Bab 3
"Lis, tengok tu. Fontana di Trevi!" teriak Naqiya sambil menudingkan jarinya pada sebuah kolam air pancut yang dibina pada zaman kesenian Baroque. Ikon terkenal Rom itu cukup mengagumkan, membuatkan Naqiya kalis dengan bebelan Ellisa yang tidak pernah berhenti sejak mereka menapak keluar dari hotel tempat mereka menginap.
Naqiya membuka langkahnya dengan pantas menuju ke arah kolam tanpa mempedulikan Ellisa yang sedang memanggilnya. Beberapa langkah di belakangnya, Ellisa membuntuti. Naqiya dengan ligatnya bergerak meminta pertolongan seorang pelancong lain untuk mengambil gambar.
Ellisa memaksakan senyuman apabila Naqiya menarik lengannya untuk bergambar. Segalanya berlaku terlalu pantas dengan Naqiya. Tahu-tahu sahaja, sesi penggambaran mereka telah selesai dan Naqiya sudahpun kembali membelek kameranya, menilik gambar yang diambilkan pelancong tadi.
"Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?" tanya Ellisa tidak puas hati. Naqiya tidak menjawab. Dia berpura-pura asyik dengan pemandangan indah di hadapannya melalui lensa kamera SLR miliknya. Tangannya pula tidak berhenti-henti memetik butang alat itu.
"Naqiya..." Ellisa memanggil. Tangannya menutup lensa kamera yang dipegang Naqiya, sekaligus menghalang pandangan gadis itu daripada terus mengambil gambar.
Naqiya berdiri tegak. Wajahnya dipalingkan ke arah Ellisa dengan reaksi yang sukar ditafsir. Sempat dia mengeluh sebelum membuka bicara.
"Ya. Aku dengar. Aku dah dengar sejak semalam. Kau asyiklah bercerita pasal wan. Kalau tak pasal wan pun, pasal lelaki yang kau suka tapi tak kesampaian tu. Come on, Ellisa. Let yourself lose and enjoy. Bukankah ini tujuan kita datang sini?" ujar Naqiya cuba merasionalkan minda kakaknya yang nampak kian celaru.
"Tujuan aku bawa kau melancong dengan aku untuk kau dengar segala luahan isi hati aku," bantah Ellisa. Naqiya menggeleng. Entah apalah yang difikirkan Ellisa, dia tidak bisa mengerti.
"Haish, penatlah aku kalau asyik dengar kau membebel. Kalau setakat nak meluahkan perasaan, tak payah buat dekat sini pun tak apa. Dalam bilik aku pun boleh jadi. Alang-alang kita dah sampai sini, apa kata kau lupakan segala masalah kau. Kita datang sini bukan selalu. Mungkin sekali aje seumur hidup." Naqiya berhujah.
"Tahulah. Tapi, aku risau juga. Kalaulah apa yang wan cakap pasal aku tu betul..."
"Jangan biar ayat-ayat orang tua tu meracuni fikiran kau. Bukankah kau selalu kata kau yakin kau akan jumpa dengan mr. right guy?" Pantas Naqiya memotong ayat Ellisa. Penat berdiri, dia melabuhkan punggungnya di tepi kolam Fontana di Trevi yang besar itu.
"Aku rasa aku dah jumpa mr. right guy aku tapi..." Ellisa berdiri di hadapan Naqiya sambil menyilangkan tangannya ke dada.
"Tapi, apa? Kalau bertapi-tapi tu maknanya dia bukan orangnya," protes Naqiya. Hatinya merungut. Bilalah perbicaraan tentang hal ini akan dihentikan Ellisa?
"Aku macam nak cuba kawan dengan dia dengan lebih rapat tapi aku tak tahu macam mana. I'm definitely clueless." Ellisa mengadu. Berat untuk dia akui dia sememangnya lemah dalam hal-hal sebegini. Dia tidak pernah mempunyai kawan lelaki yang rapat dengannya.
Naqiya melepaskan satu keluhan yang berat. Matanya dialihkan ke tempat lain. Tidak berdaya dia mahu merenung wajah Ellisa lama-lama. Ingatkan dengan melancong, bolehlah kakaknya bertenang sedikit. Rupa-rupanya semakin tak keruan... Sudah berjuta kali kisah jejaka yang disukainya yang dikenali sebagai Amier itu diulangi.
"Kau perasan tak dekat Rome ni banyak fountain?" soal Naqiya, cuba mengubah topik perbualan mereka.
"Kau ni... Aku cakap pasal lain, kau cakap pasal lain." Ellisa merungut.
"Kau nak cakap pasal apa lagi? Pasal Amier? You should stop thinking that he's the one. And don't make yourself sound so desperate, Ellisa. Tak pun, kau pergilah mengurat mat-mat salih sementara kau ada dekat sini kalau kau nak boyfriend sangat!" tegur Naqiya tegas membuatkan Ellisa mencebik. Buat seketika, mereka berhenti berbicara.
"Ambil ni." Tiba-tiba Naqiya menghulurkan sekeping syiling berwarna emas. Ellisa spontan menyambut huluran Naqiya tanpa berfikir panjang.
"Kalau kau rasa kau nak cepat jumpa mr. right guy kau, orang dekat sini ada petuanya." Naqiya mula berjenaka. Dari dompet yang dipegang, dia turut mengeluarkan sekeping syiling untuk dirinya.
"Apa kau cakap ni?" Ellisa kehairanan.
"Itulah kau. Masa aku cerita pasal fountain ni semalam, kau tak nak dengar. Orang kata, kalau kau campakkan syiling dalam kolam ni kau akan datang balik ke Rome," jelas Naqiya.
"Yakah?" Ellisa kurang yakin dengan penjelasan Naqiya. Bunyinya macam mengarut sahaja.
"Orang kata. Aku tak percaya pun. Bagi aku, nak datang balik kena ada duit aje."
"Tapi, aku rasa aku nak campakkan satu syiling dalam kolam ni. Saja aje seronok-seronok. Nak cipta kenangan," ujar Naqiya lagi. Gembira rasa hatinya apabila berjaya mengalihkan topik perbualan mereka.
Ellisa mengerutkan dahi.
"Ada juga yang panggil Fontana di Trevi ni sebagai fountain of love. Local people believed that if you throw in a coin and wish for love, that wish will eventually come true," sambung Naqiya dengan lagak seperti seorang pemandu pelancong.
"Perli aku ke apa?" Tak semena-mena, Ellisa terasa.
"Hei, kau juga yang sibuk nak cari calon cepat."
"Kau harapkan aku berdoa dekat air pancut?" Ellisa memprotes.
"Aku tak suruh pun kau berdoa dekat air pancut. Aku ajak kau campak syiling dekat dalam ni untuk cipta kenangan dengan Fontana di Trevi," balas Naqiya sambil menunjuk-nunjukkan jarinya pada air kolam di belakangnya.
"Tak naklah!" bantah Ellisa perlahan. Tangannya yang menggenggam syiling dibuka perlahan. Belum sempat pun dia menilik syiling itu, Naqiya pantas menepis tangannya, memaksa kepingan logam itu melambung. Syiling itu terbang seketika di udara sebelum mendarat di satu tempat di dalam air kolam legenda di hadapan mereka.
Serta-merta selepas menyedari perbuatan Naqiya itu, Ellisa terlopong. Mulutnya disembunyikan di sebalik tangannya. Naqiya turut berpura-pura ternganga namun ekspresi itu segera berubah kepada sebuah senyuman. Dia yakin Ellisa akan faham akan gurauannya. Bukan tidak biasa mereka berdua bergurau begitu. Setakat bermain tepis-tepis tangan, permainan remeh sahaja.
"Apalah kau ni, Lis. Kalau nak campak tu tak boleh bagi tahu aku dulu ke? Aku nak ambil gambar," bicara Naqiya dalam nada kecewa yang dibuat-buat.
Naqiya turut mencampakkan syilingnya ke dalam kolam apabila mata Ellisa tertancap pada sebelah lagi tangan Naqiya yang sedang memegang dompet. Ellisa mengambil beg duit itu dari tangan Naqiya. Perutnya tak semena-mena terasa kecut. Lututnya menggeletar. Dompet kulitnya diselongkar. Naqiya hanya memerhatikan tindakannya dengan pandangan yang kosong.
I am so dead! jerit Ellisa dalam hati. Tubuhnya terus terasa longlai. Separuh nyawanya bagaikan melayang.
"Kau ni kenapa? Tiba-tiba aje berlagak macam zombie?" soal Naqiya. Dapat dilihat perubahan drastik di wajah Ellisa seolah-olah wanita itu sedang dilanda masalah dunia.
"Kenapa kau korek dompet aku?" Ellisa menggagahkan diri bertanyakan soalan biarpun tekaknya terasa kelat dan berpasir.
"Sebab aku tak ada duit syiling," jawab Naqiya ringkas.
Ellisa tercengang. Tidak berdaya lagi baginya untuk terus bersuara dengan anak tekak yang terasa kering kontang. Tubuhnya mula terasa seram sejuk. Buat seketika, otaknya berhenti berfungsi. Keupayaannya untuk berbahasa terencat seketika.
"Tak payahlah berlagak macam zombie sangat. Yang kau campak tu pun duit lima puluh sen Malaysia aje." Naqiya cuba mengembalikan semangat kakaknya yang hilang tanpa alasan yang dia ketahui. Bahu Ellisa ditepuk-tepuk lembut sebagai tanda memujuk.
"Yang kau frust sangat ni kenapa?" Naqiya semakin kehairanan apabila cubaannya untuk memujuk tidak membuahkan hasil. Sedikit perasaan bersalah kerana menepis sekaligus memaksa Ellisa membuang syiling itu ke dalam kolam mula mengesan jiwanya.
Ellisa menelan liurnya yang terasa pahit. Kekuatan yang masih bersisa dalam diri dikumpulkan bagi membolehkannya bersuara. Setelah beberapa saat menghela dan menghembus nafas secara perlahan, Ellisa mula membuka rahsia.
"Sebab... Duit yang aku campak tu sebenarnya wan punya syiling emas."
Naqiya tercengang. Hanya matanya yang terkebil-kebil. Sebelum dia sempat menyusun persoalan yang muncul bertubi-tubi dalam mindanya, Ellisa sepantas kilat menghilang dari depan mata. Naqiya yang masih terpinga-pinga mengekori kakaknya dengan mata sahaja.
Ellisa bergegas ke sebelah kanan tebing kolam Fontana di Trevi yang besar itu. Sekilas pandang tadi, dia yakin dia nampak syiling dari tangannya telah melambung dan mendarat di kawasan tebing itu. Kalau setakat di tebing, dia boleh capai sahaja syiling itu dari dasar kolam. Mujur syiling emas itu tidak terlempar jauh ke dalam perut kolam.
Dia mula memanjangkan leher, memerhatikan setiap syiling dari pelbagai negara terutama yang berona emas yang bersepah di dasar kolam. Kocakan air kolam yang perlahan menyukarkan pandangannya untuk mengenal pasti barang yang dicari namun dia tidak hilang fokus.
"Ellisa, kau cari apa?" soal Naqiya spontan apabila mendapati kakaknya sedang sibuk mengintai-intai setiap syiling di dasar kolam. Dia tahu jawapan kepada soalan itu namun otaknya tidak dapat menjana soalan yang lebih praktikal.
"Cari emas tu la," jawab Ellisa, acuh tak acuh. Matanya tajam memerhatikan dasar kolam.
Tanpa dipinta, Naqiya meniru perbuatan Ellisa. Baru sahaja dia perhatikan dasar Fontana di Trevi, dia terkedu. Syiling emas yang bertaburan di situ bukannya satu. Nampaknya, ini bukan kerja senang!
"Eh, macam mana kau nak cari? Banyak syiling warna emas dalam ni. Apa kata kau pergi kedai aje tempah emas baru untuk wan?" Naqiya memberi cadangan. Matanya masih mengimbas pada dasar kolam namun dia lebih berminat untuk mengkaji rekaan mata wang setiap syiling yang dilihat.
"Syiling emas tu lain design dia. Ada gambar kuda kat tengah dia."
"Kuda?" Naqiya mengangkat wajah melihat Ellisa yang masih khusyuk merenung ke dalam air. Ellisa merespons dengan mengangguk laju.
Berkerut-kerut dahi Naqiya cuba membayangkan rupa syiling emas bergambar kuda yang dikatakan Ellisa. Pun begitu, perhatiannya diberikan semula ke dasar Fontana di Trevi.
"Eh..." Naqiya tiba-tiba teringat akan sesuatu.
"Takkan syiling yang kau cerita ni salah satu daripada syiling set catur yang wan suka sangat tu?" soal Naqiya. Perhatiannya beralih lagi kepada Ellisa setelah tidak sampai satu minit dia mengalihkan pandangan.
"Memang syiling dari situ pun," akui Ellisa.
"Macam mana boleh ada pada kau? Takkan wan bagi? Ke kau curi? Macam mana kau curi? Kenapa tak ajak aku sekali? Kenapa tak curi semua aje?" soal Naqiya bertubi-tubi sambil meraih lengan Ellisa. Lengan itu digoncang-goncang sehingga gadis itu hilang fokus untuk terus mencari.
"Aku curilah, aku curi!" Ellisa serta-merta bersuara, menjimatkan sebuah pertelagahan. Dadanya ditepuk-tepuk tanda mengaku. Naqiya terlopong tidak percaya. Tetapi, dia arif benar dengan perangai Ellisa yang tidak pandai menipu.
"Padanlah hari tu dekat airport dia duk telefon aku tanya-tanya pasal emas dia tu. Lepas tu bila dia nak bercakap dengan kau, kau selamba aje reject. Rupanya sebab kaulah penjenayahnya!" ulas Naqiya sambil mencucuk-cucuk pipi Ellisa dengan jari telunjuknya. Ada nada kagum terselit di celah suaranya.
Ellisa melepaskan satu keluhan sebelum menyambung kembali kerjanya. Jantungnya berdebar-debar. Perasaan bersalah semakin menebal dalam diri. Terkenang-kenang pula dia akan detik sewaktu dia mengambil emas itu dari simpanan neneknya.
ELLISA berjalan dengan tangkas menuju ke kereta. Perasaan marah yang bercampur dengan pelbagai perasaan lain teradun menjadi satu dalam sanubarinya. Walaupun ini bukan kali pertama dia dihamburkan dengan kata-kata sebegitu dari mulut Wan Jamsiah, tetapi inilah pertama kali dia merasa cukup berang sehingga terlintas niat untuk membalas dendam.
Perasaan itu tidak diberikan perhatian serius. Ellisa menyelongkar beg tangannya, mencari kunci kereta Perodua Viva yang sepatutnya berada di situ. Setelah pasti kunci yang dicari tiada di tempatnya, dia berpatah balik masuk ke dalam rumah.
Tanpa perlu mencari, Ellisa terlihat kunci keretanya di atas meja kopi yang terletak bersebelahan dengan bilik Wan Jamsiah. Selain kunci kereta, beberapa barang berharga milik Wan Jamsiah yang tadinya tiada di situ didapati berada di atas meja yang sama. Dalam banyak-banyak barang itu, sebuah kotak perhiasan diperbuat daripada kayu menarik perhatiannya. Penutup kotak dibuka lalu bibirnya mengukirkan senyuman.
Terpampang di hadapannya, tiga puluh dua keping syiling diperbuat daripada logam berharga. Enam belas keping syiling daripada perak manakala enam belas lagi daripada emas. Setiap kepingan syiling mempunyai ukiran gambar yang mewakili buah catur. Begitu juga dengan susunannya.
Oh... Ini ke wan punya harta yang paling dia sayang? bisik hati kecil Ellisa. Selama in dia cuma dengar-dengar sahaja. Tidak sangka pula ura-ura tentang set catur emas milik Wan Jamsiah itu benar-benar wujud, bukannya mitos.
Terdengar-dengar pula suara Wan Jamsiah bercerita tentang set emas itu suatu masa dahulu. Katanya, set koleksi emas itu dihadiahkan mak ngah sewaktu anaknya itu dihantar bekerja ke seberang laut dulu. Beratus ribu wangnya dihabiskan demi mengambil hati ibundanya yang tercinta, Wan Jamsiah. Kata mak ngah, dia dapatkan set catur syiling itu melalui satu lelongan di Sweden. Ellisa tidak pernah percayakan cerita itu. Baginya, semua itu cuma kisah yang dibentangkan untuk bermegah semata-mata.
Ellisa melihat sekeliling. Wan Jamsiah tiada dalam pandangan mata. Diintai pula ke dalam bilik Wan Jamsiah yang sedang terbuka luas pintunya. Yang ada cuma pembantu rumahnya yang sedang sibuk membersihkan bilik tidur Wan Jamsiah. Wanita Indonesia itu begitu khusyuk bekerja, Ellisa yakin kehadirannya di situ tidak disedari sesiapa.
Padanlah benda ni dia letak dekat sini. Dia tengah mengemas dekat dalam tu rupanya. Ellisa merasionalkan fikiran. Sebuah pelan jahat pantas terbentuk dalam mindanya.
Dia melalukan jari di setiap kepingan syiling emas yang tersusun di dalam kotak kayu antik yang beralaskan kain baldu berwarna hitam. Semuanya tampak menawan namun sejahat-jahat niat dalam hatinya, dia hanya membenarkan diri untuk mengambil sekeping sahaja.
Dia niatkan perbuatannya sebagai gurauan melampau terhadap Wan Jamsiah. Dia mahu merasa perasaan membalas dendam, menyakitkan hati Wan Jamsiah yang baru sahaja menyakitkan hatinya.
Pawn, rook, knight, bishop, queen, king... Aku nak yang mana satu? fikir Ellisa sejenak sebelum mengambil keputusan untuk memangsakan sekeping syiling emas bergambar kuda. Kotak itu ditutup semula dengan cermat lalu Ellisa bergegas keluar dan terus menghilang dengan emas di dalam genggaman.
"BANYAK syiling Euro ajelah dekat dalam ni," rungut Naqiya dengan niat agar Ellisa menghentikan operasi mencari syiling emas kuda milik neneknya. Sudah hampir sejam mereka tertunduk-tunduk di tepi kolam. Malu rasanya apabila ada orang lain yang memerhatikan perlakuan mereka.
Ellisa yang juga sudah kepenatan mata merenung ke dalam air sambil berdiri tegak lalu mencekak pinggang. Pandangan matanya ditebarkan di kawasan itu. Hatinya mula terasa ragu.
Aku nampak tadi macam emas tu terjatuh dekat kawasan ni. Tapi, kenapa tak jumpa? Takkan aku salah nampak? Takkan sebenarnya emas tu tercampak dekat tengah kolam?
Ellisa menggeleng memikirkan betapa dia tidak sanggup meredah Fontana di Trevi sekaligus memalukan diri di tempat awam. Jika dia berani berbuat begitupun, belum tentu emas Wan Jamsiah akan dijumpai. Mungkin baru celup sebelah kaki, dia sudah dihalau polis peronda.
"Sudahlah tu, Ellisa. Give up ajelah," pujuk Naqiya sambil mengurut-urut pangkal lehernya yang terasa lenguh akibat membongkok terlalu lama.
"Macam mana ni?" Ellisa menyuarakan kerisauannya. Kekesalannya tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
"Kaulah ni. Kenapa tepis tangan aku?" marah Ellisa. Dia cuba melegakan hatinya dengan menyalahkan Naqiya namun percubaannya gagal.
"Aku pula? Yang kau pergi ambil benda tu kenapa?" Naqiya marah balik.
"Aku geram sangat dengan wan waktu tu. Rasa nak balas dendam aje dekat dia."
"Dengan ini, dendam kau dah terbalas secara rasminya."
"Hei, aku taklah sejahat tu. Aku menyesal tau curi emas tu daripada dia. Aku memang berniat nak pulangkan bila balik nanti. Kaulah ni! Pandai-pandai selongkar dompet aku!"
"Mana aku tahu. Aku ingat tu syiling lima puluh sen Malaysia," jawab Naqiya dengan nada tidak bersalah. Ellisa memeluk tubuh. Tiada sebarang kata terluah dari bibirnya.
Itulah! Buat jahat lagi. Inilah padahnya! Ellisa memarahi diri dalam hati.
"Janganlah emo sangat, Lis. Lain kali bila wan marah, kau boleh ingatkan diri yang kau pernah hilangkan emas dia. Tak adalah kau rasa tak puas hati sangat. Waktu tu kau akan kata; padan muka. Aku dah hilangkan emas kau."
Ellisa mencebik. Ayat pujukan yang diluahkan Naqiya berkualiti rendah. Entah apa-apa. Kata-kata semangat yang disuntik semuanya berunsurkan elemen negatif. Kalaupun bergurau, tidak bolehkah fikirkan kata-kata yang boleh meringankan beban dalam hati? Sikitpun jadilah.
"Lagipun, set catur emas wan tu, bukannya semua emas tulen," sambung Naqiya lagi.
"What?" Kenyataan Naqiya berjaya menarik perhatian Ellisa.
"Kau tak tahu ke? Antara enam belas keping syiling emas tu, satu aje emas tulen," jelas Naqiya selamba. Ellisa menelan liur. Segaris sinar harapan muncul dalam jiwa.
"Mana kau tahu?" soal Ellisa serius.
"Aku pernah dengar wan bercakap dalam tidur dia pasal tu," ujar Naqiya sama serius.
"Bohong!" Ellisa memukul lengan Naqiya.
Baginya, alasan yang Naqiya berikan sungguh tidak logik. Membayangkannya sahaja boleh membuatkan orang ketawa, apatah lagi menyaksikan sendiri Wan Jamsiah membongkarkan rahsianya ketika sedang tidur. Lagipun, setahunya, Wan Jamsiah tidak bercakap dalam tidur. Kalau dia mengigau pun, siapa yang tahu? Dia tidak pernah tidur sebilik dengan sesiapa.
"Tak adalah. Aku pernah terdengar mak ngah beritahu kepada wan pasal emas tu. Saja aje dia besar-besarkan cerita kata semua tu emas tulen."
"Ya ke?"
"Yalah. Jadi, kau tak payahlah risau sangat," omel Naqiya. Tangannya dikibas-kibaskan seolah-olah mahu menghalau kerisauan Ellisa supaya pergi.
"Antara enam belas keping tu, yang mana yang tulen?" soal Ellisa penuh harapan.
"Itu... Aku tak tahu. Wan aje yang tahu sebab waktu tu, aku dengar aje perbualan dia orang. Apa yang mak ngah tunjuk dekat wan aku tak nampak. Jadi, kebarangkalian untuk kau curi emas tulen hanya 1/16. Yang tercampak dekat dalam kolam ni mungkin emas palsu aje. Jadi, tak payah meroyan sangat."
"Bukan emas tulen pun, benda tu tetap dia punya. Aku tetap bersalah..." ucap Ellisa. Terbayang pula dalam igauan akan kerajaan catur milik Wan Jamsiah yang ahlinya tidak sempurna. Kalau set catur itu miliknya sendiri, dia pun akan sakit hati melihat set itu tidak lengkap.
"Aku baru aje nak suruh kau jangan mengaku kalau dia tanya. Baru thrill. Tapi, memandangkan kau dah macam ni, kau mengaku ajelah bersalah kepada dia. Terima ajelah hukuman yang dia nak bagi kepada kau nanti," cadang Naqiya.
"Oh, tidak..." keluh Ellisa penuh syahdu lalu mengembalikan perhatiannya ke dasar Fontana di Trevi. Serta-merta dia diselubungi perasaan gementar.
Pencarian harta karunnya diteruskan lagi. Kali ini tumpuannya tidak berbelah bagi. Yang hadir dalam dunianya kini cuma Fontana di Trevi dan beratus-ratus syiling yang bertaburan di dasarnya. Tanpa disedari, kakinya juga turut melangkah perlahan-lahan menyelusuri tebing kolam, mengikuti jejak matanya yang beralih dari syiling ke syiling.
Ellisa tersentak tatkala bahunya terlanggar sesuatu. Walaupun gementar masih menghantui, fokusnya terus lesap tatkala dia mengalihkan pandangan ke sisi. Tubuhnya terus berdiri tegak. Entah mengapa dia rasa menggelabah semacam.
"I'm sorry." Pantas dia mengucapkan kata sambil menundukkan wajah tanpa sempat melihat orang yang dilanggarnya secara tidak sengaja tadi.
Ellisa mengangkatkan wajah. Lelaki yang berada di hadapannya sedang merenungnya tanpa sebarang ekspresi. Otaknya yang sedang ligat berputar hanya mampu menjana maklumat bahawa lelaki berbangsa asing di hadapannya itu mungkin tidak memahami bahasa Inggeris.
Ellisa menelan liur. Kekalutan mula menghantui diri. Beg yang tersilang di tubuh segera dipunggah. Buku komunikasi mudah dalam bahasa Itali terus dikeluarkan. Dengan pantas dia menyelak-nyelak muka surat buku itu, mahu mencari kata maaf dalam bahasa asing itu. Tidak sampai sepuluh saat, matlamatnya tercapai.
"Mi scusi," tuturnya dalam bahasa Itali. Namun, ekspresi lelaki itu masih tidak berubah.
Ellisa semakin gementar tanpa alasan yang pasti. Dari raut wajah lelaki itu, Ellisa pasti dia berasal dari Eropah. Tetapi dari negara mana dia kurang pasti. Baginya, orang-orang dari negara Eropah semuanya sama sahaja rupanya. Pun begitu, otaknya mula memunggah ingatan, mencari sebaris ayat ucapan maaf bahasa asing negara-negara lain yang pernah dipelajarinya secara tidak sengaja melalui pembacaan atau televisyen.
"Sinto muito, gomenasai, enna mannichudung, jwe song hamnida... je suis désolée," ucap Ellisa sebelum tangannya ditarik oleh Naqiya.
Naqiya yang sedari tadi menyaksikan gelagat Ellisa hanya mampu menghadiahkan sengihan sumbing kepada lelaki asing itu. Lelaki asing itu akhirnya tersenyum. Dia lalu mengangkatkan tangannya, melambai perlahan kepada mereka.
Ellisa juga tersenyum tatkala menerima isyarat itu, sebagai tanda bahawa dirinya dimaafkan. Dia menghembuskan nafas lega. Akhirnya, apa yang dipertuturkan difahami oleh lelaki itu.
"Kau ni... Buat malu aje," tegur Naqiya setelah mereka berada beberapa tapak menjauhi Fontana di Trevi.
Ellisa cuma tersengih sumbing. Apapun yang berlaku, hatinya masih lagi runsing...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co