kebiasaan you, kan? Jadi, apa kata you tolong I potong sayur sikit, boleh?" Permintaan mudah yang diluahkan Ellisa penuh ramah namun penuh dengan sindiran. Posh terkebil-kebil. Mak Nah dan Wan Jamsiah menjeling-jeling antara satu sama lain.
"Tapi, wan kata I tak payah buat kerja. I tetamu," balas Posh teragak-agak.
"Macam itu ke? Tak apalah. I tak tahu pula wan tak bagi you buat kerja. Sebabnya, Mak Nah elok pula tolong kupas kentang," jelas Ellisa. Intonasinya tidak berubah namun senyuman di wajahnya semakin kuat mengejek.
"Ellisa!" Teriakan daripada Wan Jamsiah memang dia nantikan.
"Tak apa, wan. Biar Posh tolong dia," pintas Posh sebelum Wan Jamsiah sempat membuka mulut.
Dia bingkas dari tempat duduknya dan bergerak menuju ke singki. Di tepi singki, satu bakul yang diisi dengan dua biji terung diperhatikan kosong. Dengan teragak-agak, dia mengambil sebilah pisau. Hatinya mula runsing. Dia tidak pernah belajar memotong apa-apa selain tubuh manusia untuk pembedahan. Mahu bertanya, dia segan. Jadi, apa yang boleh dia lakukan adalah memujuk diri bahawa memotong sebiji terung tidaklah sesusah membedah perut seorang manusia.
Posh menggigit bibir. Hentam ajelah. Potong macam mana pun akhirnya masuk perut juga.
"Cantik kuku you, Posh," tegur Ellisa yang tiba-tiba menjenguknya, sewaktu Posh sedang khusyuk membuat kerja.
Posh merenung jari jemarinya yang dihiasi dengan kuku-kuku panjang berkilat yang diwarnakan dengan rona merah jambu. Siap ada batu-batu berkilauan. Dia menelan liur. Dia sungguh tidak sangka Ellisa berani menyerangnya dengan sindiran begitu. Tapi, apa lagi yang boleh dia harapkan daripada Ellisa setelah sepupunya itu dia fitnah demi menutup aib dirinya di hadapan Wan Jamsiah dan ahli-ahli keluarganya yang lain?
Buntu dengan kata-kata, Posh hanya tertawa tawar.
"Tak sembahyang ke?" soal Ellisa bersahaja. Tumpuannya diberikan pada beras yang sedang dibasuh.
"Yang kau sibuk sangat kenapa? Dia tak boleh sembahyang. Dia cuti." Tak semena-mena, Mak Nah mencelah dengan marahnya. Ellisa tersenyum tawar sambil menjongketkan bahu. Soalan yang diajukan tadi tidak langsung diniatkan untuk menyakiti sesiapa.
"Boleh gerenti ke dalam masa dia tengah cuti tu, dia tak mati? Atau malaikat Izrail dan beritahu kau orang bila dia nak mati?" balas Ellisa selamba, alang-alang Mak Nah menganggapnya mahu mencari fasal. Mak Nah terus terkedu.
Bukan niatnya untuk berlagak pandai. Dia cuma mahu mengambil peluang ini untuk memberitahu secara halus bahawa dirinya tidak dilayan dengan adil. Apa yang dilakukan Posh, walau ternyata salah, mereka benarkan semata-mata kerana Posh memberitahu dia peka dengan hukum agama. Lain pula dengan dirinya, segala apa yang dia lakukan, sama ada yang baik atau pun yang tidak, semuanya salah. Tidak menjadi doktor, salah. Cari kerja salah, tak cari pun salah. Siap dicop cucu tak guna. Status terbaru; cucu yang mengecewakan. Dua status yang lain bunyinya, tapi maksudnya sama.
Ayat itu satu ujian yang sengaja Ellisa lemparkan kepada mereka. Dia ingin mendengar apakah pandangan mereka yang mampu membidas kata-katanya.
"Suka hati akulah. Dosa pahala aku bukan kau yang tanggung," ujar Posh yang tidak mampu menahan perasaannya. Nadanya kasar. Kata ganti diri bertukar. Dia tidak gentar. Mak Nah dan Wan Jamsiah pasti akan membela dirinya.
"Tahu tu. Nasib baik. Dosa aku sendiri pun aku takkan tertanggung inikan pula nak tanggung dosa kau," sindir Ellisa dalam nada yang neutral biarpun sekali lagi ucapannya berbaur maksud tersirat.
"Dah tu? Diam-diamlah. Kau tu dah tak pandai, tak usah berlagak pandai," sampuk Wan Jamsiah.
"Lis tahu Lis tak pandai. Tapi, inilah yang Lis belajar tentang manusia. Waktu hidup, senang aje dia cakap besar, dosa masing-masing, masing-masing tanggung. Janji dia tak menyusahkan orang. Yalah, waktu hidup memanglah dia tak susahkan orang. Tapi, waktu dia mati esok, dia tak fikir pula," ucap Ellisa lagi.
"Yang kau ni kenapa? Nak berceramah agama dekat sini tak tentu pasal? Kau tu dah tak pandai, jangan berlagak pandai. Hal-hal agama ni aku lebih tahu, tau tak?" gerutu Wan Jamsiah.
"Baguslah macam tu. Jadi, wan bolehlah confirmkan apa yang Lis cakap ni tak salah, kan?" ujar Ellisa. Nadanya tenang. Setiap bait katanya diluahkan dengan ramah seperti sedang berbual secara kasual.
"Katakanlah setengah jam lagi Posh mati. Cat dekat kuku dia tu nanti, orang lain yang kena tanggalkan. Kalau tak tanggal, nanti wuduk tak kena, mandi jenazah tak sah. Tak menyusahkan orang ke tu?" sambung Ellisa lagi. Andaiannya mudah sahaja namun Wan Jamsiah terdiam. Mak Nah buntu. Posh apatah lagi. Entah dia faham entah tidak apa yang diucapkan Ellisa.
"Kalau tak dibersihkan betul-betul, silap-silap Posh bangun dari kubur jadi hantu pocong. Waktu tu, jangan salahkan Lis," ucap Ellisa dalam nada bergurau tetapi penuh sinis.
"Kalau Posh jadi pocong, dia pocong yang 'cantik'. Jadi, kau orang semua tak payah takut." Ellisa menambah dengan galaknya sambil tertawa kecil. Puas hatinya apabila wanita tiga generasi itu hanya mampu menahan geram tanpa mampu meluahkan kata.
Buat pertama kali dalam hidupnya, dia berjaya meluahkan perasaan tidak puas hati yang telah lama terbuku dalam jiwa. Tidak sangka dia berpeluang meluahkan kata sebegitu kepada tiga orang insan yang paling tidak menyukainya dirinya.
Bukalah mata. Walaupun dia doktor, Posh tetap seorang manusia yang perlu diajar, bukan disanjung tinggi melangit semata-mata sebab dia pandai dalam bidang akademik.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co