Truyen3h.Co

Permata Hati

Bab 10

karyaseni2u

PINGGAN nasi di letakkan di depan papa dan kemudian, Uncle Lokman juga Uncle Fandi. Lis akhirnya singgah di depan Zoey. Tersenyum Zoey namun Lis saja masamkan wajah. Bengang jugalah bila Zoey tak izinkan dia jawab panggilan Mala. Buatnya orang tu memang dalam kesusahan, macam mana? Haih...

"Kenapa muka macam tu, Lis?" soal Aizudin.

"Eh, macam mana?"

Lis tarik kerusi dan duduk. Saja dia sentuh pipinya sendiri. Papa perasanlah pula.

"Gaduh dengan Zoey ke?" Laju Kemawati bertanya sambil menjeling anak bujangnya.

"Eh, mana ada gaduh?" Laju juga Zoey menafi. Memang tak gaduh tapi gamaknya Lis terasa hatilah tu dengan dia. Dia bukan apa, demi kebaikan juga. Dia memang tak suka Lis berkawan dengan Mala malah sejak dulu. Tapi bagi Lis, itulah kawan dunia akhirat.

"Kalau tak gaduh... Kenapa muka Lis tu macam ayam berak kapur aje?" tambah Aizudin.

"Eh, papa ni. Ada pula berak kapur. Lis laparlah..." Kepala Lis jatuh. Malu pula dia bila papa dapat kesan dia bermasam muka dengan Zoey. Bila dia angkat mata dan memandang Zoey, sepupunya itu sedang tersengih.

Menyampah!

"Eh... Dah-dah. Kita baca doa. Makan dulu."

"Wait..." Kemawati menahan. Dia senyum.

"Takkan macam tu aje nak makan. Kenalah ucap selamat ke apa dulu, kan?"

"Oh, yalah..." Lis tepuk dahi. Dia toleh pada papa dan mamanya.

"Ma... Pa... Selamat hari ulang tahun. Lis doakan kita sekeluarga bahagia sejahtera selamanya. Sampai syurga. Mama dan papa adalah ibu ayah terbaik dalam dunia ni," ucap Lis.

Aizudin meraba tangan Sofia di bawah meja. Menggenggam erat. Ini yang rasa nak ulang balik bulan madu mereka di Banjaran Hot Spring dulu ni.

"Erm... Hadiah?" Sofia tongkat dagu di atas meja memandang pada Lis.

Wajah Lis berkerut tapi tak lama... Dia kembali tersengih dan mendabik dada.

"Ini hadiahnya..."

Terus semua ketawa.

"You're the only and the best gift ever, sayang," jawab Sofia.

Aizudin menggeleng kecil. Budak bertuah ni. Tapi, itu kebenarannya. Lis adalah hadiah terbaik untuk dia dan Sofia. Selamanya.

"Okey... Dah habis, kan? Boleh kita makan?" Zoey usap perut. Tanda kelaparan.

"Okey, my hero baca doa." Lokman tepuk paha Zoey.

"Okey, ayah..." Zoey terus angkat tangan dan membaca doa.

Baru saja diaminkan doa, telefon bimbit Lis sekali lagi berbunyi. Mata Zoey laju menikam anak mata Lis. Tadi, orang dah buat silent mode, dah dia pergi tukar pula dah.

Jangan jawab, Lis. Suara hati Zoey bersama isyarat mata yang tajam menikam. Tak jadi Lis tarik telefon bimbitnya daripada poket. Mengerti dengan renungan Zoey, Lis larikan pandangan.

Sebaik saja deringan itu berhenti, isyarat SMS pula memecahkan sepi. Masing-masing saling memandang. Lis laju menarik telefon bimbitnya. Ya, ada berbelas missed call. Dia kemudiannya memandang pada Zoey dan mengangkat bahu. Tanda tak pasti tapi SMS ini adalah daripada Mala.

Jarinya mahu menari di atas skrin tapi tertahan bila pandangan papa jatuh tepat pada wajahnya.

"Kita makan dulu ya, Lis?" pujuk Aizudin perlahan.

Tidak dapat tidak, Lis akur biarpun resahnya semakin menjadi-jadi. Janganlah terjadi apa-apa pada Mala.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co