Bab 2
SELESAI menyimpan dan menukar pakaiannya, Zoey hampiri Lis yang nampak seperti baru siap shooting drama swasta dengan Mala. Wajahnya keruh. Jelas sangat tak selesa dengan apa yang telah dan sedang terjadi.
"Ha, dah siap dah jadi pakar motivasi?" sindir Zoey.
Hish... Lis tarik muka. Dia cuma nak bantu. Tak patut sungguh Zoey sindir dia macam tu sekali.
"Tak eloklah cakap macam tu. Lis memang nak tolong dia," tegur Lis perlahan.
"Tak settle lagi ke?"
Zoey mengalah sudahnya. Yalah. Nak marah dekat Lis pun tak patut. Lis memang jenis ada hati yang baik. Nak buat macam mana?
Dahi Lis berkerut. Menggeleng kecil.
"Tak nak balik rumah pula."
"Sebab?"
Zoey dah agak dah. Memang akan timbul masalah baru punyalah.
"Kan dah cakap... Dia tu..."
"Hey... She's not what you think, okay!" Mata Lis terjegil. Orang tak dan habis cakap lagi, dia boleh pula buat andaian sendiri.
"Dia kena pukul dengan bapak dia. Nampak teruk juga tu. Habis lebam-lebam," cerita Lis lembut.
Terkedu Zoey beberapa saat. Rasa simpati juga dia pada Mala.
"Habis tu, macam mana?"
Lis diam seketika. Teringat pada Mala, hati dia juga terasa sakit. Apalah nak jadi? Satu aje dia harapkan sekarang. Mala pandai jaga diri. Tabah yang pastinya.
"Lis bagi duit sikit. Tak nak nanti dia pergi tempat tak senonoh. Atau, boleh ke ajak Mala datang rumah?"
Saja dia nak dengar pendapat Zoey walaupun jelas yang Zoey memang tak setuju.
"Jangan bagi muka sangat, Lis. Nanti lain pula jadinya."
Jawapan itu jelas menjawab yang dia tak setuju dengan usul Lis. Dah bagi duit, nak dibawa ke rumah pula. Haih... lagipun, Mala tu dah besar panjang. Dah boleh fikir mana baik mana buruk. Selama mana Lis boleh jaga Mala? Orang ada kaki. Dia akan pergi mana saja tempat yang dia nak pergi.
"Lis bukan nak bagi muka. Tapi..." Mata Lis memandang wajah Zoey. Wajah yang masih tak puas hati.
"Lis memang ikhlas nak tolong dia. Bukan Zoey tak tahu, dia satu-satunya kawan rapat Lis..."
Rasanya Zoey lebih kenal dia daripada sesiapa kenal dia. Takkanlah tak boleh nampak usaha dia nak membantu. Tapi, dimarahi pula.
"Ala... Jomlah balik. Jangan kata Lis lupa malam ni ada apa..." tegur Zoey mengingatkan.
Lis tepuk dahi.
"Ya Allah... Nasib Zoey ingatkan. Lis dah hampir lupa ni. Ha... Jomlah kita balik..."
Hampir dia lupa hari penting mama dan papa. Padahal mama dah pesan balik awal. Ini dah lewat juga ni. Mahu kena jelingan manja mama ni.
"Lis..."
"Erm..."
"Tentang Mala tu..."
Zoey kembali menyambung. Langkahnya mati bila berhenti tepat di depan motosikal miliknya. Mata beralih memandang Lis.
"Jangan manjakan dia sangat, Lis. Bukan Zoey nak bantah Lis bantu dia tapi esok-esok Lis asyik bagi dia duit, dia buat Lis jadi bank dia. Nak duit aje, cari Lis. Buat drama sikit... Lis pun mulalah hulur. Tak bagus macam tu." Perlahan dia menasihati.
Dia kenal ramai orang di luar sana. Yang baik, yang jahat... bermacam perangai. Dia bimbang satu hari nanti, Lis terpengaruh dengan cerita sedih Mala. Sedangkan dia nampak Mala dah berubah. Dah tak macam dulu. Malah, dia pernah nampak Mala dah berjinak dengan rokok. Sengaja dia sorok daripada pengetahuan Lis.
Hai... Ingatkan dah habis dah. Sempat lagi tu. Tapi, Lis hanya diam sambil mencebik. Terus memakai topi keledar dan mengetatkan talinya.
"Ya, Lis faham Zoey risau. But, please don't. Lis tahu jaga diri..." balas Lis selamba.
"Kita singgah solat asar dululah. Lepas tu, kita terus balik. Dah lewat sangat ni. Tak nak lewat hari besar mama dengan papa." Malas dah dia nak berbahas dengan Zoey tentang Mala. Rasa macam dia tak akan menang. Baiklah dia ubah tajuk.
Tangan Lis ligat menari di atas skrin iPhone 6S miliknya. Apa-apa pun kena maklum dekat mama dulu sebelum mama risau. Dia tak biasa buat hati orang tua sendiri resah.
"Yalah... balas Zoey mengalah sambil menjatuhkan viser helmet fullface yang dah kemas tersarung. Ducati Monster itu mengaum garang.
Minyak dipulas dan Lis yang masih belum bersedia hampir terlentang ke belakang. Bahana terkejut, lengan Zoey dipukul kuat. Marah sungguh dia. Tapi, dalam pada marah, dia hanya mampu tersenyum bila dia dapat lihat, bening mata Zoey yang juga sedang tersenyum pada dia.
Apa yang meresahkan adalah, Mala...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co