Truyen3h.Co

Percaturan Hati

Bab 14

karyaseni2u

"Assalamualaikum." Ellisa memberi salam. Dengan langkah yang lesu, dia menapak ke dalam rumah. Otaknya hanya memikirkan untuk berehat setelah seharian dia keluar berjalan.

"Dah pukul berapa ni? Baru sekarang reti nak balik?!" sergah Wan Jamsiah tak semena-mena. Terperanjat Ellisa. Buat seketika dia terpinga-pinga dan tertanya adakah dia sudah tersalah rumah. Setelah memastikan sekelilingnya, dia pasti dia kini berada di rumahnya, bukan rumah Wan Jamsiah. Naqiya yang berada di di ruang tamu bersama Wan Jamsiah mengosongkan ekspresi.

"Aku datang sini tunggu kau dari pagi tadi, tahu tak?!" Wan Jamsiah menengking lagi.

Tipu. Kalau tunggu dari pagi, dah lama dia call aku suruh balik. Ellisa membantah dalam hati. Dia kenal sangat dengan perangai Wan Jamsiah. Bukannya sekali dua dia pernah berlakon kononnya sudah lama menunggu.

Cuma, dia tidak sangka Wan Jamsiah akan menantikannya di depan pintu untuk menyergahnya sebegitu rupa.

"Engkau ni dari mana, ah?" Garang Wan Jamsiah menyoal.

Ellisa tidak menjawab. Tiada daya dia untuk melawan. Hari ini dia tempuhi dengan penuh pancaroba. Dari pagi sehingga ke petang, ada sahaja agenda yang berlaku, yang mampu mengubah perjalanan hidupnya. Dugaan betul. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah bersabar.

"Kau keluar berdating, ya?" tuduh Wan Jamsiah. Matanya mengimbas tubuh Ellisa dari atas ke bawah dengan wajah yang bengis.

Sekali lagi, Ellisa hanya mendiamkan diri tanpa mahu memberi respons kepada neneknya. Begitu, hatinya akan lebih selamat dan pertengkaran dapat dielakkan sekaligus hatinya dapat diselamatkan. Puan Dahlia yang pergi melawat ke rumah Abang Azlan, tiada di situ untuk membelanya.

"Mana emas aku yang boyfriend kau simpan tu?!" tengking Wan Jamsiah.

Naqiya mengerutkan dahi mendengar perkataan boyfriend. Tidak syak lagi, Wan Jamsiah sudah mengolah drama di dalam kepala otaknya sepanjang ketiadaan Ellisa di rumahnya. Wajah Ellisa pula tiada ekspresi. Dan dia masih statik mendiamkan diri.

"Kau ni pekak ke? Aku tanya ni, jawablah!" Wan Jamsiah mula naikkan tangan, cuba menunjal-nunjal kepala Ellisa tetapi Ellisa pantas menepis.

"Kenapa lama sangat kau kena ambil masa untuk dapatkan balik emas aku tu, ah? Sebenarnya, niat kau memang nak lari daripada aku, kan?" Wan Jamsiah bersuara lagi.

"Wan, Lis tahu. Bagi wan, Lis ni tak pandai. Tapi, Lis tak adalah sebodoh yang disangka. Kalau Lis nak lari, Lis takkan lari ke tempat yang wan senang nak cari," balas Ellisa dengan nada yang mendatar.

"Sudah. Kau pergi naik atas sekarang, kemas barang kau. Aku nak ikut aku balik malam ni juga!" perintah Wan Jamsiah kasar. Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa di ruang tamu lalu pandangannya dialihkan dari wajah Ellisa yang cukup membengkakkan hatinya.

Ellisa menjongketkan bahu. Dengan langkah yang tangkas, dia berjalan menuju ke tangga. Naqiya menurut di belakangnya. Sehingga mereka sampai ke tingkat atas, sunyi sahaja keadaan antara mereka berdua.

"Orang tua tu datang dengan siapa?" soal Ellisa perlahan.

"Aku yang pergi ambil dia tadi. Dah dia telefon sambil marah-marah. Kau faham-faham ajelah perangai dia," jawab Naqiya.

"Ni maknanya, kau jugalah kena hantar kita orang balik ke rumah dia nanti?"

"Yalah..."

Ellisa melepaskan satu keluhan berat. Dia menapak ke dalam bilik. Beg galasnya dia ambil lalu barang-barang yang dia perlukan dimasukkan ke dalam. Naqiya memerhatikan gerak-gerinya sambil berdiri di muka pintu bilik Ellisa yang terbuka luas.

"Kau keluar tadi, dapat balik tak emas wan tu?" risik Naqiya perlahan.

"Dapat."

"Nasib baik." Naqiya menghembuskan nafas lega.

"But, I don't think this will end too soon," ujar Ellisa sambil mengeluh berat.

HATINYA terasa kosong. Dia tidak tahu mengapa. Dia memberitahu diri bahawa pada ketika ini, perasaannya sepatutnya bercampur baur. Segalanya berlaku dengan terlalu drastik. Lepas satu, satu kejadian berlaku pada hari itu sehingga jiwanya terasa kebas untuk merasai perasaan sedih, sakit atau marah.

Ellisa memetik suis di dinding biliknya, menyebabkan bilik itu gelap-gelita. Sesampainya dia dan Wan Jamsiah ke rumah tadi, dia hanya diberi masa untuk mandi dan bersolat. Selesai bersolat, jadual aktivitinya untuk malam itu sudahpun ditentukan Wan Jamsiah. Yang pertamanya, sudah pastilah mesyuarat tergempar antara dia dan neneknya.

Sempat dia berdoa selepas bersolat tadi agar Allah S.W.T memberikan ketabahan kepada dirinya untuk bersemuka lagi dengan Wan Jamsiah. Dia terima apa yang terjadi adalah sebuah ujian. Dia yakin segala ini ada hikmahnya. Mungkin juga ini balasan baginya sebagai seorang manusia yang tidak pernah lari daripada melakukan dosa.

"Kau duduk sana," perintah Wan Jamsiah tegas. Ellisa patuh. Dia terus melabuhkan punggung di atas kerusi yang terletak bertentangan dengan Wan Jamsiah di sebuah meja yang panjang di ruang makan.

"Aku nak beritahu kau. Aku tak kira apa rancangan kau, sama ada kau nak dapatkan balik emas aku atau tidak, aku takkan benarkan kau keluar lagi dari rumah aku," ujar Wan Jamsiah dengan nada yang agak tenang. Ellisa mengangguk faham.

"Dah berapa bulan kau tinggalkan rumah aku, apa yang kau buat? Ada kau dapatkan emas aku balik?" soal Wan Jamsiah tanpa membazir lebih banyak masa. Ellisa menghela nafasnya perlahan-lahan sambil otaknya ligat memikirkan ayat yang paling santun untuk diperdengarkan kepada Wan Jamsiah.

Ellisa bingkas dari tempat duduknya lalu berjalan mendekati tempat duduk neneknya. Dia tunduk dan meraih tangan kanan Wan Jamsiah dengan kedua-dua belah tangannya. Lalu, tangan neneknya dicium dengan hati yang penuh penyesalan dan keikhlasan.

"Lis minta maaf banyak-banyak daripada wan. Lis tahu Lis banyak buat salah," ucap Ellisa dengan harapan agar segala keikhlasan daripada hatinya sampai ke jiwa Wan Jamsiah melalui pertuturan dan perbuatannya. Dia amat berharap agar Wan Jamsiah, yang hatinya keras membatu akan berlembut hati terhadapnya hanya untuk ketika ini sahaja.

"Kau ni apa hal? Aku takkan maafkan kau selagi kau tak pulangkan emas aku," kata Wan Jamsiah tegas. Tangannya direntap daripada terus dipegang oleh Ellisa. Ellisa terkedu.

"Lis harap, wan akan maafkan Lis dan berikan Lis kebebasan untuk hidup," ujar Ellisa. Tangannya menyeluk ke dalam kocek seluar lalu syiling emas kesayangan Wan Jamsiah itu dipamerkan di atas telapak tangannya.

Wan Jamsiah tersenyum lebar. Syiling emas yang berkilauan itu terus dia ambil dan ditilik-tiliknya. Raut wajahnya menayangkan kepuasan yang seolah-olah telah sekian lama tidak dirasai.

"Kalau aku tak bagi kau kebebasan untuk hidup, dah lama aku bunuh kau," kata Wan Jamsiah sambil tersenyum sinis.

Ellisa terpanar. Sungguh dia tidak menyangka ayat seperti itu tergamak diluahkan Wan Jamsiah. Namun, dia jelas akan maksud ayat itu. Wan Jamsiah tidak pernah merancang untuk melepaskannya walaupun selepas emas itu dipulangkan. Malah, dia sudah dimaklumkan awal-awal mengenai perkara itu.

Dia tahu pada mulanya dia tidak mengambil berat akan amaran neneknya itu. Ini disebabkan padanya, hal yang terpenting sekali adalah untuk mendapatkan kembali syiling emas neneknya. Mengambil syiling emas itu adalah kesalahannya yang terbesar terhadap Wan Jamsiah namun dia tidak mahu terus rasa berdosa. Oleh itu, dia nekad untuk mendapatkan balik emas itu walau dia terpaksa melanggar peraturan yang ditetapkan Wan Jamsiah.

Dia juga tahu, bagi Wan Jamsiah, memulangkan emas itu sahaja tidak cukup untuk menebus dosanya. Tetapi, tidak bolehkah hukumannya diringankan sekurangnya-kurangnya? Sedangkan penjenayah yang menyerah diri pun boleh diringankan hukumannya. Patutkah kebebasannya terus disekat semata-mata kerana Wan Jamsiah tidak gemarkannya berbanding cucu-cucu yang lain?

Apa lagi yang perlu dia lakukan? Minta maaf? Minta maaf dengan bersungguh-sungguh? Melutut? Merayu? Cium tapak kaki? Ellisa tidak yakin perbuatan-perbuatan itu mampu mengubah minda Wan Jamsiah. Kalau dia yang melakukannya, kemungkinan besar Wan Jamsiah tidak hirau pun. Kalau sepupunya Posh yang buat, Wan Jamsiah sendiri akan melutut dan merayu supaya Posh berhenti merayu kepadanya.

Ellisa mencuri! Walaupun emas itu sudah dipulangkan, itulah yang memperkukuhkan alasan Wan Jamsiah untuk terus memangsakan dirinya. Dia buntu. Pun begitu, dia tidak rela dikurung seperti seorang banduan.

"Wan, berapa lama lagi wan nak simpan Lis dekat sini?" Ellisa cuba merisik.

"Seberapa lama yang aku rasa setimpal. Kau tu berdosa dengan aku, sedar sikit!" bentak Wan Jamsiah kasar.

"Wan tak boleh ke maafkan Lis? Lagipun, Lis kan dah selamat pulangkan emas tu kepada wan? Wan tak risau ke masa depan Lis? Lis ada interview kerja Isnin nanti." Ellisa cuba memancing sedikit keprihatinan Wan Jamsiah terhadap dirinya.

"Kau jangan nak pandai-pandai nasihat aku, budak biadab! Kalau minta maaf aje boleh settle, baik dibebaskan aje semua penjenayah dekat dunia ni. Kalau minta maaf boleh settle, baik tak payah ada polis dekat dunia ni! Lagipun, aku tak percaya kau boleh dapat kerja. Kau tu bodoh! Tak payah risau nak pergi interview ke apa!" bentak Wan Jamsiah.

Tengok. Hari tu aku kena buang kerja, aku tak guna. Sekarang aku dah dapat kerja pun, aku bodoh pula, omel Ellisa dalam hati.

"Kalau macam tu, patutnya kita semua ni masuk penjara. Mana ada orang yang tak pernah buat silap," protes Ellisa lagi. Segala kawalan diri terhadap kata-kata yang perlu diluahkan kepada Wan Jamsiah langsung dia lupa.

"Diamlah, budak biadab. Aku tak kira. Kau masih perlu dihukum!"

Mendengarkan kata-kata itu, Ellisa memberatkan tubuhnya untuk melutut, meminta maaf dan memujuk agar dirinya dilepaskan. Bersungguh-sungguh dia merayu. Sayangnya, hati Wan Jamsiah kematu terhadap pujuk rayunya.

Setelah menyedari perbuatannya sia-sia, Ellisa duduk di atas lantai beralaskan kakinya. Kepalanya didongakkan, meneliti wajah Wan Jamsiah dalam-dalam. Tidak pernah sekali pun dalam hidupnya dia merendahkan dirinya sedemikian rupa. Namun, hasilnya tetap menghampakan. Ellisa akhirnya menyerah kalah.

"Kalau Posh bunuh Lis, wan maafkan dia tak?" Dalam kekecewaannya, Ellisa bertanya.

"Posh tu orangnya baik. Bunuh nyamuk pun dia rasa bersalah, inikan pula nak bunuh kau. Tak adanya dia nak buat hal macam tu. Sebab tu dia boleh jadi doktor. Tak macam kau. Tak guna. Harap jadi orang gaji aku pun gagal."

"Baiklah, terima kasih," luah Ellisa sinis. Sedikit pun dia tidak tergores dengan kata-kata Wan Jamsiah.

Dia bingkas. Dia tunduk sedikit di hadapan Wan Jamsiah sebagai tanda meminta diri memandangkan tiada apa-apa lagi yang boleh dibincangkan. Tanpa perlu mengambil masa yang lama, dia menghilang ke dalam bilik.

Aku tanya soalan simple aje. Dia cuma perlu jawab ya atau tidak aje. Tapi, dia tak menjawab soalan. Nampak benar jawapannya, kalau Posh bunuh aku sekalipun dia rela maafkan Posh. Ellisa membuat kesimpulan sendiri.

Silap soalanlah. Patutnya aku tanya macam ni; kalau Posh bunuh Polo, dia maafkan atau tidak? Hati Ellisa bermonolog lagi. Dia yakin soalan itu yang mampu membuatkan Wan Jamsiah rasa berbelah bagi. Kerana, antara dirinya dan kucing bogel bernama Polo itu, Wan Jamsiah seolah-olah lebih sayangkan Polo.

Tubuhnya direbahkan ke atas katil. Matanya memandang kipas yang berpusing-pusing di siling. Perasaan sayu yang cuba ditanamkan jauh di sudut diri mula timbul. Ellisa memejamkan mata rapat-rapat. Semangatnya dikuatkan. Dia tidak ingin menangis. Setakat ini, semuanya telah dia hadapi dengan hati yang kental. Tiada alasan baginya untuk menitiskan air mata.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co