Bab 7
Buku notanya dibuka lagi. Rancangan yang telah dia rangkakan sejak perjumpaannya dengan Zayn dibaca entah untuk kali yang keberapa, dia sendiripun kurang pasti. Sungguh, dia tidak menyangka dirinya akan berasa selesa dengan kepulangan Wan Jamsiah. Waktu ini, dia cuma perlu menanti seruan Wan Jamsiah untuk berbicara dengannya setelah beberapa hari pulang dari melancong.
"Ellisa!" Kedengaran teriakan Wan Jamsiah dari sebalik pintu bilik Ellisa.
"Yes!" Ellisa bermonolog. Cepat-cepat dia menutup buku notanya. Masa yang dinanti-nantikan telah pun tiba.
"Ya, wan..." jawab Ellisa seraya melangkah keluar dari bilik yang ghalibnya dihuni oleh pembantu rumah neneknya.
"Kau mari sini. Aku ada benda nak bincang dengan kau," panggil Wan Jamsiah dari dapur.
Lis tahu... Ellisa menjawab dalam hati yang menyanyi-nyanyi. Langkahnya ringan menuju ke dapur. Di situ, Wan Jamsiah dilihat sedang duduk di meja makan sambil menikmati hidangan minum petangnya; macaroon yang dibeli dari Australia dan kopi O tanpa gula.
"Apa dia, wan?" Ellisa berpura-pura menyoal. Dia memakukan langkah di hadapan Wan Jamsiah tanpa ada sebarang niat untuk duduk sekali di meja tersebut.
"Dah dapat dah emas aku?" soal Wan Jamsiah sambil mengangkat keningnya nan tajam.
"Belum..."
"Belum?! Kau tahu tak, semakin lama kau tangguh untuk dapatkan balik emas aku, semakin lama kau akan jadi kuli aku?" Wan Jamsiah menggertak tegas.
"Memanglah emas tu Lis belum dapat lagi. Tapi, sekurang-kurangnya dia dah tukarkan syarat dia untuk pulangkan emas tu," jelas Ellisa tenang. Dia kekalkan mindanya supaya sentiasa positif dan tidak melenting sebelum keadaan menjadi tegang.
"Apa syarat-syarat? Dia kan kawan kau, minta ajelah. Kan aku dah kata aku tak nak ada syarat-syarat ni!"
"Dia bukan kawan Lislah," nafi Ellisa pantas.
"Pembohong!" Perkataan mudah yang diluahkan Wan Jamsiah itu berjaya menggugat kesabaran Ellisa. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menggenggam tangan demi memujuk diri.
"Suka hati wanlah nak anggap Lis ni apa. Yang Lis tahu, apa yang Lis cakap ni semua cerita betul. Macam mana wan nak sangat emas tu, macam itulah juga Lis nak sangat pulangkannya kepada wan," akui Ellisa selamba.
"Okey. Suka hati kaulah. Tapi, ingat... Aku takkan kira gaji kau selagi kau tak pulangkan emas aku."
"Lis tak kesah kalau wan nak buat macam tu. Tapi, alang-alang Lis tak dapat apa-apa buat masa ni, baik Lis balik rumah mak, betul tak? Kalau tak pun, biarlah Lis cari kerja lain. Sekurang-kurangnya masa Lis terbayar walaupun tak dapat sepuluh ringgit sehari daripada wan."
"No way! Kau nak mencari alasan untuk keluar dari rumah aku, kan?!" Wan Jamsiah menghentak keras tangannya ke meja. Bergegar segala barang yang berada di atasnya. Cawan yang berisi kopi O turut menumpahkan isinya. Wan Jamsiah nyata tidak bersetuju dengan cadangan cucunya. Hampir gugur jantung Ellisa dengan tindakan drastiknya.
Ellisa kemudiannya tersenyum sinis. Benar, itulah tujuan sebenarnya. Dia nampak peluang untuk sedikit kebebasan diri melalui syarat baru Zayn. Kerana, untuk memenuhi syarat itu, dia perlukan kelonggaran untuk keluar rumah. Hak itulah yang disekat daripadanya oleh Wan Jamsiah sekaligus menyukarkan misinya menunaikan syarat yang telah dipersetujui.
"Wan, mahu atau tidak, percaya atau tak... Lis kena tunaikan syarat mamat tu sebelum dia boleh pulangkan emas wan tu. Jadi, apa yang Lis buat ni untuk kita berdua. Bukan untuk Lis aje," terang Ellisa lagi.
"Aku tak benarkan. Ini cuma alasan kau untuk larikan diri daripada aku!"
"Lis akan tetap keluar dari rumah ni sama ada wan benarkan atau tidak. Melainkan kalau wan boleh benarkan Lis keluar rumah sekali-sekala."
"Apa tujuan kau nak kena keluar sekali-sekala tu? Kau dah pandai nak keluar berdating dengan boyfriend kau tu?"
"Tak. Tolonglah... Dia bukan boyfriend Lis!" gerutu Ellisa.
"Kau kena ingat, aku takkan benarkan kau kahwin dengan dia kalau kau orang kena tangkap basah sekalipun." Wan Jamsiah berkeras dengan tanggapan negatifnya.
Ellisa sentap. Begitu hina sekali pandangan Wan Jamsiah terhadap dirinya. Dia cuma memerlukan sedikit kebebasan. Permintaan mudah sebegitu pun boleh dijadikan alasan untuk dicop sebagai seorang yang tidak bermaruah? Terbakar hati Ellisa dibuatnya.
"Suka hati wanlah nak tuduh Lis ni sebagai apa," ujar Ellisa dengan kesabaran yang masih bersisa. Tiada gunanya dia terus bertekak dengan Wan Jamsiah. Segala apa yang diperkatakannya bagai menegakkan benang yang basah sahaja.
"Yang Lis tahu, emas tu Lis akan tetap pulangkan kepada wan."
AWAN yang mendung semakin galak menunjukkan rajuknya. Keadaan kian menggelap, angin dingin meniup dengan kencangnya. Bunyi guruh dan kilauan kilat turut menyertai pesta cuaca buruk yang dianjurkan langit. Ellisa keresahan. Matanya tidak lagi betah memandang ke atas. Mindanya hanya difokuskan untuk melangkah dengan lebih laju, sekurang-kurangnya sehingga dia menjumpai tempat untuk berteduh.
Ellisa akhirnya menghembus nafas lega apabila matanya terlihat sebuah tempat menunggu bas yang terletak berdekatan. Dengan ayunan langkah yang lebih tangkas daripada biasa, dia sampai ke situ sebelum pakaiannya lencun dibasahi air hujan gerimis yang sudah mula turun. Dalam keadaan hampir mengah, dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk yang disediakan.
Pandangan matanya ditebarkan ke hadapan, merenung suasana jalan yang lengang. Hanya kelihatan satu atau dua buah kereta sahaja. Bunyi air hujan yang mengetuk-ngetuk bumbung tempat dia berteduh semakin kuat kedengaran di cuping telinga. Titisan-titisan air dari langit semakin lebat gugur ke bumi. Ellisa melepaskan satu keluhan. Dengan keadaan cuaca yang hujan dan beribut, nampaknya dia tidak akan selamat daripada dibasahi air.
Ellisa reda. Dia sendiri yang menempah kesusahan. Akibat sebegini memang sudah boleh dijangka dan dia rela menghadapinya asalkan dia tidak lagi berada di kediaman Wan Jamsiah.
Kejadian sebelum dia melarikan diri terpahat kukuh dalam ingatan. Apa yang berlaku sukar untuk dipercayai namun benarlah kata orang; kita tidak akan kenal sepenuhnya perangai seseorang sehingga kita tinggal bersamanya.
"ISY!" Itu sahajalah kata yang mampu diluahkan apabila matanya melihat ke dalam beg duitnya yang kosong. Atas harapan yang tipis, dia memunggah-munggah lagi isi di dalam dompetnya agar dipertemukan dengan sedikit wang walaupun sebanyak lima sen.
Memang lima sen sahaja yang dijumpainya. Ellisa mengeluh. Beg galasnya diayunkan ke bahu lalu dengan langkah yang keras dia bergerak keluar dari biliknya dan menuju ke luar. Di luar, dia terlihat kelibat Wan Jamsiah yang sedang duduk di atas kerusi malas sambil mengusap-usap Polo, kucing kesayangannya yang tidak berbulu.
"Wan, wan ambil duit Lis, eh?" soal Ellisa separuh merungut. Beg duitnya diangkat agar dilihat Wan Jamsiah.
Wan Jamsiah yang sudah sedia maklum akan rancangan Ellisa untuk ke rumah emaknya hari ini tersenyum sinis. Dia langsung tidak mengalihkan perhatiannya pada Ellisa, sebaliknya kucing jenis Sphynx yang berada di atas ribanya lebih berbaloi diberikan tumpuan.
"Ha, ambillah duit Lis tu. Lis tak hairan. Tak dapat naik bas, jangan ingat Lis tak mampu jalan kaki!" bentak Ellisa kegeraman. Sudah diberikan kunci kereta sebagai cagaran, diambil pula wang. Entah apa lagi yang wanita tua itu tidak puas hati, Ellisa enggan meneka.
"Pergilah balik jalan kaki," cabar Wan Jamsiah.
Ellisa menyahut cabarannya. Bersertakan keyakinan, dia melangkah menuju ke pintu pagar rumah, dan kemudian menyedari pintu itu masih berkunci. Dalam angannya, dia terbayang wajah Wan Jamsiah sedang galak mentertawakannya. Pasti neneknya itu sudah menyorokkan kunci pintu pagar demi menghalangnya pergi.
"Kenapa tercegat lagi dekat situ? Pergilah balik," perli Wan Jamsiah. Jantung Ellisa bagaikan dicucuk-cucuk. Provokasi Wan Jamsiah memaksanya membalas dengan cara yang sama.
Tanpa berfikir panjang, Ellisa menggenggam kedua-dua belah tangannya pada besi menegak pintu pagar sebelum menaikkan sebelah kaki. Dengan selamba dia memanjat pintu pagar besi yang menghalangnya daripada menerjah ke dunia luar.
Menyaksikan keberanian Ellisa menyahut cabarannya untuk memijak harta bendanya, Wan Jamsiah terus melenting. Dia lantas bingkas dari duduknya, Polo pun dia campak ke tepi. Ellisa tersenyum melihat keletahnya. Akhirnya, dirinya berjaya meraih tumpuan!
"Kau turun, Ellisa! Habis rosak pintu pagar aku karang!" teriak Wan Jamsiah. Pada waktu ini, Ellisa telah pun selamat mendarat di sebelah luar kawasan rumah.
Ada ke dia lebih sayangkan pintu pagar yang diperbuat daripada besi tu daripada aku ni? Ellisa berbicara sendiri dalam hati. Tetapi, sedikitpun dia tidak merasa kecil hati. Dia sudah boleh menerima kenyataan dirinya tidak disayangi Wan Jamsiah.
"Hei, you! Dengar tak?!" teriak suara seorang lelaki lalu menyentakkan Ellisa daripada terus melayan lamunan. Dia mengangkatkan matanya, memandang ke hadapan. Terdapat sebuah kereta berwarna hitam sedang terparkir kemas. Si pemandu kereta pula sedang sibuk melambai-lambai sambil memanggil namanya.
Ellisa terpanar sejenak. Melihatkan wajah si pemandu kereta tersebut, dia bingkas dan terus melangkah pergi tanpa mempedulikan keadaan cuaca yang masih hujan. Dia mula merungut dalam hati apabila kereta hitam itu turut mengekori langkahnya, menyusuri jalan raya yang basah dengan perlahan, asalkan bersaing dengan langkah Ellisa.
"Ellisa..."
"Ya!" Ellisa memberhentikan langkahnya. Dia memusingkan badan, menghadap Zayn yang sedang berada di dalam kereta. Perasaan dirinya yang sedang terganggu cuba diselindung di balik ekspresi wajah yang sedang tersenyum tawar.
"Buat apa berdiri? Masuklah cepat." Zayn pantas mempelawa Ellisa untuk menumpang keretanya.
"Kenapa ek sejak kebelakangan ni, ke mana saya pergi, awak selalu ada?" ucap Ellisa dalam nada menyindir. Zayn mengerutkan dahi.
"Bila masa pula? Last time, bukan kita yang rancang untuk berjumpa?" Respons Zayn membuatkan Ellisa termalu sendiri. Namun, dia mengeraskan ekpresi.
Kakinya diayunkan kembali untuk menapak. Sejujurnya, dia tidak suka berhadapan dengan Zayn. Tidak keruan dibuatnya. Mengapa? Mungkin sebab lelaki itu memiliki emas Wan Jamsiah yang dicurinya dulu sekaligus membuatkan dirinya merasa terikat.
"Ellisa, come on..." Zayn mengajak sekali lagi dalam nada memujuk.
Ellisa menggeleng tanda menolak pelawaan Zayn. Dari saat dia terlihat Zayn di hadapannya, dia sudah menilik akibatnya jika dia menumpang kereta jejaka itu. Pastinya lelaki itu akan bertanyakan perkembangan Ellisa dalam menunaikan syaratnya. Akibatnya, dia akan merasa terbeban kerana dia sememangnya belum lagi melakukan apa-apa untuk menunaikan syarat itu.
Tapi, macam mana kalau dia paksa aku dengan menggunakan emas kuda tu? angan Ellisa ligat berimaginasi. Hatinya menjawab, jika itu yang terjadi maka dia terpaksalah mengalah pada kehendak jejaka itu.
"You're aware it's raining, right?" soal Zayn, cuba untuk tidak berputus asa.
"Yes. It's just drops of water falling from the sky," ujar Ellisa yang menunjukkan bahawa dia tidak gusar dengan sedikit perubahan cuaca.
Zayn mengeluh. Melihatkan ketegaran Ellisa untuk tidak menerima ajakannya, dia mengalah. Tidak terdaya untuknya memaksa. Dia menoleh ke tempat duduk belakang keretanya. Sekaki payung dicapai lalu dihulurkan kepada Ellisa.
"Kalau tak nak naik, at least please accept this," ujar Zayn. Hati Ellisa melonjak tanpa diduga. Nampaknya, Zayn tidak terfikir apa yang terlintas dalam benaknya sebentar tadi.
"Okay, now you can go..." kata Ellisa dalam nada senda sambil menghadiahkannya sebuah senyuman ikhlas. Payung yang dihulurkan diambil. Apa sahaja asalkan Zayn pergi sebelum lelaki itu sempat terfikir untuk menjadikan syiling emas Wan Jamsiah sebagai tebusan untuk mengawalnya.
"Merci..." ucap Ellisa lagi seraya membuka payung untuk melindungi dirinya daripada terus dibasahi air hujan. Dengan hati yang tenang dan langkah yang lebih ringan, dia beredar.
"Syarat yang you kena buat tu... How's the progress?" soal Zayn sambil tersenyum penuh makna. Ellisa menelan liur sambil memandang ke sisi, ke arah Zayn yang masih sedang memandu perlahan seiring dengan rentak langkahnya.
Waktu yang sama, beberapa kereta yang memintas kereta yang dipandu Zayn membunyikan hon. Cara Zayn memandu nyata sudah mengganggu laluan trafik pengguna jalan raya yang lain. Keadaan itu membuatkan Ellisa rasa bersalah. Terasa seperti dirinya pula kacang hantu yang menghalang jalan.
"Zayn, awak mengganggu laluan orang lain," tegur Ellisa. Dalam masa yang sama, niatnya adalah untuk mengelak dari menjawab soalan yang diutarakan Zayn.
"Tahu."
"Kalau tahu, kenapa buat tak tahu?"
"Sebab you tak jawab soalan I."
"Biarlah saya tak nak jawab."
"Mesti sebab tak ada progress lagi, kan?"
"Baru berapa hari..."
"I rasa you memang tak boleh buatlah..."
"Kalau rasa saya tak boleh buat, apa kata awak tukar syarat? Lagipun, syarat macam ni entah apa-apa. Kalau saya dapat buat saya yang untung. Kalau saya tak dapat buat..." Ayat Ellisa putus di pertengahan.
Ahhh, apa aku cakap ni? Kalau aku tak dapat buat, dialah untung. Celah manalah entah apa-apanya? Ellisa menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
"Kalau you tak dapat buat kenapa?" Soalan Zayn sekadar memancing reaksi.
"Lupakanlah! Saya tersalah cakap..."
"Okey. Kalau ada apa-apa masalah, telefon I tau... Mana tau kut I boleh tolong," ujar Zayn seraya menaikkan cermin tingkap keretanya. Dia sudah bersedia untuk memacu pergi.
Cis, tolong? Perli ke apa? Ellisa merasa tersindir.
"Tapi kan, Zayn..." Kata-kata Ellisa membuatkan Zayn memberhentikan perbuatannya menaikkan cermin tingkap. Perhatiannya diberikan semula kepada Ellisa.
"Kenapa awak bagi syarat yang macam tu? Saya rasa peliklah..."
"Sebab, I nak kenal you dengan lebih dekat."
"Well, cara awak agak mengarut." Ellisa berterus terang membuatkan Zayn meleraikan tawa. Dia tidak berapa jelas dengan maksud perkataan mengarut yang diucapkan Ellisa namun apa yang didengarinya nyata berjaya menusuk ke jiwa.
"You're a very interesting person," ujar Zayn kepada Ellisa.
Ellisa hanya memberikan sebaris senyuman sebagai respons. Selepas memberikan lambaian terakhir, dia kemudiannya meneruskan perjalanannya, menapak ke rumah milik emaknya, Puan Dahlia. Kereta yang dipandu Zayn diturut dengan ekor matanya. Ketika itu baru dia teringat akan perjalanannya ke rumah Puan Dahlia yang masih jauh...
Eh, kenapa aku tak terfikir? Telefon kan ada. Apa pasal aku tak telefon aje emak minta tolong ambil? Adess... Ellisa menepuk dahinya kerana lambat berfikir.
"I'M back," ucap Ellisa seraya mencampakkan beg galasnya ke atas katil di dalam bilik Naqiya. Naqiya yang tadinya kelihatan sibuk membuat kerja di meja tulis terus menoleh, barangkali terkejut mendengar suara Ellisa.
Ellisa melemparkan tubuhnya ke atas katil, meleraikan segala penat lelahnya menapak dari rumah Wan Jamsiah yang terletak agak jauh dari rumah emaknya. Selepas Zayn berlalu pergi tadi, baru dia mula rasa menyesal kerana tidak mahu menerima pelawaan lelaki itu. Tambah malang lagi, Puan Dahlia yang dihubungi tidak dapat membantu kerana keretanya sedang berada di bengkel untuk dibaiki.
Mujur, nasib menyebelahinya tidak lama selepas itu. Kali ini, jiran sebelah rumahnya yang menegur di tepi jalan. Jiran yang dia kenali sebagai Kak Syira kebetulan lalu di situ dalam perjalanan pulangnya dari membeli-belah. Tanpa berfikir panjang, Ellisa menyambut baik tawaran Kak Syira untuk membantu.
"Wei, jawab soalan aku. Macam mana kau lari dari rumah wan?" soal Naqiya seraya menggoncang-goncang tubuh Ellisa yang sedang hanyut dalam angannya.
"Ni yang nak cerita ni..." Ellisa bingkas dari perbaringan dan duduk di atas katil.
"Ceritalah cepat!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co