Truyen3h.Co

Percaturan Hati

Bab 6

karyaseni2u

Ellisa merenung kosong skrin telefon bimbitnya yang tertera sebaris nombor sambil berbaring di katilnya. Lama dia memandang tanpa berbuat apa-apa sehingga akhirnya skrin telefon menjadi gelap. Salah satu butang ditekan untuk menghidupkan kembali skrin. Sudah entah berapa kali dia berbuat demikian namun mindanya masih tidak dapat mengukuhkan kata putus.

Dalam banyak-banyak butang pada telefon, butang berwarna hijau sahaja yang dia tidak berani tekan. Jauh di sudut hati, dia meragui tindakannya. Apalah rupanya meminta sesuatu yang bukan pun miliknya daripada seseorang yang tidak kenali? Lainlah sekiranya Mr. Devereux itu memang kenalannya seperti yang dituduh Wan Jamsiah. Ellisa melepaskan satu keluhan berat.

Tidak sangka kali ini dia akan menghadapi dugaan seorang diri. Dari segi mental dan fizikal, dia berseorangan. Wan Jamsiah baru sahaja bertolak ke Perth, Australia semalam, melancong bersama keluarga Mak Nah. Ketiadaan neneknya tidak membuahkan walau secebis kegembiraan kerana dia telah diberi amaran keras untuk mendapatkan semula syiling emas kuda itu sebelum Wan Jamsiah pulang dalam masa dua minggu.

Naqiya dan emaknya pula sedang berada di kampung sekarang, melawat saudara emak yang sedang sakit dan memerlukan orang untuk menjaganya. Di sana, jaringan telekomunikasi tidak berapa baik, menyukarkan mereka untuk berhubung. Maka secara rohaninya, Ellisa tiada tempat untuk mengadu.

Aku ni macam watak dalam cerita dongeng. Kalau Princess Fiona dalam cerita Shrek tu kena kurung dengan naga sebagai mak guard, Belle jadi tawanan Beast, Cinderella jadi hamba keluarga tirinya, Rapunzel kena kurung dengan emak angkat... Ellisa apa pula? Ellisa mula berseloroh dengan diri sendiri.

Ellisa mangsa Jamsiah-stiltskin sebab buat kesalahan mencuri. Dia menjawab dalam hati, mengingatkan diri bahawa kesalahannya sendiri yang mengakibatkan kesusahan itu.

Ellisa memejamkan mata. Nampaknya, dia memang tiada pilihan. Sejak kedatangan lelaki Perancis itu beberapa hari lalu, Wan Jamsiah telah menghukumnya lagi. Kata Wan Jamsiah, selagi emas itu tidak dituntut, gaji Ellisa yang sebanyak sepuluh ringgit sehari itu tidak akan dikira. Ini bermakna, semakin lama Ellisa menangguh, semakin lama dia akan diabdikan oleh Wan Jamsiah kerana hari-hari yang dilalui tidak berbayar.

Dia menggigit bibir. Dengan kekuatan yang ada dan jantung yang berdegup kencang tak semena-mena, dia akhirnya menekan butang hijau. Alat itu dilekapkan ke telinga dengan berhati-hati seolah-olah ia akan meletup jika tersalah letak. Bunyi deringan diperdengarkan. Separuh hatinya mengharapkan jawapan yang tiada di hujung talian.

"Hello." Tenang sahaja suara lelaki yang menyambutnya di hujung talian.

Seketika, jantung Ellisa berhenti berdegup. Entah apa yang dia gentarkan sangat, dia tidak pasti. Mahu kata dia terpikat pandang pertama terhadap Mr. Devereux, muka orang itupun dia tidak cam lagi.

"Hello... Mr. Devereux?"

"Yes."

"It's me, Ellisa. Can we arrange for a meeting?" luah Ellisa secara berterus terang. Perasaan gementar yang dirasakan berjaya dikawal. Entah ayat pendahuluan bicara itu sesuai atau tidak, Ellisa tidak peduli. Dia bukannya seorang yang arif berkata-kata. Yang penting, dia tahu orang di hujung talian itu mengenali dirinya.

"Oh, Ellisa... It's about time. Nak jumpa dekat mana?" Ellisa dapat merasakan senyuman di sebalik suara yang menyoal itu.

Beberapa minit mereka bertukar bicara, akhirnya keadaan mengizinkan Ellisa untuk menamatkan talian. Nafasnya yang ditahan-tahan sepanjang perbualan singkat tadi membuatkannya melepaskan satu keluhan panjang.

Pandai pula dia cakap Melayu! komen Ellisa dalam hati. Dia bingkas dari perbaringan. Tuala yang tersidai di ampaian diraih lalu tanpa berlengah, dia mara ke bilik air.

Dalam beberapa jam dari sekarang, dia akan mendapatkan kembali harta Wan Jamsiah. Mungkin dengan itu, hidupnya akan kembali seperti sediakala. Kalau tidak seperti sediakala pun, sekurang-kurangnya dia tidak berhutang lagi dengan Wan Jamsiah. Jika dia masih perlu dihukum, hukumannya mungkin akan diringankan. Itu sahaja harapannya kini.

DIA mengerling lagi ke arah jam di tangannya lalu mengutuk diri sendiri. Baru dua minit berlalu sejak kali terakhir dia meneliti waktu. Dia hanya perlu menunggu selama dua puluh minit sebelum waktu yang dijanjikan tiba namun setiap detik yang berlalu dirasakan terlalu lama.

Yang aku ni datang awal sangat kenapa? Bukannya benda ni temu duga kerja. Ellisa mengutuk diri. Dia menyesal memilih untuk bertamu awal di restoran Sushi King, tempat mereka dijanjikan untuk bertemu itu.

Semakin lama dia berada di restoran itu, semakin tidak keruan dibuatnya. Berjumpa dengan orang yang dikenali pun boleh membuatkannya tidak senang duduk, inikan pula berjumpa dengan seorang yang langsung asing baginya. Ellisa memang bukan jenis yang terlalu bersosial.

Edward Devereux... Nama itu kembali disebut dalam fikiran. Perlahan-lahan, dia cuba menyenaraikan fakta yang diketahuinya tentang lelaki itu dalam minda demi mengisi masa yang bakal berlalu. Selain maklumat yang biasanya tertera dalam kad business dan fakta bahawa lelaki itu memiliki emas yang dipercayai milik Wan Jamsiah, tiada apa lagi yang dia tahu. Dengan maklumat yang terhad sebegitu, nampaknya perbualan mereka hanya akan bertulangbelakangkan emas Wan Jamsiah.

How awkward, absurd and annoying would that be? Sudahlah mamat tu orang Perancis, rungut Ellisa dalam hati.

"Ellisa?" sapa seorang lelaki di belakangnya. Sebuah beg kulit tersilang di tubuhnya manakala sebelah tangan lelaki itu memegang kot. Jelas, dia baru pulang dari pejabat.

Ellisa menoleh. Sapaan itu hanya mampu dijawab dengan seulas senyuman. Dia hampir tergamam. Rupa paras lelaki yang tidak begitu melekat dalam mindanya rupa-rupanya nampak kacak dia hadapan matanya. Kalau bukan kerana kad namanya, sudah lama Ellisa meneka jejaka itu sebagai seorang model.

Lelaki itu membalas senyumannya lalu melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Ellisa. Ellisa membatu dengan senyuman keras yang masih terpampang di bibir. Matanya mengerling ke arah jam di tangan kirinya. Pukul empat lima puluh minit. Mr. Devereux tiba sepuluh minit lebih awal daripada waktu yang dijanjikan.

"Dah lama tunggu?" risik Mr. Devereux selepas memberi salam. Dia meletakkan kot dan begnya di tempat duduk kosong di sebelahnya.

Dari ucapan salam yang diberi, Ellisa mempelajari satu fakta baru tentang lelaki Perancis di hadapannya. Dia seorang Muslim. Ellisa tersenyum dalam hati. Seringkali dia terasa suka hati apabila bertemu dengan seorang mualaf.

"Sepuluh minit," jawab Ellisa santun sambil menyelindungkan perasaan janggalnya. Bukan Mr. Devereux yang datang lambat. Dia yang datang awal namun untuk menjawab soalan itupun dia rasa susah. Jejaka di hadapannya cuma tersenyum, menampakkan lesung pipit.

"Tak makan?"

Ellisa hanya menggeleng. Baginya, teh hijau yang telah ditempahnya tadi sudah memadai.

Dia membiarkan keheningan bertamu antara mereka sementara lelaki di hadapannya itu menilik menu. Sengaja diulang-ulang ayat mudah yang didengarinya tadi di dalam angannya. Apabila dianalisis, lelaki Perancis di hadapannya ini agak fasih berbahasa Melayu. Cuma, ada sesetengah perkataan bahasa Melayu yang dia luahkan masih kedengaran asing.

Daripada percakapan, Ellisa mengalihkan pula pemerhatiannya ke wajah Mr. Devereux yang sedang sibuk menilik senarai menu. Dalam pemerhatiannya, Ellisa tersedar. Jika dia tidak silap, inilah kali pertama dia benar-benar meneliti wajahnya. Tetapi, mengapa wajah itu kelihatan tidak asing baginya?

Aku pernah tengok ke mamat ni sebelum ni? Setahu aku, aku tengok lelaki orang putih dekat dalam TV aje. Ke dia ada rupa macam mana-mana pelakon Hollywood? Ellisa berteka-teki sendirian.

Wajah Mr. Devereux dia lihat lagi. Matanya bundar berwarna hijau, hidungnya mancung dan kulitnya bertona sederhana; tidak terlalu cerah, tidak terlalu gelap. Wajahnya berkumis halus. Rambut gelapnya disikat kemas ke tepi. Fizikalnya tegap, tinggi dan penuh maskulin.

Ellisa membiarkan angannya menerawang jauh sedang matanya masih leka memerhatikan gerak-geri lelaki itu yang kini sedang membuat pesanan.

Aku macam pernah tengok dia sebelum ni. Tapi, dekat mana? Dia ada rupa siapa? Pelakon? Penyanyi? Ellisa tidak dapat memadankan rupa Mr. Devereux dengan sesiapa. Akhirnya, gerak hatinya dia lupakan sahaja. Namun, dia agak tidak puas kerana gagal mengimbas memorinya tentang lelaki itu.

Ellisa tersentak apabila menyedari renungan kosongnya juga dibalas dengan satu renungan. Ellisa terus duduk tegak sambil tersengih-sengih sumbing. Mr. Devereux turut tersenyum melihat gelagatnya. Kejanggalan berlaku lagi. Ellisa tidak tahu bagaimana memulakan bicara.

"Mr. Devereux..." Ellisa membuat sapaan sebagai memulakan bicara. Bukan niatnya pun mahu memulakan perbualan namun sapaan itulah yang dirasakan paling sesuai buat masa itu.

"Just call me Zayn," ujarnya mesra.

Ellisa tersenyum. Dugaannya bahawa Mr. Devereux seorang yang seagama dengannya diperkukuhkan lagi dengan permintaan untuk menggelarnya dengan nama Islam.

"Right. Zayn..." Ellisa sekadar menyebut. Sebetulnya, dia buntu bagaimana mahu memulakan perbualan. Hatinya mula mengutuk jejaka di hadapannya itu kerana tidak berusaha memulakan bicara dan menyusahkan dirinya untuk menyusun kata.

"Ellisa..." Zayn membalas dengan menyebut namanya pula. Ellisa tersenyum kejanggalan.

"You wanted to see me yet the words you've spoken were all my names," sambung Zayn dengan senyuman menawan seperti dalam iklan ubat gigi. Ellisa terasa seperti kepalanya dihempap batu besar lalu separuh dirinya tertanam ke dalam bumi.

"Okay, since you've mention it, I'll cut to the chase. Saya nak tuntut..."

Ellisa spontan terdiam apabila pelayan restoran datang membawa pesanan mereka. Sebotol teh hijau, dua cawan kosong dan segelas minuman yogurt diletakkan di hadapan mereka. Ellisa tambah terkedu apabila gelas minuman yogurt itu diberikan kepadanya oleh Zayn.

"Okay. Teruskan..." ucap Zayn seraya mencapai piring susyi yang berwarna merah yang lalu di sisi mereka.

"Saya nak tuntut balik emas nenek saya," jelas Ellisa. Nada tegasnya sebentar tadi langsung hilang entah ke mana.

"Nenek you ada beritahu syarat yang I nak?" risik Zayn perlahan seraya meletakkan piring merah berisi susyi di hadapannya.

"Ada," balas Ellisa perlahan.

"Jadi? You setuju ke?"

"Never! Lagipun, nenek saya bukannya bagi. Kalau bagi pun, saya tak nak."

"Kenapa tak nak?"

"Gila ke apa?" soal Ellisa tak semena-mena, sengaja dia mahu menekankan perkataan gila agar difahami dengan jelas oleh Zayn.

Zayn tersedak kerana cubaannya menahan tawa. Geli hatinya dengan gelagat Ellisa yang jelas tidak senang duduk. Nampaknya isu emas itu benar-benar mengganggu jiwa gadis di hadapannya. Ellisa mencebik. Janggal rasanya ditertawakan orang yang tidak dikenali atas alasan yang tidak kelakar.

"Permintaan I senang aje. Kenapa you tak boleh buat?" Zayn sengaja memancing.

"Buat apa? Kahwin dengan awak? Tak nak. Saya belum cukup gila nak kahwin dengan orang yang langsung saya tak kenal," tegas Ellisa. Ayat-ayat provokasi daripada Zayn berjaya, dan tanpa disedari telah melembutkan lidah yang tadinya kelu.

"Okey," balas Zayn ringkas. Tumpuannya diberikan kepada penyepit di tangannya.

"Okey aje?" Ellisa kehairanan. Mungkin apa yang diluahkannya tadi tidak berapa difahami Zayn. Untuk beberapa ketika, Ellisa menantikan pertanyaan susulan daripada Zayn tetapi lelaki itu cuma mendiamkan diri, menikmati susyinya yang entah keberapa. Barangkali, benarlah dia tidak faham. Mahu diulangi, dia segan pula.

"Eh, macam mana awak kenal dengan saya? Macam mana awak..." Ellisa berhenti bercakap apabila Zayn memandang ke arahnya, dan terus merenungnya dalam. Ellisa mengetap bibir.

"How... Did you trace the gold back to me?" Ellisa mengubah caranya menyoal. Jika benar Zayn tidak berapa faham apa yang dia cuba sampaikan dalam bahasa Melayu, rasanya tidak salah jika dia menggunakan bahasa Inggeris pula. Matanya menilik meja. Berpiring-piring susyi dihidangkan kepadanya oleh jejaka asing itu.

"Oh, I just hire an investigator," jelas Zayn.

"How did you find the gold?" Ellisa bertanya perlahan. Sepotong susyi akhirnya disuapkan ke mulut demi menjaga hati Zayn. Rasa tidak sedap pula apabila jejaka itu asyik memujuknya untuk makan dengan pandangan matanya.

"I didn't. It found me."

"It found you?"

Zayn mengangguk.

"I dekat tepi Fontana di Trevi when that gold hit my head and landed in the water. I tengok itu bukan syiling biasa, so I ambil la."

"Fontana di Trevi? Ha..." Ellisa tersentak. Jadi, emas itu berada dalam tangan Zayn semata-mata kerana kebetulan lelaki itu berada di situ? Mungkinkah?

Halfway around the world and he happened to be there near the fountain with me? Seems too outrageous to be a coincidence. Tapi, kalau tak kebetulan, apa pula perkataannya? Aku dengan dia bukannya kenal pun sebelum ni, fikir Ellisa.

"Jadi, dari awal lagi awak tahu emas tu saya punya? Kenapa tak pulangkan aje? Awak tahu tak betapa awak dah menyusahkan hidup saya?" ujar Ellisa.

Zayn tersenyum. Sekali lagi Ellisa dapat membaca keadaan. Lelaki itu tidak dapat menangkap apa yang dia katakan. Sebuah keluhan berat dilepaskan. Nampaknya keadaan tidaklah semudah yang disangka.

"Why didn't you return the gold to me that time?"

"I didn't know it was yours."

"I was obviously looking for it in the fountain."

"I was not aware," jawab Zayn selamba.

Ellisa memuncungkan bibir. Sepotong susyi Kani Mayo pula disuapkan ke mulut. Meski dia tidak berpuas hati, apa yang diperkatakan Zayn tiada silapnya. Mengapa Zayn perlu menghiraukan apa yang dia lakukan ketika itu?

Apabila menyaksikan Ellisa diam, Zayn menyeluk ke dalam kocek lalu mengeluarkan syiling emas yang sedang dibualkan. Dia meletakkan syiling itu di atas meja, pada jarak yang selamat untuk dilihat Ellisa tanpa perlu menyentuhnya.

"I assume, the person who threw this into the fountain was actually looking for love," jelas Zayn.

"You assume wrong," nafi Ellisa selamba.

"Really? So why did you threw this gold in the first place? I thought someone who threw away something this precious must be looking for something big."

"I am. But, I don't pray and make sacrifice to a fountain to get what I want."

"Okey." Zayn mengangguk lalu menghirup teh hijaunya.

Seperti tadi, Ellisa menantikan respons seterusnya daripada Zayn. Negatif. Ellisa kehairanan. Takkan kali ini lelaki itu tidak faham lagi? Perbualan mereka jelas dalam bahasa Inggeris. Mungkinkah Zayn ni tak berapa mahir berbahasa Inggeris juga? Tak mungkin...

"Explain to me how you stole this from that lady." Zayn menyambung bicara mereka. Kali ini lain pula topik yang dia minati.

"That lady is my grandmother. I was mad at her..." jelas Ellisa ringkas. Dia tidak yakin untuk memberi penjelasan yang bersungguh-sungguh, khuatir andai respons Zayn tidak begitu memberangsangkan sekali lagi.

"I see. I always thought that the owner of this coin was trying to find her knight in shining armor," ujar Zayn dengan senyuman yang sedikit menggoda.

"That's not shine! That's..." Ayat Ellisa tergantung sedang otaknya sibuk memunggah kamus ingatan untuk mencari perkataan yang sepatutnya ringkas.

"... Gold," sambung Ellisa teragak-agak. Matanya dilarikan pada kepingan emas di atas meja. Tidak ada kekuatan untuknya terus memandang wajah Zayn.

"But, it is a knight, right?" ujar Zayn. Sekilas, dia melarikan pandangan ke arah syiling itu.

Ellisa membisu seribu bahasa. Imej kuda pada syiling emas di tangan Zayn ditenung dalam-dalam. Kalau dia menafikan kata-kata Zayn pun, Zayn tidak boleh membantah. Bukannya lelaki itu tahu syiling itu berasal dari sebuah set catur.

Cepatlah cakap! Kuda tak semestinya knight, berontak jiwa Ellisa. Namun, bibirnya tidak bisa meluahkan kata penipuan. Untuk itu, dia mengutuk diri. Terasa rugi pula kerana tidak pandai menipu.

"You don't want me to be your knight?" soal Zayn bersahaja.

"Zayn, ini bukan cerita dongeng," balas Ellisa tegas.

"Dongeng?"

"Fairytale. Bukan senang-senang aje awak boleh minta kahwin dengan sesiapa aje yang awak suka, bila-bila masa," jelas Ellisa. Kali ini dia tidak peduli kiranya Zayn tidak memahaminya.

"You... Don't like me?" soal Zayn perlahan.

Eh, macam faham pula... Baguslah kalau dia faham, detik hati Ellisa. Dia kemudiannya menjawab dengan hanya menggeleng.

"You suka orang lain?" tanya Zayn lagi dengan selamba.

Angguk. Jawapan kepada soalan itu bukan satu dusta. Sebab itu Ellisa dapat menjawabnya dengan yakin walau hanya dengan anggukan mudah. Zayn tersenyum.

"Your boyfriend?" risik jejaka itu lagi.

Ellisa menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Sekali lagi dia merasa terperangkap. Zayn seolah-olah mengambil kesempatan ke atas dirinya yang tidak bisa menipu untuk mengorek rahsia. Pun begitu, Zayn bukannya tahu dia tidak bisa menipu. Tetapi, tidak patut rasanya dia mendedahkan fakta tentang dirinya secara berlebihan.

Keletah Ellisa berjaya membuatkan Zayn meleretkan senyuman. Jelas, Ellisa tidak mampu menafikan pertanyaan mudah itu.

"Don't be too nervous. I taklah segila itu... At least, not yet."

Mendengarkan luahan Zayn itu, wajah Ellisa tersenyum nipis. Dia kelegaan. Daripada bahasa tubuh dan gaya percakapannya, Ellisa yakin Zayn tidak akan meneruskan syarat asalnya.

"Maksudnya, awak takkan teruskan syarat awak?" soal Ellisa penuh minat. Bibirnya hampir mengukirkan senyuman.

Zayn mengangguk. Memang respons itu adalah respons yang Ellisa jangkakan. Ellisa hampir menghembus nafas lega apabila dia terpanar mendengarkan ayat seterusnya yang terpacul dari bibir Zayn.

"Orang yang you suka tu, suka kepada you juga ke?"

Tolonglah jangan tanya soalan yang aku tak boleh jawab! Ellisa meronta sendirian dalam igauannya. Dia membenci dirinya yang tidak mampu menidakkan kebenaran dengan membuat pengakuan palsu.

"Tak payahlah sibuk." Ellisa meluahkan ayat mengelak.

"I'll take that as a no." Pantas Zayn membuat andaian. Andaian yang tepat pula tu!

Tertekan rasanya jiwa. Terasa diri diperlekeh dan dipermainkan semata-mata kerana tidak pandai menipu. Begitu sahaja, segala tentang dirinya boleh terbongkar. Hairannya, mengapa Zayn ni berminat sangat nak tahu?

"He's a friend of yours?" soal Zayn lagi.

"Sibuk!" respons Ellisa dengan nada yang keras.

"Another no..." Zayn yang yakin dengan andaiannya tersenyum mengejek. Panas hati Ellisa dibuatnya. Zayn seolah-olah mentertawakan dirinya yang tidak pernah dicuri hatinya. Perbualan mereka bertukar tawar. Ellisa tidak lagi berminat meneruskan bicara namun kelibat syiling emas yang berada pada Zayn bagaikan gam yang melekatkan punggungnya ke kerusi.

"Macam inilah. I can give you what you want. Tapi, syarat tu masih ada. I tukarkan aje."

"Syarat baru?" Ellisa ingin tahu. Matanya bersinar penuh harapan. Dia yakin untuk memenuhi syarat kali ini selagi ia tidak membawa mudarat kepada dirinya.

"I bagi masa kepada you untuk berkawan dengan lelaki yang you suka tu. If you can make him like you within... Well, you can take your time... I pulangkan ni kepada you," ujar Zayn sambil melirikkan matanya ke arah syiling emas yang berada di tangannya.

Take my time? Dia tahu tak aku nak pulangkan emas tu secepat mungkin? Ellisa sempat mengomel dalam hati.

"What do you mean 'like' me?" Teragak-agak Ellisa menyoal. Syarat baru ini memang tidak dijangka.

"Like as in... Like to be friends with you. Make him feel comfortable around you. Find your chemistry with him as a friend. That should be okay, right?"

"Yeah..." balas Ellisa tidak yakin. Matanya merenung tajam muka Zayn penuh curiga. Dia cuba membaca apa yang bermain dalam fikiran lelaki itu namun gagal.

Tapi, kenapa cara dia cakap ni macam dia tahu aje aku ni tak pernah berkenalan rapat dengan orang yang aku suka tu? He seems to know so much about me. It's creepy, fikir Ellisa.

"Mana awak tahu saya dengan dia bukan kawan pun?"

"You tak mengaku ada boyfriend."

"Saya tak ada mengaku saya tak ada."

"Jadi, you ada?"

Diam. Ellisa sendiri pun keliru. Semakin lama dia berhadapan dengan jejaka asing di hadapannya, semakin celaru otak dibuatnya. Zayn bagaikan tahu serba serbi tentang dirinya. Sebaliknya, apa yang Ellisa tahu tentangnya masih satu misteri.

Takkan dia upah penyiasat untuk menghendap aku? Ellisa teringat jawapan yang diberikan Zayn tadi, mengenai penyiasat upahan.

"You paid somebody to stalk me. That's why you seem to know so much about me," tuduh Ellisa.

"No. I hired a person to track down the owner of this coin. That's all. Nothing more, nothing less," ujar Zayn dengan jujur.

"Habis, macam mana awak tahu saya sukakan seseorang?"

"Baru beberapa minit dah tak ingat? I tanya, kan?"

Ellisa mengerutkan dahi. Rasa macam nak hantukkan kepala pada dinding pun ada juga. Betul kata Zayn, dia cuma bertanya. Ellisa yang menjawab. Kalau bukan dengan perkataan, dia telah menjawab dengan ekspresi dan bahasa tubuh. Tetapi mengapa nalurinya memberitahu, Zayn tahu tentang dirinya lebih daripada yang sepatutnya?

Kejap. Kenapa dia sibuk sangat pasal kisah cinta aku? Naluri Ellisa tertanya sendiri. Sayangnya, dia tidak berdaya untuk meluahkan persoalan itu.

Syarat yang Zayn kenakan kepadanya untuk mendapatkan kembali syiling emas itu sungguh mengelirukan dan sungguh aneh. Namun, Ellisa malas untuk berfikir panjang. Yang dia tahu, dia perlukan emas Wan Jamsiah untuk melepaskan dirinya daripada cengkaman wanita itu. Lagipun, jika dia berjaya memenuhi syarat Zayn, dirinya juga yang beruntung...

Dia akan mendapatkan balik emas Wan Jamsiah, juga dia akan mendapat motivasi yang utuh untuk mendekati Amier. Dia akan usahakan untuk memenuhi syarat itu dengan secepat mungkin agar dia tiada kaitan lagi dengan Zayn. Juga agar dia mendapat kembali emas milik neneknya.

"Siapa yang saya suka tu, awak tahu ke?" Ellisa sekadar bertanya.

"Itu saya tak perlu tahu. I just need you to be honest with me."

"Deal," ucap Ellisa tanpa berfikir panjang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co