Truyen3h.Co

Percaturan Hati

Bab 9

karyaseni2u

Kakinya terasa amat berat tatkala dia mengayunkan langkah menaiki tangga untuk menuju ke tingkat atas kediaman Puan Dahlia. Mindanya padat dengan pelbagai permasalahan yang memerlukan penyelesaian segera. Jiwanya yang sebelum ini tenang tiba-tiba sahaja merasa sangat terganggu. Segalanya berlaku sejak Puan Dahlia menerima panggilan daripada Wan Jamsiah pagi tadi.

Apabila emaknya mengkhabarkan tentang panggilan itu, Ellisa terus menjadi tidak keruan. Sedar tidak sedar, sudah hampir tiga bulan rupanya dia meninggalkan rumah neneknya. Dalam tempoh itu, tiada apa-apa perkembangan yang dia lakukan terhadap usahanya untuk mendapatkan kembali emas Wan Jamsiah. Boleh dikatakan dia terlupa. Dia cuma ingat untuk membuat perubahan pada hidupnya dengan mencari kerja.

Mujur dia tidak didesak supaya kembali ke mahligai Wan Jamsiah.

Dalam tempoh tiga bulan ini, walau dalam keterpaksaan dia telah berjaya membuka langkah terhadap Amier. Mereka berkawan namun bagi Ellisa, segalanya hambar. Tidak seperti yang diharapkan. Amier seperti tidak berapa berminat untuk bergaul dengannya, membuatkan dia terasa menyesal dan malu atas tindakannya. Namun, dia tidak boleh berputus asa. Sekurang-kurangnya, kini dia memiliki persahabatan dengan Amier. Lebih baik ada daripada tiada. Itu prinsipnya...

Ellisa mengeluh. Dalam banyak-banyak hari, mengapa Wan Jamsiah pilih untuk mengganggu hidupnya pada hari ini? Hari ini hari penting buatnya. Akibat panggilan Wan Jamsiah pagi tadi, Ellisa langsung hilang semangat. Temu duga kerja yang dihadirinya tadi juga terasa terganggu. Ellisa menghadapi temu duganya dengan baik, namun disebabkan dirinya yang tidak tenteram, dia tidak yakin untuk mendapat tawaran bekerja daripada syarikat itu.

Pelbagai perkara sarat dalam mindanya. Wan Jamsiah, Zayn, Amier...

"Balik dah?" tegur Naqiya ketika terserempak dengannya di anak tangga paling atas.

"Haah. Balik dah..." luah Ellisa malas.

"Aku nak turun kejap minum air," jelas Naqiya tanpa ditanya lalu berlari menuruni anak tangga. Ellisa perhatikan kosong gelagat Naqiya sebelum dia terpandang ke dalam bilik adiknya yang pintunya terbuka luas.

Matanya tertancap pada skrin komputer di bilik Naqiya yang mempamerkan gambar mereka berdua di hadapan Fontana di Trevi. Ellisa tersenyum sendirian seraya mendekati komputer untuk melihat dengan lebih jelas. Gambar itu diambil sebelum dia tercampakkan syiling emas Wan Jamsiah. Kalaulah dia mempunyai kuasa super dan boleh merentasi masa, akan dia masuk ke dalam gambar itu dan mengubah keadaan.

Ellisa menggeleng-gelengkan kepala. Perkara yang lepas sepatutnya dibiarkan berlalu. Mahu ditangisi pun sudah tidak berguna. Sepatutnya dia hargai apa yang dimiliki sekarang. Sewajarnya dia bersyukur kerana dipertemukan dengan insan yang boleh menyelamatkan keadaan kerana memiliki emas yang pernah dia campakkan secara tidak sengaja.

A knight in shining armor... Entah mengapa ayat yang pernah disebut Zayn itu timbul dalam mindanya. Lekas-lekas dia hapuskan segala angan yang bakal menerawang.

"Kau buat apa termenung dekat sini?" tegur Naqiya yang tak semena-mena terpaku di sisi. Ada riak hairan di wajahnya. Pandangannya dialihkan pula ke skrin komputer sebelum dipulangkan ke wajah Ellisa.

"Kau tengok wallpaper aku, eh?" duga Naqiya sambil tersengih-sengih sebelum Ellisa sempat menjawab pertanyaannya yang tadi.

"Mesti kau rindukan tempat tu..." ulas Naqiya lantas melabuhkan punggung di atas kerusi di meja komputer itu.

Ellisa tersenyum. Sekali lagi dia mengilaskan pandangan pada gambar tadi. Waktu itu, imej seseorang yang dikenalinya tertangkap oleh penglihatan. Sambil mengerutkan dahi, dia mendekatkan wajahnya pada skrin. Tindakannya membuatkan Naqiya terpinga-pinga.

"Kenapa kau ni?" tegur Naqiya.

"Ini..." ucap Ellisa separuh jalan. Jari telunjuknya diletakkan pada imej seseorang di latar gambar mereka.

Naqiya memfokuskan matanya pada imej yang dituding; seorang lelaki berkemeja T dan bertopi rona putih yang jelas tidak dikenalinya. Dia mengerutkan dahi, merenung dalam-dalam imej lelaki yang berada di bawah jari telunjuk Ellisa untuk memastikan dirinya tidak tersalah tengok.

"Zayn..." bisik Ellisa perlahan namun pada jarak yang cukup dekat untuk didengari Naqiya.

"Zayn... Edward Devereux? Bukan dia ke orang yang kau langgar waktu kau tengah cari syiling tu?"

"Dia ke?" Ellisa tidak pasti. Kalau benarpun, dia tidak ingat. Bukan dirinyalah kalau perkara remeh mampu dia tanamkan dalam memori. Juga bukan dirinya andai dia mampu mengecam seseorang selepas hanya sekali bersua.

"Yalah. Dia! Aku ingat dia ada lambai kepada kita, kan?" kata Naqiya pasti.

"Yeh?"

"Ya!" tegas Naqiya. Tidak seperti Ellisa, Naqiya lebih menumpukan perhatian pada perkara yang tidak penting dan lebih cenderung mengingati hal-hal yang remeh.

"Kalau macam tu, mamat ni memang minta kaki. Padanlah aku rasa macam pernah aje tengok muka dia!" gerutu Ellisa.

"Dia ke Zayn? Ooo..." Panjang 'O' yang diucapkan Naqiya. Serta-merta dia boleh menduga bagaimana emas Wan Jamsiah boleh berada pada jejaka itu walau kisah pertemuan Zayn dengan syiling emas itu lupa diceritakan oleh Ellisa.

"Stres aku macam ni..." ujar Ellisa sambil mengurut-urut dahi.

Saat dia ternampak imej Zayn dalam gambar itu tadi, segala kebenaran mula terbentuk jelas dalam pemikirannya. Dia sedar kini akan beberapa perkara yang telah dia terlepas pandang. Salah satunya, Zayn mungkin seorang yang tidak boleh dipercayai!

Kini jelas di mata mindanya, apa yang pernah disampaikan Zayn selama ini tidak semuanya betul. Tetapi, siapa dia sebenarnya?

SYILING emas berukiran gambar seekor kuda itu dijentik perlahan lalu syiling itu berpusing-pusing dengan gemalainya di atas sekeping kaca yang dijadikan alas meja pejabat. Buat seketika dia perhatikan syiling yang berputar itu sebelum tangannya pantas menyambut emas yang putarannya kian lemah itu. Dia mengulangi lagi perbuatannya untuk kali yang entah keberapa.

Sudah tiga bulan berlalu sejak kali terakhir dia bertemu dengan Ellisa, gadis yang tampak terdesak untuk mendapatkan kembali syiling itu daripadanya. Namun, tidak ada apa-apa khabar daripada Ellisa sejak itu. Mungkinkah Ellisa sedang menunaikan syaratnya sehingga terlupakan janji mereka? Atau emas itu sudah tidak penting lagi buatnya?

Zayn menghentikan permainannya dengan syiling itu. Telefon pintarnya diraih dari dalam laci. Sudah tidak terkira banyak kalinya dia terfikir untuk menghubungi Ellisa namun apabila teringatkan layanan yang agak dingin yang diberikan oleh gadis itu terhadapnya, dia bantutkan hajat. Jauh di sudut hati, dia mempersoalkan kembali tindakannya. Mengapa tidak dia pulangkan sahaja emas itu kepada Ellisa?

Jawapannya, dia sendiri kurang pasti. Yang dia tahu, ada sesuatu tentang Ellisa yang menarik perhatiannya...

Bunyi jam di meja menghentikan lamunannya. Matanya terus ditujukan pada jam itu yang telah menunjukkan pukul lima setengah petang. Zayn menarik nafas dalam-dalam. Nampaknya seperti hari-hari lain sebelum ini, dia masih lagi gagal merendahkan ego untuk menelefon Ellisa terlebih dahulu.

Zayn bingkas dari tempat duduknya. Syiling emas yang digenggamnya diselitkan dengan kemas di celah kocek kemejanya. Beberapa dokumen penting yang masih belum habis disemak dia letakkan ke dalam beg. Kotnya yang tersidai di belakang kerusi diambil lalu disidaikan pula pada sebelah lengan. Dengan tenang dia melangkah keluar dari bilik pejabat.

Sewaktu bersendirian dalam perjalanannya, sekali lagi Zayn terfikirkan Ellisa. Dia akui, mungkin dia mencemburui Ellisa yang mempunyai sebuah keluarga. Setakat ini, yang dia tahu, Ellisa mempunyai seorang adik perempuan dan seorang nenek. Mungkin kalau diselidiki lagi, bukan itu sahaja ahli keluarga Ellisa.

Berbeza dengan dirinya, dia seorang anak yatim piatu yang dibesarkan oleh seorang tukang kebun berbangsa Melayu yang dahulunya bekerja dengan keluarganya sebelum kedua-dua ibu bapanya menghilang entah ke mana. Tukang kebun yang hidup sebatang kara itulah menjadi satu-satunya insan yang dia panggil sebagai ahli keluarga. Sayang, jodoh mereka tidak panjang. Dia tinggal bersama ayah su selama beberapa ketika sebelum penjaganya itu menyahut seruan Ilahi untuk pulang ke rahmatullah.

Baginya, Ellisa sungguh bertuah kerana mempunyai sebuah keluarga. Tapi, mengapa nalurinya berkata Ellisa bagaikan tidak menghargai perkara itu sehingga sanggup mencuri daripada neneknya sendiri? Atau barangkali, hidup dengan keluarga ini tidaklah sebahagia yang disangka?

Seburuk-buruk hidup dengan keluarga, teruk lagi kalau perlu hidup bersendirian. Keluarga adalah darah daging. Bergaduh macam manapun, akan berbaik balik. Air dicincang tidak akan putus. Sekurang-kurangnya itulah yang mahu dia tanamkan dalam fikirannya.

Namun, dia mengerti tidak semua orang mampu berfikiran sepertinya.

DIA merenung ke arah botol-botol minyak zaitun yang tersusun di atas rak sambil mengeluh berat. Sudah beberapa tahun dia melakukan kerja membeli barang keperluan rumah ini bersendirian. Alangkah baiknya kalau dirinya mempunyai seorang teman untuk kerja-kerja sebegini.

"Zayn!" Satu suara wanita menegurnya dari belakang. Zayn terpanar seketika. Cepatnya permintaannya termakbul!

Dia menoleh untuk memeriksa gerangan tuan punya suara. Bibirnya terus mengukirkan sebuah senyuman apabila matanya memerhatikan raut wajah Ellisa. Ellisa yang kelihatan janggal merenungnya dari atas ke bawah.

Terasa tidak kena pula apabila dirinya diperhatikan sedemikan rupa. Jauh di sudut hati, dia menyesal kerana tidak pulang ke rumah dahulu sebelum keluar membeli-belah. Habis sahaja waktu bekerja tadi, dia terus singgah ke pasar raya. Kalaulah dia tahu akan dipertemukan dengan Ellisa, tidak akan dia persembahkan diri dalam keadaan yang selekeh.

"Ellisa. It's been a while," sapa Zayn sambil mengusap-usap kepalanya, cuba membetulkan rambutnya yang tidak terurus. Percubaannya gagal.

"Yeah, it's been a while," jawab Ellisa.

"Macam mana awak tahu saya dekat sini? Kalau nak jumpa kenapa tak call dulu?" soal Zayn ramah.

"Ini kebetulan semata-mata. Saya tak harap pun nak jumpa dengan awak. Tapi, alang-alang kita dah berjumpa, saya nak emas saya balik," ujar Ellisa terus terang seraya menadah tangannya tanda meminta.

"Emas awak?" Zayn agak terkejut dengan permintaan drastik itu.

"Eh, tak. Emas nenek saya." Ellisa membetulkan kenyataannya sebelum kesilapannya menjadi bahan ejekan.

"Oh. Awak dah penuhkan syarat?"

"Awak?" Ellisa pantas menyedari kata ganti nama yang digunakan Zayn untuk dirinya. Biasanya dia akan menggunakan panggilan you.

"Dah pandai guna saya, awak..." ujar Ellisa sambil mengulaskan senyuman mesra. Gelagatnya membuatkan Zayn turut tersenyum.

"Tak bolehkah? Saya takut awak tak selesa aje dengan gelaran I, you tu..." jelas Zayn.

"Memang saya tak suka pun," kata Ellisa dengan wajah yang kembali serius.

"Anyway, berbalik pada topik tadi... Saya nak emas nenek saya." Ellisa menadahkan tangannya sekali lagi.

"Boleh. Tapi, jumpakanlah saya dengan boyfriend awak tu dulu," ujar Zayn selamba. Sebotol minyak zaitun diambil lalu ditiliknya dengan separuh minat.

"Tak nak. Awak bukannya emak saya. Emak saya pun tak pernah lagi minta saya jumpakan dia dengan sesiapa."

"Kalau macam tu, biarkan ajelah saya simpan emas ni," balas Zayn tanpa mengalihkan perhatian dari botol minyak yang ditiliknya.

"Awak... Awak sengaja aje bagi syarat yang saya tak boleh buat, kan?" ujar Ellisa dengan nada yang sedih.

"Is that a confession? Awak memang tak boleh buat ke? Sebenarnya saya tak terfikirpun awak tak boleh buat walaupun saya bet awak tak boleh buat," jelas Zayn. Dia menoleh menghadap Ellisa sambil menunjukkan dua botol minyak zaitun, satu di tangan kanan, satu di tangan kirinya kepada gadis itu dengan harapan agar Ellisa dapat membantunya memilih.

Ellisa terkedu. Nampaknya dia telah meluahkan kata tanpa berfikir terlebih dahulu. Asalnya dia tidak berniat pun mahu mengaku tidak dapat memenuhi syarat. Ellisa menggigit bibir. Terlajak kata memang tak boleh undur! Demi menyembunyikan kesilapannya, dia mengambil botol minyak zaitun organik dari tangan kanan Zayn lalu meletakkannya ke dalam troli lelaki itu.

Zayn tersenyum. Langkahnya dibuka lagi untuk ke kawasan lain. Ellisa turut mengayunkan kaki, berjalan beriringan mengikut rentak lelaki di sebelahnya. Tindakannya berjalan beriringan dengan seorang yang berbangsa asing mengundang pandangan orang di sekeliling. Namun, Ellisa sedikit pun tidak mengendahkannya.

"Ya, memang saya tak boleh buat. Sekarang apa kita nak buat? Awak nak tukar syarat lagi tak?" Nada Ellisa berubah menjadi nada yang lebih ramah.

"Tak. Kalau awak tak boleh buat, saya simpanlah emas tu," balas Zayn ringkas.

"Awak ni nak apa sebenarnya? Hari tu kata tak nak duit. Tapi, kenapa awak tak boleh pulangkan aje emas tu? Nak bersyarat-syarat pula..." Ellisa memuncungkan bibir.

"Oh, awak ada dengar perbualan saya dengan nenek awak, ya?" Zayn membuat andaian tepat. Ellisa tidak memberi respons.

"Sesiapa yang dalam keadaan saya pun akan buat macam ni," sambung Zayn sambil matanya diarahkan ke tempat yang menempatkan pelbagai jenama susu.

"Saya tak," nafi Ellisa sambil menggeleng.

"Saya nak awak tunaikan syarat tu aje."

"Kenapa?"

"Syarat saya, suka hati sayalah."

"Terus teranglah. Kalau saya betul-betul tak dapat tunaikan syarat tu, ada kemungkinan tak awak tukarkan syarat?" desak Ellisa.

"Probably," jawab Zayn.

"Kenapa kemungkinan untuk tukar syarat tu ada? Awak nak jadikan emas tu tebusan ke? Supaya awak boleh suruh saya buat apa yang awak suka melalui syarat-syarat yang awak bagi tu?" Ellisa menyuarakan andaiannya yang membuatkan Zayn meleraikan tawa kecil.

"Awak ni belajar apa dulu dekat universiti? Kreatif betul tekaan tu," komen Zayn.

"Bukan ke?"

"Taklah. Bukankah syarat yang saya bagi tu sebenarnya menguntungkan awak kalau awak dapat buat?"

"Sebab itulah saya rasa pelik. Menguntungkan saya tapi tak menguntungkan awak. Setakat emas sekeping, apa awak hairan, kan? Melainkan kalau niat awak memang nak pergunakan saya."

"Kenapa baru sekarang awak tanya? Kenapa waktu saya bagi syarat itu dulu awak tak cakap apa-apa pun?"

Ellisa membalas dengan sebuah keluhan berat. Tidak tergamak untuknya menjawab bahawa waktu itu yang dia cuma memikirkan untuk mendapat balik emas Wan Jamsiah semata-mata. Waktu itu, tiada ruang untuknya memikirkan persoalan lain.

"Jadi, macam mana sebenarnya? Awak cuba tak tunaikan syarat tu?" Zayn merisik perlahan.

"Cuba. Tapi..." Ellisa tidak meneruskan kata-katanya. Wajahnya berubah sugul seketika namun cepat-cepat dia sembunyikan.

"You want to talk about it?" duga Zayn.

"THAT terms should be easy for you." Itu sahaja komen yang mampu diberikan Zayn setelah mendengar kisah percubaan Ellisa dalam mendekati Amier.

"Easy for you to say. You are not me," gerutu Ellisa. Teh halia suam yang baru dihidangkan kepadanya dihirup perlahan.

Geram pula rasa hatinya apabila Zayn bagaikan mentertawakan usahanya untuk mendekati Amier. Sedikit sebanyak dia dicubit perasaan kesal kerana menceritakan perihal perkenalannya dengan Amier. Respons sebegitu bukanlah yang dijangkakan meskipun dia tidak mengharap Zayn akan memahami keadaannya. Ellisa menghela nafas dalam-dalam sambil menyelesakan dirinya pada kerusi di medan selera pasar raya itu.

"Daripada apa yang awak cerita, saya rasa... you have to play hard to get."

"Hard to get? Pula? Saya yang mulakan dulu..." Ellisa yang tidak arif tentang cinta mula terasa keliru.

"Mulakan dulu tu tak kesah. Lelaki sebenarnya suka kalau perempuan yang mulakan dulu."

"Hmmm. Itu ajelah tip yang saya buat, yang menjadi. Amier betul-betul teruja waktu saya minta nak berkenalan dengan dia waktu tu."

"Tip? Siapa yang bagi tip tu?"

"My brother," balas Ellisa malas.

"Waktu itu ajelah saya rasa seronok sebab dia sudi nak kawan dengan saya. Mula-mula saya rasa macam senang, tapi lama-lama semuanya jadi macam yang saya cakap tadilah. Hambar..." sambung Ellisa lagi.

"Maybe you two were moving too fast."

"Tak juga..." Ellisa mengeluh.

"Awak selalu bersembang dengan dia tak?"

"Selalu juga waktu sebulan yang pertama. Dia selalu call saya tapi selalunya dia call tak kena masa. Bila jadi macam tu, saya pun malas nak layan. Tapi, bila saya malas nak layan, dia merajuk."

"Awak ni macam mana? Kata suka dekat dia. Tapi, bila dia call tak nak layan."

"Kan saya dah kata. Dia call tak kena masa. Sebenarnya, banyak perkara yang kami tak sependapat," ulas Ellisa, meringkaskan cerita.

"Saya mungkin tak boleh layan dia setiap masa yang dia nak. Tapi, saya tak nak kehilangan dia..." tambah Ellisa lagi.

"Then, just be yourself. Dia akan terima awak seadanya."

"Kalau dia tak terima macam mana?"

"Maknanya dia tak sesuai untuk awak."

"Tak naklah macam tu..." Ellisa enggan menerima kenyataan itu.

"Lain kali, kalau awak rasa Amier ada buat masalah dengan awak, call ajelah saya. I am a man after all. I might know what he was thinking," ujar Zayn sambil tersenyum nipis.

Ellisa membalas senyuman Zayn. Inilah kali pertama dia berbual panjang dengan seorang lelaki yang masih dia anggap sebagai seorang yang asing. Dia gembira kerana memilih untuk berterus terang dengan Zayn. Mungkin inilah yang dia perlukan dalam kes sebegini. Bantuan dari seorang lelaki untuk memahami lelaki yang lain.

Dan tidak dijangka pula, dia mampu berbual dengan Zayn dengan ramah tanpa ada sebarang perasaan janggal atau kekok.

"Baru saya perasan, hari ni awak boleh pula faham semua benda yang saya cakap. Last time, awak macam faham tak faham aje..."

"Sebenarnya, saya faham semua benda yang awak cakap waktu tu. Saya pun sebenarnya boleh berbahasa Melayu dengan baik. Saja buat-buat."

"Kali ni kenapa tak buat-buat?"

"Sebab awak dah boleh terbuka dengan saya. Saya pun terbukalah dengan awak." Jawapan yang diberikan Zayn dibalas dengan jelingan tajam oleh Ellisa.

"Oh, sebut fasal buat-buat..." Ellisa lantas terkenangkan sesuatu.

"Awak ada dekat fountain waktu saya terbaling emas tu, kan?" soal Ellisa. Wajah Zayn ditenung dalam-dalam.

"Dekat Rom? Memanglah. Kan dah beritahu."

"You clearly saw that I was looking for the coin. Yet, you said you weren't aware."

"Ops. You caught me!" balas Zayn selamba sambil mengangkat kedua-dua tangannya tanda menyerah.

"Jadi, awak memang dah rancang nak kenakan saya dari awal?" soal Ellisa dengan nada penuh tanda tanya.

"Saya tak rancang nak kenakan awak," nafi Zayn selamba.

"Habis, kenapa tak pulangkan aje emas tu kepada saya waktu tu?"

"Mana boleh bagi macam tu aje. Kenalah ada syarat!"

"Tak habis-habis dengan syarat dia tu," gerutu Ellisa.

Zayn tersengih-sengih sumbing. Tidak akan dia khabarkan bahawa tujuan sebenar dia berbuat demikian adalah untuk menjadikan emas tu sebagai alasan agar mereka bertemu. Niat dalam hatinya cuma ingin berkenalan rapat dengan Ellisa.

Dia mahu berbuat baik dengan gadis itu. Namun, wajarkah dia menggalakkan hubungan Ellisa dengan Amier? Dari hati yang jujur, dia tidak sepatutnya meletakkan syarat agar Ellisa mengejar Amier.

Itulah, Zayn. Kalau suka dekat dia, pikat ajelah. Nak buat baik sangat kenapa? Dia bukannya milik sesiapa. Disebabkan kecuaian kau berfikir, sekarang dia mungkin akan jadi milik orang lain, bebel Zayn dalam hati kecilnya.

Sungguh, dia menyesal kerana meletakkan syarat itu. Entah bagaimana dia boleh terfikirkan syarat yang sedemikian, dia tidak pasti. Mungkin, dia terlebih yakin bahawa Amier bukan untuk Ellisa. Walau bagaimanapun, dia sedar. Syarat yang diletakkan boleh berpaling dari terus berpihak kepadanya dengan mudah. Bagaimana jika Amier benar-benar jatuh hati kepada Ellisa nanti?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co