Truyen3h.Co

Permata Hati

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

TANGANNYA terus menggenggam tanah yang masih merah. Malah lembab juga. Dipaksa diri agar terus mengoyak senyum tapi apakan daya, paksaan itu tidak menjadi saat ini.

Air mata juga yang mengalir. Bukan kerana dia tak mampu terima ketentuan tapi kerana rasa kesal yang tak kunjung sudah. Membelit dan buatkan dirinya semakin terlilit.

Bersama dengan tusukan duri yang dirasakan begitu berbisa. Tiada apa lagi yang mampu dikatakan. Hanya nama Tuhan yang meniti pada bibirnya sejak tadi. Kehilangan, telah mengajar dia erti hebatnya kasih sayang.

Namun, dia siapa. Dia hanya manusia khilaf. Yang kasih sayangnya tiada apa. Kasih sayangnya tak akan mampu mengatasi kasih sayang Tuhan. Pusara yang ditenung lama bersama air mata yang kembali berlinangan.

Aizudin lemah saat ini. Terlalu longlai dengan apa yang sedang dihadapkan di depan mata. Menerima kafarah atas segala khilaf lalu hingga menyebabkan orang di sekeliling juga turut sama berduka.

Tuhan... Perlahan Aizudin berbisik pada hati sendiri.

Aku terima hukuman ini, Allah. Aku terima segala kehilangan ini dengan hati yang terbuka. Kerana aku yakin, bersamanya, telah Kau tetapkan seribu satu kebaikan buat kami.

Tuhan... Terima kasih.

Atas kasih sayang-Mu. Menarik aku kembali berdiri di jalan-Mu setelah kesilapan lalu. 

Bab 1

SUASANA terasa membahang. Peluh merenik pada dahi. Dia tak main tapi dia yang dah lebih berpeluh. Sesekali, Lis mengerling pada Zoey yang sedang aktif mengejar dan menyepak bola dalam gelanggang futsal. Ampang Sport Planet terasa bingit dengan suara orang menjerit dan ketawa.

Esakan halus kawan baik di sisi, membawa Lis kembali memandang pada Mala. Tiada lagi renungan pada Zoey. Air mata Mala mengalir lesu. Mala, adalah teman terbaik yang pernah dia ada. Dia janji dengan Tuhannya. Dia sayangkan Mala dunia dan akhirat. Dia janji untuk sama-sama ke menara gading. Apa saja, dia akan bantu.

Tapi... Ujian Mala kali ini dirasakan ujian yang bukan biasa. Andai terjadi pada dia, entah mampu atau tidak dia bertahan.

"Mala, kalau kau terus nangis macam ni... Aku pun akan nangis sama."

Lis usap bahu Mala perlahan. Sebu betul perasaan dia waktu ini bila Mala bercerita segalanya tentang apa yang telah menimpa. Tak mudah untuk Mala hadapi.

Dia yang dengar pun rasa rebeh bahu, Mala yang menanggung dah patah riuk gamaknya.

"Aku tak tahu dah nak buat apa, Lis. Aku tak ada tempat mengadu, aku tak ada orang lain selain kau, Lis..." balas Mala dengan nada suara yang tenggelam timbul dihurung sebak.

Tuhan... Lis paut bahu Mala. Dipeluk erat. Dia pun tak sangka semua ini akan jadi lebih teruk. Rasa dia bertuah benar kerana punyai keluarga yang bahagia. Mama dan papa yang begitu memahami malah rumah yang dikatakan syurga sebelum syurga itu benar-benar membahagiakan.

"Aku pun tak tahu nak kata apa buat masa sekarang, Mala. Aku tahu, aku cakap apapun sekarang, kau mesti susah nak terima. Sekali aku buntu, aku tahu kau berkali ganda buntunya. Tapi, satu yang aku nak kau tahu..."

Tubuh Mala ditolak. Dicengkam sedikit bahu Mala. Menghantar maksud kasih sayang seorang sahabat yang begitu mendalam.

Air mata Mala masih mengalir lesu. Mala nampak benar-benar lemah. Saat ini, satu aje dia terfikir. Sudah makankah? Nampak lemah benar.

"Aku akan sentiasa ada untuk kau, Mala. Aku akan bantu kau bila-bila masa aje kalau kau perlukan bantuan. Cuma, sekarang kau kena jaga diri. Betul-betul jaga diri kau. Apa pun jadi, jangan rosakkan diri sendiri. Kau kena sayang diri kau dulu. Baru orang lain akan hormat dan sayangkan kau. Kau faham, kan... Maksud aku ni?"

Bersungguh-sungguh Lis menyoal.

Bukan apa. Dalam keadaan sebegini, sesiapa saja mudah terpengaruh dengan benda tak elok. Dan, dia tak nak Mala lalu semua tu. Dia nak Mala tahu, Mala masih ada bahu untuk bersandar dan bahu itu adalah kepunyaannya.

"Kau kena tabah, tau..." pinta Lis separuh merayu dalam senyuman yang pincang.

Macam mana dia nak senyum manis jika begini sekali nasib yang menimpa Mala.

"Sekarang ni, kau balik rumah dulu. Duduk dan cuba bincang baik-baik. Kalau perlu mengalah, biarlah kita yang mengalah."

"Aku tak nak balik."

Mala menggeleng berkali-kali. Air mata kembali berjuraian ke pipi. Ketakutannya jelas terpancar.

Dah sudah. Tak nak balik rumah pula. Lis lepaskan keluhan tipis.

"Kau kena balik dulu. Cuba bincang dulu apa yang patut. Adik-adik kau semua. Kau kena ingat tu, Mala. Kalau kau tak balik, siapa nak bela nasib dia orang. Kalau kau kata kau ada aku aje dalam hidup kau sekarang, adik-adik kau pula ada kau aje, Mala..." Rendah suara Lis memujuk Mala agar kembali ke rumah.

Jika Mala tak balik, mana lagi Mala boleh pergi? Dia boleh bawa Mala ke rumahnya tapi bagaimana dengan adik-adik Mala?

Tersentuh dengan kata-kata Lis, air mata Mala terus mengalir tanpa ada tanda hendak berhenti.

"Lis..."

"Ermmm..."

Tangan Lis digenggam kemas. Mencari sedikit kekuatan di balik keikhlasan seseorang yang dia gelar sahabat.

"Kau kawan aku, kan?" soal Mala sayu.

Lis angguk.

"Dunia akhirat..." Senyum tipis. Membalas genggaman tangan Mala.

"Kau tak akan tinggalkan aku, kan?"

Mata Lis mengerdip.

"Selamanya..."

Sekali lagi, pelukan bertaut erat. Tuhan... Berikan ketabahan pada hati-hati kami menempuh ujian-Mu. Risaunya pada Mala tak pernah surut sejak dulu malah semakin tinggi pula rasa itu.

SEJAK tadi, dia dah tak beraksi. Dah tukar pemain. Hanya berdiri di tepi gelanggang, dengan mata yang tunak memandang pada Lis dan Mala yang sedang buat sesi luahan perasaan. Nampak Mala sedang menangis sejak tadi. Bukan dia tak tahu apa masalah Mala tapi entahlah... Kurang selesa sikit bila Lis begitu lembut hati dengan Mala.

Sekali pandang, memang orang dah boleh agak betapa rapatnya Lis dengan Mala. Dia pula yang naik semak mata. Bukan dia tak suka... Cuma... Tak selesa.

"Zoey..."

Renungan Zoey tersentak bila bahunya dilanggar oleh Johan yang dah berdiri tepat di sisinya dengan mata turut sama memandang pada Lis dan Mala.

Dia ni dah separuh mati risau dekat Lis. Ya, dia tahu Mala yang sedang dilanda masalah tapi dia lebih risaukan Lis. Lis tu, hati lembut. Mana boleh tengok kalau orang menangis ni. Mulalah nak jadi penyelamat dunia. Nak jadi Tun Fatimahlah tu kononnya. Heh.

"Zoey, kau nak main lagi ke tak nak?"

Zoey menoleh pada seorang teman. Tersenyum tawar dan menggeleng perlahan. Nak main apa kalau mata dia tak lepas daripada mengerling Lis dan Mala. Jangan-jangan, bola ke mana, kaki dia ke mana.

"Aku gerak dululah. Kau orang mainlah. Next week aku join lagi..." Tangan dilambai. Dah sedia nak berlalu.

Beg galas diangkat. Tuala di tangan kiri dibawa ke wajah. Mengelap sisa peluh yang masih menitis. Langkah kaki diatur tenang.

"Minggu depan jangan lupa!" laung Johan mengingatkan.

"Okey. Aku tak lupa. Sorrylah. Lagipun malam ni keluarga aku ada majlis sikit..." Dia tersengih. Alasan itu kukuh. Memang ada majlis.

Johan senyum tipis. Tapi hanya terima bulat-bulat kata-kata Zoey. Zoey ni nampak aje mudah dibuli tapi tegasnya ketara. Nak-nak bila semua perkara itu melibatkan Lis.

Pandangan mata kembali dicampak jauh pada Lis. Dia angkat tangan kiri. Mengetuk permukaan jam bila Lis memandang pada dia juga. Memberi isyarat yang mereka dah perlu beredar. Dah lewat.

Tambahan pula, letihlah tengok drama air mata dua orang gadis ni. Haih... 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co