Bab 10
Ellisa tersenyum sendiri seraya menyandarkan tubuh di kerusi. Matanya melirik ke arah Amier yang sedang berdiri di kaunter untuk membeli dua cawan kopi. Hatinya puas. Semakin hari hubungannya dengan Amier semakin baik. Dia akui, tidak mungkin dia dapat mendekati Amier kalau bukan kerana pertolongan Zayn.
Sepertimana hubungannya dengan Amier, perkenalannya dengan Zayn juga nampaknya berlarutan sehingga ke hari ini. Dia tidak pernah berniat untuk berkawan dengan Zayn tetapi nampaknya ia tidak boleh dielakkan. Selagi syiling emas berada di tangan Zayn, selagi itu Ellisa duga, mereka akan berhubung.
Namun, apa yang agak menghairankan Ellisa, Zayn bersungguh-sungguh membantunya mendekati Amier. Pelbagai nasihat dia berikan agar Ellisa berjaya mengambil hati Amier. Selagi ia tidak bercanggah dengan landasan agama, Ellisa ikut. Dan, setakat ini segalanya berjalan dengan lancar.
Ya tak ya juga. Kenapa dia tolong aku penuhkan syarat yang dia bagi? fikir Ellisa. Matanya dilemparkan ke luar tingkap kafe.
Walau tuntutannya ke atas syiling emas Wan Jamsiah bersyarat, namun syarat itu memberat kepadanya. Malah, Zayn siap menolong Ellisa untuk memenuhi syarat itu. Mengapa? Mengapa Zayn meletakkan syarat yang terlalu menyebelahi dirinya? Sehingga ke hari ini, dia kurang faham dengan tindakan Zayn.
Alang-alang dia nak menyenangkan tugas aku, kenapa dia tak pulangkan aje emas tu dekat aku, hah? Kenapa syarat macam ni? Atau, kenapa dia tak letak syarat supaya aku dating dengan dia kalau betul dia nak kenal aku dengan lebih dekat? Ellisa mula berteka-teki.
"Berangan jauh, nampak!" teguran Amier menyentakkan lamunan Ellisa.
Ellisa lantas mengukirkan senyuman di bibirnya. Dia perhatikan sahaja Amier melabuhkan punggungnya di kerusi yang terletak berhadapan dengan tempat duduknya. Sebuah dulang yang berisi dua cawan kopi terhidang di atas meja.
Hatinya masih lagi tersenyum mengenangkan pertemuannya dengan Amier yang berlaku secara kebetulan di pusat membeli-belah itu. Antara mereka, tiada lagi perasaan kekok atau janggal. Ellisa pun sudah boleh berlagak seperti biasa sahaja di hadapan Amier. Tidak seperti dahulu.
Dan tidak seperti dahulu, Amier melayan dirinya dengan cara yang agak istimewa. Dia tidak mahu membuat andaian lebih-lebih tetapi dia mula terasa dirinya sudah mempunyai kepentingan dalam hidup Amier. Dan dia sangat-sangat menghargai perasaan itu.
"Awak buat apa dekat sini?" soal Amier bersahaja.
"Saja jalan-jalan. Window shopping. Hari ni hujung minggu, bosan pula duduk dekat rumah aje," balas Ellisa.
"Kalau bosan, kenapa tak call aje? Saya boleh bawa awak jalan-jalan," ujar Amier sambil tersenyum nipis.
"Saya tak naklah asyik ganggu awak."
"Mana ada awak mengganggu."
"Ellisa!" Tiba-tiba sebuah suara garau menyapanya entah dari mana. Ellisa mengangkat wajah, cuba mencari punca suara itu. Terkedu dia sejenak apabila dilihat Zayn terpacak berdiri di belakang kerusi Amier. Mujur kopi hitam yang dihirup tidak tersembur keluar dari mulut.
"Zayn... Apa awak buat dekat sini?" Ellisa menyahut, sedikit terkejut. Amier di hadapannya mula menoleh ke belakang, meneliti Zayn dari bawah ke atas.
"Apa saya buat? Apa yang awak buat dekat sini? Awak kata tadi awak dekat rumah, tolong emak awak masak!" ujar Zayn dalam nada yang ditinggikan sedikit seolah-olah dia keberangan.
Ellisa terpinga-pinga seketika. Apakah yang sudah merasuk Zayn ketika ini? Selalunya dia tenang sahaja. Dia mula merasa tidak selesa dengan kehadiran Zayn di situ.
"Awak kenal dia ke?" tanya Amier kepada Ellisa.
Ellisa mengangguk perlahan. Pergerakannya agak kaku. Perasaannya berbaur dan dia tidak bisa memikirkan apa yang sewajarnya dia lakukan ketika ini.
"Saya Zayn. Tunang dia," ucap Zayn, memperkenalkan dirinya kepada Amier.
Amier terlopong, barangkali terkejut dengan kenyataan yang baru dia dengari. Ellisa turut membuntangkan mata. Zayn ni dah kenapa? Apa yang jejaka itu ucapkan sama sekali tidak benar!
"Eh, mana ada. Dia tipu!" Ellisa cuba memperjelaskan keadaan kepada Amier. Namun, Amier lebih berminat mengekalkan perhatiannya kepada Zayn.
Ellisa menggenggam penumbuk. Keberangan terhadap Zayn mula menyerang diri. Adakah ini tujuan sebenar Zayn membantu dirinya mendekati Amier? Agar dia dapat memusnahkan hubungan mereka?
"Dia tak beritahu awak?" soal Zayn kepada Amier. Amier menggeleng perlahan.
"Saya calon pilihan emak dia," beritahu Zayn selamba.
"Enough, Zayn!" gerutu Ellisa seraya bingkas dari tempat duduknya.
Dia mencubit lengan kemeja yang tersarung di tubuh Zayn lalu menariknya keluar dari kafe. Sebaik mereka berdua melangkah keluar dari pintu, Ellisa terus menyilangkan tangannya ke tubuh. Wajahnya masam mencuka.
"Padanlah awak beria-ia tolong dekatkan saya dengan dia. Ini tujuan awak sebenarnya?" tuduh Ellisa berani.
"Eh, tak," nafi Zayn selamba. Sedikit pun tiada perasaan bersalah di wajahnya.
"Dah tu?" tanya Ellisa serius. Terpalit sedikit kekesalan jauh di sudut hatinya kerana telah memilih untuk mempercayai orang asing seperti Zayn.
"Saya cuma nak selamatkan awak. Saya baru aje nampak dia dating dengan perempuan lain tadi," balas Zayn.
"Kut ya pun, perlu ke terjah kita orang macam tu? Tak boleh ke beritahu saya kemudian?" tegas Ellisa. Nadanya kedengaran lebih tenang namun hatinya terasa sedikit tersentap.
"I'm sorry," ucap Zayn ikhlas seraya menekur lantai sejenak. Dia kemudiannya menjeling ke arah tingkap, melihat Amier yang masih berada di dalam kafe.
"Itu ke Amier?" soal Zayn.
Dengan keluhan perlahan, Ellisa menganggukkan kepala. Sekali lagi, Zayn menundukkan wajahnya. Dia rasa bersalah. Serta-merta dia menyesali perbuatannya yang agak melulu.
Biasanya dia tidak begitu. Tetapi, entah mengapa hatinya merasa terganggu melihat Ellisa duduk sambil berbual gembira dengan lelaki lain. Mungkin kerana dia sudah kian terbiasa berbicara dengan Ellisa, dia tidak mampu membayangkan Ellisa berkongsi perasaan pula dengan jejaka lain.
Biarpun apa yang dia katakan tentang Amier tadi benar, dia tidak mahu terus berkeras. Dia akan tetap menyelamatkan hati Ellisa, cuma bukan pada waktu ini.
"Saya minta maaf. Saya minta diri dululah kalau macam tu," ucap Zayn perlahan. Matanya memerhatikan wajah Ellisa dalam.
"Okey," balas Ellisa datar. Tanpa berfikir panjang, gadis itu terus melangkah masuk kembali ke kafe. Sedikit pun dia tidak menoleh ke belakang, ke arah Zayn yang masih meneliti setiap gerak-geri Ellisa.
Lalu, dengan langkah yang berat, dia berlalu pergi.
"Saya minta maaf fasal tadi," ucap Ellisa sebaik melabuhkan punggungnya di tempat duduknya di hadapan Amier.
"Siapa tu?" soal Amier.
"Kawan saya."
"Kenapa dengan dia?" tanya Amier, cuba memahami keadaan antara mereka.
"Tak ada apa. Dia kata dia nampak awak keluar dengan perempuan lain," balas Ellisa datar, tanpa sebarang perasaan kecewa.
Amier menelan liur. Wajah Ellisa direnungnya dalam-dalam, cuba membaca perasaan gadis itu. Namun, pada pandangan matanya, Ellisa nampak tenang dan neutral. Apapun perasaan yang tertanam dalam sanubari gadis itu, dia berjaya menanamnya dengan baik.
"Kalau betul saya keluar dengan orang lain, awak marah ke?" risik Amier, sekadar cuba mencungkil perasaan Ellisa.
Giliran Ellisa menelan liur. Sungguh, dia tidak menyangka soalan sebegitu yang akan diajukan kepadanya.
"Tak..." balas Ellisa. Nadanya jelas tidak yakin.
"Kenapa tidak?"
"Saya kawan awak aje, kan? Bukan tunang atau isteri awak," kata Ellisa dengan keyakinan yang olok-olok.
"Oh. Macam tu rupanya tanggapan awak tentang saya," ujar Amier. Nadanya sedikit kecewa.
Ellisa duduk tegak. Respons yang baru diberikan Amier tadi menarik perhatiannya, menyalakan harapan yang selama ini tidak mahu dia barakan sehingga tiba waktunya.
"Habis? Apa pula tanggapan awak terhadap saya?"
"Saya sebenarnya serius dengan awak."
Ellisa menggigit bibir. Jantungnya mula berdebar-debar. Sungguh, dia tidak sangka. Seumur hidupnya, dia tidak pernah merasakan perasaan ini. Adakah ini harapan bahawa perasaannya kini berbalas?
Jika ya, Ellisa tidak rasa dia sukakan perasaan itu. Teramat janggal dirasakannya. Tidak selesa. Takut pun ada. Apakah tandanya ini? Adakah dia sebenarnya tidak sukakan Amier sebagaimana yang disangka? Atau segala ini sekadar gemuruhnya sahaja?
Ellisa tidak punya jawapan yang jelas.
"Saya selalu cerita fasal awak dekat emak saya. Emak saya pun selalu juga ajak awak datang ke rumah, tapi saya tak pernah ajak. Takut awak belum bersedia." Amier menambah lagi.
Ellisa menelan liurnya yang tiba-tiba terasa pahit. Kecut juga perut mendengarnya. Mungkin sememangnya dia belum bersedia. Tetapi, dia pasti... Dia memang sukakan Amier.
"Kalau awak sudi, suatu hari nanti... Marilah jumpa dengan emak saya," pelawa Amier.
Ellisa memaksakan senyuman seraya mengangguk perlahan.
"Okey. Boleh," setuju Ellisa. Sesungguhnya, apa yang diucapkan di bibir tidak sama dengan apa yang tersirat dalam hati.
Walau bagaimanapun, dia tetap berpuas hati. Nyata, apa yang dikatakan Zayn tadi palsu belaka. Mungkin Zayn sekadar membuat cerita untuk merosakkan hubungan mereka sebagaimana yang dia andaikan. Atau, Zayn tersalah orang.
Pada penelitian Ellisa, Amier jelas ikhlas dengannya. Apa yang perlu dia lakukan kini adalah tetapkan hatinya. Dia yakin gemuruh yang dirasanya kini hanya sementara. Dia berharap apabila gemuruhnya hilang nanti, perasaan gembira pula yang akan mengganti.
BUTANG hijau ditekan lalu sebaris perkataan salam diucapkan dengan nada yang tenang. Ucapan salamnya disambut dengan nada yang sama oleh si pemanggil. Ellisa seterusnya mendiamkan diri, menanti Zayn yang berada di hujung talian memulakan dahulu bicaranya.
"Awak masih marahkan saya?" soal Zayn perlahan.
"Tak."
"Tak? Amier tak salah faham ke?"
"Nope. He was suprisingly very understanding."
"Baguslah kalau macam tu," kata Zayn. Ada sedikit kekecewaan terselit di celah suaranya.
"Saya rasa saya perlu berterima kasih kepada awak. Kalau bukan sebab awak, mungkin saya takkan tahu yang Amier serius dengan saya," jelas Ellisa datar.
"Really?"
"Yes. Saya rasa dia rasa terancam bila awak buat macam tu tadi," jelas Ellisa.
"So now, he's decided not to let you go?"
"I guess so."
"Kalau macam tu, nanti bila awak secara rasminya kenalkan dia kepada saya, saya nak minta maaf personally daripada dia sebabkan hal tadi."
"Hal kecil ajelah. Tak payah. Dia tahu awak salah faham."
"Tapi, dia tahu tak awak kawan dengan dia sebab awak nak saya pulangkan emas nenek awak?"
Ellisa terkedu. Soalan yang baru didengarinya bagaikan menyedarkannya daripada sebuah mimpi. Adakah sebenarnya ini perangkap yang dirangkakan Zayn dari awal? Adakah sebenarnya, dari awal lagi semua ini cuma mainan bagi Zayn?
Ellisa mula mengutuk dirinya. Mengapa selepas sebaris soalan itu, baru dia sedar betapa liciknya Zayn mempermainkannya? Mengapa pula dia terlalu bodoh sehingga mampu terpedaya?
Semuanya sebab syiling emas bodoh tu! gerutu Ellisa dalam hatinya yang mula dirundung kekesalan.
"Ellisa?" suara Zayn memecah kesunyian.
"Saya kawan dengan dia sebab saya sukakan dia," tegas Ellisa menjawab apabila kemarahan mula menyulam dalam jiwa.
"Okay. I'm sorry. Saya tak patut tanya soalan tadi. But, just so you know... Saya tetap akan pulangkan emas tu kepada awak," pujuk Zayn dengan nada yang lembut, cuba menyampaikan keikhlasannya sebaik mungkin.
"Yeah, right!" keluh Ellisa malas.
"I'll call you later. Tenangkanlah diri awak dulu. Saya minta maaf sebab buat awak marah lagi sekali," ujar Zayn.
Ellisa terus mematikan talian. Telefonnya dicampakkan ke atas katil. Perasaan hatinya mula berperang lagi.
Sungguh, dia merasa celaru. Keadaan yang dia duga telah dia fahami betul-betul, semuanya nampak kabur sekarang. Adakah benar dia hanya mangsa kepada percaturan orang-orang di sekelilingnya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co