Truyen3h.Co

Percaturan Hati

Bab 2

karyaseni2u

"Cucu tak guna!" Terngiang-ngiang suara teriakan Wan Jamsiah sebaik sahaja dia menyampaikan khabarnya yang terkini.

Sudah agak lama dia tidak bersua muka dengan neneknya yang satu itu. Setiap kali dia datang melawat, ada sahaja perkara tentang dirinya yang tidak menyenangkan Wan Jamsiah, tidak kira sama ada perkara itu secara tersirat atau tersurat, baik ataupun tidak. Sejak dia kecil lagi dia diperlakukan begitu. Baginya, nenek berat sebelah. Cucu-cucunya yang lain tidak pernah pula dia marah sedemikian rupa. Mengapa mereka semua nampak sempurna pula di matanya?

Ellisa mengetap bibir sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap kapal terbang. Yang dilihat hanyalah kegelapan malam yang pekat. Dia melepaskan satu keluhan berat. Dia benci apabila dirinya dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan tanpa diberikan peluang untuk membela diri.

"Oi, mengeluh bukan main!" tegur adiknya, Naqiya yang duduk bersebelahan dengan tempat duduknya.

"Biarlah," jawab Ellisa ringkas.

"Kita nak pergi bercuti ni... Happylah sikit. Jangan difikirkan sangat pasal wan," ujar Naqiya selamba. Matanya ditumpukan pada skrin yang tertanam pada tempat duduk di hadapannya.

Ellisa mengerling ke arah skrin yang ditonton Naqiya. Filem animasi Frozen sedang bermain. Entah sudah berapa kali filem itu ditonton, Naqiya boleh tertarik untuk menonton lagi. Ellisa cuma menggeleng. Tak pandai bosan ke budak tu?

"Mana kau tahu aku tengah fikir pasal wan?" Ellisa cuba menarik perhatian Naqiya.

"Mestilah tahu. Kau tiba-tiba ajak aku pergi bercuti lepas kena brainwash dengan dia hari tu, kan?"

"Dia panggil aku cucu tak guna." Ellisa mula mengadu dengan nada yang mendatar.

"Tak payah nak kecoh. Title cucu tak guna tu aku dah dapat dulu waktu aku dapat tiga A aje masa aku SPM. Dapat aje tau result aku, terus dia membebel. Sejam setengah aku duk menghadap muka dia. Ayat yang dia balik-balik ulang: Keputusan macam ni tak boleh bawa kau masuk ke mana-mana universiti." Naqiya mengimitasi suara Wan Jamsiah pada ayatnya yang terakhir membuatkan Ellisa tertawa.

"Aku ni cucu tak guna sebab tak dapat banyak A waktu SPM. Bagi dia, banyak A tu boleh bagi terang kubur kut," sambung Naqiya lagi.

Ellisa hanya mendiamkan diri. Segala kemarahan yang dirasai terhadap Wan Jamsiah kian terhakis dengan ingatan bahawa dia telah melarikan harta neneknya yang paling berharga. Biarlah kali ini cucu-cucu kesayangan Wan Jamsiah yang menerima habuan sepertimana yang selalunya dia kena.

"Bagi dia, pandai akademik boleh dapat kerja bagus. Tapi, tak semestinya macam tu, kan? Zaman sekarang banyak aje orang tak sekolah mengalahkan orang yang ada PhD bagai!" Naqiya mencebik, tidak habis-habis dengan komennya.

"Apa lagi yang dia bisingkan dekat telinga kau selain cucu tak guna?" soal Naqiya sebelum Ellisa sempat melayarkan mindanya ke tempat lain.

"Ayat biasalah... Dia kata aku sombong sebab jarang datang rumah jumpa dia. Dia banding-bandingkan aku dengan sepupu-sepupu yang lain, dia cerita pasal hidup dia dulu yang susah sebab tak ada duit, dia cerita pasal duit..."

"Dah tu, celah mana pula kau ni cucu dia yang tak berguna?"

"Aku ni cucu tak guna dia sebab baru dua minggu masuk kerja dah kena buang," ujar Ellisa selamba.

Naqiya meledakkan tawanya. Sesaat, bergema suaranya di ruang kapal terbang namun dia sempat menutup mulut. Bergoyang-goyang tubuhnya menahan tawa. Kisah kakaknya dibuang kerja sudah menjadi salah satu bahan ketawa buatnya kebelakangan ini.

"Itu aku setuju dengan dia. Emak pun marah pasal tu, kan?" Naqiya bersuara apabila tawanya semakin surut.

"What can I say? Rezeki tak panjang," kata Ellisa seraya menjongketkan bahu.

Sekilas dia terkenang lagi kata-kata Wan Jamsiah ketika dia terluahkan ayat yang sama sewaktu mereka bertemu tempoh hari. Sungguh dia menyesal kerana menjawab walau dengan sebaris ayat ringkas hujah orang tua itu.

"Kau salahkan rezeki? Tuhan dah bagi rezeki, kau buang jauh-jauh. Apalah nak jadi kau ni? Dapat kerja kena buang. Suruh kahwin, tak nak. You are not getting any younger, you know! Aku tak nampak lagi apa kau nak buat dengan hidup kau. Sepupu-sepupu kau yang lain semuanya dah berjaya. Semuanya kerja doktor, engineer, lawyer... Kau? Dia orang semua ada kerja bagus, duduk rumah besar, pakai kereta besar, kahwin pun dengan orang berjaya... Sudahlah kau jarang datang rumah jumpa aku. Kau dengan adik-beradik kau sama aje. Sombong! Kau..."

Ellisa menyirap. Ayat seterusnya yang diucapkan Wan Jamsiah terus lenyap dari pendengaran. Memang dia sudah agak. Wan Jamsiah tidak pernah jemu membandingkan dirinya dengan sepupu-sepupunya yang lain. Tambahan lagi, neneknya tergamak menuduhnya sombong sedangkan dia datang melawat orang tua itu dengan hati yang ikhlas. Bahkan, bukan waktu itu sahaja dia akan diperkatakan begitu. Setiap kali dia datang melawat dengan sukarela, gelaran sombong pasti akan dicop di dahinya oleh Wan Jamsiah.

Kalau benar dia sombong, tak akan dia jejakkan kaki ke situ untuk kesekian kalinya... Pendek kata, datang salah, tak datang lagi salah.

Dia sudah tidak dapat memujuk hatinya dengan fakta bahawa Wan Jamsiah juga seorang manusia yang punya kelemahan. Jika Wan Jamsiah seorang manusia, apa pula darjat yang wajar diberikan kepada dirinya? Robot? Batu? Sedangkan kucing pun pandai merajuk...

Dia, Ellisa, juga punya hati dan perasaan, juga punya kelemahan. Setabah manapun seorang insan, pasti ada masanya dia merasa tergores, tersinggung. Meskipun dia tidak menyimpan perasaan dalam hati, lama-kelamaan pasti akan ada perasaan jauh hati yang bertapak dalam jiwa. Sedangkan luka pun boleh meninggalkan parut.

Dahulu, dia boleh menganggap tabiat gemar membebel yang dilakukan Wan Jamsiah adalah kerana kasih. Sepanjang dia membesar, itu sahaja alasan yang neneknya berikan jika memarahi dirinya. Katanya, kerana dia garang, dia berjaya membesarkan sembilan orang anaknya yang sudah kehilangan ayah seorang diri. Mereka semua membesar dan menjadi orang-orang yang berjaya lagi berkaliber. Semua orang dalam keluarga sedia maklum akan kesusahan Wan Jamsiah waktu dulu. Tiada orang akan lupakan kisah itu kerana Wan Jamsiah sentiasa mengingatkan mereka akan kisah hidupnya yang lampau.

Kadangkala apa yang diluahkan Wan Jamsiah tentang cara dia mendidik anak-anaknya seolah-olah memperlekeh cara emaknya, Puan Dahlia mendidik mereka adik-beradik. Sama seperti Wan Jamsiah, Puan Dahlia membesarkan mereka sendirian sejak ayah meninggal dunia. Walau tidak pernah diluahkan secara lisan oleh Wan Jamsiah sendiri, Ellisa tahu neneknya itu memandang rendah kepada emaknya. Baginya, Puan Dahlia gagal dalam membesarkan mereka tiga beradik. Tidak seperti dirinya yang membesarkan anak-anak yang berjumlah tiga kali ganda daripada bilangan anak-anak Puan Dahlia.

Atas sebab itu, jangan sesiapapun luahkan perkataan 'susah' di hadapan Wan Jamsiah. Kisah legendanya akan diulangi semula. Mulanya, seperti orang lain, Ellisa menganggap itu salah satu caranya untuk mengajar seseorang tentang erti ketabahan. Namun, semakin dia meningkat dewasa, pandangannya juga mula berubah. Baginya, sebuah ketabahan perlu diraih melalui pengalaman, bukan daripada cereka mahupun kata-kata. Dia tidak dapat mengelakkan dirinya daripada melihat neneknya sendiri sebagai seorang yang riak kerana suka bercakap besar tentang kejayaannya membesarkan sembilan orang anak yang kebanyakannya kini berkarier profesional atau profesor universiti.

Ellisa mengetap bibir. Angan itu dilontarkan jauh-jauh. Tidak baik berburuk sangka. Ibu mana yang tidak bangga dengan anak-anaknya yang sudah berjaya? Ellisa cuba memujuk diri apabila syaitan di alam ghaib semakin galak membunyikan gendang-gendang hasutan untuk mengotorkan pemikirannya.

Tapi, susah ada banyak segi. Ada orang hidup lagi susah daripada dia. Dia tak boleh samakan susah dia dengan susah orang lain. Orang lain punya susah tak semestinya sebab duit. Nasib setiap orang lain-lain. Ellisa menggerutu dalam hati.

"Kau berangan apa lagi?" Teguran Naqiya sekali lagi menyentakkan angan-angan Ellisa.

Ellisa tersentak lalu tersenyum dalam hati. Kalau bukan kerana teguran itu, pasti dia akan terus menghantui dirinya dengan prasangka buruk dan memori tentang neneknya yang akan menyakitkan hatinya sendiri.

"Er, tak ada apa."

"Kan aku dah kata, jangan fikir lagi pasal wan," nasihat Naqiya. Selalu sahaja adiknya itu menduga fikirannya dengan tepat.

"Entahlah, aku dah tak boleh fikir benda lain dah. Setiap kali aku kena 'hairdryer treatment' dengan dia, mesti terngiang-ngiang sampai seminggu." Ellisa merungut tanpa sengaja.

"Apa lagi yang dia cakap sampai kau trauma sangat ni?" Naqiya ingin tahu.

"Dia cakap, sebabkan perangai aku yang macam ni la tak ada sesiapa pun nak kahwin dengan aku," beritahu Ellisa. Nadanya sugul.

Benar. Antara banyak perkara yang disentuh Wan Jamsiah, hal tentang perkahwinanlah yang paling menikam jiwa Ellisa. Dia tidak kesah sebenarnya sekiranya hal itu diungkitkan. Dia sendiripun mahu mendirikan rumah tangga sekiranya ada calon yang sesuai.

Tiada sesiapa yang wajar dipersalahkan. Malah, semuanya sudah tertulis sejak azali. Soal jodoh, ada yang mengumpamakannya sebagai sebuah jambatan. Ada orang perlu merentasi jambatan yang panjang, ada yang hanya merentasi jambatan yang pendek sebelum bertemu dengan jodohnya. Jadi, walau umurnya sudah melebihi pertengahan 20-an, Ellisa yakin dengan ketentuan Allah S.W.T. Dialah Yang Maha Mengetahui segala yang terbaik buat semua hamba.

Sayangnya, Wan Jamsiah menudingkan jari kepadanya, menyalahkan dirinya yang dikatakan serba-serbi bersifat negatif. Mulut celopar, sombong, malas dan yang paling utama; penipu.

"Perangai kau? Perangai buruk kau yang mana?" risik Naqiya.

"Dia kata aku kaki penipu."

Naqiya tertawa kesal sambil menggeleng. Jawapan yang diberikan Ellisa bagaikan satu ayat jenaka buatnya.

Ellisa bagaikan memerli diri sendiri. Kakaknya yang dia kenal sebenarnya bersikap sebaliknya. Terlalu jujur. Jika sifat mulia itu sudah tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang baik, nampaknya benarlah dunia ini memang sudah terbalik.

Ellisa mencebik melihat Naqiya ketawa. Lantas, dia memalingkan semula wajahnya menghadap cermin tingkap di sisi tempat duduknya. Dia tidak mengerti mengapa Naqiya bisa melihat jawapannya sebagai sesuatu yang lucu. Dia salah cakapkah?

Tidak. Dia tahu Naqiya tahu dirinya bukan seorang pendusta. Tetapi, mengapa setiap kali dia berkata benar atau meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya, dia hanya dilihat sebagai seorang yang keji? Kejadian dia dibuang kerja hanya kerana meluahkan kata-kata yang jujur daripada hati menjadi rekod kekejian dirinya yang terkini.

Namun itu bukanlah rekod jenayahnya yang terbesar. Ellisa memejamkan matanya cuba melupakan peristiwa-peristiwa di mana dirinya dibenci kerana amanah dalam berkata-kata. Barangkali disebabkan peristiwa-peristiwa itulah Wan Jamsiah semakin tidak menggemari dirinya.

Dia tidak pandai menipu. Tetapi itu tidak bermakna dia seorang jujur yang sempurna. Jika keadaan memerlukannya untuk menipu, dia tidak akan berkata-kata. Jika sebuah kebenaran yang diketahuinya boleh menggores perasaan orang lain, dia biasanya akan memilih untuk mendiamkan diri, kecuali jika didesak atau terdesak. Namun, banyak keadaan yang berlaku bilamana kejujurannya disalah tafsir.

Ellisa memuncungkan bibir lantas menyandarkan tubuhnya pada kerusi. Alang-alang semua orang sering menyalahtafsirkan niat baiknya, kali ini dia benar-benar berbuat jahat. Sekali lagi, tangannya diseluk ke dalam kocek, membelek barang kesayangan neneknya. Memiliki barang itu menandakan dia semakin berani memberontak.

Ellisa memejamkan mata, enggan memujuk diri untuk rasa bersalah. Sudah tertulis perbuatan mencuri sebagai satu catatan dalam rekod sejarah hidupnya. Namun, hati Ellisa tetap menafikannya. Apa yang dia lakukan cuma untuk membalas apa yang dirasa kepada Wan Jamsiah.

Biar dia meroyan, mengamuk sakan sementara aku bercuti ni. Balik nanti, aku pulangkanlah balik benda ni dekat dia, tutur hati Ellisa.

Jauh di pelosok jiwanya, dia sebenarnya mula rasa bersalah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co