Bab 5
TANGAN sejak tadi masih tak berhenti. Seketika dicapai senduk, kemudian meracik bawang pula. Dah lama tak berkumpul ramai-ramai begini dan setiap kalinya, dia memang akan teruja. Letih menyediakan makanan sangat berbaloi dengan kemesraan yang terjalin.
"Banyak lagi tak siap, Sofia?" Kemawati berdiri di sisi adik iparnya. Tersenyum tipis sambil memandang bening mata yang tajam itu. Tapi, pandangan Sofia adalah pandangan yang begitu tenang dan mesra.
Kerana itulah gamaknya, Aizudin betul-betul jatuh tergolek pada Sofia.
"Sikit aje dah. Goreng bawang ni, dah siap. Lepas solat, dah boleh makan," jawab Sofia seraya mencampakkan bawang merah yang baru siap dimayang ke dalam kuali.
"Mari sini, kak ngah tolong goreng." Kemawati menarik hulu sudip daripada tangan Sofia.
"Kak ngah tetamu. Patut duduk diam aje. Kak ngah buat Sofi segan. Biarlah Sofi sorang aje dekat dapur ni..."
"Haih... Buat sorang bila nak siap. Berdua kan lebih baik..."
Dahi Sofia berkerut. Macam dia pernah dengar ayat itu. Tapi, entahlah dekat mana. Dia hanya senyum dan berlalu ke kabinet pinggan. Susunan Correll itu dikeluarkan penuh cermat. Diusap perlahan membersihkannya daripada habuk.
"Kak ngah..."
"Ya?" sahut Kemawati sambil menoleh ringkas.
Sofia labuhkan duduk. Pinggan masih di tangan. Memandang Kemawati yang masih tak berhenti menggoreng.
"Sofia rasa kan, Din tu romantik lain macam pula hari ni. Macam tiba-tiba aje... Aneh, tak?"
Seram pula dia melihatkan cara Aizudin melahirkan rasa rindu.
Dia tunduk tersenyum sendiri. Seperti baru-baru mendirikan rumah tangga. Begitulah Aizudin malah sampai sekarang pun...
"Laaa... Bukan ke Din tu memang gitu? Semua orang cakap you all pasangan sejoli. Perfect couple. Apa yang anehnya? Lainlah kalau sebelum ni dia jenis kayu atau batu tapi tiba-tiba jadi putera lilin dan raja lebah. Itu memang aneh," jawab Kemawati dalam tawa.
"Bukan gitulah, kak ngah..."
Bicara Sofia mati. Tangannya juga mati daripada terus mengelap pinggan.
"Cara dia tu macam bukan puji kosong. Ada makna. Macam puji-puji, sayang-sayang, belai-belai tapi akhirnya dia minta..."
"Haihhh..." Laju Kemawati menyekat rasa tidak selesa yang hadir bersanggah di dalam dada Sofia.
"Kak ngah tahu apa yang Sofia nak cakap tu tapi jujurnya, kak ngah memang berani jamin yang Din tu memang cakap betul tadi. Dia memang tak akan ada sesiapa lagi selain Sofia. Tapi, kalau ada orang duk suka dia... Dia tak boleh buat apalah. Bukan boleh sekat. Yang penting, hati dia ada Sofia aje. Tak bangga ke?"
Rasa nak ketawa aje dengan kata-kata kak ngah tapi Sofia tahankan. Kemain puji adik sendiri tapi bicara kak ngah ada benarnya. Kerana itulah suaminya yang dia kenal selama ini. Bukan sehari dua tapi sudah berbelas tahun.
Lelaki segak bertubuh tegap dan urat lengan yang kekar malah berwajah maskulin itu, itulah suaminya. Sampai sekarang, Aizudin sepertinya tak dimamah usia. Bibirnya terus mengorak senyum dan tangan kembali bekerja.
Harap sangat, rumah tangganya tak terkena pandangan mata jahat manusia. Dia tak akan kuat untuk hadapinya. Dia manusia yang lemah. Dia tiada kekuatan itu.
"Sofia terfikir gitu sebab Din cakap pasal payung emas tadi ke?" Entah bila Kemawati labuhkan duduk di depan Sofia. Diletak pinggan yang sudah berisi bawang goreng di depan Sofia.
"Pasal tu ke?" giat Kemawati. Dia pun risau sebenarnya. Dia bersungguh puji dan bela adik sendiri.
"Eh, taklah, kak ngah. Din tu terlalu sempurna dah untuk perempuan macam saya ni. Dia bawa saya kenal Islam. Kenal iman. Kenal cinta. Kami ada Lis. Cuma itulah... Lelaki, kan? Din tu lelaki. Tipulah kalau lelaki tak ada rasa nak ada isteri lebih daripada satu. Nak-nak dia tu, budak U pun masih mengurat dia. Dengar kata la."
"Sungguh ke?" Terjegil mata Kemawati dengan cerita Sofia.
"Mana Sofia tahu?"
"Alaaa, Din juga yang cerita. Ada student praktikallah, budak baru masuk kerjalah nak try dia. Tapi, sebab saya terlalu percayakan suami saya tu, kak ngah... Saya memang rasa itu hanya bahan jenaka Din bila sembang pasal tempat kerja."
"Yalah tu. Betul dah tu apa yang Sofia fikir. Dahlah... Jangan fikir benda tak ada pekdah. Haaa... Ini dah siap lap ke? Nak kak ngah tolong?"
"Eh, dah siap..."
Sofia melarang laju bila Kemawati sudah mula menarik pinggan daripada tangannya.
"Haaa, tak apalah kalau gitu. Kak ngah keluar dulu. Tengok mana Lokman dengan Din ni. Kutlah tengah cuci mata kat luar ke?" Tubuh diangkat tapi terhenti seketika. Kemawati merenung redup mata Sofia yang sedang menyoroti matanya.
"Kalau satu hari nanti, Din memang punah-ranahkan kepercayaan Sofia, Sofia akan maafkan dia?"
Wajah Kemawati tak beriak.
Sofia koyak senyum. Tunduk pada susunan pinggan di depan mata. Entahlah... Itulah yang hati dia jawab. Aizudin bukan jenis lelaki yang akan rosakkan kepercayaannya. Rumah tangga mereka bertunjangkan ketulusan Aizudin dan keyakinan dia pada lelaki itu.
Aizudin transparent!
"Tengok pada apa yang dia tipu tapi satu aje masa tu, kak ngah... Sofia harap Sofia betul-betul kuat dan paling penting, Sofia tak harap pun dia tipu Sofia. Walaupun sekecil hal," jawabnya tanpa memandang wajah Kemawati.
Antara mereka disapa sepi beberapa saat sebelum Kemawati menapak mendekati Sofia. Tangannya mendarat pada bahu adik iparnya itu.
"Kak ngah yakin dengan kamu berdua. Kak ngah kenal adik kak ngah dan kak ngah kenal juga adik ipar kak ngah ni," ujarnya lantas berlalu ke luar.
Sofia menongkat dagu. Tiba-tiba, rasa rindu betul dekat suami sendiri. Dia tunduk seketika sebelum terus menyusun pinggan mangkuk di atas meja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co