Bab 7
SUARA Aizudin khusyuk membaca doa seusai mereka solat maghrib berjemaah. Inilah rutin yang dia pupuk dalam syurga kecil mereka dan hari ini, bertambah makmumnya dengan kehadiran keluarga kak ngah. Sebaik saja doa diaminkan, Sofia laju menghulurkan tangan. Disalami penuh hormat tangan suami lantas dikucup perlahan.
Saat bibir Aizudin jatuh pada dahinya, hati sekali lagi dihurung sebu. Sepertinya itu adalah kali pertama bibir suam itu jatuh pada dahinya. Seperti saat mereka diijabkabulkan dulu. Mata Sofia terasa basah. Diangkat mata. Diukir senyum kemudian kembali tunduk bila Aizudin berlalu menyalami kak ngah dan Lokman.
"Hai... Yang budak Zoey ni manalah dia pergi. Orang dah cakap balik sebelum maghrib, sangkut dekat mana pula..." Sempat lagi membebel bila batang hidung anak tunggalnya tak nampak lagi.
Nak kena sungguh budak ni.
"Ala... Dia dengan Lis, kan?"
Sofia angguk.
"Lis ada telefon tadi, kata balik lepas solat maghrib. Nanti terus balik, takut lewat solat pula. Janji Zoey ada dengan dia, saya lega."
Lokman angguk. Kemudian, memandang pada isterinya.
"Jomlah. Perut saya lapar dah ni..."
"Kak ngah keluar dulu, ya?"
Mengerti dengan pandangan Sofia pada Aizudin, Kemawati tarik tangan suaminya setelah melipat telekung.
"Yang Ziela pun satu hal juga..."
Sebelum hilang tubuh suami isteri itu daripada bilik solat, sempat lagi suara Kemawati menyapa telinga Aizudin dan Sofia.
"Hai... Kak ngah dan bebelan tak dapat dipisahkan langsung."
Menggeleng dia dibuatnya.
"Itu bukan membebel..."
"Habis tu?" Kening lebat Aizudin terangkat tinggi.
"Itu risau. Apalah abang ni... Risau dengan bebel pun tak boleh beza."
"Habis tu, kalau selama ni abang balik lewat, tu kira risau ke bebel?" soalnya nakal. Sengaja dia heret punggung sendiri mendekat pada Sofia. Dipaut jari-jemari runcing itu dan digenggam kemas.
Tadi, dia nampak mata Sofia berair. Teringat perbualan Sofia dengan kak ngah. Bagai ada satu beban dalam dada isteri yang sengaja disembunyikan.
"Kalau tentang abang, Sofia buat sebab Sofia sayang..."
"Really?"
Kening Sofia terangkat tinggi dengan anggukan yang menjadi jawapan.
"Habis tu, petang tadi abang ada dengar Sofia cakap dengan kak ngah dekat dapur. Lepas tu, tadi masa salam abang, nampak mata Sofia berair. Ada benda yang Sofia nak share dengan abang? Sofia tak pernah macam ni. Abang risau..."
"Risau?"
Sengaja Sofia tamatkan persoalan dalam kepala Aizudin kerana jujurnya, dia tiada apa-apa. Aizudin suami yang sempurna pada isteri yang serba kekurangan sepertinya.
Jadi, segala syak yang tak berasas itu tak mungkin menjadi bekas dalam hatinya.
"Hey, abang sayang Sofia. Mana mungkin abang tak risau bila abang tengok mata Sofia bergenang. Sofia tak pernah macam ni sejak jadi isteri abang, tau..."
"True. I've never been like this because you're a great husband to me," sahut Sofia laju.
Dada Aizudin kembang mendengarkan kata-kata Sofia. Hai... Kan dia dah cakap. Andai sebelum ini dia dah jatuh cinta hampir sejuta kali pada Sofia dan saat ini, cintanya bertambah sekali lagi. Menjadikannya satu juta satu kali.
"Tadi tu, saja sembang dengan kak ngah. Dan, kejap tadi mata Sofia berair sebab Sofia terfikir, betapa Allah tu sayang Sofia hinggakan dia bagi Sofia suami yang sebegini hebat. Penyayang dan begitu setia..." Tangannya naik lantas telapak tangan itu mengusap pipi Aizudin menzahirkan cinta yang tak berpenghujung pada suaminya.
Aizudin telan liur. Senyumnya berubah sedikit tawar.
Tak semena, bahu Sofia dipaut dan tubuh itu dipeluk erat.
"I'm going to love you now and here after, sayang," bisiknya perlahan.
Bibir tipis Sofia mekar dengan senyuman. Tanpa dia sedar, birai mata Aizudin sedang merah menahan tangis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co