Truyen3h.Co

Permata Hati

Bab 9

karyaseni2u

DAH lewat. Lis merungut-rungut pada Zoey. Saja bawa motor perlahan. Tengok, sekarang dah pukul berapa baru sampai rumah. Ini mahu kena syarah dua tiga das ni. Haih... Lis melintas pagar automatik yang sedang terbuka. Membiarkan Zoey sendiri dengan motosikalnya.

Baru nak menapak, telefon bimbitnya menjerit. Laju dia menarik daripada beg yang tersilang pada badan. Nama Mala naik. Laju dia mahu menjawab tapi entah bila Zoey rapat, terus merampas iPhone itu daripadanya.

"Zoey... Apa ni?"

Lis tayang wajah tak puas hati.

"Apa... Apa?" soal Zoey juga tak puas hati.

"Kenapa rampas telefon orang? Sini telefon tu..."

Dia cuba gapai namun Zoey mengangkatnya tinggi, menghalang dia daripada mencapainya.

"Apa masalah Zoey ni?" Nak meninggi suara, mereka dah ada depan rumah.

"Bukan Zoey yang bermasalah tapi kawan Lis ni haaa... Kita dah dekat rumah ni. Lupakanlah dia sekejap," suruh Zoey tegas. Jarinya laju menari di atas skrin telefon Lis. Nak dipadam, rasa kejam sangat. Lantas dia letak dalam silent mode.

"Nah..."

Telefon tersebut diletak di atas telapak tangan Lis.

"Masuk rumah dulu. Jangan nak jawab call dia. Nanti pandailah dia call balik kalau ada hal penting," bebel Zoey lalu masuk ke rumah.

"Are you coming?"

"Yes... Coming..."

Lis laju mengikut bila langkah Zoey terhenti di ambang pintu. Telefon diletak dalam poket jean. Risau dia mencanak tinggi. Mesti ada sesuatu. Sebab tu Mala telefon.

Tuhan...

SALAM Zoey dan Lis disambut hampir serentak. Mata Lis memandang pada mama yang sedang menghidang makanan di meja. Ada Auntie Ziela dan mak ngah juga. Senyuman diukir lantas dia rapat ke meja makan.

"Sorry, ma. Lambat..."

Sofia senyum.

"It's okay. Janji Lis bagi tahu. Mama dah tak risau..."

"Ala, nak risau apa? Zoey kan ada sama," sampuk Kemawati laju.

Ziela hanya senyum.

"Mama masak ke semua ni?" Mata Lis meliar melihat hidangan. Tak sabar pula nak makan. Saja dia mahu larikan pemikiran dia daripada nama Mala. Untuk seketika aje. Pada saat seluruh keluarga sedang berkumpul bahagia.

"Ini... Mak ngah yang masak. Saja dia nak susahkan diri katanya."

"Waaa... Nampak sedap betul," puji Lis.

"Auntie Ziela masak apa?" usik Lis.

Ziela senyum canggung.

"Sorry sangat, sayang. Auntie tak sempat masak apa pun. Lis rindu masakan auntie ke?" seloroh Ziela pula.

Lis laju angguk.

"Alaaa... Kau tu memang. Memanjang tak sempat nak masak. Makan sempat pula, ya?" usik Kemawati.

Sofia, Ziela dan Lis ketawa.

"Tak apalah, Ziela. Kau tu busy memanjang. Doktor katakan. Manalah ada masa nak berperang dengan periuk belanga. Betul tak?" Sofia jelas membela kawan rapatnya.

"Itulah dia. Memang tak dan. Kalau cuti, memang aku pilih untuk rehat ajelah. Cuma, nasib baiklah kita selalu berkumpul macam ni. Kalau tak, memang susah nak jumpa dan nak merasa homemade cooking ni. Nak-nak air tangan kau dengan kak ngah. Tambah pula cik abang tu semua boleh ngam," ujar Ziela pula.

"Okey... Okey. Jomlah semua. Kak ngah dah lapar ni. Saja aje hari ni simpan perut tak makan sehari suntuk. Nak makan sama-sama dengan kau orang semua ni."

"Hai... Jaga sikit pemakanan tu, kak ngah. Ingat sikit... Penyakit ni berpunca daripada makan, tau. Karang..."

"Dah start dah doktor ni nak bersyarah." Suara Ziela mati bila Kemawati menyampuk.

"Yalah, kak ngah selalu beringat tapi hari ni kira dapat pengecualianlah. Okey?" Sempat dia kenyit mata pada Ziela.

"Yalah... Yalah..." sampuk Sofia..

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co