Truyen3h.Co

Permata Hati

Bab 4

karyaseni2u

AIZUDIN masih tersenyum biarpun wajah isterinya begitu tegang mendengarkan ayatnya tadi. Sensitif betul!

"Abang jangan cakap..." Sofia jeda. Makin tajam renungannya pada Aizudin.

"Sayang, don't give me that look, okay..."

Gerun juga dia ni. Tapi bibirnya masih bergayut dengan senyuman.

"Abang cakap ajelah. Apa yang sedang ada dalam kepala Sofia dengan kak ngah tu, langsung tak pernah terlintas dalam kepala abang sejak hari pertama abang jumpa Sofia. Cukuplah sayang sorang. Hati abang kecil aje untuk isi ramai-ramai. Sofia sorang aje dah cukup..." Lidah tak bertulang berbicara dengan bahasa yang manis persis madu.

Membibitkan bunga tawa sekali lagi pada bibir Sofia yang hanya diam menahan senyuman.

"Lagipun, payung emas ni bukan sebab isteri izinkan suami kahwin lain ajelah..." sanggah Aizudin perlahan. Dia menggeleng perlahan.

Perempuan ni, kalau cakap payung emas, mulalah fikir tentang yang satu itu saja. Cubalah lempar fikiran jauh-jauh. Haih...

"Isteri yang taat pada suami, jaga maruah diri, jaga aib suami... Itu pun kategori dapat payung emas juga tu."

Cara Sofia memandangnya, dia sudah dapat baca apa yang sedang bermain di dalam kepala isteri tercinta. Mana mungkin dia menduakan Sofia. Cintanya pada Sofia adalah cinta sampai syurga. Dia tak mahu yang lainnya. Cukuplah Sofia dan keluarga bahagianya sekarang.

Dia tak pernah tamak. Dia bersyukur dengan rezeki dan bahagia yang selama ini mereka kecapi bersama. Bukan baru setahun dua tapi sudah hampir dua puluh tahun mereka hidup bersama.

Kesetiaan Sofia... Kasih sayang yang sering dicurahkan serta kepercayaan Sofia telah menjadi tunjang bahagia mereka. Dia dekati tubuh isteri yang nampak masih merajuk. Entahlah... Merajuk gamaknya. Ringan tangannya naik memeluk bahu Sofia. Dipaut mesra. Lantas dia usap perlahan. Melahirkan rasa cinta yang bukan sedikit.

"Betul abang tak ada niat nak duakan Sofia?" tanya Sofia perlahan. Timbul juga rasa curiga dalam hatinya. Setelah sekian lama, inilah kali pertama dia mahu bertanya soalan begini.

Suaminya, masih segak. Masih tampan malah punyai kerjaya yang kukuh. Bukan tak pernah Aizudin digoda oleh gadis muda tapi dia begitu yakin yang Aizudin hanya memandang dia dan itulah hakikatnya. Namun saat ini...

"Betul abang cuma cakap aje?"

"Hey, sayang... Tak mungkin ada benda macam tu. Abang cakap aje. Jangan fikir dah. I won't say it ever again. Abang sentiasa berdoa pada Tuhan, biarlah sayang aje jodoh abang di dunia dan di syurga. Abang nak sayang jadi bidadari abang selamanya. Tak mungkin bergalang ganti. Cinta sayang dan abang... Cinta kita terlalu besar nilainya dalam hidup abang dan abang sendiri tak akan mampu belah hati abang jadi dua. Itu yang sayang kena selalu ingat, tau..." Sempat dicuit hidung mancung Sofia.

Hai... Rindunya makin menggebu. Kalau tak fikir orang lain ada, dia memang kucup juga Sofia ni.

Saat ini, barulah bibir Sofia meleret dengan senyuman dan dijeling Aizudin manja.

"Hai... Seram pula angah dengar payung emas segala ni. Tak kiralah emas 916 ke... Emas 999 ke... Memang seram. Lagipun, mulut kata lain, hati tu... Manalah tahu ada niat lain juga..." bidas Kemawati tiba-tiba.

"Eh, awak ni..."

Terkaku seketika Lokman tapi cepat-cepat dia memeluk bahu Kemawati. Karang, kalau dibiarkan... Melarat tak memasal topik payung emas ini.

"Janganlah tarik muka macam tu. Takut saya tengok," usik Lokman.

"Amboi... Takut ke atau dah tak lalu nak tengok?" Tajam mata Kemawati menjeling.

"Kalau saya tak lalu tengok, saya pejam aje mata. Tapi ini ha... Terjegil aje mata saya pandang awak." Sengaja Lokman celik matanya luas-luas.

Makhluk Allah bernama perempuan ni, memang mudah berangin.

"Dahlah, jom masuk. Dan, senyum sikit..."

Sempat Lokman kenyit mata sebelum mereka sama-sama menapak ke dalam rumah.

"Orang perempuan ni, kalau sebut aje payung emas semua fikir lain, kan?" bisik Lokman pada adik iparnya.

Pecah tawa Aizudin. Tapi, tak lama bila mata Sofia merenungnya. Kemawati juga turut memandang mereka.

"Gelak apa?"

"Errr... Tak ada apalah." Aizudin garu kepala. Malas dah nak panjangkan hal ni. Karang tak jadi makan malam. Makan bebelan pula.

"Eh, Sofia... Ziela mana? Tak muncul-muncul lagi ni?" Kemawati baru terlintas nama seorang lagi teman baiknya.

"Ziela dengan cik abang dia, seperti biasalah, ya? Lambat sikit..."

"Sikit ke banyak?" tanya Lokman.

"Banyak dah ni. Kalau sikit, tadi dah sampai." Giliran Aizudin menokok tambah.

"Hai... Ada pula jadi nasi tambah, ya?" Kemawati redupkan pandangan.

"Ala... Biasalah bila doktor bersatu dengan lawyer. Nak jumpa pun kena buat appointment," jawab Sofia bersama tawa halus.

Mereka semua tahu keadaan Ziela. Tapi, mereka masih boleh berbahagia. Itu yang penting. Sesuatu yang diri sendiri perlu usahakan.

"Awak jangan pula buat saya macam tu?"

Lokman kerut kening. Dah kenapa pula bini aku ni tiba-tiba cakap macam tu?

"Buat macam mana?" Wajah Lokman terpinga-pinga.

"Payung emas tadilah..."

Rahang Aizudin jatuh. Mata Lokman jegil. Ada lagi bakinya. Ingatkan betul-betul dah tamat. Hai... Kaum Hawa ni.

"Kak ngah ni la hai..."

Aizudin geleng berkali-kali dalam tawa kasar. Sempat dia kerling Sofia... Okey. Tak ada tanda-tanda nak menyampuk. Syukur.

"Mana boleh. Awaklah buah hati pengarang jantung saya. Tak ada siapa boleh lawan Kemawati saya," jawab Lokman akhirnya.

Meninggalkan senyuman simpul pada bibir Kemawati yang sedang menjeling manja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co