Bab 1
PROLOG
"SAYA ingin meminta keizinan daripada mak cik dan pak cik untuk menikahi Amna Safiya," bicara Dzafri Mateen tenang.
Ruang tamu diselubungi sunyi selepas Dzafri Mateen meluahkan sebaris ayat itu. Siti Aminah dan Uthman saling berpandangan sesama sendiri. Amna Safiya pula kaku tidak berkutik.
Dzafri menelan liur melihat reaksi dua insan separuh usia itu yang sukar untuk ditafsir. Dia mengambil nafas dalam sebelum menyambung kata.
"Saya tahu perkenalan saya dengan Safiya masih lagi di peringkat awal. Mak cik dan pak cik juga masih belum mengenali saya sepenuhnya. Tambahan pula, saya seorang duda dan bapa tunggal kepada seorang anak. Tapi saya yakin keputusan yang saya buat ni tepat. Saya nak lindungi Safiya. Hidup saya tak tenang lepas apa yang terjadi pada Safiya. Saya mula terfikir yang mungkin Allah kenalkan Safiya dengan saya supaya saya dapat melindungi dia," bicara Dzafri panjang.
Dia cuba mempamerkan riak wajah yang tenang walaupun hanya Tuhan yang tahu betapa kencang degupan jantungnya tika ini.
"Pak cik tahu niat Dzafri baik. Dan pak cik tahu Dzafri seorang lelaki yang baik. Pak cik juga tak pernah menilai seseorang dari status yang dipegangnya. Tapi semua keputusan terletak di tangan Amna. Pak cik tak suka membuat keputusan dalam hal yang membabitkan kehidupan anak-anak pak cik," balas Uthman tenang.
Dzafri menganggukkan kepala tanda memahami. Dia lega kerana sekurang-kurangnya lelaki separuh usia itu tidak menghalang.
"Amna, apa keputusan Amna? Hanya Amna yang boleh membuat keputusan dalam hal ni," soal Siti Aminah pula pada satu-satu anak perempuannya itu.
Amna menggigit bibir bawah. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Semuanya berlaku terlalu pantas. Semua mata yang tertumpu padanya tika itu membuatkan degupan jantungnya kian menggila. Dia menarik nafas dalam.
"Saya perlukan masa," jawab Amna pendek. Banyak benda yang ingin diperkatakan. Tetapi hanya tiga perkataan itu sahaja yang keluar dari mulutnya.
"Tak apa, saya faham. Ambillah sebanyak mana masa yang awak perlukan. Saya tunggu," balas Dzafri tenang.
Amna memandang wajah Dzafri. Tapi hanya seketika cuma. Pandangan mata lelaki itu yang penuh dengan harapan menjadikan dia lebih keliru.
Patutkah dia menerima lelaki yang baru dikenali itu dalam hidupnya? Sejauh mana dia mengenali Dzafri untuk mengetahui lelaki itu ikhlas atau tidak melamar dirinya? Bagaimana jika dia salah membuat keputusan?
Ya Allah! Bantulah hamba-Mu ini! doanya dalam hati.
BAB 1
"MANA Abang Fahim ni, umi? Lambatnya," keluh Amna Safiya bersama kerutan di dahi. Sudah hampir sejam mereka menunggu di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tetapi insan yang ditunggu masih juga belum muncul tiba.
"Amna, cuba sabar sikit. Nanti Abang Fahim sampai la tu. Dua tahun boleh tunggu, takkan lambat berapa minit aje pun tak boleh nak tunggu?" balas Siti Aminah.
Dia menggelengkan kepala melihat anak gadisnya yang sudah mula gelisah. Amna memang rapat dengan abangnya, Fahim Wafi, walaupun mereka langsung tidak mempunyai ikatan darah.
Fahim adalah anak kepada sahabat baiknya, Fatimah. Selepas Fatimah dan suaminya meninggal dunia di dalam kemalangan jalan raya lapan tahun yang lepas, dia membawa Fahim tinggal bersamanya.
"Cakap pukul tiga petang dah sampai. Dah nak dekat 4.30 dah ni. Bukan setakat berapa minit aje, umi. Dah sejam lebih dah ni," bebel Amna lagi.
Dia sudah terlalu rindukan Fahim. Sudah hampir dua tahun Fahim tidak pulang ke Malaysia. Alasannya, dia ingin menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran di Mesir. Lebih cepat dia menghabiskan pengajiannya, lebih cepat dia dapat pulang terus ke Malaysia.
"Tu, Fahim dah sampai."
Amna bingkas bangun apabila walidnya menunjukkan jari telunjuk ke arah seorang lelaki yang segak bergaya dengan T-shirt biru muda dan seluar jean biru. Saat itu juga senyuman lebar terukir di bibir. Dia pantas berlari mendapatkan Fahim.
"Abang Fahim!" Amna menjerit memanggil nama Fahim kuat.
Fahim hanya menggelengkan kepala melihat gelagat Amna. Dia tahu adiknya itu rindukan dia. Sepanjang dia berada di Mesir, boleh dikatakan setiap hari Amna akan menghubunginya melalui Skype.
"Kenapa lambat sangat?" soal Amna manja.
"Sorry, flight abang tunda tadi. Sebab tu lambat sikit," jawab Fahim tenang. Bukan niatnya untuk membiarkan mereka menunggu lama.
"Welcome home, sayang." Siti Aminah menyambut anak lelainya itu dengan senyuman manis yang terukir di bibir.
"Terima kasih, umi. Bestnya dapat hirup udara Malaysia," ujar Fahim gembira. Sudah lama dia menantikan saat ini. Betapa dia rindukan tanah air tempat kelahirannya itu.
"Tahniah, Dr. Fahim Wafi." Uthman menarik Fahim ke dalam pelukannya. Dia bangga kerana anak lelakinya itu berjaya menamatkan pelajaran dalam bidang perubatan. Tercapai impiannya untuk melihat Fahim bergelar seorang doktor. Kerana dia tahu, itu juga impian arwah ibu Fahim yang juga seorang doktor suatu ketika dulu.
"Terima kasih, walid. Fahim berjaya atas doa walid dan umi juga," balas Fahim merendah diri. Dia tidak akan pernah lupa jasa mereka membesarkan dan menyaranya selama ini. Dia berjanji yang dia akan membalas jasa mereka apabila dia mula bekerja nanti.
"Assalamualaikum."
Suara seorang gadis memberi salam mengejutkan Amna yang sedang ralit memandang wajah abangnya. Dia pantas berpaling ke arah suara yang hadir dari arah belakang Fahim.
"Zara? Kau tak cakap pun nak balik." Terlopong Amna apabila melihat figura Asma' Zara, kawan baiknya yang sedang tersenyum lebar ke arahnya. Dia pantas memeluk tubuh Zara erat.
Zara turut melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Tetapi dia masih mempunyai baki empat semester lagi sebelum menamatkan pengajian.
"Rindunya kat kau!" ujar Amna selepas meleraikan pelukan. Dia mencubit pipi Zara kuat.
"Weh, sakit la pipi aku!" Zara terjerit kecil. Dia memukul lengan Amna supaya melepaskan pipinya.
Amna melepaskan tawa kuat. Dia suka mendengar jeritan comel kawannya itu. Dia tidak dapat mencubit pipi Zara melalui Skype.
"Aku pun rindu kau," balas Zara selepas cubitan di pipinya dilepaskan. Sudah lama dia tidak bertemu muka dengan Amna. Berbual melalui Skype tidak sama seperti berbual di hadapan mata. Kepuasannya begitu jauh berbeza.
"Zara tengah cuti ke sekarang?" soal Siti Aminah pada Zara.
"Ya, umi. Cuti semester sebulan. Balik ni sebab ada hal sikit," jawab Zara sopan.
"Hal apa?" soal Amna kalut.
Zara tidak memberitahu apa-apa pun kepadanya ketika mereka berbual melalui Skype dua hari yang lepas. Setahunya, tiada perkara yang dirahsiakan di antara mereka. Semuanya pasti akan dikongsi.
"Nanti la aku beritahu kau," jawab Zara bersama senyuman manis di bibir.
"Dah, dah. Daripada berbual kat sini, baik kita pergi makan. Abang dah mengidam makanan Malaysia ni." Fahim menyampuk sambil menggosok perutnya yang sudah mula berkeroncong. Jika dibiarkan Amna dan Zara berbual, sampai esok pun belum tentu habis.
Amna dan Zara hanya tersengih mendengar bebelan Fahim.
"Baiklah, abang sayang. Jom!" Amna pantas menolak troli yang berisi bagasi dan kotak-kotak kecil milik abangnya menuju ke arah kereta Audi Q3 milik walid.
Sepanjang perjalanan ke kereta, umi dan walid sibuk bertanya bermacam-macam soalan kepada Fahim. Amna hanya membiarkan. Sampai di rumah nanti, giliran dia pula untuk melepaskan semua rasa rindunya kepada Fahim.
AMNA SAFIYA melabuhkan duduk di sebelah kanan adik bongsunya, Iffat Waseem selepas siap mencuci pinggan mangkuk di dapur. Walid, Fahim dan Iffat sedang menonton berita ni kaca televisyen.
"Fahim, dah tau dapat posting dekat hospital mana nanti?" soal Uthman selepas isterinya yang muncul dari dapur turut mengambil tempat di sebelahnya.
"Belum lagi, walid. Keputusan minggu depan. Doakan Fahim dapat dekat-dekat sini la. Tak nak berjauhan dengan umi dengan walid dah," jawab Fahim.
Lebar senyuman di bibir Uthman dan Aminah mendengar kata-kata Fahim. Fahim memang pandai mengambil hati mereka.
"Dah lama dah Amna doa. Amna dah tak nak dah berjauhan dengan Abang Fahim," ujar Amna penuh bersemangat. Hatinya sudah penat menahan rasa rindu pada Fahim.
"Over la Kak Amna ni!" Iffat mencebikkan bibir mendengar kata-kata Amna. Amna mencubit lengan Iffat kuat.
"Sakit la!" jerit Iffat kuat. Dia menggosok lengannya yang terasa perit.
Fahim melepaskan tawa kuat melihat kelakuan adik-adiknya.
"Sebab ni la Fahim tak nak duduk jauh-jauh, walid. Rindu perangai budak dua orang ni," ujar Fahim sambil menolak bahu Iffat dengan tangan kirinya.
Uthman dan Aminah menggelengkan kepala. Perangai Amna dan Iffat memang seperti kanak-kanak walaupun masing-masing sudah pun besar panjang. Kalau hilang salah seorang daripada mereka, pasti rumah mereka akan sunyi.
"Umi, walid. Fahim sebenarnya ada hal sikit nak bincang," ujar Fahim selepas tawanya reda.
Sejak dari dalam kapal terbang lagi dia asyik memikirkan bagaimana dia harus menyampaikan hasrat hatinya ini. Dan dia rasa, tika ini adalah waktu yang paling sesuai untuk berbicara memandangkan semua ahli keluarganya ada bersama.
"Hal apa?" tanya Uthman ingin tahu.
Iffat memperlahankan volume televisyen yang sedang menayangkan berita kemalangan sebuah kereta Proton Persona dengan motosikal Yamaha.
"Sebenarnya, Fahim ada berkenan dengan seorang gadis ni. Jadi, Fahim nak minta tolong umi dan walid untuk melamar gadis tu untuk Fahim," ujar Fahim terus.
Sudah lama dia ingin menyatakan hasrat hatinya itu, tetapi dia sabarkan hatinya. Dia ingin menunggu sehingga dia pulang ke Malaysia. Lebih elok jika dapat berbincang sendiri di hadapan umi dan walid.
Amna menelan liur saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Fahim. Jantungnya berdegup kencang.
"Siapa gadis tu?" Giliran Siti Aminah pula untuk menyoal. Dia tidak menyangka yang dalam diam Fahim menyukai seseorang. Maklumlah anak lelakinya itu seorang yang pendiam. Dia mula sedar yang anak-anaknya sudah meningkat dewasa.
"Umi dengan walid kenal dia." Fahim berhenti seketika untuk melihat reaksi wajah umi dan walid.
"Nama gadis tu Asm..."
Bunyi deringan telefon pintar menghentikan kata-kata Fahim. Serentak mereka berpaling ke arah datangnya bunyi deringan itu.
"Kak Amna, telefon bunyi tu." Iffat menyiku lengan Amna perlahan.
Amna mengerdipkan mata berkali-kali seakan-akan baru tersedar daripada lamunan panjang. Dia pantas mencapai telefon pintarnya di atas meja kopi dan berlari ke dapur.
"Assalamualaikum." Suara Zara mengetuk gegendang telinganya dari hujung talian.
"Waalaikumussalam," jawab Amna perlahan. Jantungnya masih lagi berdegup kencang. Pelbagai persoalan bermain di dalam kepalanya. Siapa gadis yang dimaksudkan Abang Fahim tu? Umi dengan walid kenal? Aku ke?
"Kau tengah buat apa? Aku ganggu ke?" tanya Zara.
Amna diam. Kata-kata Fahim tadi kembali terngiang di telinganya. Kepalanya masih belum boleh mencerna sepenuhnya apa yang didengarnya tadi.
"Amna?"
Panggilan Zara mengembalikan Amna ke alam nyata. Dia menggelengkan kepala beberapa kali membuang pelbagai persoalan yang menerjah minda.
"Sorry, kau cakap apa tadi?" soal Amna kalut. Terasa bersalah pula pada Zara di hujung talian.
"Kau okey tak ni?" soal Zara lagi.
"Okey. Ada apa kau call aku ni?" soal Amna lagi. Kali ini lebih tenang.
"Abang Fahim ada beritahu apa-apa tak?" Zara membalas juga dengan soalan.
"Beritahu apa? Apa kena-mengena dengan Abang Fahim pula ni?" Amna mengerutkan dahi. Pelik apabila Zara tiba-tiba menyebut nama Fahim.
"Beritahu sebab kenapa aku balik Malaysia la," jawab Zara berkias.
Makin dalam kerutan di dahi Amna apabila mendengar kata-kata Zara. Dah kenapa Abang Fahim boleh tahu kenapa Zara balik Malaysia pula? Seingatnya, Zara ialah kawan baiknya, bukan kawan baik Abang Fahim.
"Apa kau cakap ni? Berbelit-belit la. Tak faham aku," balas Amna dengan kerutan di dahi.
Terdengar tawa Zara di hujung talian.
"Sorry. Okey, kau nak tahu tak kenapa aku balik Malaysia?" soal Zara ceria.
"Kenapa?" Amna membalas juga dengan soalan. Hatinya mula tidak sedap.
"Sebenarnya, ada orang nak masuk meminang aku," jawab Zara diikuti dengan tawa gembira.
"Siapa?" soal Amna sepatah. Makin kuat jantungnya berdegup. Dia cuba menidakkan spekulasi yang mula bermain dalam mindanya.
"Kau jangan terkejut tau?" Zara berhenti seketika untuk mengambil nafas sebelum menyambung kata.
"Abang Fahim nak masuk meminang aku."
Sebaris ayat itu terasa seperti pisau menoreh hatinya. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Telefon pintar di tangan melurut jatuh mencium lantai. Air mata mula bergenang di tubir mata. Bukan berita ini yang ingin didengarnya.
"Kak Amna, kenapa ni?" soal Iffat yang muncul dari ruang tamu selepas mendengar bunyi sesuatu jatuh ke lantai. Dia mencapai telefon pintar kakaknya yang berada di atas lantai. Wajah Amna dipandang. Dia dapat melihat dengan jelas air mata yang mula mengalir ke pipi kakaknya itu.
"Kak Amna, kenapa ni?" soal Iffat lagi. Kali ini suaranya kedengaran cemas. Kakaknya jarang menangis. Hatinya keras. Tetapi air mata yang mahal itu akan gugur jika ada sesuatu yang benar-benar menggores hatinya.
Soalan Iffat dibiarkan tidak berjawab. Amna pantas berlari mendaki anak tangga ke biliknya di tingkat atas meninggalkan Iffat yang kebingungan.
Seketika kemudian, kelihatan Amna menuruni anak tangga dan melangkah laju ke arah pintu utama. Panggilan umi, walid, Iffat dan Fahim sudah tidak dihiraukan.
Dia ingin lari dari kenyataan yang menyakitkan ini. Sekelip mata mentari yang menyinari hidupnya sepanjang hari hilang ditenggelami awan hitam yang berarak tanpa disangka.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co