Bab 2
"ABANG, bila kita nak pergi Sabah? Lagi dua bulan anak kita dah nak lahir," ujar Haifa Farhah sambil membetulkan tali leher suaminya.
"Abang sibuk la, sayang. Banyak benda nak kena buat sempena ulang tahun ke-20 majalah La Moda," jawab Dzafri Mateen sambil menyarungkan blazer hitam ke badannya yang tegap.
Banyak kerja yang perlu diselesaikannya selaku Deputy Chief Editor. Dia perlu memastikan majlis ulang tahun ke-20 ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang cela.
Hari ini dia perlu ke Shah Alam pula untuk bertemu dengan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat. Mereka sudah bersetuju untuk menggunakan busana mewah rekaan Hatta Dolmat untuk edisi istimewa majalah La Moda kali ini bertujuan untuk menjadikan keluaran ulang tahun ke-20 lebih eksklusif.
"Tapi abang dah janji," bicara Haifa berjauh hati. Sejak dari usia kandungannya tiga bulan lagi suaminya sudah berjanji untuk membawanya bercuti ke Sabah. Tetapi perancangan mereka asyik ditunda. Sehingga ke hari ini, janji hanya tinggal janji. Usia kandungannya juga sudah memasuki tujuh bulan.
"Abang minta maaf. Tapi memang abang tak ada masa dalam waktu terdekat ni. Abang janji nanti lepas anak kita lahir, abang bawa sayang bercuti, okey?" Dzafri mengusap kepala Haifa lembut memujuk. Bukannya dia tidak mahu menunaikan janjinya, tetapi tuntutan kerja membantutkan rancangan mereka.
"Abang dah lambat ni. Sayang nak abang belikan apa-apa tak dari Shah Alam? Nanti sebelum balik abang belikan." Dzafri mencapai beg sandang di atas katil dan mula menguak daun pintu bilik.
"Sarapan la dulu. Haifa dah buatkan sandwic telur kegemaran abang." Haifa bersuara sambil mengikut langkah kaki suaminya keluar dari bilik. Langkahnya diatur berhati-hati. Perutnya yang besar sedikit menyukarkan langkah kaki. Dzafri yang memahami memegang tangan Haifa erat dan berjalan beriringan ke ruang tamu.
"Tak sempat dah ni," balas Dzafri.
Dia melihat jam di tangan. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi. Dia perlu sampai ke pejabat sebelum pukul 9 pagi memandangkan dia perlu menghadiri mesyuarat dengan staf editing team bertujuan untuk membincangkan tentang konsep majlis ulang tahun majalah mereka nanti. Dia perlu membuat persediaan awal. Sejurus selepas habis mesyuarat, dia perlu terus bertolak ke Shah Alam.
"Dah agak dah mesti tu jawapan abang. Sebab tu Haifa dah sediakan bekal siap-siap. Kejap Haifa pergi ambil." Haifa baru ingin melangkah ke dapur apabila Dzafri tiba-tiba menarik lengannya kembut.
"Tak apa, abang pergi ambil. Mak buyung duduk sini diam-diam, ya," gurau Dzafri. Dia mencuit hidung Haifa sebelum melangkah laju ke dapur. Bekal berisi roti telur yang diletak di atas meja dicapai sebelum dia kembali ke hadapan pintu.
"Abang pergi dulu." Dzafri menyarung kasut ke kaki. Baru sahaja dia ingin melangkah, suara manja Haifa mengetuk gegendang telinganya.
"Dah lupa la tu." Haifa menarik muncung apabila suaminya terus melangkah keluar dari rumah tanpa menyambut salam yang dihulurnya.
Dzafri berpatah balik apabila menyedari kesilapannya.
"Sorry." Dzafri pantas menyambut salam isterinya. Haifa mencium tangannya lama. Kemudian, Dzafri mengucup dahi Haifa lembut. Sudah menjadi rutin sebelum ke tempat kerja dia akan mengucup dahi isteri kesayangannya itu.
"I love you, sayang." Dzafri membisikkan kata-kata itu ke telinga isterinya. Terukir senyuman lebar di bibir Haifa. Hilang sudah rajuknya tadi.
"I love you too," balas Haifa ceria.
"Nanti kalau nak apa-apa, text abang. Abang belikan. Abang pergi kerja dulu. Assalamualaikum." Dzafri mula mengorak langkah laju ke arah lif yang terletak hanya 10 meter dari apartmen mereka.
"Waalaikumussalam," jawab Haifa. Dia memandang belakang badan suaminya dengan pandangan penuh kasih sayang sehingga suaminya hilang di sebalik pintu lif.
Sebaik sahaja pintu lif tertutup, Haifa melepaskan keluhan. Perutnya yang memboyot diusap lembut.
"Sayang, bila la kita dapat pergi Sabah?" Haifa berbisik lembut pada anaknya di dalam perut sebelum menutup daun pintu rapat.
DZAFRI MATEEN menyandarkan belakang badan ke sofa. Majlis ulang tahun ke-20 majalah La Moda sudah semakin hampir, tetapi masih banyak benda yang perlu diuruskan.
Tempahan tempat, artis jemputan, makanan, dif-dif kehormat dan bermacam-macam benda lagi perlu diuruskan. Dia perlu memastikan majlis ini berjalan dengan lancar dan sempurna memandangkan tahun ini menandakan sudah dua dekad majalah La Moda bertapak di dalam industri fesyen di Malaysia.
Dzafri melihat jam di tangan.
"Astaghfirullahalazim." Dia beristighfar panjang apabila menyedari yang jam sudah hampir menginjak ke pukul 9 malam.
Selepas selesai urusan bersama pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat tadi dia kembali ke hotel untuk meneliti artikel-artikel yang baru dihantar oleh staf editing team ke dalam Inbox e-melnya.
Seusai menunaikan solat maghrib tadi, dia mengambil keputusan untuk menyambung kerjanya sehingga pukul 8 malam sahaja sebelum bertolak balik ke Johor Bahru. Tetapi dia begitu khusyuk melakukan kerja sehingga tidak menyedari jarum jam yang terus berjalan.
Bunyi deringan telefon pintar mengejutkan Dzafri. Pantas terukir senyuman di bibir apabila melihat nama dan gambar si pemanggil yang terpampang di skrin.
"Assalamualaikum, sayang." Dzafri pantas menutup komputer ribanya dan dimasukkan ke dalam beg sandang. Dokumen-dokumen yang berselerak di atas meja dikemas dan dimasukkan ke dalam beg sandang yang sama. Telefon pintar dikepit antara bahu dan telinga kanan.
"Waalaikumussalam. Abang, dah gerak balik belum?" soal Haifa di hujung talian.
"Abang baru nak gerak balik ni," jawab Dzafri sambil menyarung blazer yang disangkut di dalam almari ke badan.
"Abang dah beli blueberry cheese tart yang sayang pesan tu?" soal Haifa lagi. Dia memang tidak akan pernah lupa menyuruh Dzafri membelikan blueberry cheese tart kegemarannya itu jika suaminya ke Shah Alam.
"Ya Allah, abang lupa la, sayang. Nanti abang singgah sebelum balik." Dzafri mula mematikan suis lampu selepas mencapai beg sandang dan melangkah laju menuju ke arah lif.
"Tak tutup lagi ke kedai malam-malam ni?" Suara Haifa kedengaran sedikit berjauh hati di hujung talian.
Sejak semalam lagi dia begitu teringin untuk menjamah blueberry cheese tart yang dijual di Kedai Kek Suria berdekatan dengan hotel yang sering menjadi tempat penginapan suaminya jika dia mempunyai urusan kerja di Shah Alam.
"Kedai Kek Suria tu tutup pukul 10 malam. Sempat lagi ni. Sayang tunggu tau, nanti abang bawa balik," pujuk Dzafri lembut.
"Okey. Hati-hati memandu. Haifa tunggu." Haifa sempat berpesan sebelum mematikan talian.
Sampai sahaja di lobi, Dzafri menguruskan urusan check out di kaunter. Dia mengembalikan kunci bilik dan membuat bayaran penuh.
Kemudian, dia melajukan langkah kaki ke arah kereta Jaguar XJ hijau zamrud miliknya yang terparkir kemas di hotel enam tingkat itu. Dia membuka kunci dan meloloskan diri ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan dan keretanya laju membelah gelap malam tanpa sempat enjin kereta panas terlebih dahulu.
Destinasinya cuma satu, Kedai Kek Suria. Dia perlu mendapatkan blueberry cheese tart itu juga malam ini. Jika tidak, seminggu dia perlu menghadap rajuk Haifa.
Senyuman terukir di bibir apabila dari jauh dia sudah nampak Kedai Kek Suria yang masih disimbahi cahaya menandakan kedai itu masih lagi beroperasi. Dia menekan pedal minyak tanpa berfikir panjang.
Dia ingin segera sampai ke kedai itu dan membawa pulang blueberry cheese tart yang dipesan kepada Haifa. Dia sudah tidak sabar ingin melihat senyuman manis isterinya saat menjamah blueberry cheese tart yang dibelinya.
Namun, malang tidak berbau apabila sebuah Suzuki Swift biru muda yang berada di hadapannya tiba-tiba berhenti secara mengejut. Dia pantas menekan brek kereta, tetapi segalanya sudah terlambat.
Keretanya merempuh kuat Suzuki Swift di hadapannya. Dan buat seketika, dia terkesima dengan apa yang terjadi. Semuanya berlaku terlalu pantas.
Beberapa detik kemudian, Dzafri keluar dari perut Jaguarnya dan melangkah laju ke arah bahagian pemandu Suzuki Swift yang dilanggarnya tadi.
Cermin tingkap di bahagian pemandu pecah berderai. Dia dapat melihat dengan jelas seorang gadis yang sedang memegang kepalanya dengan tangan kanan. Darah merah membasahi tudung yang tersarung di kepalanya.
"Cik, cik tak apa-apa?" tanya Dzafri sedikit cemas. Dia cuba sedaya upaya untuk menenangkan jantungnya yang mula berdegup kencang. Bimbang jika gadis itu mengalami kecederaan yang parah.
Gadis itu berpaling ke arahnya. Dzafri dapat melihat dengan jelas wajah gadis itu yang dibasahi dengan air mata. Seketika kemudian, gadis itu jatuh terkulai di atas stereng kereta tidak sedarkan diri.
Dzafri mula cemas. Tanpa menunggu lama, dia mencempung tubuh gadis itu dan membawa gadis itu ke arah keretanya. Tubuh gadis itu diletak perlahan di bahagian penumpang belakang.
Dia kemudian meloloskan diri di bahagian pemandu dan memandu laju ke hospital berdekatan. Dalam hati dia berdoa semoga Allah melindungi gadis itu dari kecederaan yang serius.
WAJAH gadis itu ditatap lama. Sejak dari sampai di hospital tadi, gadis itu masih belum sedarkan diri. Menurut doktor yang merawatnya tadi, pihak hospital perlu melakukan pemeriksaan lanjut untuk memastikan tiada pendarahan dalaman yang dihadapi gadis itu. Dia terus memberi persetujuan. Bimbang jika kecuaiannya akan menyebabkan nyawa gadis itu terancam.
Hampir terlompat keluar jantungnya apabila gadis yang terbaring di atas katil hospital itu tiba-tiba bangun sejurus selepas matanya dibuka.
"Cik dah sedar? Cik pengsan dalam kereta tadi. Jadi, saya bawa cik ke hospital. Ada bahagian anggota badan cik yang sakit?" Laju mulut Dzafri melontarkan soalan.
Gadis itu diam tanpa suara. Hanya matanya yang berkelip.
"Kereta cik saya dah hantar ke bengkel. Cik jangan risau, semua urusan pembaikan saya akan tanggung," tambah Dzafri lagi apabila gadis itu terus berdiam. Riak wajahnya juga sukar untuk ditafsir.
"Saya nak balik," ujar gadis itu ringkas. Dia pantas bangun dari katil hospital dan terus melangkah mencari pintu keluar.
"Cik!" Dzafri memanggil kalut. Dia mengejar gadis itu yang sudah pun berjalan hingga ke ruang menunggu dia luar wad kecemasan.
"Cik, biar saya hantar cik balik. Sekejap, saya bayar bil dulu. Cik duduk sini dulu."
Dzafri bergegas ke kaunter pembayaran. Dia dapat melihat dari ekor mata gadis itu terus melangkah keluar tanpa mempedulikan pesanannya.
Dia membuat bayaran dengan segera dan bergegas ke arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari situ. Enjin kereta dihidupkan dan dia memandu ke arah figura gadis itu yang memandang ke kiri dan ke kanan tanpa hala tuju.
Dzafri memberhentikan kereta di tepi jalan dan melangkah ke arah gadis itu. Dia membuka pintu di bahagian penumpang dan menarik gadis itu masuk ke dalam kereta.
"Rumah cik kat mana?" tanya Dzafri selepas selesai memasangkan tali pinggang keledar pada gadis itu.
Gadis itu masih lagi diam. Tiada sebarang jawapan yang keluar dari mulutnya. Dzafri mencapai wallet gadis itu yang diambilnya dari dalam beg tangan merah hati yang sempat dicapainya di dalam kereta Suzuki Swift.
Dia mengeluarkan kad pengenalan gadis itu dan memasukkan alamat yang tertulis ke dalam gps. Keretanya laju membelah jalan raya ke destinasi yang dituju.
Dzafri memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah banglo dua tingkat. Dia berpaling ke arah gadis di sebelahnya. Pandangan gadis itu kosong. Dzafri menggigit bibir bawah. Dia risau melihat keadaan gadis itu.
Risau jika gadis itu mengalami kecederaan yang serius. Tanpa membuang masa, dia melangkah keluar dari kereta. Dia menekan loceng beberapa kali sebelum membuka pintu kereta di bahagian penumpang.
"Cik, dah sampai rumah cik," ujar Dzafri perlahan ke telinga gadis itu. Tetapi gadis itu hanya diam tidak berkutik.
Dzafri membuka tali pinggang keledar. Gadis itu hanya membiarkan. Tiada sebarang reaksi yang ditunjukkan.
"Ya Allah! Kenapa ni, Amna?"
Jeritan seorang wanita mengejutkan Dzafri yang masih membongkok di sebelah gadis itu selepas membuka tali pinggang keledarnya tadi. Dia pantas bangun dan berpaling ke belakang. Seorang wanita separuh usia kelihatan terkejut memandang ke arah gadis yang sedang duduk di dalam keretanya itu.
"Assalamualaikum, mak cik. Saya Dzafri." Dzafri memberi salam dan memperkenalkan namanya sopan.
"Waalaikumussalam. Anak ni siapa? Kenapa dengan anak mak cik?" soal wanita itu cemas. Dia membantu gadis itu keluar dari kereta.
Sebelum sempat Dzafri menjawab soalan wanita itu, seorang pemuda pula muncul di sebalik pagar rumah.
"Ya Allah. Kenapa ni, umi?" Pemuda itu pula menyoal cemas.
"Fahim, umi bawa masuk Amna dulu." Wanita itu pantas memapah gadis itu masuk ke dalam rumah.
"Kenapa dengan adik saya, encik?" Pemuda itu pantas bertanya selepas kelibat wanita separuh usia dan gadis itu hilang di sebalik pintu rumah.
"Sebenarnya ada kemalangan sikit tadi. Saya terlanggar kereta adik encik. Saya minta maaf banyak-banyak. Saya dah bawa adik encik ke hospital tadi. Tapi adik encik nak balik ke rumah. Saya rasa encik perlu bawa adik encik ke hospital semula untuk pemeriksaan lanjut. Bimbang kalau ada pendarahan dalaman," terang Dzafri panjang lebar.
"Terima kasih sebab bawa adik saya balik," ucap pemuda itu sopan.
"Tak apa. Salah saya juga sebab terlanggar kereta adik encik. Saya dah hantar kereta adik encik ke bengkel. Semua kos pembaikan akan saya tanggung. Ini kad saya. Encik boleh hubungi saya bila kereta dah siap nanti. Saya ada bagi nombor telefon yang tertulis pada cermin kereta pada pihak bengkel. Pihak bengkel akan hubungi nombor tu nanti bila kereta dah siap." Dzafri menghulurkan kad namanya kepada pemuda itu. Pemuda itu menyambut hulurannya tanpa menunggu lama.
"Terima kasih, encik." Pemuda itu sekali lagi mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Kalau tak ada apa-apa saya balik dulu. Assalamualaikum."
Dzafri menyalami tangan pemuda itu sebelum meloloskan diri ke dalam kereta. Baru sahaja dia ingin memulakan pemanduan, telefon pintarnya berdering minta diangkat. Dia pantas melekapkan telefon ke telinga tanpa melihat nama pemanggil. Dan dia tidak pernah menyangka yang panggilan itu bakal merubah hidupnya sekelip mata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co